Rabu, April 21, 2010

Engkau Dan Aku

Jadi apa matlamat hidup engkau sebenarnya?
Engkau sudah tamat pengajian.
Sudah juga ada pekerjaan.
Pasangan hidup sudah dijanjikan walau belum engkau temukan.
Dan apa lagi selepas itu?
Kau hidup dalam rutin.
Tapi betulkah rutin itu yang engkau mahu?
Engkau bangun pagi, mandi, solat dan berangkat mencari sesuap nasi.
Kau pulang, cari makanan mengisi perut yang lapar lalu selesaikan semua tanggungjawab seorang insan.
Putaran ini berulang.
Hari berganti hari.
Berganti bulan dan tahun.
Inikah kitarannya sampai datang sang ajal?
Apa lagi yang kau perlu buat untuk mengumpul bekalan dari ladang akhirat yang terbentang luas ini?
Belum cukup.
Engkau sendiri tahu ini belum mencukupi.
Tapi engkau buntu, tak nampak jalan dan cahaya.
Apa lagi yang perlu, yang harus ada, yang bisa lengkapkan hidup fana dan sementara ini?
Usia semakin berkurang dan kau bukan menginjak muda.
Setarafkah engkau dengan si ghulam yang menggadai nyawa untuk agamanya.
Sedarjatkah kau dengan sahabat Kahfi yang lari dari hidup yang berlingkar noda.
Sekufukah kau dengan remaja-remaja yang membantu nabi dalam perang menentang jahiliah.
Ah, jangankan dengan mereka, dengan musuh engkau syaitan pun kau tewas.
Termakan pujuk rayu hasutan.
Maka kau perlu sendiri mencari konklusi.

Selasa, April 13, 2010

Old Days

I miss the good old days.

1. Waktu itu aku rasa semua orang menyanjungi kehebatan aku. Perasaan itu boleh disimpulkan dalam satu ayat yang bongkak. 'Akulah manusia paling hensem di dunia'.

2. Waktu itu keadaannya agak berubah. Walaupun masih diagung-agungkan ramai wanita, tetapi sudah muncul beberapa pencabar yang menyakitkan hati.

3. Waktu itu keyakinan diri mula menurun. Lebih ramai yang mendahului bahkan wanita-wanita terhijab di sebalik tabir-tabir yang memisahkan.

4. Waktu itu satu wanita sahaja pada pandangan. Walaupun kehebatan sudah tenggelam timbul, itu bukan isunya lagi.

5. Waktu berubah lagi dan tiada lagi wanita dalam kamus hidup aku. Hanya satu istilah untuk mereka iaitu kakak. Maka bermulalah era kakak-kakak.



*psst, dengarnya Ajud dah nak kawin..

Selasa, Mac 02, 2010

Kombat

Bismillah..

Lepas lalu hari kelahiran Nabi junjungan besar kita. Adakah kamu hai manusia mengambil pedoman akan sirah yang agung ini. Berapa besar impak perjalanan hidup Baginda yang menyerbu masuk meresap dalam hati kamu yang berbintik noda hitam itu? Ataukah hati itu sudah anjal dengan segala kebaikan lantas menolak unsur positif dan karat Jahiliah terus menguasainya.

Adakah ajaran yang disampaikan telah terputus sanadnya dan kabur rawinya sehingga mungkar jua yang kau lakukan. Bagaimana gamak hati kau membolakan budak seumur 3 tahun. Bagaimana gamak hati kau menodai anak dan cucu darah daging sendiri. Bagaimana gamak kau campak dan bakar bayi yang tanpa calit dosa itu. Bagaimana gamak kau tusuk perut si tua yang tiada daya. Dan bagaimana gamak kau dustai hukum Allah dengan meragui keadilannya.

Cuba gunakan otak. Fikirkan yang ini. Bumi yang kita pijak ini, yang dikejar kekayaan di dalamnya hanyalah habuk angkasa. Betapa sia-sianya habuk kekayaan yang engkau kejar. Jadi apa yang perlu aku dan engkau kejar? Kejar posisi? Kejar ratu dewi? Kejar fantasi? Kejarlah Ilahi.


1431H [Kombat hati]

Khamis, Februari 18, 2010

Ada Taman

Hatiku telah lama patah
Patah tak tumbuh
Malah hilang menyusur kelam
Gelitanya menutup keinginan
Gelapnya menyanggah kerinduan
Kau mungkin bahagia
Atau mungkin kita serupa

Khabar apakah dirimu
Sekian lama sepi sunyi
Putus yang itu bernuansa benci
Namun benci dan cinta
Nipis sekali dinding pemisah
Benar aku boleh lupa
Tapi parutnya berbekas luka

Aku tiada usaha apatah daya
Berdiam tanpa apa
Berkecoh sembunyi lara
Bersuka lewat kecewa
Ahli lagu punya irama
Ahli bahasa punya nahu
Aku hanya punya hati
Hati seni yang damba cinta



Perghh, bila baca balik semula, rasa nak termuntah hijau. Lemau habis. Dahlah nahu tunggang terbalik. Bluek.

Selasa, Januari 19, 2010

Membunuh


Duduk di rumah berteman serangga dan makhluk Allah yang lain memang mengujakan. Namun sesetengah penghuni rumah tersebut kadang-kadang melakukan perkara yang kurang menyenangkan. Apabila ini berlaku, maka seseorang perlu mengambil tindakan nekad. Sama ada diri sendiri terbunuh atau orang lain yang ada disekeliling yang menjadi mangsa kekejaman. Meski kesalahan itu tidak sekejam tindakan rejim Zionis ke atas saudara kita di Palestin, namun kesalahan yang itu perlu dibayar dengan harga sebuah nyawa.

Musuh 1: Cicak

Musuh ini sering melemparkan bom-bom pemusnah berwarna hitam dan putih. Kalau bom tersebut jatuh ke lantai atau tempat-tempat kurang penting maka ia mendatangkan amarah terkawal. Namun bom-bom tersebut jatuh ke tempat yang tidak sepatutnya. Sebagai contoh di atas kepala seorang yang agak zuhud dan tawaduk menonton Idola Kecil 2 sambil melaungkan nama Dayana dan Maulud. Contoh seterusnya, bom itu jatuh di atas buku ringkasan guru yang baru siap ditulis.

Maka hukuman paling setimpal adalah hukuman mati mandatori.

Musuh 2: Nyamuk

Musuh ini menyerang mangsanya dengan tusukan-tusukan pedih di seluruh tubuh badan. Jangan risau sangat dengan mereka yang mempunyai susuk tubuh agak besar kerana mereka sangat mudah terperangkap dalam hempukan tangan yang berniat membunuh. Takutlah kepada mereka yang berbadan kecil tetapi licik dalam gerakan dan bisa melepaskan diri dari jerangkap samar yag diatur. Mereka ini memiliki keupayaan akal seperti akal Yahudi lagaknya. Haha. Bahagian yang mengandungi darah paling lazat mungkin berada di tapak kaki manusia kerana itulah sasaran utama mereka ini.

Maka hukuman paling setimpal adalah hukuman mati mandatori.


Masih ada beberapa musuh yang wajar disebutkan seperti pijat-pijat, tikus mondok, kelawar hitam dan tupai. Namun kes tersebut merupakan kes terpencil yang tiada nilai di sisi mahkamah.