Selasa, November 18, 2014

Secalit Merah Dalam Legap Malam

Kipas siling berputar dengan kelajuan 2. Efek bunyi jenteranya adalah bukti tiada sempurna abadi dalam ciptaan makhluk. Ia mengganggu malam. Kicau unggas terus-menerus meneman sang bulan yang terlindung di balik awan-gemawan gelita. Guruh kedengaran jauh sayup tetapi teguh dan meyakinkan. Kilat membawa cahaya sekali-sekala. Cicak begitu nakal meluruhkan isi burit. Meminta caci penghuni rumah keesokan pagi. 

Situasi ini. Ya, situasi yang begini begitu kondusif bagi hati manusia yang walang. Lama memikir adakah sang kekasih bisa nyenyak bersama pari-pari mimpi. Ah, mana mungkin. Hatinya sarat lara, kepalanya berat duka. Dan manusia walang itu lena bersama dosa-dosa yang dibawa sampai hari muka. 

Sabtu, Oktober 04, 2014

Nota Diri

Aku bertanya. Allah itu di mana?
Jawabnya. Allah itu dekat sahaja.

Berdoalah dekat hati. Doa adalah tempat beristirehat bagi mereka yang miskin, tempat berteduh bagi yang gundah, dan kelegaan bagi yang terbakar api hasrat. -Kekasih Waktu, Noor Suraya-

Ahad, Ogos 31, 2014

Cinta Yang Semarak

Dik. Sudah ramai yang tersungkur di kaki sejarah. Mereka bersandar sedap pada baldu-baldu kemewahan. Mereka menyangka dinding-dinding keangkuhan itu fundamentalnya tegap dan kukuh. Mereka terkeliru. Saban tahun di tanggal ini, jutaan warganegara memperbaharui semangat patriotisme negara bangsa. Sehari ini laungan merdeka dan kibaran jalur gemilang menghiasi bumi bertuah ini. Namun hari-hari lainnya, mereka inilah juga yang sibuk melapah dan memamah perbendaharaan negara bagaikan hak milik mutlak sendiri. Lalu tersungkurlah mereka bersama kehalobaan duniawi itu.

Salam Merdeka! Di sini lahirnya sebuah cinta...

Jumaat, Ogos 22, 2014

Belasungkawa

Seluruh negara bersedih dan meratap. Di hari perkabungan ini, bendera dikibar setengah tiang. Manusia berbondong-bondong dengan pakaian suram muram gelap hitam. Menginjak maghrib,aku kelaparan  dan tersekat dalam macet. Tuhan, ampuni kekurangan hamba-hambaMu. Rahmati mereka dan rahmati kami.

#Pray4MH17

Rabu, Ogos 13, 2014

#ohselangorku

Kadang-kadang aku terfikir, keadilankah ini dan itu? Sedang mereka yang kuasa, kaya dan ternama sesemberono memaki hamun mencaci cela. Di penjuru tertindas, balasan senyum dan doa hidayah sesenyap dunia tuli yang kedengaran bergema. Ah, nilaian adil manusia dan Pencipta kan dua perkara yang sangat jauh jurang beza.


Ahad, Ogos 10, 2014

Abang Takut. Sangat Takut.

Rahsia dan misteri. Dan aku cukup takut menghadapinya. Hampir keseluruhan masa aku ambil untuk lari daripadanya. Tidak mahu berdepan. Tidak berani bersemuka. Lari. Solusi paling mudah dan selamat. Tapi sampai bila? Sampai aku hilang semuanya? Hingga langkah larian tak mampu lagi diorak?

Aku takut sabar yang sedikit sampai ke batas hadnya.
Aku takut baran marah menyakiti segala sesuatu di kelilingnya.
Aku takut aku bukan seperti nyala harapnya.
Aku takut tanggungjawab yang tertanggung, tak mampu terlaksana.
Aku takut batang tubuh ini terlalu tua untuk segala indah dunia.
Aku takut imej sempurna ini dibongkar kepalsuannya.
Aku takut kebaikan yang dikit ini dikalahkan banyak noda dan dosa.
Aku takut kasih sayangnya pada sesuatu yang sia-sia (yakni aku..sang sia-sia).
Aku takut.

Aku mahu memberi semampunya. Walau disela kurang, aku mahu menghulur yang terbaik. Namun perkara masa hadapan masih lagi misteri. Entah cukup entahkan tidak pemberian ini bagi menjamin sayangmu lestari. Maaf. Maaf. Maaf. Aku takut. Aku mahu kau selimut. Supaya terbang hilang rasa takut.

Isnin, Julai 14, 2014

Fii Filastiin

16 Ramadan. Palestin masih ditindas dan dicabul hormatnya. Tetapi janganlah kamu menyangka mereka lemah tanpa upaya. Rijal dan syabab buatan Palestin adalah mereka yang berhati waja. Yang sanggup menggadai segalanya mempertahan agama dan tanah air. Mereka pemburu syahid. Mereka adalah janji-janji Tuhan. Dan sesungguhnya Allah cinta akan mereka yang berjuang di jalanNya dalam barisan umpama binaan yang tersusun.

Aku hanya mahu dikau untuk faham. Yang aku bukan penghukum, bukan penilai setiap sesuatu tatalaku manusia. Jikalau ada baik dari apa sesuatu yang ada di kelilingku, ambil dan jadikan azimat. Jika ia boleh dinasah-mansuhkan, buanglah jauh-jauh. Moga aku dan kau peroleh yang baik-baik. Yang cantik-cantik. Ya?

Ahad, Jun 29, 2014

Flustered, Dumbfounded

Terusir segala bentuk celaka dan kehinaan. Kerana telah secara jelas terasingnya mulia dan durjana. Semakin ketara oleh peralihannya waktu. Di satu sisi, megah kuasa dan indah paras memupuk angkuh dan sombong pekerti. Di sudut lainnya, tulus mulus tatalaku peripekerti yang mengangkat darjat abdi jadi brahmi.

1 Ramadan. Seteru digari. Yang ammarah, yang lawwamah, moga kau jadi mutma'innah.

Sabtu, Jun 14, 2014

Bagai Belanda Dapat Tanah

Alhamdulillah thumma alhamdulillah.

Dah lama tak makan sampai tambah nasi 3-4 kali. Alkisahnya, usai solat Jumaat ada seorang lelaki hebat menelefon. Tanpa apa-apa prasangka dan praharap aku menyambut panggilannya dengan bersahaja. Undangan makan? Ya. Dan lebih penting menu yang tersedia cukup mengganggugugat keimanan juga nafsunafsi manusiawi. Lalu aku berjanji untuk ke sana. Mungkin sedikit lewat, kataku. Dia faham dan perbualan itu dinoktahkan. Aku melihat jam. Baru 2.30. Perut masih boleh bertahan. Tapi mata sudah tak sanggup meneruskan kerja asasinya. Kantuk yang bukan dibuat-buat. Kantuk yang kalau dibiarkan bermaharajalela mampu membunuh. Lalu lupuslah 3 jam dari hidup aku tanpa aku tahu dan sedar apa yang berlaku seputar dunia.

Solat asar? Calit. Laptop dan buku untuk dibaca (sekadar niat)? Calit. Pakaian menutup aurat seadanya? (Pakaian seadanya yang menutup aurat?) Calit. Perut lapar tahap dewata? Calit kuasa tiga. Mari. Ke tempat makan kita mari. Setengah jam kemudian bersama sebuah natijah. Nasi separuh periuk elektrik disumbat semuatnya melebihi kapasiti 1/3 perut. Mengambil sedikit sebanyak porsi air dan udara. Aku tidak mampu berhenti sebelum kenyang. Maaf. Tapi ini memang tak mampu dibendung. Tidak mampu sama sekali. Syukur, rezeki hadiah dariMu. Moga mereka yang lapar, di mana pun kamu, akan sabar dan lantas menikmati asyik makan minum itu tanpa jeda waktu. Insyaallah.

Selasa, Mei 06, 2014

Maka Terisi Kutubkhanah

Aku dahaga. Sangat dahaga. Tenggorokan minta dibasahi air dingin. Biar nyaman. Tapi aku tak lagi bisa, tak lagi kuasa untuk bangun. Kaki tua ini terpasung. Kaku tak bergerak hanya tergeletak. Hati meronta, akal masih ligat merencana. Tindak balas pula tiada. Bagaimana? Aku betul-betul resah. Gelisah. Dada berombak debar-debar kemudian. Semakin dilayan, semakin laju ayunan. Takut. Resonans semakin kendur. Ah, aku seakan tahu penghujungnya, natijahnya. Terhenti. Kekal terhenti. Fuh, rupanya mimpi. Atau benarkah mimpi?

Khamis, Mei 01, 2014

Un-Conditional

Kita masing-masing memilikinya. Kasih tanpa syarat. Yang telah kita pupuk dan semai semenjak kita berkongsi nafas dan nyawa dengan si dia. Dia yang selalu melihat kita sebagai bayi kain putih yang minta dibelai dimanja. Dia yang tanpa gentar meletakkan nyawa sendiri sebagai cagaran tiada tawar-menawar.

Tidak mengapalah kalau kita saling bercakaran dan saling meredam rajuk. Tidak mengapalah kalau perselisihan sementara ini perlu ditempuh. Kan kita masing-masing masih ada kasih tanpa syarat itu. Jalan pulang padanya sentiasa luas. Hiruplah sepuasnya nikmat kasih itu dan kita nyahcas perseteruan sebentar ini. Moga ikatan selepasnya lebih teguh makin berlandas percaya.

* * * * *


Joyeux Anniversaire, Mon Fiancé!

Selasa, Mac 18, 2014

Em Eich Tree Sev en Zee roh

Dan ketika Tuhan timpakan bala bencana yang tak putus-putus, tercenganglah seluruh dunia. Takut, menangis, melolong minta tolong, tak kurang yang pasrah menyerah. Saat ini, alangkah beruntung mereka yang sedar dan bergegas menuju Tuhan. Doa-doa dipanjatkan, usaha-ikhtiar ditingkatkan, ilmu pengetahuan dikongsikan dan iman takwa dipusatkan. Namun sangat rugi mereka yang terus lupa alpa. Terus bergelumang dengan maksiat dan khurafat sesat. Minta dijauhkan. Minta diampunkan.

Ya Allah
Hati-hati ini telah bersatu
Berkumpul di perut bumiMu
Hati-hati ini juga telah berpadu
Bersama memikul beban dakwahMu
Hati-hati ini telah mengikat setia
Untuk mendaulat mendukung syariatMu
Di alam maya
Maka Ya Allah eratkanlah ikatan yang ada
Kekalkanlah kemesraan yang ada
Tunjukkanlah jalan yang benar
Tunjukkanlah dengan cahayaMu
Yang tiada malap menerangi alamMu
Hidup suburkanlah dengan makrifatMu
Tapi jika Kau ingin mematikannya
Matikanlah sebagai syuhada'
Dalam perjuangan menegakkan
Agama yang mulia

Amin.

Rabu, Mac 05, 2014

Cerita

Ceritakan padaku. Ceritakan padaku selalu. Kisah cinta agung yang pernah kau tahu. Biar jadi lu'lu' dan marjan yang mewariskan ibrah dan pengalaman.


Berbahagialah keduanya hingga ke syurgaloka abadi yang mengalir di bawahnya sungai-sungai madu, arak dan susu. Amin!

Rabu, Februari 19, 2014

Dia Diam

Orang tua itu menyeringai. Semenjak dua ini, aku lihat dia banyak diam. Panjang renungannya. Di kalangan rakan-rakannya, dia memang terkenal peramah dan sangat menjaga percakapan. Entah. Diamnya mungkin ubi berisi. Ada juga cerita yang tersebar di atas angin mengatakan dia kini pembengis. Suka marah-marah. Silap tuturkata dan laku, mahu diparangkan olehnya.

Pak Said. Dia sudah lepas umur 82 tahun. Usia emas? Kata orang, usia emas itu kala remaja belia. Semasa badan di tahap kesihatan yang optimum. Saat potensi diteroka dan keinginan untuk belajar dan bekerja naik mencanak-canak. Orang tua ini tinggal seorang diri di rumah kecilnya. Anak-anak sudah punya keluarga dan tanggungjawab masing-masing. Cucu-cucu meniti alam remaja dan ada yang riang gembira menjalani masa kanak-kanak. Isteri? Lama sudah meninggalkannya. Hampir 20 tahun.

Usai solat isyak berjemaah di surau, aku mendapatkannya. Sekadar mahu bersembang kosong dan mencari hikmah hidup barangkali.

"Assalamualaikum Pak Said, jom ke kedai mamak di seberang jalan tu. Boleh kita borak-borak."

"Waalaikumussalam. Oh, kamu Mad. Malaslah aku. Duduk di sini pun boleh berborak apa. Lagipun aku dah kenyang. Petang tadi melantak nasi kukus kat depan rumah tu."

"Tak apalah kalau macam tu. Di sini pun boleh."

"Kamu masih di tempat kerja lama tu? Aku dengar banyak nak buang orang."

"Alhamdulillah Pak Said. Memang syarikat merancang untuk kurangkan kos dengan mengurangkan tenaga kerja. Tapi bahagian produksi dan pemasaran saja yang terlibat. Saya takut juga kalau tiba-tiba disuruh mencari kerja lain. Maklumlah, dah serasi di situ dan dah tak sanggup nak mencari kerja baru. Leceh."

"Oh, alhamdulillah. Kerja elok-elok. Pastikan amanah sekecil manapun kamu jalankan. Jangan 'mengulor'. Rezeki nak bawa balik rumah bagi makan anak bini, hulur kat ibu ayah. Jangan ada yang bersumberkan yang haram. Nauzubillah."

"Insyaallah Pak Said. Ha, Pak Said. Kalau saya tanya, jangan marah ya?"

"Tanyalah. Marah tak marah tu nanti aku tentukan."

"Kenapa kebelakangan ni saya nampak Pak Said banyak mendiamkan diri. Hari tu saya dengar, Pak Said tiba-tiba mengamuk dekat warung sebelah sekolah tu. Orang pun dah takut nak bertegur dengan Pak Said."

"Huh. Entahlah Mad. Kadang-kadang datang satu peringkat dalam hidup ni, kita tak tahu apa lagi yang perlu kita buat. Ada waktu, kita rasa marah. Rasa nak salahkan semua yang ada dalam hidup kita. Rasa nak buang semua yang pernah kita lalui dan mula dengan sesuatu yang baru. Mula dari kosong. Aku dah nak mati, Mad. Bila-bila Allah boleh cabut nyawa aku. Tapi kadang-kadang sebelum ajal datang, aku rasa macam nak cabut nyawa sendiri."

"Isy, Pak Said. Tadi iya-iya tazkirahkan saya suruh amanahlah, jaga halal-haramlah. Ini dia pulak berfikir sampai macam tu."

"Aku pun manusia Mad. Perasaan tu datang mungkin atas faktor luaran macam kesunyian hidup dan persekitaran. Dengan gejala tak baik makin leluasa dan karenah muda-mudi yang dah tak tahu malu.Ataupun faktor seperti rasa tak ada lagi sumbangan yang mampu aku buat untuk masyarakat, untuk diri sendiri. Kadang-kadang, teringatkan masa lalu yang sebahagiannya aku lalui dengan leka dan endah tak endah. Semua berkumpul. Dan tiba-tiba rasa marah."

"Hmm.."

"Hari tu aku mengamuk dekat warung tu. Pasal ada sekumpulan budak sekolah ni. Pukul 10.30 pagi. Dahlah ponteng sekolah, hisap rokok pulak di situ. Gelak-gelak, bising-bising. Aku tegur. Yang kurang ajarnya, dua-tiga orang tunjuk jari tengah kat aku. Siap dicarutkannya aku. Apa lagi, aku masuk dapur warung tu, nampak parang. Kuamukkan dia orang. Nasib baik si Isa pembantu hospital tu ada tahan aku masa tu. Kalau tak, ada yang mati kena tetak."

"Budak-budak sekarang, Pak Said. Bila kita marahkan mereka, mak bapak tak terima. Tapi didikan dari rumah tak dititikberat. Semua lepaskan pada sekolah. Bila dah berkawan dengan geng-geng sekepala yang bermasalah tu. Habis. Orang kata, nak tengok masa depan negara, tengok pada pemudanya. Kalau macam ni lah gayanya, hancur bangsa. Hancur agama dan negara."

"Salah kita juga Mad. Dari kecil dimanjakan dengan material. Apa nak, semua dapat. Tapi kasih sayang dan perhatian kita abaikan. Mereka ni darah panas. Cepat saja nak memberontak. Orang dewasa yang dah banyak pengalaman ni patutnya banteras dan cegah mereka ni daripada jadi macam generasi dahulu yang dah teruk dan sesat. Tugas aku juga tu. Tapi kalau dah orang tua macam aku dicarutkan macam tu, memang cari nahaslah."

"Betul tu Pak Said. Berbalik pada persoalan diam tadi. Apa yang Pak Said selalu menungkan?"

"Rumah kata pergi, kubur kata mari. Orang tua kan sensitif. Kawan-kawan aku dah ramai pergi. Aku alhamdulillah, masih diberi ruang bernafas. Masih kuat nak berjalan walaupun kadang-kadang semput aku ni datang juga menyerang. Entah. Dari muda dulu, kalau aku marah, tak suka sesuatu, rasa tak boleh nak bertindak rasional, aku akan ambil langkah berdiam. Tenangkan diri. Tapi dalam diam aku tu, selalu jugak aku persoalkan banyak perkara pada Allah. Itu dan ini."

"Pasal apa Pak Said?"

"Perkara yang berkait hidup aku. Kenapa aku tak kaya macam orang itu. Kenapa aku tak kacak macam orang itu. Apa dosa aku sampai orang buat aku macam ini. Salah ke kalau aku ada berniat jahat terhadap seseorang atau terhadap diri sendiri. Kadang-kadang dalam diam tu, banyak idea-idea atau imaginasi yang macam-macam. Pernah aku tanya pada Allah, adakah mati itu penyelesaian kepada semua perkara? Gila kan aku?"

"Peh. Pak Said ni berideologi subversif ke apa ni?"

"Haha. Tapi lepas tu, aku istighfar balik. Ingat balik hakikat penciptaan manusia. Minta Allah jauhkan dari perkara-perkara buruk. Kembalikan kewarasan fikiran. Kembalikan rasional. Minta ditambahkan keyakinan kepadaNya. Dikuatkan iman, diteguhkan takwa. Kita manusia Mad. Banyak kurang dari lebih. Minta apa saja daripada dia. Tak dapat sekarang, nanti insyaallah datang. Mungkin bukan dalam bentuk yang kita fikirkan. Allah Maha Adil. Allah Maha Menerima Taubat."

"Saya pun adakala rasa 'down' dan tertekan juga. Pasal kerja, pasal kewangan, pasal pasangan, pasal orang-orang sekeliling. Kebanyakannya memang di luar kawalan. Tu pentingnya kita ada pegangan. Islam agama kita. Al-Quran dustur kita. Kalau tak ada, mungkin saya dan orang macam Pak Said, bila ada masalah saja, terus bunuh diri."

"Kau orang muda Mad. Belajar tinggi. Ilmu agama kau mungkin lebih daripada aku. Gunakan sebaiknya. Orang sekarang aku tengok, nama saja bersekolah agama. Paling teruk pun belajar agama di sekolah. Tau hukum tutup aurat. Tahu hukum solat. Tahu hukum hisap rokok. Tapi orang yang tahu itu jugalah yang melanggar."

"Ramai Pak Said. Kawan-kawan saya pun. Sedih juga melihatnya. Tapi saya tak kuat untuk menegur. Setakat dalam hati saja."

"Sikit-sikitlah Mad. Doakan mereka. Doakan aku juga."

"Baiklah Pak Said."

"Jom, Mad. Kaki aku dah semut-semut ni. Haa, dah hilang. Aku nak balik. Lupa nak masukkan air jarang dalam peti sejuk. Kau bawak motor kan? Tumpangkan aku sampai rumah."

"Jom!"

Tatkala membonceng Pak Said pulang ke rumahnya, aku senyum. Ijazah terbaik kehidupan bukan hanya bisa diperoleh di universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi. Di mana pun. Di setiap hela nafas dalam meniti hidup. Pak Said, aku doakan diammu tiada lama. Sampai masa taburlah mutiaramu lagi biar aku dan kami yang lain mengutipnya lagi dan lagi.


Selasa, Februari 11, 2014

Ummu

Kepada seseorang semestinya, selamat hari lahir kalendar Gregorian yang ke dua puluh lapan tahun. Petang hening itu pecah dengan tangis dan derai tawa. Suatu masa nanti, seperti yang telah tertulis dan telah dijanjikan, pergilah kau diiring sendu dan tangis jua.

Satu hari di hari raya, pernah sampai satu nasihat dari satu lelaki magis. Nak, hadiahkanlah Al-Fatihah untuk dirimu sendiri. Itu lebih baik daripada nanti seluruh kariah membacakannya. Entahkan sampai entahkan tidak. Ibu segala surah.

Khamis, Februari 06, 2014

Padam


Dipadamkan dari sejarah.

Ketika aku membaca novel bernuansa sejarah nukilah Faisal Tehrani berjudul Nama Beta Sultan Alaudin, aku terpukau. Alangkah sejarah itu jauh lebih menarik daripada yang telah disusunatur dalam buku teks yang digunakan di sekolah. Alangkah patriotisme dan jatidiri beralaskan Islam dan adat yang melengkapkan kesyumulan agama dapat dipupuk seawal usia.

Saat itu, aku terfikir, mengapa tiada tokoh sejarah yang diangkat para sejarawan mempunyai luhur pekerti dan keperibadian yang unggul seperti ini? Mengapa yang ditonjolkan hanya pada pencapaian materi, kemegahan bangsawan, semangat melawan yang tinggi, kebencian pada penjajah dan pengkhianatan tersembunyi. Tanpa ada unsur-unsur spiritual yang membangunkan akhlak dan semangat melakukan kebaikan seisi mayapada.

Lebih malang, ada sisi sejarah lain yang sengaja disembunyikan dan dihilangkan dari pengetahuan dunia dan generasi akan datang demi kepentingan pihak dan individu tertentu. Alangkah, di mana mahu kita rujuk akan kebenaran sejarah? “Half of writing history is hiding the truth.” Joss Whedon. 

Dan selebihnya adalah sejarah.

Ahad, Januari 26, 2014

Hodoh

Walah.

Lewat hujung minggu dan senggang masa yang ada, kadang diisi dengan menonton peti audio visual. Dan setiap kali iklan bio-diversiti yang bersangkut paut dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar itu dipertonton, aku jadi muak (baca: iritasi). Mengapa, ia sangat monotonos, tidak menarik malah kelihatan tidak dibiaya untuk mempromosi warisan semulajadi negara.Apakah ada sangkut-paut oleh ketirisan wang yang menjadikan kualiti iklan tersebut harus dikompromi?

Dan ciptaan Tuhan itu, walau apa jua bentuk, warna dan keunikan, masing-masing punya fungsi dan kelebihan yang pelbagai dan beraneka. Maka tidaklah patut dilabel hodoh pada paras yang kelihatan jelik pada pandangan mata kasar kita.Sungguh, aku tertarik akan kemajmukan spesis fauna yang mendiami belantara, samudera dan ruang antara keduanya. Mengetahui tentang kewujudan mereka moga-moga menambah rasa bertuhan kita pada Pencipta.

Senang. Rujuklah jurnal alam. Berjalanlah. Melihatlah. Tafsirlah dengan dada yang lapang.

Edisi Pancawarna bertanggal hari ini 26 Januari sesungguhnya membuka mata. Aku berkenalan dengan mereka. Axolotl yang kulihat comel sekali. Leafy Sea Dragon yang lucu. Ayer-ayer yang tiada perasaan. Philippines Tarsier yang innocent. Anglerfish yang garang mengerikan. Blobfish bermuka kasihan. Happy Faced Spider yang menggembirakan. Ikan Keli Pemakan Kayu yang mundane. Glass Frog berbadan lutsinar. Dan yang terakhir namun bukan yang paling kurang Cantor yang gedebab.





Katakan "Hai!"


Isnin, Januari 13, 2014

Bayyin

Ini perkara sebab dan akibat. Tentang kewajiban yang berhubungkait rapat pendapatan.

Ramai yang sangat melihat dunia dan segala isinya hingga lupa dengan apa yang ada selepas dunia. Ramai yang terdorong mengejar tuntutan material sehingga alpa dengan kebersihan ruhani. Hai, diri sendiri, kesayangan, rakan sahabat. Tunaikanlah tanggungjawab dengan sepenuh kesanggupan. Jalankanlah pikulan yang ditaklif dengan sebaik dan sesempurna mungkin.

Kan telah diberitahu lewat peringatan-peringatan. Bukan semua yang dimiliki itu punya kita. Bukan semua yang dikarunia Tuhan kepada kita itu semata kerana ganjaran atas usaha kita. Sebahagiannya, hak mereka. Yang lebih memerlukan. Yang sangat menginginkan. Sedikit dari laba itu punya orang lain. Infak, sedekah, hadiah, pemberian, sumbangan. Namakan sahaja. Itu buah syurga. Dunia mahupun selepas dunia.

Pernahkah terjadi dalam sejarah peradaban manusia, jatuh miskin dan selajur bankrap seseorang yang rajin bersedekah, menunaikan zakat serta menolong mereka yang memerlukan dengan sedikit rezeki yang ada di tangannya? Jawablah. Ujian kesenangan dan harta bagi mereka yang memperolehnya. Bukan mewah dan melimpah yang patut kita senangi. Tapi berkat dan mewangi syurga yang perlu dicari.

Jagalah setiap perjalanan mendapatkan rezeki itu. Biar setiap titis keringat itu berinti halal dan sifar haram. Setelah semuanya, misi kita selaku khalifah muka bumi adalah cucuk tanam dunia ini untuk tuaian akhirat. Mudah-mudahan lestari hingga anak cucu. Mudah-mudahan syurga menanti bukan marak api neraka yang diaulakan pada kita.

Dan Allah lebih tahu. Pelihara kami dan keluarga dari azabMu.

Ahad, Januari 05, 2014

Dengan Kebaikan

Kullu 'Aam Wa Antum Bikhair

Manusia dengan perancangan-perancangan. Dan ke mana lagi akhir penyerahan kalau bukan pada Allah. Semoga dengan kemahaluasan pengetahuanNya, yang terbaik akan selalu kunjungi kita.

Terlalu banyak kehendak dan keperluan yang mahu dimiliki. Dari sekecil-kecil kemahuan hingga sebesar-besar impian. Masa bergerak tak melihat siapa yang ditinggalnya di belakang. Umur makin menua. Tanggungjawab semakin berat dan bertambah berat.

Tahun ini cabaran semakin menggunung. Fizikalnya, materialnya, emosinya, ruhaninya, segalanya. Mesti bertambah baik, mesti semakin cantik. Permudahkan, jangan Kau persulitkan. Banyak yang perlu dibina, diperkukuh. Moga segalanya baik-baik.

Harus positif. Harus optimis.