Rabu, Mei 05, 2010

CTKD (Canda Tangis Ketawa Duka)

Ini entri tentang wanita. Sebentar tadi, ketika sedang dalam perjalanan di tengah-tengah kesibukan kota (Banting je pun), aku terlihat kelibat 2 manusia. Seorang kakak bersama adik perempuannya. Si adik boleh aku andaikan dalam lingkungan umur 7-8 tahun. Bersamanya ada plastik berisi makanan ringan. Mungkin sebungkus 'jajan' dan beberapa batang aiskrim. Yang si kakak boleh aku sifatkan seperti Zhang Ziyi Malaysia. Aku rasa kamu semua pasti boleh mengagak suku/bangsa kedua-duanya. Bukan begitu? Berambut panjang melepasi bahu dan beperawakan ceria. Apa yang menarik tentang kedua-dua gadis ini? Tentu kamu tertanya-tanya. Ini fenomena biasa di mana-mana pun. Tiada yang menarik. Tetapi aku perasan sesuatu yang tiada pada kebanyakan orang. Gelak tawa. Kalaulah gelak tawa yang aku lihat pada mereka berdua boleh dibeli dengan wang ringgit, atau ditukarganti dengan emas permata, atau digolok gadai dengan harta dan rupa, pasti tiada siapa yang ketika ini bermuram durja, menangis hiba atau mati beragan. Ah, dunia!

Khamis, April 22, 2010

Rapat-rapat


Tanam pinang rapat-rapat,
Biar senang puyuh berlari;
Kupinang-pinang tapi tak dapat,
Kupujuk-pujuk kubawa lari.

Buah berangan masaknya merah,
Kelekati dalam perahu;
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati siapa yang tahu.

Puas sudah kutanam padi,
Nenas juga ditanam orang;
Puas sudah kutanam budi,
Emas juga dipandang orang.

Dari mana punai melayang,
Dari paya turun ke padi;
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata turun ke hati.

Tanjung Katong airnya biru,
Tempat mandi si dara jelita;
Sama sekampung lagikan rindu,
Inikan lagi jauh dimata.

Asal kapas menjadi benang,
Asal benang menjadi kain;
Barang yang lepas jangan dikenang,
Sudah menjadi hak orang lain.

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih saya lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Sebab kasih saya turutkan.

Tudung periuk pandai menari,
Menari lagu putera mahkota;
Kain yang buruk berikan kami,
Buat menyapu si air mata.

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Tuan jauh di negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan.

Rabu, April 21, 2010

Engkau Dan Aku

Jadi apa matlamat hidup engkau sebenarnya?
Engkau sudah tamat pengajian.
Sudah juga ada pekerjaan.
Pasangan hidup sudah dijanjikan walau belum engkau temukan.
Dan apa lagi selepas itu?
Kau hidup dalam rutin.
Tapi betulkah rutin itu yang engkau mahu?
Engkau bangun pagi, mandi, solat dan berangkat mencari sesuap nasi.
Kau pulang, cari makanan mengisi perut yang lapar lalu selesaikan semua tanggungjawab seorang insan.
Putaran ini berulang.
Hari berganti hari.
Berganti bulan dan tahun.
Inikah kitarannya sampai datang sang ajal?
Apa lagi yang kau perlu buat untuk mengumpul bekalan dari ladang akhirat yang terbentang luas ini?
Belum cukup.
Engkau sendiri tahu ini belum mencukupi.
Tapi engkau buntu, tak nampak jalan dan cahaya.
Apa lagi yang perlu, yang harus ada, yang bisa lengkapkan hidup fana dan sementara ini?
Usia semakin berkurang dan kau bukan menginjak muda.
Setarafkah engkau dengan si ghulam yang menggadai nyawa untuk agamanya.
Sedarjatkah kau dengan sahabat Kahfi yang lari dari hidup yang berlingkar noda.
Sekufukah kau dengan remaja-remaja yang membantu nabi dalam perang menentang jahiliah.
Ah, jangankan dengan mereka, dengan musuh engkau syaitan pun kau tewas.
Termakan pujuk rayu hasutan.
Maka kau perlu sendiri mencari konklusi.

Selasa, April 13, 2010

Old Days

I miss the good old days.

1. Waktu itu aku rasa semua orang menyanjungi kehebatan aku. Perasaan itu boleh disimpulkan dalam satu ayat yang bongkak. 'Akulah manusia paling hensem di dunia'.

2. Waktu itu keadaannya agak berubah. Walaupun masih diagung-agungkan ramai wanita, tetapi sudah muncul beberapa pencabar yang menyakitkan hati.

3. Waktu itu keyakinan diri mula menurun. Lebih ramai yang mendahului bahkan wanita-wanita terhijab di sebalik tabir-tabir yang memisahkan.

4. Waktu itu satu wanita sahaja pada pandangan. Walaupun kehebatan sudah tenggelam timbul, itu bukan isunya lagi.

5. Waktu berubah lagi dan tiada lagi wanita dalam kamus hidup aku. Hanya satu istilah untuk mereka iaitu kakak. Maka bermulalah era kakak-kakak.



*psst, dengarnya Ajud dah nak kawin..

Selasa, Mac 02, 2010

Kombat

Bismillah..

Lepas lalu hari kelahiran Nabi junjungan besar kita. Adakah kamu hai manusia mengambil pedoman akan sirah yang agung ini. Berapa besar impak perjalanan hidup Baginda yang menyerbu masuk meresap dalam hati kamu yang berbintik noda hitam itu? Ataukah hati itu sudah anjal dengan segala kebaikan lantas menolak unsur positif dan karat Jahiliah terus menguasainya.

Adakah ajaran yang disampaikan telah terputus sanadnya dan kabur rawinya sehingga mungkar jua yang kau lakukan. Bagaimana gamak hati kau membolakan budak seumur 3 tahun. Bagaimana gamak hati kau menodai anak dan cucu darah daging sendiri. Bagaimana gamak kau campak dan bakar bayi yang tanpa calit dosa itu. Bagaimana gamak kau tusuk perut si tua yang tiada daya. Dan bagaimana gamak kau dustai hukum Allah dengan meragui keadilannya.

Cuba gunakan otak. Fikirkan yang ini. Bumi yang kita pijak ini, yang dikejar kekayaan di dalamnya hanyalah habuk angkasa. Betapa sia-sianya habuk kekayaan yang engkau kejar. Jadi apa yang perlu aku dan engkau kejar? Kejar posisi? Kejar ratu dewi? Kejar fantasi? Kejarlah Ilahi.


1431H [Kombat hati]