
1.
Trak Conway sampai di perkarangan rumah kira-kira jam 12.40 tengah hari. Gila. Si Dalton dan Marc beritahu aku melalui e-surat yang mereka ini dijangka tiba antara jam 3-5 petang. Ah sudah. Menggelabah alam aku dibuatnya. Barang Ayie belum sampai. Kotak Nabilah belum elok balutannya. Mujur Zulu ada membantu.
2.
Lama juga aku tunggu perkhabaran tentang tiket pulang aku. Aku pinta kepada Puan Ruziah supaya diaturkan kepulangan aku ke tanah air 6 Jun nanti. Hampir sebulan tiada maklum balas yang kunjung tiba. Lalu Encik Amir pula menjadi sasaran aku. Katanya akan disemak status permohonan aku. Cepatlah hendaknya dapat tiket itu. Boleh aku bertenang.
3.
Masih banyak barang-barang yang tidak terkemaskan. Perabot di bilik yang ingin diserahkan kepada mereka yang memerlukan sudah dibawa turun. 31 hari bulan ini bilik perlu dikosongkan. Tandas perlu dibersihkan. Jadi barang-barang perlu dikemas segera. Selepas itu aku hanya perlu merempat di ruang tamu itu.
4.
Macam tahu-tahu saja aku akan pulang. Sebaik habis minggu peperiksaan, komputer buruk yang menemani pengajian empat tahun aku di sini padam. Bila aku rapat padanya, ada bau terbakar. Buang. Kelmarin, setibanya di Albertville, jam tangan murah yang usianya sudah dua tahun, mati kira-kira jam 1.05 petang. Dapat adik baru lah kau nampaknya wahai jam.
5.
Ames sunyi. Tanggal 14 lalu, keluarga Abang Talhah, Abang Jalal dan Abang Fazli pulang bercuti ke Malaysia untuk tempoh waktu kira-kira sebulan setengah. 20 hari bulan Nabilah berlepas pulang. Pagi Ahad semalam, Zulu berlepas pulang lebih awal dari aku. Abangnya nak kahwin. Esok aku akan menghantar Kak Yati, anak-anak dan Uya balik pula.
6.
Suara mama kedengaran ceria. Walaupun setiap kali perbualan kami mama memang ceria, namun aku dapat rasa ceria yang lain macam kali ini. Perasaan teruja si ibu menanti kepulangan anaknya adalah magik. Boleh jadi anugerah seperti itu tidak mampu dinikmati oleh semua orang. Aku jadi syukur dengan itu.