Ahad, Mei 29, 2011

On the 11th

Sepanjang minggu ini, banyak nama yang akan berlegar dalam ruangan hidup aku. Nama-nama yang bakal memberi impak positif dalam perjalanan hidup. Nama-nama yang bakal tersemat dalam sejarah hidup yang tak penting langsung dalam ketamadunan dunia. Tapi sangat penting bagi seorang aku. Saat aku semakin menghampiri jam ke sebelas, aku harap nama-nama ini mampu memberi driving force untuk aku kembali ke landasan hidup. Memacu ke arah jaya.

Dalam susunan yang random.

Zakiah Nurmala & Arai
Hassan
Fend & K-Square
Daim
Zahazan
Ina


Kamu. Aku bersyukur kenal dengan kamu.

Selasa, Mei 24, 2011

Dari Kawan-kawan Yang Kita Suka

Dewan besar itu penuh dengan kerusi meja yang disusun atur dengan rapi. Usai doa dan laungan rabitah hati, para pejuang masuk ke medan tempur dengan semangat berkobar-kobar walaupun ada sedikit gerun. Para invigilator dengan tenang memerhati dan memantau keadaan.

Sampai waktu nombor giliran dan kad pengenalan disemak, aku angkat tangan. "Cikgu, nombor IC saya dengan yang ada dalam slip kebenaran tak sama. IC saya hilang beberapa bulan lepas. Sistem di JPN tak dapat kenalpasti nombor yang lama, maka saya diberi nombor IC baru.4 nombor terakhir tersebut yang bertukar."

Beliau tersenyum. "Baik, saya akan pantau. Kamu boleh terus menduduki peperiksaan dengan tenang. Selamat maju jaya."

Nombor giliran ke 42. Duduk di belakang Mohd Nurul Imran Koyube. Sekali sekala kepala teleng ke kanan mengusha muslimat. Sesetengahnya menjawab dengan khusyuk. Selebihnya mengerutkan dahi dan menggaru-garu kepala. Patah balik 30 darjah ke kiri dan aku ternampak kertas jawapan calon yang duduk arah timur laut. Jawapan kami sama. Hehe.

Dongak sedikit, ketua pengawas peperiksaan sedang memastikan urusan peperiksaan berjalan lancar. Pengawas-pengawas peperiksan yang lain ke hulu ke hilir menjalankan tugas invigilasi. Masa hampir tamat. Makin suntuk.

Selebihnya adalah sejarah.

Ahad, Mei 22, 2011

Istifadah

Nampaknya aku perlu belajar katakan tidak.

Orang Malaysia memang pemurah. Trait ini punya kelemahan. Dan kelemahan itu jadi senjata paling ampuh pihak-pihak yang suka mengambil kesempatan.

Lihat sahaja di pasar-pasar minggu, di sekitar kawasan bank, di stesyen-stesyen minyak hatta di kaki-kaki lima. Peraih derma, peminta sedekah, penggiat sindiket, kaki 'pow', penjual barangan/makanan ringan, pencari downline sentiasa berlegar-legar mencari 'mangsa'.

Aku sehabis baik akan mencari jalan untuk mengelak dari terserempak dengan mereka. Bukan sebab aku benci. Well, ada sedikit tidak senang dengan aktiviti ini. Tapi tidaklah sampai tahap benci. Tapi sebab aku susah mencari akal untuk mengelak dari menghulurkan wang kepada mereka.

Aku akan selalu tewas. Dengan helah dan cara yang sama. Lebih suka beralah dan beri sahaja. Tanpa banyak soal. Tanpa banyak bicara.

Mereka beredar dengan senyuman. Sebahagian mungkin bersyukur dan mendoakan. Sebahagian lagi mungkin mentertawa. Bodohnya mamat ni. Senang betul kena tipu. Dan aku beredar dengan meyakinkan hati, benda yang aku buat adalah betul. Membantu orang yang perlu. Tapi ada sudut hati yang mempersoal keikhlasan pemberian itu dan keikhlasan mereka yang meminta.

Ke manakah destinasi akhir sumbangan yang aku beri? Kepada anak-anak yatim, surau/masjid/maahad tahfiz, golongan kurang upaya? Atau kepada sindiket yang menjalankan kegiatan tidak sihat? Yang jadi lebih kaya daripada sebahagian besar penderma bodoh yang begitu senang menghulur.

Selasa, Mei 17, 2011

Cari Cahaya

Pengaruh televisyen. Semekar kembang di taman. Tak perlu fikir konsikuens. Ini asing. Sangat asing.


Aku adalah kunang kunang
Dalam gelap aku terbang
Dalam gelap aku terang

Dan jadikanlah kau senja
Kerna gelap kau ada
Kerna gelap kau indah

Aku hanyalah kunang kunang
Dan kau adalah senja
Dalam gelap kita berbagi
Dalam gelap kita abadi

Tag: Fauzi Baadila, Acha Septriasa, Love

Ahad, Mei 08, 2011

Mariana

Jumaat malam.

Mama cerita. Hari tu, Intan telefon. Intan tanya, "Ma, hari Ahad ni Hari Ibu kan?" Mama jawab, "Ye la kot. Kenapa?" "Hmm, tapi kan, bukan hari-hari ke patutnya Hari Ibu?" "Pandai pulak dia cakap." Kata mama pada aku. Aku senyum.

Sabtu tengah hari.

Sambil menunjukkan sekotak coklat, mama tegur aku. "Bang, tengok ni." Aku tengok acuh tak acuh. Ada beberapa biji coklat dengan abjad di atasnya. S Y G M A M A & A B A H. Aku senyum.

Ahad pagi.

"Aiman, ko dah mandi ke belum?" "Dah!" sahut Aiman. "Hari ni Hari Ibu, ko tak wish mama pun." Sambung mama. "Selamat Hari Ibu!" Ucap Aiman. Aku senyum.

Ahad malam.

Err, aku tak wish mama pun. Ingat nak wish sebelum balik Banting tadi. Tapi lupa. Tapi aku pasti mama tahu yang anak-anak dia sayangkan dia.

Mama, walau secantik dan seanggun manapun Mariana Renata pada pandangan mata anakmu ini, namun dikaulah manusia paling cantik, paling anggun dalam hidup aku.

Hehe.

Jumaat, Mei 06, 2011

Munawarah Silam

Perjalanan dari Banting ke SMK Bagan Terap, Sabak Bernam boleh dikatakan agak panjang. Perlu merentas 3 daerah sebelum sampai ke sekolah lama abah. Keadaan jalan telah bertambah baik selepas dinaiktaraf berbanding keadaannya hampir sepuluh tahun yang lalu. Dalam perjalanan yang mengimbau nostalgia itu, aku melewati beberapa kawasan yang dahulunya sinonim dalam hidup aku. Pekan Kapar, Jeram, Kuala Selangor, Tanjung Karang dan Sekinchan (to name but a few).

Paling nostalgik pastinya kawasan Pasir Penambang yang menempatkan SMKA Kuala Selangor. Tempat aku belajar berdikari. Menimba ilmu, menempa pengalaman dan menghabiskan sisa-sisa kanak-kanak dalam menginjak usia remaja. Di sana aku pernah jatuh dan dijatuhkan. Dipuji dan dipuja (ini perasan sendiri je). Menjadi berani dalam takut (usaha membendung iblis dan syaitan dari menguasai asrama). Dan mengenal jati diri sebagai anak Banting sejati. (Ajud, Lute, Man & Emi - bila nak mini reunion do?)

Aku cuba ubah ayat di perenggan sebelum ini kepada ayat yang lebih mudah seperti yang berikut:

Dorm 76 (dorm aku la tu) selalu menang dorm terbersih dan terceria.
Walaupun selalu terselamat daripada kena 'up', tapi 1 malam tu aku kena jugak 2 das pelempang.
Aku masih tak boleh blah dengan group 'Ghostbuster' yang berlari-lari keliling asrama main tembak-tembak.
Orang lain tengah study kat bilik prep, ada pulak malaun yang tengah stimkan kucing.
Norita, pulangkan duit 5 ringgit aku do.
Ajib, maggi asam laksa kembang yang ko buat dalam baldi tu sampai sekarang terngiang-ngiang dalam fikiran. Muahaha

Banyak lagi kot dan tak tertulis kenangan pahit manis. Oit Pie, roti lilit yang buat masa berkhemah kat padang tu sedap gak do.

Dah, dah.

Kuala Selangor & Tanjung Karang masih lagi jem. Macam dulu gak.

Isnin, Mei 02, 2011

Fantasi

Ya Tuhan,

Tatkala orang lain sibuk berbicara tentang apresiasi ilmu dalam kehidupan, tentang nasib bangsa dan agama, tentang perang terancang golongan freemasonry, tentang korupsi dan hubungkaitnya terhadap kemajuan negara, tentang video seks dan sumpah laknat.

Apa yang aku buat?

Err, sedang bermuram durja kerana salah percaturan dalam Fantasy Football.