Jumaat, Januari 30, 2009

Bertangguh Itu Pencuri Masa


"Bertangguh Itu Pencuri Masa"


Kata-kata di atas terabadi sebagai mural laluan tangga di Sekolah Rendah Agama Batu Laut dalam tulisan Jawi kira-kira 10 tahun yang lalu. Masihkah di situ tempatnya? Aku pun tidak tahu. Sudah lama tidak menjejak kaki ke sana. Kalau sampai pun, sekadar di perkarangan sekolah melangsaikan tanggungjawab sebagai abang paling mithali menjemput adiknya pulang sehabis kelas pengajian.

Namun kata-kata tersebut terus signifikan dalam kehidupan aku yang masih dan akan terus belajar. Walaupun teori tidak selalu diterjemah menjadi aplikasi, setidak-tidaknya ada waktu yang membuat aku tersedar kepentingan tidak mengamalkan prokrastinasi. Alangkah indah jika semua perumpamaan, pepatah mahupun peribahasa nenek moyang yang baik-baik diamalkan oleh cucu-cucu mereka.

Pagi ini, dengan kegigihan yang tiba-tiba membara, komputer riba dipangku dan tugasan pun dimulai. Aplikasi Remote Desktop memudahkan kerja kerana perisian ANSYS memang tidak dimuat turun dalam komputer peribadi. Maka perjalanan menyiapkan satu tugasan pun berlangsung. Pelbagai bahan rujukan disemak dalam memastikan kelancaran. Akhirnya dengan muka puas hati dan gembira bukan kepalang, tugasan yang diamanahkan akhirnya siap untuk dicetak dan dihantar keesokan harinya.

Maka lapanglah waktu sang pelajar. Jika dibandingkan hari ini dengan seminggu yang lalu, terasa jurang yang begitu jauh, dalam dan gelap. Hari ini seminggu yang lalu adalah momen untuk dilupakan. Kerja tertangguh bertimpa-timpa ditambah rasa cemas tidak tentu hala yang membuat hidup menjadi sukar. Itulah dia penangan menjadi seorang yang bergelar "Mr. Last Minutes".


Resolusinya di sini, janganlah kalian menangguhkan kerja. Ingatlah bahawa waktu itu umpama pedang. Jika anda tidak memotongnya, ia akan menyembelih anda. Hehehe. Renung-renungkan dan selamat beramal.

Sabtu, Januari 17, 2009

Hidup Umpama Roda Impian


Lagi 4 bulan saja tinggal sebelum aku mampu menggenggam segulung ijazah. Tak sabar nak habis ni. Tapi belajar malas. Dah rasa tak nak pegi kelas dah semester ni. Isk isk isk. Sabar Shafiq. Bila dah nak balik Malaysia buat selama-lamanya ni, banyak pulak benda nak kena fikir. Nak buang perabot kat rumah, nak jual buku, nak beli barang bawak balik, nak cari duit lagi. Tu la, masa ada duit bukan nak beringat. Entah mana hilang. Kalau nampak benda yang dibeli depan mata tak pe. Ini tak. Beli apa pun tak tahu. Tau-tau duit dah tak ada. Ngeng betul. Dulu bukan main konon nak simpan duit bawak balik Malaysia. At least bolehlah menampung hidup di kala zaman pengangguran. Tak pun merasa la gua motor RXZ baru ke apa. Alih-alih duit minyak motor pun belum tentu lepas.

Oh, sebenarnya nak tanya kat kamu, kamu, kamu, apakah yang perlu dibeli lagi untuk bawa balik Malaysia. Hikhikhik. Kak Rosita ngan Kak Jaja sure banyak cadangan nih.

Jumaat, Januari 16, 2009

Al Kisah Baling Kasut


Aku sangat tertarik dengan artikel respon terhadap peristiwa seorang wartawan, Muntazer Al-Zaidi membaling kasutnya ke arah mantan Presiden Amerika Syarikat George W. Bush ketika sedang berucap dalam sidang media di Iraq tidak lama dahulu. Ini dia artikel tersebut.

Selasa, Januari 13, 2009

Berkawat Lasykar Angkuh Berselendangkan Senjata

Ahad, 11 Januari 2009, bertempat di persimpangan Lincoln Way dan Grand Avenue, protes terhadap serangan bersenjata tentera Zionis di Gaza telah diadakan. Seramai lebih kurang 30 hingga 40 penduduk Ames yang perihatin terhadap keamanan dunia berkumpul di lokasi.

Protes yang diadakan selama sejam setengah mendapat respon positif dari masyarakat setempat khususnya komuniti Muslim di Ames yang beramai-ramai menyuarakan ketidakpuasan hati kepada kerajaan baru Amerika Syarikat dan juga kerajaan Israel. Beberapa sepanduk yang mengutuk kezaliman rejim Zionis dan sekutu diangkat dan mendapat sokongan tidak kurang sindiran daripada pengguna jalan raya yang melalui lokasi protes.

Diharap protes yang dibuat dapat membuka mata masyarakat setempat akan isu yang melanda Semenanjung Gaza yang telah berlarutan berpuluh-puluh tahun. Juga memberi kesedaran kepada saudara sesama Islam agar tidak hanya memejamkan mata dan sama-sama membantu saudara di Palestin.







Semoga aku juga tidak hanya bersemangat menyertai protes malah turut sentiasa sedar kesakitan yang dialami mereka yang di sana dan memanjatkan doa agar nasib mereka terbela. Terima kasih sahabat-sahabat atas mesej-mesej anda di Friendster, Facebook, emel, YM dan medium-medium lain tentang serangan di Gaza ini. Terima kasih.