Satu.
Rombongan meminang pihak lelaki tiba di rumah si bunga. Setelah dijemput naik dan berkenal-kenalan, maka pihak perempuan pun menghidangkan air sirap berwarna merah terang dengan aroma ros yang menyegarkan. Rombongan lelaki berketurunan Jawa manakala di pihak satu lagi orang Bugis.
Setelah habis segelas air sirap itu diminum oleh nenek si lelaki, ibu si perempuan pun bertanya, "Lagi nek?" Nenek pun menjawab, "Legi!" Maka dituang segelas lagi air sirap tersebut. Habis air tersebut, si ibu bertanya lagi. "Lagi, nek?" Nenek menjawab lagi, "Legi!" Keadaan ini berulang hingga lima kali.
Habis gelas yang kelima, nenek itu pun bersuara. "Nenek dah tak larat minum. Kenapa asyik ditambah air tu?" Si ibu kehairanan. "Kan saya tanya nenek tadi nak lagi ke tak. Nenek jawab nak lagi, jadi saya pun tambah la air tu." Jawab si ibu. Nenek itu pun menggeleng kepala. "Aku ingat kamu tanya air tu legi ke tak. Legi dalam bahasa Jawa maknanya manis. Isk isk."
Kesemua yang ada di situ tergelak mendengar penjelasan nenek.
Dua.
Sepasang suami isteri yang baru diijabkabul bersedia menghadapi malam pertama. Si suami orang Minang manakala si isteri orang Jawa. Di dalam bilik pengantin lampu terpadam dan mereka bersiap sedia untuk tidur.
Selang setengah jam selepas mereka terlelap, si isteri terjaga dan mengadu kepada suaminya. "Bang, banyak ketinggi la." Si suami bangun dan mencari gergaji. Kemudian dia pun memotong kaki katil untuk merendahkan ketinggian katil itu. "Ok Yang, dah tak tinggi sangat." Mereka pun tidur kembali.
Setengah jam kemudiannya, si isteri mengadu perkara yang sama. Oleh kerana sayangkan si isteri, si suami menggergaji kaki katil itu kesemuanya agar katil itu menjadi serendah yang mampu. "Ok Yang. Dah tak boleh rendah lagi ni." Katanya.
Esoknya, si isteri merasa pelik melihat katil mereka sudah tidak berkaki. "Kenapa abang potong kaki katil ni?" Si suami menjawab, "Ait, kan awak kata malam tadi katil ni tinggi, awak tak boleh tidur. Jadi saya potonglah." "Laa, saya cakap banyak ketinggi. Ketinggi tu bahasa Jawa, maksudnya pijat-pijat."
Si suami pun menggaru kepala dan selepas ini mereka terpaksa tidur di katil tak berkaki itu.