Rabu, April 13, 2011
Bilik Kaca
Petang itu, seperti biasa aku bersiap untuk ke seberang jalan. Rutin pelajar di sekolah berasrama penuh. Pukul 3 hingga 5 petang dikhususkan untuk prep petang. Sama ada guru-guru yang dedikasi akan mengadakan kelas tambahan, ICU ataupun pelajar bebas melakukan aktiviti sendiri mahupun terlibat dengan tugasan kokurikulum. Berbaju Ala-Raihan warna kuning air dan berseluar warna gelap, aku berjalan melintasi jejantas dengan megah. Rakan-rakan yang malas mendaki tangga akan mempertaruh nyawa melintas jalan yang selalu sibuk.
Aku lihat jam di dewan besar. Ah, baru pukul 2.40. Hari ini tiada kerja rumah yang perlu dihantar esok pagi. Maka aku putuskan untuk berehat sahaja waktu prep petang ini. Aku menuju ke bilik kaca. Bilik tersorok yang terletak di antara laluan pejalan kaki yang menghubungkan dataran terbuka dengan blok tingkatan 4. Di belakangnya kantin dan di hadapannya bilik kuliah. Bilik ini berfungsi sebagai pusat operasi ketua-ketua pelajar.
Aku masuk ke dalam bilik kaca. Tiada orang. Oleh kerana bilik ini jarang didiami oleh KP, maka aku yang suka kipas KP pun menjadikan tempat ini sebagai tempat peraduan saban waktu. Dengan kewujudan penghawa dingin yang bermutu tinggi, menjadikan suasana yang sejuk dan gelap itu sangat kondusif bagi sang pelajar yang mengantuk. Maka dengan rasa kurang bersalah, aku pun tidur dengan lenanya. Sleeping soundly menurut Teacher Rohazila.
Pukul 3.40 petang, ada orang menggugah. "Warx, wei, ko tak pegi kelas tambahan Bio cikgu Zalina ke?" Shut, aku terlupa pula. Cikgu Zalina ada berpesan sebelum habis kelas Biologi pagi tadi bahawa beliau mahu mengadakan kelas tambahan. Dengan mata merah dan muka yang baru dibasuh, aku dengan muka pesalah trafik masuk ke kelas. Meminta maaf atas kelewatan dan duduk. Kelas akan tamat dalam 20 minit lagi dan aku telah memberi impresi buruk kepada Cikgu Zalina.
"Sudahlah markah awak selalu paling rendah dalam kelas, masa cikgu buat kelas tambahan, awak boleh tidur kat tempat lain." Mungkin itu yang cikgu cakap dalam hati. Aku malu sendiri dan lebih malu dengan Amad di sebelah. Beliau yang bercita-cita menjadi pakar sakit puan memang mengatasi markah biologi aku setiap peperiksaan. Dan waktu itu, aku cuba ketepikan rasa malu dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh.
Apa yang berlaku selepas itu?
Aku masih dengan perangai lama. Tidur di bilik kaca. Namun itu hanya berlaku selepas aku pastikan tiada kelas tambahan atau apa-apa perkara yang boleh menyebabkan aku kantoi tidur masa prep. Oh ya, aku dapat C5 untuk Biologi dalam peperiksaan percubaan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan