Peh, introduksi mengalahkan ayat Presiden BADAR KISAS tatkala memberi tazkirah ba'da Asar di Musala Saidina Ali Karramallahu Wajhah. Bila teringat memori lama di sekolah dulu, rasa sayu, syahdu-syahdan serta lemak berkrim beribu-ribu lemon semuanya berkumpul menjadi satu. Alhamdulillah, Allah berikan satu lagi kesempatan untuk merasai nikmat berpuasa di bulan Ramadan.
Aku kurang ingat tarikh sebenar aku belajar puasa. Namun ada beberapa peristiwa yang sampai sekarang aku ingat berkenaan puasa. Sewaktu aku berumur kurang lebih 5 tahun, aku sudah mula berpuasa separuh hari. Suatu hari, pakcik aku yang nama samarannya Kutip datang berkunjung ke rumah Nek Nah(nenek aku). Waktu itu pokok jambu air belakang rumah nenek memang lebat berbuah. Acik Kutip yang umurnya 3 tahun lebih tua mengajak aku memetik buah jambu sambil menikmati keenakan dan kesegarannya di tengah hari itu.
Aku pun setuju dan kami pun melantak buah jambu sampai puas. Kemudian, kami bergegas ke rumah Nek Jah pula (rumah Nek Jah terletak bersebelahan rumah Nek Nah). Jalan punya jalan. Kami ternampak sepohon pokok koko yang buahnya masak menguning. Kami petik 2 biji. Wow, best gile makan isi buah koko. Sedang aku asyik mencicipi kelazatan buah koko tersebut, Acik Kutip menarik aku ke arah pokok kelapa. "Menyorok!" teriaknya. Ada sebuah kereta meluncur laju melintasi rumah Nek Jah.
"Sekarang ni bulan puasa. Kalau polis nampak orang makan, nanti kena tangkap." Ujar Acik Kutip. "Ye ke?" soalku inginkan kepastian. "Tapi kan kita masih kecik lagi." Aku cuba menimbulkan situasi. "Betul, kita kecik lagi, tapi malulah kalau orang nampak kita tak puasa." Jelas Acik Kutip. "Bang Cik, lepas ni, kalau ada motor atau kereta lalu lagi, kita cepat-cepat menyorok belakang pokok kelapa. Biar tak ada orang nampak." Cadang Acik Kutip. "Ok." Aku setuju.
Selepas habis 2 biji buah koko lagi kami bantai, Acik Kutip pun pulang ke rumahnya. Aku bergegas lari ke rumah nenek sambil mengusap-usap perut yang kepuasan menikmati enaknya makan di siang hari buta di bulan Ramadan. Malam itu, aku berbuka bersama-sama seisi keluarga. Walaupun nenek tahu aku berpuasa sekerat hari saja, beliau tetap melemparkan senyuman manis terhadap cucunya yang hensem itu.
Hari ini, jalan di mana kami membuat aksi sorok menyorok telah tiada. Ia bertukar menjadi semak kebun yang tidak terjaga. Pokok koko yang buahnya menghasilkan isi koko yang sangat manis juga telah luput ditelan zaman. Yang tinggal hanya pokok kelapa yang sudah ingin tumbang. Indahnya zaman kanak-kanak. Boleh puasa yang-yuk, pagi-pagi buka periuk. Hikhik.
