Rabu, Mei 19, 2010

Dengan Adab

Saya baru sahaja menerima panggilan dari Indonesia. Panggilan itu bukanlah untuk saya. Namun setelah menerima panggilan itu, hati saya berbunga-bunga. Empunya suara adalah seorang wanita. Usianya tidak dapat saya agak kerana saya adalah penganalisis umur wanita yang sangat teruk. Apa yang menarik perhatian saya adalah kesopanan dan kelembutan suara si pemanggil. Penuh adab dan tatasusila.

Berbeza dengan layanan yang saya terima apabila berurusan dengan warga Malaysia yang saya rasakan agak kasar. Tiada senyum, sering mengabaikan dan buat tak endah, malah membentak-bentak apabila pelanggan bertanyakan sesuatu. Kalaupun dalam emosi marah, apakah keutamaan pelanggan boleh diabaikan?

Tidak kira di pejabat kerajaan, pusat-pusat perkhidmatan malah di kaunter restoran pun keadaan ini berlaku. Apakah orang Malaysia kebanyakannya terdidik biadap?

Jumaat, Mei 07, 2010

Keja(M atau R)

Aku sedang berhadapan dengan dunia yang kejam.

Aku ubah frasa di atas.

Aku sedang berhadapan dengan kekejaman dunia.

Anda tentukan yang mana satu.


Aku sering diberikan harapan. Harapan seteguh gunung. Namun acapkali yang teguh pada pandangan tak mampu bertahan. Keteguhan itu hancur sekelip mata. Jadi harapan akan terus tinggal harapan. Mungkin sebab ini Sheila on 7 berhenti berharap dan meratap betapa hancurnya hati. Mungkin juga Kerispatih menunggumu dan masih tak lekang oleh waktu. Mungkin sebab ini juga Ungu hampa hati dan hanya cinta dalam hati. Dan mungkin bila nanti kita akan bertemu lagi (eh, ini lagu Peterpan!) masih menanti bintang di surga walaupun sudah bertemu Luna Maya.

Kejamkah dunia? Tapi aku dan engkau tetap mengejarnya. Jadi, samakah kita?


Pernahkah kau merasa~~

Rabu, Mei 05, 2010

CTKD (Canda Tangis Ketawa Duka)

Ini entri tentang wanita. Sebentar tadi, ketika sedang dalam perjalanan di tengah-tengah kesibukan kota (Banting je pun), aku terlihat kelibat 2 manusia. Seorang kakak bersama adik perempuannya. Si adik boleh aku andaikan dalam lingkungan umur 7-8 tahun. Bersamanya ada plastik berisi makanan ringan. Mungkin sebungkus 'jajan' dan beberapa batang aiskrim. Yang si kakak boleh aku sifatkan seperti Zhang Ziyi Malaysia. Aku rasa kamu semua pasti boleh mengagak suku/bangsa kedua-duanya. Bukan begitu? Berambut panjang melepasi bahu dan beperawakan ceria. Apa yang menarik tentang kedua-dua gadis ini? Tentu kamu tertanya-tanya. Ini fenomena biasa di mana-mana pun. Tiada yang menarik. Tetapi aku perasan sesuatu yang tiada pada kebanyakan orang. Gelak tawa. Kalaulah gelak tawa yang aku lihat pada mereka berdua boleh dibeli dengan wang ringgit, atau ditukarganti dengan emas permata, atau digolok gadai dengan harta dan rupa, pasti tiada siapa yang ketika ini bermuram durja, menangis hiba atau mati beragan. Ah, dunia!