Akan ada waktu bila kita merenung perjalanan hidup yang telah ditempuh, kita merasakan yang sangat sedikit apresiasi kita pada kurnia yang dilimpahkan.
Maka sebab itu selalu kita membayangkan yang adalah mungkin lebih baik kalau semua akumulasi kecelakaan tertimpa ke atas kita. Biar mereka yang selalu senang melihat kita susah, berasa puas hati teramat. Biar ia jadi satu manifestasi bahawa keberuntungan selalu pada mereka dan ketidakupayaanlah yang selalu menghantui kita. Sangat mahu kita menunjukkan pada dunia dan dengan megah suatu hari nanti berkata, "Lihatlah dunia. Aku memang selalu di bawah. Tertindas. Digilis. Dan engkau rasa bahagia kan melihat aku begini. Timpalah celaka itu ke atas aku. Timpalah dengan sebanyaknya agar sengsara ini menjadi kepuasan engkau yang selalu beruntung."
Setidaknya itu yang kita rasa saat tiada daya. Berdosakah? Jawapannya ada pada diri. Kebergantungan dan keterikatan kita itu pada siapa?
* * * * *
Ada seorang budak lelaki belasan tahun pernah meminta agar pesawat udara yang dinaikinya terhempas mengorbankan dirinya dan penumpang lain. Hanya kerana oleh jangkaan bebanan masa hadapan yang baginya tiada dapat ditanggung dan sangat menakutkan. Bodoh. Tiada jalan pintas seperti itu, hai budak.
Ada seorang lelaki suku abad pernah meminta agar kereta yang dipandunya terlibat dalam nahas jalan raya yang dahsyat dan mengakibatkan dirinya mati serta-merta di tempat kejadian. Hanya kerana dirasakan banyak manusia-manusia pembenci akan mengingatnya saat dia pergi. Bodoh. Tiada jalan pintas seperti itu, hai lelaki.
Ada seorang yang bodoh, mengulang-ulang permintaan celaka untuk diri sendiri. Hanya kerana baginya hidup tak pernah adil. Bodoh. Tiada jalan pintas seperti itu, boi.
Kau ingat tiada manusia yang sayang padamu? Kalaupun tiada satu makhluk yang merasa belas, kan masih ada Tuhan.