Malam tadi aku bersama K-Square. Menjadi pendengar yang baik, tempat dia melepaskan apa yang terbuku di relung hati. Mengongsi jeritan batinnya dalam mencari erti hidup. Memberi pinjam masa untuk dia bercerita tentang apa sahaja. Dan malam tadi kami sampai di Jakarta menghampiri Bandung.
* * * * *
Pagi ini aku seakan mahu bercerita akan memori manis semasa ke sana. Semuanya. Cerita tentang nasi padang, air sirap 'imaginary', pasar pagi, Tanah Abang, parkir mall yang berlitup tail, Monas, rumah Wira Al Fatah, tikus besar, es buah, motosikal Nasim Muhammad, ikan bawal gorengan bibik, bajaj dan angkut,toko buku, lele, ketoprak, macet, kuliah, Trisakti dan macam-macam lagi.
Minda giat merencana jalinan perkataan dan frasa-frasa mapan dan mantap untuk menghadirkan roh Jakarta dalam penulisan. Akhirnya aku kalah dan tidak aku teruskan.
Aku juga mahu bercerita tentang Bandung. Tetang gadis sunda, Universitas Padjajaran, rumah dalam tebukan bukit, padi huma yang saujana, gedung DVD/VCD bajakan, perjalanan melalui Puncak, muzik country a la indonesia, lagu Kekasih Gelapku pertama kali hadir di telinga, ikan bakar dan hitungannya bertambah lagi dan lagi.
Beauty.
Namun tiada susunan kata yang mampu aku coretkan. Aku putuskan kenangan itu terus segar dan membuncah dalam minda sahaja. Biar aku peram jadi satu momen bererti.
Aku teringat sekumpulan anak kecil. Lepas kehujanan. Lapar dan comot. Kaki tidak beralas. Bila sedikit makanan yang ada aku hulurkan, cahaya yang luarbiasa terpancar dari wajah mereka. "Makasih, Om." terngiang-ngiang. Merekalah pemberi bahagia. Walau diri mereka dikelilingi derita.
Beauty.
Aku enggan menterjemah segala yang manis dalam memori menjadi tulisan. Kerana takut yang manis itu tak sampai kepada audiens.
Tapi aku terbayang wajah seorang pria di deretan kedai DVD bajakan itu. Dia mungkin sahaja tidak bersekolah tinggi. Dia nobody. Tapi dia somebody bagi aku. Tak banyak yang bisa meninggalkan impak dalam hidup aku. Kejujurannya membekas di hati. Dia minta gambarnya diambil lewat lensa kamera digital kompak milik aku. Kaget. Dia tidak menyangka imej dirinya akan terhasil langsung saat dan ketika itu. Dia kagum dan menatapnya lagi dan lagi. Dan dia ada sense of humor.
Ah. Bila agaknya momen-momen indah akan hadir lagi?
Indonesia. Erti hidup yang beda. Indeed.
* * * * *
Setelah aku amati, Indonesia pernah aku abadikan di medium ini. Lama dahulu. Terlalu lama hingga aku lupa.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan