Khamis, September 29, 2011

Perihal Sebongkah Batu

Filem kita budaya kita. Filem adalah cerminan masyarakat. Penonton sudah tahu menilai. Penonton tidak bodoh. Ungkapan-ungkapan ini akan kedengaran secara kerap pra, ketika dan pasca festival filem. Sejauh mana kebenarannya terletak pada definisi pihak tertentu. Yang pasti, persoalan ini berbentuk hujung terbuka. Tiada yang benar-benar benar.

Khali.

Aku ligat memutar memori. Bila kali terakhir aku belajar sesuatu selepas menonton filem. Entah. Majoriti filem yang ditonton menawarkan tidak lebih dari hiburan semata-mata. Sama ada menyentuh emosi, menghantar isyarat humor ataupun yang merangsang adrenalin. Tiada satupun yang menggetar deria ktitis. Yang memberi signal ilmu kepada penonton.

Salah filemkah? Atau dalam filem tersebut memang ada sumber ilmu yang mencurah-curah. Yang selalunya terlepas pandang oleh penonton. Penonton yang hanya mementingkan pleasure hingga menutup ruang santapann ilmu. Dek hati yang makin gelap, buta dan membatu.

Khali lagi.

Jarang-jarang. Kadang-kadang. Generasi hari ini termasuk aku sangat kurang yang menikmati medium berbentuk hiburan dengan kenikmatan ilmu. Kebanyakannya berorientasi hedonisme. Semuanya bagai angin lalu. Kalau sedap, sedapnya hanya sekejap. Kalau tak sedap, lalulah ia dengan sia-sia.

Tiada apa yang membekas di hati apatah lagi di minda. Harusnya wadah yang satu ini kita gunakan untuk menambah baik nilai diri. Menokok pengetahuan dan kefahaman akan hakikat hidup dan penciptanya dengan skala yang besar. Dan mematah unsur luaran yang membejatkan.

Ah. Hanya cakap. Bila dan di mana aku dan kamu harus mula? Mungkin dengan mengkaji asal jadinya kita. Asal agama. Asal datangnya iman kepada nenek moyang kita.


*Penulisan yang dipengaruhi oleh kewujudan sebongkah batu di Kuala Berang.

Isnin, September 26, 2011

Sekeping Kaca Yang Terlutcahaya

Dinda, aku dapat rasakannya saat kau lemparkan senyum perpisahan kita yang pertama. Ada getar yang tersirat. Ada sinar bahagia dalam kesamaran. Namun, kala itu aku yakinkan hati yang rasa kita tak mungkin sama. Walau keyakinan itu amat goyah. Dan aku tahu yang aku hanya mendustai hati.

Sabtu, September 24, 2011

Anak Patung Dari China

Pagi itu indah seperti biasa. Jutaan umat memulakan rutin hidup. Ada yang bersemangat waja. Ada yang bersemangat Jawa. Tak kurang yang lemah jiwa.

Sambil menghirup udara kota, aku melangkah. Sama laju dengan yang lain. Sama panjang bukaan langkah. Dalam hati, aku bertempik. Lihatlah dunia, aku di sini. Bersama titik-titik kota yang lain.

Tujahan langkah semakin deras. Sampai satu tanda aras dan aku putuskan untuk kembali ke asal diriku. Lalu datang seorang yang misteri. Menghampiri aku dengan senyuman yang terselindung sejuta andaian. Aku balas senyumannya. Dia semakin galak mendekatiku.

"Mau cari Amoi ka?"

Aku menelan liur. Menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak mahu. Langkah aku seterusnya sama laju dengan Usain Bolt.

Ahad, September 18, 2011

Tak Bisa Memilih

Adegan 1.

Lokasi: Pejabat Guru Besar SK Batu Laut.

Watak:

1. Ibu yang bertugas sebagai guru prasekolah.
2. Abang sulung yang hensem dan sangat berbudi bahasa.
3. Adik perempuan keempat yang perasan cun.
4. Ustaz JQAF yang sedikit keliru.

Watak imaginari:

1. Guru Besar yang tak sempat masuk bingkai.
2. Pengerusi PIBG yang menyibuk bersama guru besar.

Plot:

1. Ibu membawa dokumen adik perempuan kepada guru besar untuk ditandatangani dan disahkan.
2. Guru besar sedang berbincang hal ehwal sekolah bersama pengerusi PIBG dan ustaz.
3. Ketiga-tiga beranak menunggu penuh tawaduk di bilik menunggu.
4. Ustaz keluar dari pejabat guru besar.
5. Ustaz terserempak dengan tiga beranak dan memutuskan untuk menyapa.

Dialog:

Ustaz: "Kak, tunggu apa dekat sini?"
Ibu: "Tunggu guru besar. Tadi dah serah dokumen anak nak masuk universiti. Nak minta guru besar cop dan sahkan"
Ustaz: "Oh. Ini anak-anaknya?"
Ibu: "Haah."
Ustaz: "Ni kakak kamu ke bang?"
Abang: "Err, tak adalah ustaz. Ni adik saya yang nombor empat."
Ustaz: "Laa, ya ke? Oklah kak. Ada kelas ni. Assalamualaikum."
Ibu: "Waalaikumussalam."
Abang: "Hahaha. Muka tua."
Adik: "Boo, kau tu yang pendek."


* * * * *


Adegan 2.

Lokasi: Rumah Terbuka Guru Besar SK Kg. Medan di Johan Setia, Klang.

Watak:

1. Abang sulung yang berkaliber lagi kiut.
2. Suami seorang bekas guru di SK Kg. Medan yang terpana.
3. Guru wanita tersebut atau dikenali sebagai isteri si suami.
4. Bapa yang bertugas sebagai PK Kokurikulum.

Watak Imaginari:

1. Ibu yang kelihatan 'hot'.
2. Guru Besar yang sibuk melayan tetamu.

Plot:

1. Kedatangan di rumah terbuka disambut mesra. Pelbagai juadah disediakan. Puas menjamu selera.
2. Tiba masa untuk meminta diri. Bersalaman sesama jemputan sebelum meraih duit raya yang diidamkan.
3. Abang sulung bersalaman dengan suami seorang guru. Suratan atau kebetulan?

Dialog:

Abang: "Selamat Hari Raya, maaf zahir batin."
Suami: "Sama-sama. Ni anak cikgu Ramjis ye?"
Abang: "Haa. Betullah tu."
Suami: "Tingkatan berapa?"
Abang: "Err!" Terkedu bercampur riak. "Saya dah kerja."
Isteri: "Cikgu Ramjis, dia ingat anak cikgu masih sekolah. Tingkatan berapa dia tanya."
Bapa: "Ini anak yang sulung. Dah habis belajar. Dah kerja pun."
Isteri: "Maknanya dik, saham kamu masih tinggi lagi."


* * * * *


Muahahahahahahaha

Ahad, September 11, 2011

Bukan Fifi Fairuz Fuyoh

Mungkin sebab kami berbintang sama, aku jadi senang dengannya. Sesetengah karakteristik dirinya adalah cetakan karbon diri aku. Pengkhayal secara alami, pemendam, penjaga hati, ceria, terkadang perahsia dan sedikit fragile.

Dia hidup dengan khayal. Dengan dunia fantasi yang dia bikin sendiri. Dengan watak-watak ajaib yang menghiasi dunia buatannya. Dunia yang ideal baginya kalaupun bukan realistik. Dunia yang dia ingin berada di dalamnya selama-lama.

Perahu kertas itu teman waktu lara. Sahabat sedu-sedan. Kawan esak-tangis. Kerana realiti tak selalu indah seperti apa yang dimimpi. Lalu eskapisme itu yang buat dia bertahan. Kuat dalam tiada daya.

Kugy Alisa Nugroho. Moga perjalanan merentas jalan belok dan bengkok itu bisa bikin aku terinspirasi. Kerana jalan hidupku juga sukar diduga. Penuh kejutan. Penuh ranjau dan liku. Sinonimnya fiksi.

Ya, kami Aquarius. Kadang berantakan, kadang romantis.

Rabu, September 07, 2011

Heart Beating

Insan, kau tak punya kuasa mencuri hati. Kerna ia telah aku simpan rapi di sudut sana. Sudut tirus yang paling seni. Jauhnya tak terjangkau dek akal. Dalamnya hingga terkalahkan Jurang Mariana. Tak ramai yang sanggup ke sana.

Insan, kau tak punya kudrat mencuri mimpi. Kerna ia telah aku buang jauh dari memori. Memori yang tak mahu aku kongsi. Intinya manis dan indah tapi bahaya. Ramai yang derita mahukannya. Melarat bila memilikinya.

Insan, kau tak punya apa-apa. Dan kau mahu semuanya. Bahagia walaupun terseksa. Seksa yang bawa bahagia. Sampai waktu, kau tak bisa pisahkan seksa dan bahagia. Kerana definisinya sama. Dari sisi manapun. Dari bucu manapun.

Ahad, September 04, 2011

Bila Gadis Manis Bernama Irene Datang Menyapa

Aku harus telan realiti ini. Aku sudah menjadi peminat Nurul Elfira Loy sejak menonton kelibatnya dalam Malaysia Hari Ini siaran 2 Syawal 1432H. Mudah. Sifir yang mudah. Sebab beliau bagi aku adalah beauty with brain. Ok, aku tak boleh buktikannya. Tapi itu yang aku rasa. Mungkin aku salah dan melakukan justifikasi secara instinktif semata-mata, tapi ia bukan kesalahan fatal yang boleh membawa bencana besar pada dunia.

Satu pernyataan. Cuma perlukan satu. Dan aku akan percaya jika kau katakan seluruh isi bumi ini sudah kau jelajah. Aku akan percaya jika kau ungkap gunung tertinggi dan banjaran paling besar telah kau redah. Aku juga pasti percaya jika pohon sakura di gurun sahara telah kau temukan. Ya, satu pernyataan bijak yang terlafaz dari bibir yang terjuih itu.

Idul Fitri. Manusia kembali ke permulaan fitrah. Layakkah aku untuk mendampinginya.