Jumaat, April 29, 2011

Bala ni! Bala Semua ni!

Musibah datang. Lalu apa tindakan kita? Ikut akalkah? Atau ikut emosikah? Ataupun ikut amarahkah?

Kalau ikut akal, pasti kita ikut arahan Allah. Katakan bahawa sesungguhnya kita datang daripada Allah dan kepadaNya jua kita akan kembali.

Kalau ikut emosi dan amarah, banyak versi carutan yang akan keluar. Sebagai contoh, "Go f**k yourself in the *ss, B**ch!".

Mana satu yang lebih baik? Aku dan kamu tahu jawapannya.

Musibah bukan isunya. Tapi cara menghadapi musibah itu yang perlu kita teliti.

Isnin, April 25, 2011

Juvana

Engkau bicara soal masa hadapan. Bagi aku masa hadapan bersamaan uncertainty. Aku bisa berkira-kira. Aku boleh hitung segala kemungkinan. Tapi aku tak pasti. Dan aku tak harap hitung kira aku tepat. Sebab hidup akan jadi boring. Tiada elemen kejutan.

Oh. Penulisan ini mungkin cukup sampai di sini. Sebab aku tertarik dengan tayangan skrin di depan. "Nama aku Black. Aku gangster besar kat luar sana!"

Khamis, April 21, 2011

Katakan Tak Nak

Al-Hujurat 12

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."



Ini aku tujukan kepada aku dan kamu. Sebab aku sedih. Di surau pun ada yang mengumpat. Kalau di rumah Allah pun kita langgar larangan, di tempat lain apatah lagi.

Rabu, April 13, 2011

Bilik Kaca


Petang itu, seperti biasa aku bersiap untuk ke seberang jalan. Rutin pelajar di sekolah berasrama penuh. Pukul 3 hingga 5 petang dikhususkan untuk prep petang. Sama ada guru-guru yang dedikasi akan mengadakan kelas tambahan, ICU ataupun pelajar bebas melakukan aktiviti sendiri mahupun terlibat dengan tugasan kokurikulum. Berbaju Ala-Raihan warna kuning air dan berseluar warna gelap, aku berjalan melintasi jejantas dengan megah. Rakan-rakan yang malas mendaki tangga akan mempertaruh nyawa melintas jalan yang selalu sibuk.

Aku lihat jam di dewan besar. Ah, baru pukul 2.40. Hari ini tiada kerja rumah yang perlu dihantar esok pagi. Maka aku putuskan untuk berehat sahaja waktu prep petang ini. Aku menuju ke bilik kaca. Bilik tersorok yang terletak di antara laluan pejalan kaki yang menghubungkan dataran terbuka dengan blok tingkatan 4. Di belakangnya kantin dan di hadapannya bilik kuliah. Bilik ini berfungsi sebagai pusat operasi ketua-ketua pelajar.

Aku masuk ke dalam bilik kaca. Tiada orang. Oleh kerana bilik ini jarang didiami oleh KP, maka aku yang suka kipas KP pun menjadikan tempat ini sebagai tempat peraduan saban waktu. Dengan kewujudan penghawa dingin yang bermutu tinggi, menjadikan suasana yang sejuk dan gelap itu sangat kondusif bagi sang pelajar yang mengantuk. Maka dengan rasa kurang bersalah, aku pun tidur dengan lenanya. Sleeping soundly menurut Teacher Rohazila.

Pukul 3.40 petang, ada orang menggugah. "Warx, wei, ko tak pegi kelas tambahan Bio cikgu Zalina ke?" Shut, aku terlupa pula. Cikgu Zalina ada berpesan sebelum habis kelas Biologi pagi tadi bahawa beliau mahu mengadakan kelas tambahan. Dengan mata merah dan muka yang baru dibasuh, aku dengan muka pesalah trafik masuk ke kelas. Meminta maaf atas kelewatan dan duduk. Kelas akan tamat dalam 20 minit lagi dan aku telah memberi impresi buruk kepada Cikgu Zalina.

"Sudahlah markah awak selalu paling rendah dalam kelas, masa cikgu buat kelas tambahan, awak boleh tidur kat tempat lain." Mungkin itu yang cikgu cakap dalam hati. Aku malu sendiri dan lebih malu dengan Amad di sebelah. Beliau yang bercita-cita menjadi pakar sakit puan memang mengatasi markah biologi aku setiap peperiksaan. Dan waktu itu, aku cuba ketepikan rasa malu dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh.

Apa yang berlaku selepas itu?

Aku masih dengan perangai lama. Tidur di bilik kaca. Namun itu hanya berlaku selepas aku pastikan tiada kelas tambahan atau apa-apa perkara yang boleh menyebabkan aku kantoi tidur masa prep. Oh ya, aku dapat C5 untuk Biologi dalam peperiksaan percubaan.

Ahad, April 10, 2011

Kisah Padi dan Tampi

Kisah padi dan tampi mungkin tak menarik perhatian ramai orang. Hanya golongan yang dekat dengannya yang memahami. Pengalaman merentas kawasan penanaman padi yang saujana mata memandang adalah precious. Walaupun perjalanan berkumpulan itu jauh dan melelahkan, tapi kepuasannya melebihi rasa penat. Lebih-lebih lagi ada beberapa bunga yang sedang berkembang menemani.

Tapi kisah padi dan tampi juga mampu meruntun hati. Apabila kisah di sebalik kepayahan itu dipertonton dan diperkata, tiada apa lagi yang tinggal untuk mereka ini. Mereka hanya mampu melepaskan dan berharap ada sedikit yang tinggal untuk diri mereka. Tapi selalunya apa yang tinggal hanya sejarah dan kenangan. Kenangan Lalu kata Flybaits.

Ahad, April 03, 2011

Cermin

Mungkin kamu masih ingat iklan hari raya beberapa tahun dulu. Tentang ayah yang sudah tua dan uzur dipinggirkan di rumah anak sendiri. Ah, aku malas nak cari di Youtube. Kamu carilah sendiri. Ingat? Bagus.

Orang seni yang berkarya dalam industri seni selalu kata begini. Kami paparkan realiti yang terjadi dalam masyarakat. Hasil seni kami adalah cerminan sosiobudaya setempat.

Cuma kelmarin aku saksikan sendiri bayang sedih dalam cermin itu. Memang pahit.