Rabu, Februari 19, 2014

Dia Diam

Orang tua itu menyeringai. Semenjak dua ini, aku lihat dia banyak diam. Panjang renungannya. Di kalangan rakan-rakannya, dia memang terkenal peramah dan sangat menjaga percakapan. Entah. Diamnya mungkin ubi berisi. Ada juga cerita yang tersebar di atas angin mengatakan dia kini pembengis. Suka marah-marah. Silap tuturkata dan laku, mahu diparangkan olehnya.

Pak Said. Dia sudah lepas umur 82 tahun. Usia emas? Kata orang, usia emas itu kala remaja belia. Semasa badan di tahap kesihatan yang optimum. Saat potensi diteroka dan keinginan untuk belajar dan bekerja naik mencanak-canak. Orang tua ini tinggal seorang diri di rumah kecilnya. Anak-anak sudah punya keluarga dan tanggungjawab masing-masing. Cucu-cucu meniti alam remaja dan ada yang riang gembira menjalani masa kanak-kanak. Isteri? Lama sudah meninggalkannya. Hampir 20 tahun.

Usai solat isyak berjemaah di surau, aku mendapatkannya. Sekadar mahu bersembang kosong dan mencari hikmah hidup barangkali.

"Assalamualaikum Pak Said, jom ke kedai mamak di seberang jalan tu. Boleh kita borak-borak."

"Waalaikumussalam. Oh, kamu Mad. Malaslah aku. Duduk di sini pun boleh berborak apa. Lagipun aku dah kenyang. Petang tadi melantak nasi kukus kat depan rumah tu."

"Tak apalah kalau macam tu. Di sini pun boleh."

"Kamu masih di tempat kerja lama tu? Aku dengar banyak nak buang orang."

"Alhamdulillah Pak Said. Memang syarikat merancang untuk kurangkan kos dengan mengurangkan tenaga kerja. Tapi bahagian produksi dan pemasaran saja yang terlibat. Saya takut juga kalau tiba-tiba disuruh mencari kerja lain. Maklumlah, dah serasi di situ dan dah tak sanggup nak mencari kerja baru. Leceh."

"Oh, alhamdulillah. Kerja elok-elok. Pastikan amanah sekecil manapun kamu jalankan. Jangan 'mengulor'. Rezeki nak bawa balik rumah bagi makan anak bini, hulur kat ibu ayah. Jangan ada yang bersumberkan yang haram. Nauzubillah."

"Insyaallah Pak Said. Ha, Pak Said. Kalau saya tanya, jangan marah ya?"

"Tanyalah. Marah tak marah tu nanti aku tentukan."

"Kenapa kebelakangan ni saya nampak Pak Said banyak mendiamkan diri. Hari tu saya dengar, Pak Said tiba-tiba mengamuk dekat warung sebelah sekolah tu. Orang pun dah takut nak bertegur dengan Pak Said."

"Huh. Entahlah Mad. Kadang-kadang datang satu peringkat dalam hidup ni, kita tak tahu apa lagi yang perlu kita buat. Ada waktu, kita rasa marah. Rasa nak salahkan semua yang ada dalam hidup kita. Rasa nak buang semua yang pernah kita lalui dan mula dengan sesuatu yang baru. Mula dari kosong. Aku dah nak mati, Mad. Bila-bila Allah boleh cabut nyawa aku. Tapi kadang-kadang sebelum ajal datang, aku rasa macam nak cabut nyawa sendiri."

"Isy, Pak Said. Tadi iya-iya tazkirahkan saya suruh amanahlah, jaga halal-haramlah. Ini dia pulak berfikir sampai macam tu."

"Aku pun manusia Mad. Perasaan tu datang mungkin atas faktor luaran macam kesunyian hidup dan persekitaran. Dengan gejala tak baik makin leluasa dan karenah muda-mudi yang dah tak tahu malu.Ataupun faktor seperti rasa tak ada lagi sumbangan yang mampu aku buat untuk masyarakat, untuk diri sendiri. Kadang-kadang, teringatkan masa lalu yang sebahagiannya aku lalui dengan leka dan endah tak endah. Semua berkumpul. Dan tiba-tiba rasa marah."

"Hmm.."

"Hari tu aku mengamuk dekat warung tu. Pasal ada sekumpulan budak sekolah ni. Pukul 10.30 pagi. Dahlah ponteng sekolah, hisap rokok pulak di situ. Gelak-gelak, bising-bising. Aku tegur. Yang kurang ajarnya, dua-tiga orang tunjuk jari tengah kat aku. Siap dicarutkannya aku. Apa lagi, aku masuk dapur warung tu, nampak parang. Kuamukkan dia orang. Nasib baik si Isa pembantu hospital tu ada tahan aku masa tu. Kalau tak, ada yang mati kena tetak."

"Budak-budak sekarang, Pak Said. Bila kita marahkan mereka, mak bapak tak terima. Tapi didikan dari rumah tak dititikberat. Semua lepaskan pada sekolah. Bila dah berkawan dengan geng-geng sekepala yang bermasalah tu. Habis. Orang kata, nak tengok masa depan negara, tengok pada pemudanya. Kalau macam ni lah gayanya, hancur bangsa. Hancur agama dan negara."

"Salah kita juga Mad. Dari kecil dimanjakan dengan material. Apa nak, semua dapat. Tapi kasih sayang dan perhatian kita abaikan. Mereka ni darah panas. Cepat saja nak memberontak. Orang dewasa yang dah banyak pengalaman ni patutnya banteras dan cegah mereka ni daripada jadi macam generasi dahulu yang dah teruk dan sesat. Tugas aku juga tu. Tapi kalau dah orang tua macam aku dicarutkan macam tu, memang cari nahaslah."

"Betul tu Pak Said. Berbalik pada persoalan diam tadi. Apa yang Pak Said selalu menungkan?"

"Rumah kata pergi, kubur kata mari. Orang tua kan sensitif. Kawan-kawan aku dah ramai pergi. Aku alhamdulillah, masih diberi ruang bernafas. Masih kuat nak berjalan walaupun kadang-kadang semput aku ni datang juga menyerang. Entah. Dari muda dulu, kalau aku marah, tak suka sesuatu, rasa tak boleh nak bertindak rasional, aku akan ambil langkah berdiam. Tenangkan diri. Tapi dalam diam aku tu, selalu jugak aku persoalkan banyak perkara pada Allah. Itu dan ini."

"Pasal apa Pak Said?"

"Perkara yang berkait hidup aku. Kenapa aku tak kaya macam orang itu. Kenapa aku tak kacak macam orang itu. Apa dosa aku sampai orang buat aku macam ini. Salah ke kalau aku ada berniat jahat terhadap seseorang atau terhadap diri sendiri. Kadang-kadang dalam diam tu, banyak idea-idea atau imaginasi yang macam-macam. Pernah aku tanya pada Allah, adakah mati itu penyelesaian kepada semua perkara? Gila kan aku?"

"Peh. Pak Said ni berideologi subversif ke apa ni?"

"Haha. Tapi lepas tu, aku istighfar balik. Ingat balik hakikat penciptaan manusia. Minta Allah jauhkan dari perkara-perkara buruk. Kembalikan kewarasan fikiran. Kembalikan rasional. Minta ditambahkan keyakinan kepadaNya. Dikuatkan iman, diteguhkan takwa. Kita manusia Mad. Banyak kurang dari lebih. Minta apa saja daripada dia. Tak dapat sekarang, nanti insyaallah datang. Mungkin bukan dalam bentuk yang kita fikirkan. Allah Maha Adil. Allah Maha Menerima Taubat."

"Saya pun adakala rasa 'down' dan tertekan juga. Pasal kerja, pasal kewangan, pasal pasangan, pasal orang-orang sekeliling. Kebanyakannya memang di luar kawalan. Tu pentingnya kita ada pegangan. Islam agama kita. Al-Quran dustur kita. Kalau tak ada, mungkin saya dan orang macam Pak Said, bila ada masalah saja, terus bunuh diri."

"Kau orang muda Mad. Belajar tinggi. Ilmu agama kau mungkin lebih daripada aku. Gunakan sebaiknya. Orang sekarang aku tengok, nama saja bersekolah agama. Paling teruk pun belajar agama di sekolah. Tau hukum tutup aurat. Tahu hukum solat. Tahu hukum hisap rokok. Tapi orang yang tahu itu jugalah yang melanggar."

"Ramai Pak Said. Kawan-kawan saya pun. Sedih juga melihatnya. Tapi saya tak kuat untuk menegur. Setakat dalam hati saja."

"Sikit-sikitlah Mad. Doakan mereka. Doakan aku juga."

"Baiklah Pak Said."

"Jom, Mad. Kaki aku dah semut-semut ni. Haa, dah hilang. Aku nak balik. Lupa nak masukkan air jarang dalam peti sejuk. Kau bawak motor kan? Tumpangkan aku sampai rumah."

"Jom!"

Tatkala membonceng Pak Said pulang ke rumahnya, aku senyum. Ijazah terbaik kehidupan bukan hanya bisa diperoleh di universiti dan pusat-pusat pengajian tinggi. Di mana pun. Di setiap hela nafas dalam meniti hidup. Pak Said, aku doakan diammu tiada lama. Sampai masa taburlah mutiaramu lagi biar aku dan kami yang lain mengutipnya lagi dan lagi.


Selasa, Februari 11, 2014

Ummu

Kepada seseorang semestinya, selamat hari lahir kalendar Gregorian yang ke dua puluh lapan tahun. Petang hening itu pecah dengan tangis dan derai tawa. Suatu masa nanti, seperti yang telah tertulis dan telah dijanjikan, pergilah kau diiring sendu dan tangis jua.

Satu hari di hari raya, pernah sampai satu nasihat dari satu lelaki magis. Nak, hadiahkanlah Al-Fatihah untuk dirimu sendiri. Itu lebih baik daripada nanti seluruh kariah membacakannya. Entahkan sampai entahkan tidak. Ibu segala surah.

Khamis, Februari 06, 2014

Padam


Dipadamkan dari sejarah.

Ketika aku membaca novel bernuansa sejarah nukilah Faisal Tehrani berjudul Nama Beta Sultan Alaudin, aku terpukau. Alangkah sejarah itu jauh lebih menarik daripada yang telah disusunatur dalam buku teks yang digunakan di sekolah. Alangkah patriotisme dan jatidiri beralaskan Islam dan adat yang melengkapkan kesyumulan agama dapat dipupuk seawal usia.

Saat itu, aku terfikir, mengapa tiada tokoh sejarah yang diangkat para sejarawan mempunyai luhur pekerti dan keperibadian yang unggul seperti ini? Mengapa yang ditonjolkan hanya pada pencapaian materi, kemegahan bangsawan, semangat melawan yang tinggi, kebencian pada penjajah dan pengkhianatan tersembunyi. Tanpa ada unsur-unsur spiritual yang membangunkan akhlak dan semangat melakukan kebaikan seisi mayapada.

Lebih malang, ada sisi sejarah lain yang sengaja disembunyikan dan dihilangkan dari pengetahuan dunia dan generasi akan datang demi kepentingan pihak dan individu tertentu. Alangkah, di mana mahu kita rujuk akan kebenaran sejarah? “Half of writing history is hiding the truth.” Joss Whedon. 

Dan selebihnya adalah sejarah.