Khamis, Julai 29, 2010

Surat Untuk Nancy


Mohd Shafiq Ramjis
9, Jalan Budi 1,
Taman Budiman,
42700 Banting,
Selangor.

29 Julai 2010

Menemui Nancy Escher yang berada di Ames, semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Saudari,

Saya berharap saudari masih tidak melupai saya. Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk meluahkan kerinduan dan berkongsi pengalaman selama saya di bumi Malaysia sejak meninggalkan Ames.

Untuk pengetahuan saudari, saya telah mula bertugas dan memulakan karier di sebuah syarikat pembaikpulih pesawat udara di Subang, Malaysia. Secara keseluruhannya, saya berasa bangga dapat bekerja di bidang yang berkaitan dengan pengajian saya. Walaupun kehidupan tidak seindah seperti waktu zaman bergelar pelajar, namun saya akur inilah yang telah ditetapkan dan saya perlu menjalani hidup berkerjaya dengan sebaik-baiknya.

Bercerita tentang pekerjaan, teringat saya akan tempat pertama saya bekerja. Bagaimana keadaan di Hotel Memorial Union? Adakah saudari masih berdepan masalah pekerja yang datang lewat seperti bekas-bekas pekerja dari Malaysia sebelum ini? Saya pasti dalam setandang pisang, tak mungkin semuanya elok. Namun mengimbas memori bekerja di sana, ia merupakan kenangan indah yang tak mungkin saya lupakan. Apatah lagi itulah kali pertama saya merasai wang hasil titik peluh sendiri.

Beberapa hari lagi, bulan Ramadan akan tiba. Umat Islam akan mula berpuasa dan mengimarahkan seluruh detik di bulan Ramadan. Tahukah saudari, antara tarikan pada bulan Ramadan di Malaysia adalah wujudnya lambakan Bazar Ramadan. Pada bulan tersebut para peniaga khususnya peniaga makanan akan tumbuh bak cendawan. Malah makanan kesukaan saudari iaitu lemang dan rendang juga akan mula dijual. Fenomena ini tidak dapat dirasai ketika saya berada di Ames, tetapi saya tetap merindui saat menghadapi Ramadan di Ames

Masih jelas dalam ingatan saya terpaksa berbuka di dalam dewan peperiksaan pada hari pertama saya berpuasa di Ames. Mujur keadaan musim luruh yang agak dingin meringankan sedikit bebanan berpuasa di negeri orang. Apapun, banyak pelajaran yang boleh diambil dari kepayahan kerana itulah pengertian sebenar berpuasa. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi menghayati dan menginsafi kesusahan orang yang lebih menderita.

Sudah banyak rasanya perkara yang saya perkatakan dalam surat ini. Saya berharap saudari berasa gembira dengan kehadiran surat dari saya ini. Sampaikan salam rindu saya kepada rakan-rakan yang lain khususnya Mary Beth dan gadis-gadis hotel lainnya.

Sampai di sini sahaja yang sempat saya tuliskan. Akhir kata , sambutlah salam mesra daripada saya untuk saudari dan rakan-rakan lain. Semoga kita dapat bertemu nanti.

Sekian , terima kasih.

Yang benar,

Shafiq