Situasi 1
Aku merayau sendirian di ibu kota. Duit di dompet hanya RM 50. Posisi dompet? Kocek hadapan jeans. Bersedia untuk memasuki Putra LRT dan aku dengan syak wasangka terhadap orang sekeliling menjaga rapi segala barang penting di tubuh aku. Takut-takut kecurian.
Situasi 2
Tengah hari hari Jumaat. Abah sudah awal-awal memanaskan enjin Perodua Kelisa beliau. Aku masih terkebil-kebil mencari alas kaki apakah yang paling sesuai untuk dibawa ke masjid. Selipar jenama Line7? Oh, jangan mengada-ngada. Gerenti beres dikebas durjana-durjana pesisir masjid.
Situasi 3
Berpeleseran sebentar di The Store Bandar Banting. Motosikal sudah rapi terkunci. Helmet ini mahu kutinggalkah? Berani sungguh aku. Bawa sahaja dan pegang erat-erat. Sehodoh mana pun helmet kau, masih tinggi nilainya pada mereka.
Situasi 4
Keluar sebentar beli nasi bungkus di medan selera yang asyik itu. Pagar rumah pastikan bermangga. Langsir di sliding door pastikan tidak terselak. Setelah aman, barulah hati juga aman untuk meninggalkah rumah.
Situasi 5
Laptop Bangcik ada dalam kereta, mama! Mama cadang bateri dicabut. Selubung laptop dengan telekung. Buat seperti tiada kesan alat elektronik dalam kereta. Barulah hati tenang meneman keluarga berbelanja di Jusco Bukit Raja.

Ames, IA
Ah,mengapa aku tidak perlu risau perkara-perkara itu di sini? Mengapa dompet hilang pun masih boleh ditemui selepas dua tahun tanpa hilang segala dokumen penting? Mengapa kasut berjenama mewah tidak pernah kecurian walau diletak tersusun begitu rapi di hadapan rumah teman? Mengapa kereta ditinggal tidak berkunci sambil enjin dihidupkan tanpa ada si tuan di dalamnya? Mengapa rumah aku tidak pernah berkunci selama berbulan-bulan? Mengapa laptop ditinggal merata-rata seolah tiada harga di mata manusia?