Aku lihat langkahnya yang longlai. Beg galas lusuh berwarna ungu kelihatan lebih berat dari tuan. Seakan satu kemestian kala itu, beg para pelajar penuh dengan buku teks, buku latihan dan alatulis yang membebankan. Jadual pengajaran dan pembelajaran yang padat tidak memungkinkan separuh beban itu ditinggal di rumah. Perkara yang aku pasti telah ditangani sehabis baik oleh pihak sekolah (dan semestinya pihak Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri hatta Kementerian Pelajaran sekalipun) dewasa ini.
Mataku tidak jadi berkedip apabila anak kecil itu tiba-tiba berlari. Langkahnya makin pantas. Apa yang ditujunya? Di hujung kaki lima itu berdiri seorang wanita. Lagak seorang guru. Berbaju kurung warna cerah bermotif flora dengan kerudung yang padan dengan salah satu warna yang ada pada baju. Sebuah buku panjang dan tebal di lengan kanan dengan beg tangan besar tersangkut di bahu kiri. Wanita itu sedang menanti. Riak muka dan raut wajahnya tak boleh aku baca.
Aku, sang pemerhati. Hari itu aku jadi saksi. Si pelajar merangkul gurunya. Ah, malah aku pasti gurunya itu juga ibunya. Tak semena-mena air mata berderaian. Entah air mata gembira atau air mata kecewa. Lama pelajar itu dibiar nyaman dalam dakapan. Dakap makin erat. Esak tangis makin kerap. Sesekali si ibu bersuara memujuk. Tangis tak reda malah lebih lebat mencurah. Aku senyum. Aku yakin, Akira Kurosawa pun pasti terilham untuk merakam babak ini dalam filemnya kalau melihat.
Aku tak tahu apa puncanya. Dan aku tak pasti apa kesudahannya. Hanya sahaja pandangan mata aku tertancap ke situ pada saat itu. Sesuatu yang selalu terjadi. Juga sesuatu yang tidak pernah orang lain mahu ambil peduli.
* * * * *
Apakah Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2015 mampu menjadi solusi dan mencapai matlamat dalam meladeni keperluan 9 bidang keutamaannya?
- Memartabatkan profesion perguruan
- Meningkatkan kepemimpinan sekolah
- Meningkatkan kualiti sekolah
- Memantapkan standard kurikulum dan pentaksiran
- Meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa
- Pembabitan ibu bapa, swasta dan sosial sebagai rakan kongsi
- Meningkatkan kesediaan murid untuk pendidikan tinggi dan pasaran kerja
- Memperbaiki kecekapan dan keberkesanan sumber
- Membina kemampuan dan keutamaan sistem penyampaian
2 ulasan:
wahh, macam masuk website kementerian pelajaran je ni. hikhik.
pada hemat saya, sbg anak pendidik, seperti tuan penulis juga, melihat gerak kerja mama, 9 bidang PPP bukan satu benda baru. ianya sebenarnya telah sentiasa ada cuma pada penggal ini, 9 isu ini dipilih menjadi fokus utama.
tapi kenapa kita masih begini? murid masih juga semakin tinggi rekod masalah sosialnya..
padaku, jawapannya ilmu. kita telah hilang penghargaan pada yang namanya ilmu. belajar demi segulung sijil, kemudian demi satu peluang kerja untuk rezeki sesuap nasi di dewasa kita. tak ada siapa yang salah. dunia telah memestikan kita sebegini.
ilmu. ia telah hilang nilai absolunya. pada siapa nak ditanyakan nilainya? orang yang faham dan tahu telah tiada/pupus. hanya tinggal kita, generasi yang bingung.
Persaingan mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan adalah sesuatu yang positif. Ia menggalakkan mereka mencungkil potensi dan mengerah minda bekerja kuat. Andai rahsia di sebalik kerja keras mereka ini diperhalusi, Maha Suci Tuhan, mereka akan mampu mengadaptasikannya dalam mengharungi kehidupan hari mendatang.
Sebaliknya, unsur luaran yang menekan agar mereka perlu dan mesti mendapat keputusan sebegitu dan sebegini, akan menyebabkan mereka hilang minat mengeksplorasi potensi diri sebaliknya hanya memenuhi tuntutan keadaan dan ekspektasi orang lain. Mereka adalah mesin pencetak A+.
Tenang. Saya pasti mereka juga bukan calang-calang kejadian. Suatu hari, merekalah pemerintah dunia. Mereka ini juga yang akan mendorong apresiasi ilmu dan memanifestasikannya dalam segenap aspek kemandirian tatacara kehidupan. Kalau bukan semua, pasti ada sebilangan.
Err, adik-adik, sambutlah kesempatan untuk belajar dengan hati yang lapang dan gembira. Kerana suatu hari, kalau tidak banyak, sedikit ilmu yang dikutip itulah yang mampu mendorong hati mencari cahaya tatkala gelita.
Catat Ulasan