"Beauty lies in the eyes of the beholder"
Berbagai-bagai tafsiran, takrifan, penilaian, pandangan, terjemahan yang manusia cipta untuk menerangkan apa sebenarnya maksud tersirat dan tersurat perkataan CANTIK. Secara global, boleh aku simpulkan cantik itu bermakna sempurna. Obsesi masyarakat umum terhadap kecantikan menyebabkan media cetak juga elektronik berlumba mengetengahkan model jelita yang sempurna serba-serbi. Tiada cela. Persetankan itu seketika. Mari menjengah pendapat yang lebih realistik.
Kecantikan itu dinilai dari mata yang memandang. Ya. Aku setuju. Tapi bagaimana? Ada yang menilai mulus kulitnya, mancung hidungnya, mungil bibirnya, redup matanya, montok tubuhnya, baik perilakunya dan berbagai lagi. Citarasa setiap manusia berbeza. Bukan sahaja berbeza mengikut kaum, bangsa, keturunan malah setiap kujur tubuh yang berisi roh bergelar insan punya rasa berbeza.
Mahu contoh? Yang paling dekat dengan aku, budak-budak Iowa sendiri. Tidak lama dahulu, kami sama-sama dihiburkan dengan drama KAMI. (Ya, aku tahu cerita ini agak lagha). Anas obses dengan Adii (suka yang chubby katanya). Jimbo lebih gemarkan Sophie (cun habis). Dan aku pula lebih tertarik dengan Lynn (sebab adalah rahsia). Dan jikalau semua orang punya citarasa yang sama, alamat hanya seorang wanitalah yang kami sang lelaki rebutkan. Kacau dunia.
Dan dalam mencari teman sehidup (dan mungkin semati), kecantikan juga salah satu faktor penentu. Bohong kalau ada yang mengatakan tidak melihat rupa paras dalam mencari pasangan. (Kecuali yang ditakdirkan Tuhan cacat penglihatan). Malah Junjungan Besar Nabi Muhammad juga telah memberi garis panduan kepada kita umatnya tentang kriteria yang perlu diambilkira untuk mencari pasangan. Kecantikan, kekayaan, keturunan dan juga agama. Dan agamalah yang menjadi tunjang kebahagiaan selamanya.
Kesimpulannya, setiap manusia itu diciptakan cantik dn mempunyai keistimewaannya yang tersediri. Terserah bagaimana dirinya menjaga dan memelihara kecantikan itu dan bagaimana ia menilai kecantikan. Perlu kita bersyukur dengan kurniaan Allah terhadap penciptaanNya tak kira melalui perbuatan, perkataan dan juga hati. (ceh, macam jawab PQS je).
"Allahumma hassanta khalqi fa hassin khuluqi."