Ahad, Februari 06, 2011

Bukan Fazi, Bukan Wazi

Kami dalam perjalanan pulang ke Ames setelah mengerah keringat dan kudrat di Carbondale untuk 2 hari. Kontingen Iowa State membawa pulang beberapa pingat dari sukan badminton dan catur. Namun skuad bola sepak gabungan dengan University of Minnesota hampa dikecewakan dalam penentuan tempat ketiga/keempat. Ini bermakna aku pulang dengan tangan kosong (tanpa pingat dan jelingan manja awek-awek Malaysia).

Perjalanan pulang yang sangat jauh. 8 jam pemanduan perlu diisi dengan aktiviti sihat dan menyeronokkan. Ini bagi membantu perjalanan minda agar sentiasa segar dan terisi dengan maklumat-maklumat berguna. Maka banyak topik diskusi diutarakan. Ia meliputi segenap subjek daripada politik, ekonomi, pengetahuan am, sukan, hiburan, sejarah sehinggalah soal perasaan dan hikayat percintaan. Wow, sungguh mendalam diskusi kami.

Setelah penat bertukar-tukar pandangan dan idea serta masing-masing kelelahan secara mental, Kak Sam pun dengan senyuman sinis mengajak ahli rombongan Cik Kiahnya meladeni beliau bermain teka-teki. Berkerut-kerut dahi cuba menjawab teka-teki yang disoal. Akhir sekali, beliau came up with an ultimate puzzle. Beliau dan Fakhrul memperkenalkan kami dengan Fuzzy Wuzzy. Kalau perjalanan kami mengambil masa 8 jam untuk sampai ke destinasi, maka separuh daripadanya aku gunakan untuk mengidentifikasi siapakah Fuzzy Wuzzy ini.

Siapakah Fuzzy Wuzzy?

Fuzzy Wuzzy sukakan Pizza, tapi tak suka Lasagna.
Fuzzy Wuzzy sukakan Vanilla, tapi tak suka Chocolate.
Fuzzy Wuzzy sukakan Soccer, tapi tak suka Bowling.
Fuzzy Wuzzy sukakan Horror movie, tapi tak suka Comedy.

The list goes on and on. Dah kenal dengan Fuzzy Wuzzy? Siapakah gerangannya? Belum? Sila cuba lagi dan lagi.

Oh ya, Fuzzy Wuzzy sukakan P. Ramlee, tapi tak suka Saloma.

Sabtu, Februari 05, 2011

Serombong Kapal


Pagi tadi aku baca surat khabar. Ala, apa lagi kalau bukan akhbar pro-kerajaan tu. Bukan kerajaan negeri, tapi kerajaan persekutuan. Memang media massa di Malayia masih tak bebas. Sebab sebahagian besar liputan berita selain keputusan nombor ekor adalah bias. Bermotifkan politik secara sedar atau separa sedar meskipun tidak sedar langsung. (Err, benda ni tak akan jadi kes polis kan?)

Aku terbaca artikel pasal tak nak merokok. Aku tertarik dengan gambar-gambar kempen untuk berhenti merokok. Menarik, kreatif dan berdaya saing. Kandungan artikel pula, hmm, biasa-biasa saja sebab intinya sama. Orang ramai dah tahu bahaya merokok. Dalam khutbah Jumaat pun dah cakap hukum merokok itu haram. Iklan di TV pun dah bagitahu keburukan merokok secara meluas. Sampai ada iklan "Don't Break My Heart" lagi.

Pernah merokok? Err, aku tak tahu sama ada nak bangga atau tidak. Tapi aku tak pernah rasa la keenakan menghisap dan menghembus asap rokok. Tapi masa umur 4 atau 5 tahun, aku pernah merasa rokok. Rokok atuk aku yang dia tinggalkan kat tepi tingkap. Mak ai, pahit gila beb. Aku hisap tanpa nyalaan api. Jadi terasa begitu 'kaw' rasa tembakau bercampur cengkih dan kertas rokok. Lepas itu, aku pun katakan Tak Nak pada rokok.

Tapi betul ke susah nak berhenti? Bukan apa, duit beli rokok tu kan ke boleh belanje aku makan burger tiap-tiap hari. Memang aku doakan kebahagiaan kat korang la kalau korang berhenti rokok dan mula mengenyangkan aku. Kan bagus macam itu. Tak la korang dapat carutan aku setiap kali aku terhidu asap rokok di tempat awam. Walaupun yang hembus asap tu apek bawak lori babi yang tengah berhenti beli laksa penang tepi jalan.

Khamis, Februari 03, 2011

Dunia

Saban malam aku tatap skrin mata satu itu. Masa kecil dulu, pukul lapan saja aku sudah jadi bosan. Sebab orang dewasa mengambil alih giliran menonton televisyen. Aku tak suka tengok berita kecuali berita sukan. Aneh. Bila sudah agak sedikit remaja seperti sekarang, aku rasa menonton berita adalah sesuatu yang perlu (kalau bukan mengujakan). Sementelah membuang waktu sebelum masuk Isyak, ia adalah perkara paling mudah dan tanpa usaha keras untuk aku menokok tambah pengetahuan am.

Apa sudah jadi? Berita manusia mati. Mati tembak diri sendiri. Mati ditikam kawan baik. Mati eksiden. Mati sebelum sempat hidup lama. Semua berita mati. Aku mati kutu. Semurah inikah harga nyawa? Dunia makin gila. Ah, bukan dunia yang gila, tapi umat yang mendiami bumi ini yang gila. Gila harta, gila kuasa, gila babi. Sebab itu banyak manusia yang lebih jahat dari setan.

Tengoklah apa yang sedang berlaku sekarang. Mereka yang tertindas sudah tidak boleh diam. Harus bersuara. Harus bertindak. Harus tuntut bela. Ini kisah seram bukan dalam filem. Ini kisah seram yang bukan cobaan. Ini betul-betul. Apa khabar saudara yang ada di bumi para rasul sana? Moga dapat bertahan. Setiap perubahan ada harga yang perlu dibayar. Mereka sedang membayarnya. Mesir, Tunis dan Yaman.

Dan bila datang yang hak, maka terhapuslah yang batil.

* * * * *

Gelisah tak bermaya
Manipulasi angkara kita
Dan bencana yang melanda
Generasiku menjadi mangsa

Dan ini bukan lagi
Seperti yang kau impikan
Percaya kataku

Aku bimbangkan dunia
Tiada cahaya ku terima
Aku tentang segalanya
Moga kau kan turut serta

Secara tak langsung Bunkface jadi relevan.