Isnin, November 28, 2011

Menegak Tiang Seri


Cukupkah mutiara-mutiara yang aku kutip di sana? Bekalan untuk menangkis dan menepis serangan perang saraf rejim kejahatan. Penerus mata rantai dan sinambungan nur kebaikan. Hirup hembus udara penyatuan. Yang waqi'e, yang zamani. Kuatkan diri yang kian usang dimamah angka. Biar sisa yang ada tidak terbazir malah terus perkasa. Di manakah mutiara-mutiara itu? Yang kamu khabar. Yang kamu uar-uar. Yang bertebaran.

Isnin, November 21, 2011

Tiada Selingkuh

Kalau engkau jatuh
Jangan engkau lemah
Kerana hidup mengajar kita
Jangan cepat mengalah

Sukan, terutamanya bola sepak adalah satu wadah yang boleh menyatukan. Bayangkan bagaimana dua orang yang berbeza gender, agama, bangsa, negara, fahaman politik dan apa sahaja yang membezakan, boleh duduk semeja, berkongsi minat menyokong pasukan masing-masing.

Menonton perlawanan antara 22 manusia berkromosom XY merebut sebiji bola untuk dimasukkan ke dalam gawang pasukan lawan mungkin kelihatan bodoh pada kaca mata sesetengah orang. Namun perkara tersebut berupaya merembes adrenalin, menggoncang semangat dan merangsang emosi bagi peminatnya.

Kecewa apabila di ambang kekalahan. Gembira dan teruja apabila menuju kemenangan. Posisi diubah. Posesi dirampas. Lawan digelecek. Bola disambar. Bendera dikibar. Gendang dipalu. Lagu semangat dilaung. Ah, kalau saja boleh digambarkan perasaan ketika gol dijaringkan, pasti tidak cukup aksara di papan kekunci untuk ditekan.

Ya, memang diakui, dalam pasukan kesayangan sendiri ada pemain yang dibenci. Mereka yang acapkali mengundang amarah dan sesal para penyokong. Namun, kemarahan yang datang selalu sahaja diredakan oleh sang hero yang datang tepat pada masanya. Pro dan kontra yang mewarnai permainan. Menjadi rencah yang mambawa kelazatan dalam perlawanan.

Tolong. Wahai kamu. Yang membawa cabaran. Yang tersandar dipundakmu harapan jutaan rakyat. Jangan bolos. Jangan bobos.

* * * * *

Wahai Mariana, jangan kau tersinggung. Kerana walau jauh manapun benteng pemisah Gelora Bung Karno menghalangku, kau masih tetap wanita tercantik di Indonesia. Abadan abada.

Ahad, November 13, 2011

Il Wol Ji Ga

Ayuh, Wira Negara!

Segalanya tentang dirimu aku kagumi. Aku susuli perjuanganmu dengan doa dan harap. Aku iringi titik keringatmu dengan sorak-sorai bergemuruh. Aku selimuti getar debarmu dengan suara semangat.

Aku amati, turuti, soroti segala lincah langkahmu, tabah hatimu, melismatik gerakmu, dan karismatik pendirianmu. Kau mara menempuh badai. Kau paksakan kudrat menongkah arus. Tiada kau hirau bisik-bisik ragu. Tiada kau intai pintu undur diri.

Ikhlaslah kau berjuang. Ikhlas jua aku hulur dokongan. Moga mekar dan harum nama watan. Untuk kau dan aku banggakan.

Selasa, November 08, 2011

Umpama Lagu Cinta Yang Diulang-Ulang

Langit keruh. Aku benar-benar terpengaruh.

Menginjak kaki ke daerah asing yang penuh teka-teki dan persoalan. Kepala menoleh kanan dan kiri. Hati tidak tenteram. Maka toleh lagi kanan dan kiri. Episod masa hadapan yang bakal dilalui. Ia penuh misteri. Mengerikan dan kadang-kadang mengujakan. Protagonis ceritera ini pula insan yang sangat biasa. Terbiasa menjadi biasa. Meredah ranjau tanpa hitung kira. Spontan menghadapi apa sahaja. Kerana baginya risiko yang terkalkulasi itu membosankan. Hidup dengan kira-kira selamat itu tiada serunya. Apalah erti kalau semua terencana seperti aturan. Kan lebih indah kalau selalu dalam kejutan. Elemen itu pasti merangsang berbilion sel-sel peka dalam anatomi manusia untuk lebih reaktif dan proaktif dengan persekitaran.

Oh, mungkin sebab itu aku cepat terpengaruh. Walau hanya kerana lapis lazuardi itu telah berubah keruh.