Ahad, Oktober 30, 2011

Guilt


Kutulis namamu di udara. Agar dapat kuhirup dan tersimpan kekal dalam dada. -@danissyamra-

ISU Cyclones

Khamis, Oktober 27, 2011

Bruised and Battered

Perca-perca kehidupan. Warna yang pelbagai. Motif yang aneka. Nuansa yang berbeza. Kukumpul-kumpul jadi satu mahakarya. Yang indah tapi membingungkan. Yang mulus namun misteri.

Butang 1 pada alat kawalan jauh itu aku tekan. Kaget. Maha Suci Allah dengan segala kemahaluasan kerajaanNya dan kemahakayaan ilmuNya. Pasti. Tidak akan dilambatkan dan tidak akan dipercepat kematian. Cedera yang fatal di kepala, leher dan dada. Penamat riwayat jaguh permotoran dalam pembikinan. Marco Simoncelli.


Panas dan lembab bumi Sepang menjadi saksi tragedi itu. Walau tidak segah The Doctor ataupun legenda lumba motor lain seperti Mick Doohan, Wayne Rainey, Kevin Schwartz, Max Biaggi, et cetera. Namun kematian mendiang tetap diratapi dan ditangisi. Benarlah kata orang, manusia memang mati meninggalkan nama.

Aku mundur. Rasa terkejut itu masih bersisa. Diam-diam aku berdoa. Moga pengakhiran aku dan mereka yang aku sayang serta manusia amnya akan terhenti di noktah yang baik.

Mahakarya yang tercipta itu milikNya yang hakiki. Aku diberi pinjam. Dan aku masih belum mahu bersyukur? Atau sudah cukupkah syukur yang aku lahirkan?

Sabtu, Oktober 22, 2011

Bushra

Khabarkan aku berita gembira dan aku mahu tertawa bersama. Kongsikan kesedihan dan akan kuseka air mata.

Aku pernah ditanya tentang apakah makna gembira. Aku terlongo. Kosong. Tiada getar udara tercipta. Aku tidak mampu mendefinisinya.

Aku pernah tahu erti derita. Lebih sakit dari sengatan lebah. Tapi aku tak pasti apakah itu hakikat derita. Aku rasa aku salah.

Seni hati memang rumit. Lantas aku putuskan biarlah apapun yang berlaku, mahunya ia baik atau buruk, akan tetap buat aku gembira.

Tempat gembira letaknya di hati. Yang selalu berbolak-balik. Oh Tuhan, Kau tetapkanlah ia pada jalanMu.

Selasa, Oktober 18, 2011

Gatra Yang Jera

Waktu itu musim sejuk. Salji yang turun semalaman telah mengeras menjadi ais. Ia akan kekal di situ buat beberapa lama. Menunggu penyaluran tenaga haba yang membolehkannya mencair dan mengalir ke perut bumi. Diresap dan diserap oleh daun-daun halus dan tanah beku. Ngilu tapi nyaman.

Aku benci. Kaki lima diturap lapisan ais. Licin, sejuk, kotor. Silap kau melangkah, tersembam di khalayak. Terbenam dalam lapisan salji bersama-sama rasa malu yang membengkak. Saat maki hamun terburai pantas dari bibir yang pucat, aku lupa makhluk lain di keliling sedang giat merafak zikir. Istighfar.

Memang selalu begitu. Terlanjur lepas, baru menyesal. Dah terhantuk, lama sekali tengadah berselang. Mujur Tuhan itu Maha segalanya. Segala puji bagiNya. Masih Kau sayang akan diri ini. Masih Kau izin kalimah suci terungkap lepas baru sebelumnya menyumpah laknat apa sahaja yang terlintas.

Jeans lusuh itu sudah basah dan bernoda lumpur. Lutut luka seribu rindu. Aku bangun, bersihkan apa yang patut dan mara berhati-hati ke tempat menunggu. Bas 21 berwarna kardinal menghala ke Frederiksen Court tiba. Lelaki pertengahan usia dengan rambut keriting paras bahu tersenyum mesra. Beliau mengenakan jaket musim sejuk bersama seluar pendek. Pedal minyak ditekan, kenderaan penumpang itu laju meredah dingin.

Aku mengenakan fon telinga yang tersambung iPod Nano 3rd Gen. Kencang irama All American Girl verse akhir berkumandang. Habis diputar, Selamanya Cinta pula menyusul. Aku menyemak nota pelajaran. Menyedapkan hati sendiri. Eskapisme dari terus terbuai rasa bersalah oleh usaha yang tak seberapa. Loceng bas dibunyikan. Aku melangkah lesu. Tuhan, tolong aku.

Apa yang kamu usahakan, itulah yang layak bagi kamu. Man Zaro'a Hasoda. Alhamdulillah. Aku ucap pula pada si dia Yarhamukallah. Suatu masa nanti, di hari yang indah, aku pasti akan lahir regret jauh di sudut kamar hati aku. Sesal akan apa yang aku mahu tapi tidak aku lakukan. Sesal yang tidak berpendapatan. Tapi sesalan itu harusnya aku jadikan sebagai input membina. Yang menjadi batu asas kejayaan masa hadapan.

Ceritera ini, hikayat ini mungkin cuma sebuah retorik. Yang bersifat populis. Yang berkepentingan siasah. Tapi moga ada yang dapat aku ambil supaya ia menjadi sebuah cereka yang berkebajikan dan melahirkan lestari kebaikan. Yang tersangkut walau secebis hati yang makin kotor oleh yankusnya iman. Agar ia kembali putih, suci dan terhormat.

Bawah cermin kopak itu ada kotak yang di dalamnya tersembunyi tempurung tempat katak melalak. Lepaslah katak itu. Biar ia melihat dunia. Buruk baiknya. Biar ia nilaikan sendiri.

Khamis, Oktober 13, 2011

Tidak Jadi Memperkenalkan Olivia Lubis Jensen

Kalau sudah namanya manusia, pasti keinginan untuk terlihat outstanding itu ada. Segala-galanya mahu lebih. Lebih hebat, lebih kacak, lebih kaya. Paling tidakpun lebih gaya. Dan aku adalah pakar dalam usaha menjadikan diri lebih dari orang lain dalam segala hal. Kecuali hal yang melibatkan ketinggian. Bukan sebab aku gayat. Tapi sila salahkan genetik.

Suatu hari, cikgu Azizah mengedar kad pelajar. Di atas kad tersebut terdapat tiga ruangan kosong pada bahagian 'Cita-cita'. Seperti lazimnya, profesion paling digilai budak-budak waktu itu adalah polis. Kalau budak perempuan, sudah pasti guru. Oleh sebab aku ingin diri dijadikan idola oleh rakan-rakan dan disayangi lebih oleh guru-guru maka aku isi ruang kosong itu dengan satu perkataan yang boleh dikira boombastic oleh murid tahun 2. ANGKASAWAN.

Dari celah manakah perkataan itu boleh terlahir dan terzahir? Waktu itu aku sangat terkesan dengan cerita Neil Armstrong menjejak bulan sambil memakai sut angkasa yang aku kira cool. Ditambah lagi kekaguman aku oleh filem Apollo 13 yang sampai hari inipun aku belum pernah tonton. Dan waktu itu segala jajan yang tertera pada pembungkusnya perkataan Apollo, pasti jadi kegemaran aku. Dan sekarang aku meragui diri aku yang dulu selepas kontroversi pendaratan di bulan yang dispekulasikan sebahagian orang hanyalah sebuah teori konspirasi.

Berhasilkah usaha aku untuk jadi lebih dari orang lain? Sudah pasti. Mereka melayan aku seperti aku penyandang Tokoh Maal Hijrah. Malah aku berasa seperti diangkat menjadi hero kampung ala-ala Fong Sai Yuk. Ditambah lagi dengan kekacakan yang terserlah sejak dari aku menumpang makanan mama dari dalam perut (kali ini genetik memainkan peranan penting). Memang sah aku dilahirkan sebagai pemenang. Ok, anda betul. Semua manusia memang terlahir selaku pemenang.

Kisah ingin lebih, melebihi, dilebihkan, kelebihan, terlebih, lebih-lebih ini tak akan padam. Tapi adalah lebih baik jika manusia itu lebihnya bersyukur. Cukuplah yang ada-ada sahaja. Sebab mereka yang lebih mulia itu sifatnya majlis. Sederhana. Tidak berlebihan, tiada pula terkurang sini sana.

Khairul Umur Ausatuha.

Selasa, Oktober 04, 2011

Dongeng Naga Di Danau Nan Indah

Ijazah terbaik memang datangnya dari jalanan. Contengan dan lakaran kehidupan yang pelbagai mampu menghasilkan lukisan yang mahakarya. Pengalaman mematangkan. Melaluinya manusia beroleh sudut pandang yang tidak lagi statik. Dengannya manusia beranjak ke titik lebih tinggi dalam peringkat kehidupan mereka.

Berbicara dengan mereka yang lebih dulu makan garam memang memberi kepuasan yang tidak sedikit. Aku biarkan mereka mendominasi pembicaraan. Aku perhatikan bahasa badan, lenggok kata dan semangat murni yang terpancar dari mimik muka. Beza. Sangat berbeza jika dibandingkan dengan patah percakapan si mentah.

Benarlah telahan aku. Hikmah dapat dicedok di mana-mana. Dan hikmah itu banyak pula aku dapati bila bersama mereka. Aku hanya senyum dan mengiakan. Aku mengangguk dan rasa senang. Sesekali aku lepaskan umpan agar hikmah keluar mencurah-curah. Lalu aku tadah dan hirup manisnya hingga aku puas.

Aku mahu lagi. Ya. Moga ada kali yang lain. Dengan hikmah yang lain. Yang indah-indah. Janji denganku wahai sang hikam.

* Beijing Open - Ivanovic & Kirilenko are having a great tournament. Loike <3 <3