Khamis, September 29, 2011

Perihal Sebongkah Batu

Filem kita budaya kita. Filem adalah cerminan masyarakat. Penonton sudah tahu menilai. Penonton tidak bodoh. Ungkapan-ungkapan ini akan kedengaran secara kerap pra, ketika dan pasca festival filem. Sejauh mana kebenarannya terletak pada definisi pihak tertentu. Yang pasti, persoalan ini berbentuk hujung terbuka. Tiada yang benar-benar benar.

Khali.

Aku ligat memutar memori. Bila kali terakhir aku belajar sesuatu selepas menonton filem. Entah. Majoriti filem yang ditonton menawarkan tidak lebih dari hiburan semata-mata. Sama ada menyentuh emosi, menghantar isyarat humor ataupun yang merangsang adrenalin. Tiada satupun yang menggetar deria ktitis. Yang memberi signal ilmu kepada penonton.

Salah filemkah? Atau dalam filem tersebut memang ada sumber ilmu yang mencurah-curah. Yang selalunya terlepas pandang oleh penonton. Penonton yang hanya mementingkan pleasure hingga menutup ruang santapann ilmu. Dek hati yang makin gelap, buta dan membatu.

Khali lagi.

Jarang-jarang. Kadang-kadang. Generasi hari ini termasuk aku sangat kurang yang menikmati medium berbentuk hiburan dengan kenikmatan ilmu. Kebanyakannya berorientasi hedonisme. Semuanya bagai angin lalu. Kalau sedap, sedapnya hanya sekejap. Kalau tak sedap, lalulah ia dengan sia-sia.

Tiada apa yang membekas di hati apatah lagi di minda. Harusnya wadah yang satu ini kita gunakan untuk menambah baik nilai diri. Menokok pengetahuan dan kefahaman akan hakikat hidup dan penciptanya dengan skala yang besar. Dan mematah unsur luaran yang membejatkan.

Ah. Hanya cakap. Bila dan di mana aku dan kamu harus mula? Mungkin dengan mengkaji asal jadinya kita. Asal agama. Asal datangnya iman kepada nenek moyang kita.


*Penulisan yang dipengaruhi oleh kewujudan sebongkah batu di Kuala Berang.

Tiada ulasan: