Ahad, Januari 26, 2014

Hodoh

Walah.

Lewat hujung minggu dan senggang masa yang ada, kadang diisi dengan menonton peti audio visual. Dan setiap kali iklan bio-diversiti yang bersangkut paut dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar itu dipertonton, aku jadi muak (baca: iritasi). Mengapa, ia sangat monotonos, tidak menarik malah kelihatan tidak dibiaya untuk mempromosi warisan semulajadi negara.Apakah ada sangkut-paut oleh ketirisan wang yang menjadikan kualiti iklan tersebut harus dikompromi?

Dan ciptaan Tuhan itu, walau apa jua bentuk, warna dan keunikan, masing-masing punya fungsi dan kelebihan yang pelbagai dan beraneka. Maka tidaklah patut dilabel hodoh pada paras yang kelihatan jelik pada pandangan mata kasar kita.Sungguh, aku tertarik akan kemajmukan spesis fauna yang mendiami belantara, samudera dan ruang antara keduanya. Mengetahui tentang kewujudan mereka moga-moga menambah rasa bertuhan kita pada Pencipta.

Senang. Rujuklah jurnal alam. Berjalanlah. Melihatlah. Tafsirlah dengan dada yang lapang.

Edisi Pancawarna bertanggal hari ini 26 Januari sesungguhnya membuka mata. Aku berkenalan dengan mereka. Axolotl yang kulihat comel sekali. Leafy Sea Dragon yang lucu. Ayer-ayer yang tiada perasaan. Philippines Tarsier yang innocent. Anglerfish yang garang mengerikan. Blobfish bermuka kasihan. Happy Faced Spider yang menggembirakan. Ikan Keli Pemakan Kayu yang mundane. Glass Frog berbadan lutsinar. Dan yang terakhir namun bukan yang paling kurang Cantor yang gedebab.





Katakan "Hai!"


Isnin, Januari 13, 2014

Bayyin

Ini perkara sebab dan akibat. Tentang kewajiban yang berhubungkait rapat pendapatan.

Ramai yang sangat melihat dunia dan segala isinya hingga lupa dengan apa yang ada selepas dunia. Ramai yang terdorong mengejar tuntutan material sehingga alpa dengan kebersihan ruhani. Hai, diri sendiri, kesayangan, rakan sahabat. Tunaikanlah tanggungjawab dengan sepenuh kesanggupan. Jalankanlah pikulan yang ditaklif dengan sebaik dan sesempurna mungkin.

Kan telah diberitahu lewat peringatan-peringatan. Bukan semua yang dimiliki itu punya kita. Bukan semua yang dikarunia Tuhan kepada kita itu semata kerana ganjaran atas usaha kita. Sebahagiannya, hak mereka. Yang lebih memerlukan. Yang sangat menginginkan. Sedikit dari laba itu punya orang lain. Infak, sedekah, hadiah, pemberian, sumbangan. Namakan sahaja. Itu buah syurga. Dunia mahupun selepas dunia.

Pernahkah terjadi dalam sejarah peradaban manusia, jatuh miskin dan selajur bankrap seseorang yang rajin bersedekah, menunaikan zakat serta menolong mereka yang memerlukan dengan sedikit rezeki yang ada di tangannya? Jawablah. Ujian kesenangan dan harta bagi mereka yang memperolehnya. Bukan mewah dan melimpah yang patut kita senangi. Tapi berkat dan mewangi syurga yang perlu dicari.

Jagalah setiap perjalanan mendapatkan rezeki itu. Biar setiap titis keringat itu berinti halal dan sifar haram. Setelah semuanya, misi kita selaku khalifah muka bumi adalah cucuk tanam dunia ini untuk tuaian akhirat. Mudah-mudahan lestari hingga anak cucu. Mudah-mudahan syurga menanti bukan marak api neraka yang diaulakan pada kita.

Dan Allah lebih tahu. Pelihara kami dan keluarga dari azabMu.

Ahad, Januari 05, 2014

Dengan Kebaikan

Kullu 'Aam Wa Antum Bikhair

Manusia dengan perancangan-perancangan. Dan ke mana lagi akhir penyerahan kalau bukan pada Allah. Semoga dengan kemahaluasan pengetahuanNya, yang terbaik akan selalu kunjungi kita.

Terlalu banyak kehendak dan keperluan yang mahu dimiliki. Dari sekecil-kecil kemahuan hingga sebesar-besar impian. Masa bergerak tak melihat siapa yang ditinggalnya di belakang. Umur makin menua. Tanggungjawab semakin berat dan bertambah berat.

Tahun ini cabaran semakin menggunung. Fizikalnya, materialnya, emosinya, ruhaninya, segalanya. Mesti bertambah baik, mesti semakin cantik. Permudahkan, jangan Kau persulitkan. Banyak yang perlu dibina, diperkukuh. Moga segalanya baik-baik.

Harus positif. Harus optimis.

Selasa, Disember 31, 2013

Catatan Akhir Tahun

Dan kita singgah di tanggal yang sama, purnama yang sama, meski edaran keliling matahari yang beda.

Segala puji dan puja kepada dan hanya kepadaNya Allah Maha Azim. Dalam kesempatan ini, dalam situasi dan suasana negara yang hingar oleh keluhan dan rintihan marhaenis menyuarakan isi hati oleh kenaikan segala macam perbelanjaan isi rumah, aku masih dikurnia upaya bernafas selesa menghirup udara segar senikmatnya. Ah, kita, 53 persen lawan 47 persen, telah sama-sama kembali mentaklifkan mereka bagi urusan-urusan harta negara. Lalu sesal bertambah kesal, tahankan saja. Suara kita, garau-nyaring-merdu-offpitch dengarnya sayup-sayup oleh cuping pendengaran mereka di tampuk kuasa.

Dua ribu tiga belas. Ingatkah lagi? Pertemuan-pertemuan, perpisahan-perpisahan. Pencapaian-kecemerlangan, kegagalan-penderitaan. Andaian, impian, sangkaan dan harapan. Setiap insan punya perjalanan silam, meniti titian berisim sekarang dan berhak mendapat cerah masa depan. Alhamdulillah, segala jerih payah dan nikmat melimpah, moga jadi modal terus rapat dengan Khaliq. Bukan semata demi laba dunia, tapi jaminan ridho dan selamat akhirat. Insan kan selalu mempersoal keadilan. Nah, keadilan siapa lagi yang kita mahu selain Dia yang maha adil. Yang mana definisi adil bukan hanya disandarkan pada logika manusiawi.

Dua ribu empat belas. Dengan ancaman-ancaman berdarah. Dengan harapan-harapan merekah. Dan cintalah penyebab manusia masih mampu melihat mentari menyinarkan kasihnya waktu siang. Juga cinta yang menjadi asbab rembulan memantul rindu berteman gugusan bintang kala malam. Ya, cintaNya. Cinta yang perlu kita sama-sama damba. Tadah tangan kita berdoa. Aku, kau, mereka yang kita sayang juga insan-insan lain seperti kita. Moga pada titik ini di pusingan orbit hadapan, kita menjadi pelaku ibadah, khalif dan hamba yang lebih baik dari sekarang.

Hmm, moga diberikan yang terbaik untuk watanku. Bermula fard, bait, ummah dan khilafah. Jangan kedengaran lagi ungkapan seperti ini, "Kalau tak suka ......, sila .......". Cukup-cukuplah.

Selasa, Disember 24, 2013

Simpul

Segala puji bagi Allah. Raja segala perencana.

Segala puja bagiNya yang telah mengurniakan keberuntungan-keberuntungan. Dengan inayah dan kebesaranNya telah menyampaikan aku ke fasa ini. Fasa yang penuh pancaroba tak kurang mehnah. Takatan hidup yang membutuhkan tekad, kudrat, kesungguhan bagi meningkatkan nilai diri. Bukan untuk sekadar dipertonton kepada khalayak, tapi sebagai wadah dan batu loncatan menyelusuri hidup dengan lebih bermatlamat dan berdaya saing.

Ah, tak perlulah diulas lagi dan lagi tentang khilaf semalam. Apatah lagi pencapaian-pencapaian kelmarin. Pernah sekali kuterbaca makalah dunia maya. Penuh hikmah adanya. Hidup itu perumpamaan kepada pemanduan kereta. Skrin masa hadapan yang jelas nyata umpama kristal. 90 peratus pemanduan menghadapnya. Baki 10 peratus? Kan kita punya cermin sisi kanan dan kiri juga cermin refleksi belakang. Gunanya sebagai panduan dan medium lonjakan pasca masa silam.

Sekali lagi segala puji-puja bagi Al-Haq Azza Wa Jalla.

Aku akui kadang lelah, lemah dalam menghadapi cobaan. Yang kalau dinisbahkan dengan nikmat, tidaklah sebesar mana ujian itu. Namun rasa tiada daya, tiada upaya itu sungguh sinonim dengan peradaban manusia sejak sekian lama. Aku bergantung padaMu. Bergantung dengan sungguh-sungguh. Maka tetapkanlah iktiqad ini agar lestari kebergantungan ini padaMu selama-lama.

Juga kupanjatkan harap agar segala episod hidup samada duka mahupun bahagia, aku juga seluruh kesayanganku, akan teguh kami segera kembali padaMu. Aku dan kesayanganku mendamba redaMu, belas ihsanMu, kasih cinta sayang dan rinduMu. Sampaikan kami ke destinasi dengan selamat dan afiat.

Ya Allah Rabbul 'Izzati,

Selawat serta salam untuk junjungan Nabi Muhammad penghulu dan pengakhir sekalian nabi dan rasul. Juga ahli keluarga baginda, sahabat-sahabat yang diredaiMu atas mereka dan mereka yang selalu berada di bawah lembayung kebesaranMu. Moga bingkisan ini bukan terakhir kali aku mengingat akanMu.

Amin.