Selasa, September 28, 2010

Magik Ka?

Aku telah menonton Magika. Hanya kerana keinginan yang membuak-buak untuk menyaksikan janda terhangat di pasaran, Maya Karin. Dan aku gembira bercampur kecewa. Gembira kerana ada berpuluh-puluh Maya Karin dalam Magika. Kecewa atas sebab wataknya hanya melepas batuk di tangga. Tiada siginifikasi terhadap jalan cerita. Setakat menjadi daya penarik penonton (khususnya orang seperti aku) ke panggung.

Secara kritis, aku rasa Magika bukanlah cereka yang menyengat. Jalan cerita yang mudah ditebak, lakonan yang OK walaupun banyak yang longgar, terlalu banyak watak mitos menyebabkan kurang fokus pada kesinambungan cerita. Namun ini masih filem yang aku suka. Kerana aku suka watak-watak mitos/legenda Melayu, aku suka cerita fantasi dan cerita ini lari dari genre seram/komedi/aksi yang banyak disuap kepada masyarakat.

Daripada banyak watak yang dimuatkan dalam filem, aku sangat tertarik dengan watak penunggu/naga Tasik Chini lakonan M. Nasir. Dan buat pertama kalinya aku merasakan yang Diana bukan hanya sekadar wajah yang cantik.

Aku beri 3 1/2 Bintang.

(Sungguh sampah rebiu filem yang aku buat ini)

Rabu, September 22, 2010

Sekali Dia Tulis Arab Daa..

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin.

Jangan bermain meriam buluh nanti terbakar jari.

Wahid. Oh ya kawan-kawan. Beberapa malam sebelum kedatangan Syawal, Surau Raudatul Muttaqin Taman Kemuning masih lagi penuh dikunjungi pengimarah Ramadan. Agak berbeza keadaannya dibandingkan dengan Surau Attaufik, Kg. Batu Laut. Mungkin kepadatan penduduk di kedua-dua tempat banyak jurangnya. Alhamdulillah, manusia masih mahu memburu kebaikan walau sesetengahnya tenggelam dalam kejahatan.

Itsnain. Dam dam dum bunyi mercun. Sangat hampeh dan bagai meminta pelempang. Pulang sebaik salam rakaat solat tarawikh ke 8 (kantoi buat 8 je), aku terserempak dua anak kecil usia kira-kira 5-8 tahun. Mereka berlari bagai ada letupan ingin terjadi. Aku dengan konfiden melangkah macho ke arah kenderaan persendirian. Tiba-tiba letupan terjadi betul-betul di telapak kaki kiriku. Kurang asam punya budak, bakar mercun rupanya. Aku yang terkejut tapi kontrol buat-buat tak terkejut memaki ringan di dalam hati sambil memuji diri yang tidak membakar mercun secara rawak sewaktu aku sedang kecil dahulu. Ini kerana aku hanya main mercun bawang, mercun mancis, mercun tarik, thunderclap, mercun tepek, mercun cina, mercun katak, mercun gasing dan mencucuh belerang pada meriam batang paip buatan sepupu.

Tsalatsa. Tolong jangan tanya apa-apa tentang tempat kejadian itu. Aku sudah penat nak jawab.

Jumaat, September 03, 2010

83.333 ~


Memburu malam al Qadar itu bukan hanya pada 10 malam yang terakhir. Pemburuan itu bermula seawal bermulanya Ramadan. Dan bagi mereka yang memang mahu bertemu dangan al Qadar, persiapan mereka malah lebih awal daripada itu.

Maka beruntunglah mereka tatkala al Qadar datang menjenguk umat manusia sekali dalam setahun. Bagi mereka yang hanya tersedar ketika al Qadar berlalu pergi pada siang harinya, perasaan sesal yang tak terungkapkan mengisi pelosok hati. Kekecewaan yang lebih perih dan pedih daripada ketinggalan bas terakhir di malam musim dingin yang paling menggigit.

Ah, apakah ada al Qadar lagi kali yang lain?