Khamis, Ogos 19, 2010

Ada Apa Dalam Gua


Kisah ini aku dengar semasa tazkirah antara solat terawih di surau Taman Kemuning tempoh hari.

Ada seorang guru yang mempunyai 3 orang anak murid. Pada suatu hari, guru tersebut menyuruh 3 orang anak muridnya masuk ke dalam gua yang gelap gelita. Arahan guru itu kepada muridnya agar mengambil apa sahaja yang mereka boleh ambil dari gua itu.

Murid 1:
Oleh kerana keadaan gua yang gelap, dia risau untuk mengambil benda-benda yang ada di dalamnya. Maka dia mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja dan tidak mengambil apa-apa. Takut-takut benda yang ada di dalam gua itu berbahaya (i.e. ular, benda tajam dll)

Murid 2:
Murid ini masuk dan mengambil 2 benda yang boleh dicapainya dengan kedua belah tangannya.

Murid 3:
Murid ini membawa 2 buah karung dan mengisi karung itu dengan benda yang ada di dalam gua itu sehingga penuh.

Apabila keluar dari gua, didapati bahawa benda yang ada di dalam gua tersebut sebenarnya ketulan-ketulan emas.

Murid 1:
Menyesal yang tak sudah. "Kalau aku tahu, pasti aku akan ambil benda itu tadi."

Murid 2:
Menyesal kerana hanya mengambil dua ketul sahaja. "Kalau aku tahu, pasti aku akan ambil lebih banyak."

Murid 3:
Pun menyesal. "Kalau aku tahu, pasti aku akan bawa lebih banyak karung."

Begitulah kalau boleh ditasybihkan degan umat Islam pada bulan Ramadan. Mereka akan menyesal kelak kerana tidak mengambil sebanyak-banyak fadilat dan kelebihan yang ada di bulan Ramadan sebagai bekal untuk akhirat.


Renung-renungkan dan selamat beramal.

Tiada ulasan: