Kalau engkau jatuh
Jangan engkau lemah
Kerana hidup mengajar kita
Jangan cepat mengalah
Sukan, terutamanya bola sepak adalah satu wadah yang boleh menyatukan. Bayangkan bagaimana dua orang yang berbeza gender, agama, bangsa, negara, fahaman politik dan apa sahaja yang membezakan, boleh duduk semeja, berkongsi minat menyokong pasukan masing-masing.
Menonton perlawanan antara 22 manusia berkromosom XY merebut sebiji bola untuk dimasukkan ke dalam gawang pasukan lawan mungkin kelihatan bodoh pada kaca mata sesetengah orang. Namun perkara tersebut berupaya merembes adrenalin, menggoncang semangat dan merangsang emosi bagi peminatnya.
Kecewa apabila di ambang kekalahan. Gembira dan teruja apabila menuju kemenangan. Posisi diubah. Posesi dirampas. Lawan digelecek. Bola disambar. Bendera dikibar. Gendang dipalu. Lagu semangat dilaung. Ah, kalau saja boleh digambarkan perasaan ketika gol dijaringkan, pasti tidak cukup aksara di papan kekunci untuk ditekan.
Ya, memang diakui, dalam pasukan kesayangan sendiri ada pemain yang dibenci. Mereka yang acapkali mengundang amarah dan sesal para penyokong. Namun, kemarahan yang datang selalu sahaja diredakan oleh sang hero yang datang tepat pada masanya. Pro dan kontra yang mewarnai permainan. Menjadi rencah yang mambawa kelazatan dalam perlawanan.
Tolong. Wahai kamu. Yang membawa cabaran. Yang tersandar dipundakmu harapan jutaan rakyat. Jangan bolos. Jangan bobos.
* * * * *
Wahai Mariana, jangan kau tersinggung. Kerana walau jauh manapun benteng pemisah Gelora Bung Karno menghalangku, kau masih tetap wanita tercantik di Indonesia. Abadan abada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan