Sabtu, Februari 05, 2011

Serombong Kapal


Pagi tadi aku baca surat khabar. Ala, apa lagi kalau bukan akhbar pro-kerajaan tu. Bukan kerajaan negeri, tapi kerajaan persekutuan. Memang media massa di Malayia masih tak bebas. Sebab sebahagian besar liputan berita selain keputusan nombor ekor adalah bias. Bermotifkan politik secara sedar atau separa sedar meskipun tidak sedar langsung. (Err, benda ni tak akan jadi kes polis kan?)

Aku terbaca artikel pasal tak nak merokok. Aku tertarik dengan gambar-gambar kempen untuk berhenti merokok. Menarik, kreatif dan berdaya saing. Kandungan artikel pula, hmm, biasa-biasa saja sebab intinya sama. Orang ramai dah tahu bahaya merokok. Dalam khutbah Jumaat pun dah cakap hukum merokok itu haram. Iklan di TV pun dah bagitahu keburukan merokok secara meluas. Sampai ada iklan "Don't Break My Heart" lagi.

Pernah merokok? Err, aku tak tahu sama ada nak bangga atau tidak. Tapi aku tak pernah rasa la keenakan menghisap dan menghembus asap rokok. Tapi masa umur 4 atau 5 tahun, aku pernah merasa rokok. Rokok atuk aku yang dia tinggalkan kat tepi tingkap. Mak ai, pahit gila beb. Aku hisap tanpa nyalaan api. Jadi terasa begitu 'kaw' rasa tembakau bercampur cengkih dan kertas rokok. Lepas itu, aku pun katakan Tak Nak pada rokok.

Tapi betul ke susah nak berhenti? Bukan apa, duit beli rokok tu kan ke boleh belanje aku makan burger tiap-tiap hari. Memang aku doakan kebahagiaan kat korang la kalau korang berhenti rokok dan mula mengenyangkan aku. Kan bagus macam itu. Tak la korang dapat carutan aku setiap kali aku terhidu asap rokok di tempat awam. Walaupun yang hembus asap tu apek bawak lori babi yang tengah berhenti beli laksa penang tepi jalan.

Khamis, Februari 03, 2011

Dunia

Saban malam aku tatap skrin mata satu itu. Masa kecil dulu, pukul lapan saja aku sudah jadi bosan. Sebab orang dewasa mengambil alih giliran menonton televisyen. Aku tak suka tengok berita kecuali berita sukan. Aneh. Bila sudah agak sedikit remaja seperti sekarang, aku rasa menonton berita adalah sesuatu yang perlu (kalau bukan mengujakan). Sementelah membuang waktu sebelum masuk Isyak, ia adalah perkara paling mudah dan tanpa usaha keras untuk aku menokok tambah pengetahuan am.

Apa sudah jadi? Berita manusia mati. Mati tembak diri sendiri. Mati ditikam kawan baik. Mati eksiden. Mati sebelum sempat hidup lama. Semua berita mati. Aku mati kutu. Semurah inikah harga nyawa? Dunia makin gila. Ah, bukan dunia yang gila, tapi umat yang mendiami bumi ini yang gila. Gila harta, gila kuasa, gila babi. Sebab itu banyak manusia yang lebih jahat dari setan.

Tengoklah apa yang sedang berlaku sekarang. Mereka yang tertindas sudah tidak boleh diam. Harus bersuara. Harus bertindak. Harus tuntut bela. Ini kisah seram bukan dalam filem. Ini kisah seram yang bukan cobaan. Ini betul-betul. Apa khabar saudara yang ada di bumi para rasul sana? Moga dapat bertahan. Setiap perubahan ada harga yang perlu dibayar. Mereka sedang membayarnya. Mesir, Tunis dan Yaman.

Dan bila datang yang hak, maka terhapuslah yang batil.

* * * * *

Gelisah tak bermaya
Manipulasi angkara kita
Dan bencana yang melanda
Generasiku menjadi mangsa

Dan ini bukan lagi
Seperti yang kau impikan
Percaya kataku

Aku bimbangkan dunia
Tiada cahaya ku terima
Aku tentang segalanya
Moga kau kan turut serta

Secara tak langsung Bunkface jadi relevan.

Ahad, Januari 30, 2011

Marah ke Ms Evans?

Perjalanan dari Banting ke Bukit Kapar, Klang memang memenatkan. Ditambah dengan keadaan hujan lebat turun tidak berhenti. Malah menyebabkan trafik lebih perlahan dari purata kelajuan biasa. Lebih malang, keupayaan melewati lampu trafik jatuh ke tahap tidak memuaskan. Sudah menjadi kebiasaan, apabila bertembung dengan satu lampu merah, susulan lampu trafik seterusnya pasti merah, merah dan merah.

Jadi kesabaran yang ada hadnya diuji. Maka dengan iman yang senipis kulit bawang, yang selalu berkurang daripada bertambah, kesalahan pasti berlaku. Kesalahan memaki hamun tak kira dia adalah Pak Haji memandu Mercedes, Nenek Cina bawa Charade, Awek Hot bawa Myvi SE ataupun Ane pandu lori balak. Maka semua jenis kejian keluar mengalir bagai air di muara cinta. Oh, banyaknya benda buruk keluar.

Kadang-kadang, terfikir juga kalau makian dan kejian itu jatuh pada diri sendiri. Aku pasti memang banyak kot sebab hari-hari duduk atas jalan. Jadi, di dalam situasi yang lain, perbuatan keji-mengeji patut dihindarkan malah dihapuskan. Sebab orang putih cakap, apa yang kau bagi, itulah yang kau dapat. Kalau bagi madu, barangkali kau dapat balasan jus durian belanda. Sebaliknya kalau kau bagi tahi, silap-silap patah tulang rusuk Cik Bedah oi.

Belajarlah untuk menahan marah. Sebab nabi pun pernah cakap, orang yang kuat itu bukan yang kuat fizikal semata-mata macam Brock Lesner atau Undertaker, tapi orang yang boleh menahan amarahnya. Kamu marah ke kat aku? Marah? Ada aku kisah?

Ahad, Januari 23, 2011

Baiklah

Aku terserempak dengan kebaikan di mana-mana. Tak kurang keburukan. Nisbahnya hampir sama. Namun fitrah manusia pada kebaikan selalu terkalahkan oleh nafsu kepada keburukan. Sebab itu banyak yang berhadapan dengan kemurungan. Sebab, yang positif dikira negatif, tanpa vice versa.

Hampir setahun lalu, kurang lebih jam 0640. Aku meluncuri laluan dua lorong menghala ke arah Kota Diraja negeri Selangor. Kira-kira 200 meter melepasi Petronas Sungai Manggis. Hening pagi disulam desupan dan deruman puluhan kenderaan yang mengoyak ketenteraman penduduk setempat. Menuju hala masing-masing.

Waktu yang sama, aku terlihat magis. Magis yang lahir dari kasih sayang. Seorang datuk, berkain pelikat, berbaju Melayu putih dan berketayap. Di sampingnya seorang anak kecil berseragam sekolah. Mereka berpimpinan tangan, mencuri kesempatan untuk ke seberang jalan. Pengorbanan yang sudah jarang dizahirkan dalam masyarakat zaman ini.

Gambaran itu sangat outstanding dan masih bermain-main di kotak minda. Kebaikanlah yang lahir dari kasih sayang dan tanggungjawab. Kebaikanlah yang perlu diwariskan kepada yang baharu. Kebaikan juga yang kita perlu cari dari segenap entiti di dunia ini.

Ahad, Januari 09, 2011

Cyclones

There was cyclone in Subang. Billboards collapsed. Traffic was a calamity. People stuck in the middle of heavy raining. Me? I got excited. It reminded me of Ames. And those chicks lying almost naked on the ground during summer's days. I was in paradise. I miss the smell of falling leaves and the great Howe Hall. I miss Charlotte and Jennifer too.