Ahad, Mac 08, 2015

Dengan Tenang

Setahun yang lalu. Aku datang bertugas seperti biasa. Syif pagi yang selalu dimulakan dengan sedikit mengantuk dan perasaan berat. Ah biasalah. Pagi yang gelap seperti itu pasti mengundang sensasi tidur yang lebih daripada biasa. Dan tidak aku tahu kegelapan itu mengandung misteri yang sehingga sekarang belum bisa dirungkaikan.

Aku di Sektor 4. Latihan tugas yang masuk purnama kedua. Masih banyak perkara yang perlu dipelajari, masih banyak aspek pengawalan trafik udara yang perlu dipertingkat. Masih banyak pengalaman yang perlu ditempa selari dengan masa. Pertukaran syif, ambil alih tugas berjalan lancar dan rapi. Lalu mengapa masih ramai yang belum beransur pulang?

Kecoh tentang kehilangan pesawat itu sampai juga ke pengetahuan kami. Pesawat nasional. Di ruang udara perantaraan. Terputus hubungan sudah beberapa jam. Disyaki terhempas. Juga teori lain mengatakan ia mendarat mengejut di lapangan terbang di suatu lokasi terpencil. Tentang tempoh waktu lama yang diambil pihak jiran berhubung ketiadaan komunikasi dan paparan radar.

Perkara ini menjadi bahan bualan kami satu jabatan. Sekejap kemudian ia menjadi perhatian seluruh dunia. Lalu massa menanti penuh harap akan apa sudahnya. Mencari bukti fizikal dan bukan fizikal, mencipta teori dan konspirasi, menambah ikhtiar, usaha, doa dan tawakal. Sungguh ghaibnya hanya Pencipta yang tahu. Setahun dan kita terus menghitung.

Moga dalam kebaikan.

Khamis, Februari 05, 2015

Kod da Vinci

Rebiu yang terlalu baik. Terlalu diplomasi. Entah apa yang telah dihurai sirat dan surat. Pada akhirnya hanya simpulan mati yang ketara. Simpul selamat yang menjerat. Simpul yang menaikkan amarah. Simpul yang tadinya seakan jadi penyudah, tapi rupa-rupanya permulaan setelah noktah.

Kasih, telah terlalu banyak ihsan yang kau beri. Dan aku minta-minta lagi. Fahammu. Toleransi. Tarik tolak dan ansurannya. Kerana sifat tamakku ini. Mahu semuanya dan lebih lagi. Setiap bucu  dan setiap inci. Aku tahu kau mengerti dan pasrah mendepani. Setiap kali.








Terima dan ambillah kasih ini. Jangan ujar ia masih ditimbang-timbang lagi.