Khamis, Oktober 28, 2010

Putuskan Saja Pacarmu

Pernahkah anda ke Banting? Kalau kali terakhir anda ke sana adalah 10 tahun dahulu, anda pasti akan terperanjat dengan keadaannya waktu ini. Kenapa? Sebab sudah ada McD, Secret Recipy, Al Ikhsan dan Balai Polis baru. Ya, mungkin itu antara sebabnya. Tapi kewujudan francais tersebut sedikit pun tidak menggusarkan aku. Apatah lagi membangkitkan rasa bangga. Biasa-biasa saja.

Yang membuatkan aku sedikit pelik adalah kepupusan anak jati (Jawa) Banting di Banting. Ke mana mereka menghilang? Kedai-kedai makan dan restoran dikuasai oleh 1. Mamak, 2. Kelantanese, 3. Indon. Sukar sekali mencari kedai makan yang diusahakan oleh orang tempatan. Apakah faktornya? Mandrem kurang kuat? Beruzlah? Atau semua sudah jadi tauke besar?

Bulan Syawal yang lepas aku ke rumah terbuka kenalan abah di Kg. Sijangkang. Setahu aku Sijangkang majoritinya dihuni oleh orang Jawa. Tetapi aku seolah berada di Kota Bharu apabila sampai ke sana. Hampir kesemua tetamu bercakap dalam dialek Kelantan. Biar betik? Adakah orang Kelantan telah melakukan "Belanda" di Sijangkang?

Oh, ini bukan entri provokasi. Bukan juga aku bersikap taksub perkauman. Apatah lagi mengamalkan asabiah. Namun, apakah sudah pupus generasi yang sangat best itu?

"Aku tak mengerti apa yang ku rasa. Rindu yang tak pernah begitu hebatnya. Aku mencintaimu lebih dari yang kau tahu uuuuuu~"


* * * * *

Sebenarnya aku nak tanya kat kamu kamu kamu. Kalau kamu pernah ke Banting, tahukah kamu kedai makan mana yang tak guna jampi-jampi, tak guna jin, tak guna rendaman seluar dalam, dll. Sekarang ni banyak betul cerita keluar yang kedai-kedai makan ni guna mandrem ni, kedai tu guna pelaris tu. Dah aku kembang tekak. Tak boleh dah makan sup ekor, cendol, mee kari, dll. Huhaaua.

Jumaat, Oktober 22, 2010

Kak Sam 101

Di suatu petang yang nyaman, sekumpulan pelajar Malaysia bersiar-siar di kompleks membeli-belah Jordan Creek di bandar Des Moines Barat. Setelah penat menjamu mata (sama ada bermata keranjang ataupun bermata rambang), maka mereka pun melepaskan kelelahan di Food Court. Sambil masing-masing mengambil kesempatan membuang hajat yang lama tertahan, ada sebahagian yang duduk-duduk memerhatikan keenakan kek hari jadi yang bakal dibuka itu.

Maka sambil menikmati kek tersebut, ada mata-mata jahat yang memerhati. Mata mereka seolah berkata "Mak ai, batak gila budak-budak chicanos ni!". Err, sudah senantiasa pelajar-pelajar tersebut disalahertikan sebagai sebahagian bangsa Hispanic yang melata di bumi Uncle Sam. Penyelamat kami dari stereotaip tersebut adalah rakan-rakan yang bertudung yang membezakan bahawa kami ini Muslim.

Dengan tidak semena-mena, Kak Sam dengan selambanya memberikan kata-kata hikmahnya. "Wak, first date jangan bawak gf makan makanan berkuah!" Err, aku terkedu. Kak Sam dengan muka innocent menghirup air mineral. "Apesal Kak Sam tiba-tiba cakap macam tu?" Aku bertanya kehairanan. "Saja." Jawabnya spontan. Maka darah-darah muda di sekeliling aku pun mahu ikut sama dalam topik yang menarik ini. Muka mereka berseri-seri, seolah-olah baru mendapat pencahayaan agung.

"Apa lagi next tips Kak Sam?" Soal mereka. Dan perbicaraan ini meleret hingga beberapa ketika. Kak Sam yang berhati tulus dan mulus menjawab pertanyaan mereka dengan senyuman. Kadangkala manis, kadangkala sinis. Ah, Kak Sam, bilakah dapat aku praktikkan Dating Rule #1 kamu itu?

Jumaat, Oktober 15, 2010

Giant Warrior

Persatuan Penyokong Bola Sepak Selangor mengambil keputusan untuk tidak pergi ke Kota Bharu bagi perlawanan suku akhir kedua antara Kelantan dan Selangor malam ini. Keputusan diambil ekoran kejadian memalukan malam Selasa lalu membabitkan pergaduhan kedua-dua penyokong.

Perlawanan tempoh hari berkesudahan seri 0-0. Ini bermakna peluang masih terbuka luas bagi kedua-dua pasukan untuk layak ke separuh akhir. Insiden membakar mercun, membaling botol minuman, merosakkan fasiliti stadium adalah perlakuan yang merosakkan imej bola sepak negara.

Apa yang menghairankan, kejadian seumpama ini kebanyakannya berlaku ketika perlawanan yang melibatkan pasukan Kelantan. Persatuan Bola Sepak Kelantan telah berulang kali menasihati para penyokongnya agar mematuhi larangan-larangan di stadium namun kejadian seumpamanya masih berlaku.

Semoga tiada lagi kekecohan dan insiden yang mengakibatkan kecederaan dan kerosakan harta benda berlaku malam ini dan perlawanan akan berlangsung dengan lancar.

Nota kuku kaki: Menyorak untuk Selangor dari depan TV (kalau RTM siar perlawanan ni la).

Nota kuku besi: Sangat merindui zaman Kelantan masih pasukan belasahan. Huahuahua

Ahad, Oktober 10, 2010

Isnin, Oktober 04, 2010

Nur Hikmah

Menonton Berita Dunia di TV1 bukanlah aktiviti yang mengujakan. Tetapi ada sesuatu yang aku peroleh hari ini. Setiap kali sampai ke hujung siaran berita, Farit Ismeth Emir pasti akan mengutarakan kata-kata hikmah. Ringkas tapi mengesankan.

Tuan-tuan,

Hati itu umpama kaca, jangan biarkan ia retak.
Akal itu bak air, jangan biarkan ia kering.
Iman itu ibarat debu, jangan biarkan ia hilang.

Renung-renungkan.

Kamu terkesan bukan? Walaupun kata-kata ini tak terluahkan oleh insan sejelita Pevita Pearce ataupun semanis Shireen Sungkar, namun kalau kamu dan aku membuka sedikit ruang di lubuk hati yang seni, maka kata-kata itu pasti mampu menggerakkan diri kita ke arah yang lebih positif.