Khamis, Februari 03, 2011

Dunia

Saban malam aku tatap skrin mata satu itu. Masa kecil dulu, pukul lapan saja aku sudah jadi bosan. Sebab orang dewasa mengambil alih giliran menonton televisyen. Aku tak suka tengok berita kecuali berita sukan. Aneh. Bila sudah agak sedikit remaja seperti sekarang, aku rasa menonton berita adalah sesuatu yang perlu (kalau bukan mengujakan). Sementelah membuang waktu sebelum masuk Isyak, ia adalah perkara paling mudah dan tanpa usaha keras untuk aku menokok tambah pengetahuan am.

Apa sudah jadi? Berita manusia mati. Mati tembak diri sendiri. Mati ditikam kawan baik. Mati eksiden. Mati sebelum sempat hidup lama. Semua berita mati. Aku mati kutu. Semurah inikah harga nyawa? Dunia makin gila. Ah, bukan dunia yang gila, tapi umat yang mendiami bumi ini yang gila. Gila harta, gila kuasa, gila babi. Sebab itu banyak manusia yang lebih jahat dari setan.

Tengoklah apa yang sedang berlaku sekarang. Mereka yang tertindas sudah tidak boleh diam. Harus bersuara. Harus bertindak. Harus tuntut bela. Ini kisah seram bukan dalam filem. Ini kisah seram yang bukan cobaan. Ini betul-betul. Apa khabar saudara yang ada di bumi para rasul sana? Moga dapat bertahan. Setiap perubahan ada harga yang perlu dibayar. Mereka sedang membayarnya. Mesir, Tunis dan Yaman.

Dan bila datang yang hak, maka terhapuslah yang batil.

* * * * *

Gelisah tak bermaya
Manipulasi angkara kita
Dan bencana yang melanda
Generasiku menjadi mangsa

Dan ini bukan lagi
Seperti yang kau impikan
Percaya kataku

Aku bimbangkan dunia
Tiada cahaya ku terima
Aku tentang segalanya
Moga kau kan turut serta

Secara tak langsung Bunkface jadi relevan.

Tiada ulasan: