Banting ini bukan banting yang bermaksud baling, campak dan yang seerti dengannya. Kegunaan ayat bagi perkataan banting yang itu adalah seperti berikut: Pak Abu membanting tulang mengerjakan sawahnya yang sekangkang kera itu.
Banting ini adalah nama khas untuk sebuah tempat yang terletak di daerah Kuala Langat (KL), Selangor. Tempat lahir dan tumpah darah aku. (Sekejap! Yang tumpah darah, aku ke mama aku ek?) Lewat tengah hari Khamis yang lalu sekitar pukul 1.26 tibanya seorang patriot di perkarangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Sepang. Yeah! Sampai juga akhirnya setelah dihujani kebimbangan tatkala kurang lebih 20 jam menghabiskan masa di atas pesawat. Sengal, sakit, kebas, semut2, semua ada.
Semasa menunggu bagasi-bagasi seberat 20 kilogram tiba, seorang warga Cina kelahiran Malaysia yang satu pesawat bersama aku dari Taipei ke Kuala Lumput menyapa. "Sampai dari mana? Taipei?" "A'ah." Jawabku ringkas. "Lambatlah servis KLIA ni. Kat Taiwan tadi laju je. Malu kat orang luar. Dia orang banyak komplen pasal servis kat sini tadi." Ujarnya panjang lebar. Ya. Aku mengakui akan proses yang begitu lambat di sini. Salah siapa? Birokrasi? Atau mentaliti? Entah.
Apabila melepasi pintu automatik yang memisahkan orang ramai dengan kawasan mengangkut bagasi, aku terlihat dua kujur tubuh yang dirindui. Abah dan mama. Mama mengambil gambarku sambil menahan sebak. Rindu sungguh barangkali. Abah lebih tenang. Dan ketenangan itu terwaris pada diriku. Aku memeluk erat keduanya. Alhamdulillah. setelah hampir 2 tahun, oanjang juga umur kami.
Sampai di Banting, abah dan mama mengajak aku makan di hadapan bangunan TESCO yang masih belum siap waktu aku ke Amerika 2 tahun lalu. Banyak cerita yang aku kongsi bersama mama dan abah. Mama yang banyak bertanya sebenarnya. Aku sekadar menjadi tukang jawabnya. Banting tak banyak berubah. Cuma semakin sarat dengan pasaraya. Namun kedai-kedai kecil yang menghisasi Banting yang dulu tetap ada. KFC tetap ada 2. Lokasi salah satu darinya sahaja yang berubah. Jalan raya tetap padat dengan kenderaan. Hmm, sampai sini dulu. Lain kali aku ceritakan lagi.