Ahad, Julai 31, 2011

Syahrul Azim

Teguh iman. Ya Allah, telah Kau sampaikan padaku kesempatan yang bukan sedikit. Yang hanya perlu aku kutip. Sepanjang hadirnya limpahan kasih sayang Mu yang meruah ini, izinkan aku menghirup kemanisannya sepuas-puas. Dan apabila aku tewas oleh pekikan nafsuku sendiri, datangkan nur yang menyuluh terang jalanMu. Kau teguhkan sinaran iman agar ia takkan sirna setelah habisnya kitaran purnama Ramadan ini. Allah. Allah. Allah.

Ahad, Julai 24, 2011

Cherry Blossom Love Story

Majoriti kata zaman kanak-kanak adalah berlian. Zaman yang apabila terkenang pasti mengembalikan ukiran senyum waima kelat mana pun kedaifan hari ini dan gelap mana pun masa hadapan. Tapi kanak-kanak juga punya hodohnya. Kejujuran dalam diri akan dizahirkan tanpa was-was. Dan selalunya ia akan membawa kepada pertengkaran, esak tangis dan derai tawa. Semua dalam satu masa.

Kanak-kanak yang belum kenal erti demokrasi terpimpin malah tidak tahu hidup mereka adalah atas ehsan subsidi seringkali bergurau hingga terlebih sudah. Gurauan paling popular pastinya mengejek nama bapa, emak, datuk, nenek, moyang hingga seluruh salasilah keluarga rakan mereka diselongkar. Malah nama-nama tersebut diubahsuai kepada perkataan lebih menyakitkan hati bagi menambah after-effect ejekan tersebut sehebat after-taste selepas makan durian musang king lebih 15 ulas.

Juga mereka sering menggelar. Ini memang tidak selaras tuntutan Al Quran yang melarang menggelar dengan nama-nama yang tidak elok. Sebagai contoh, Ayam, Kambing, Itik, Babeng, dll (sekadar menyebut beberapa nama). Sedangkan nama yang diberi memiliki maksud yang indah seindah penciptaan manusia itu sendiri. Bayangkan jika nama seunik Febriani Ferdzilla dipanggil Ketot. Dan bayangkan kalau nama yang gah seperti Charlotte Marie Pomeline Casiraghi dipanggil Kemek. Pasti mereka marah dan tidak suka. Fitrah manusia memang tak akan suka.


Ini realitinya. Dan ia pernah terjadi pada zaman kanak-kanak aku, sebelum itu, selepas itu dan sekarang. Aku harap ia berkurang zaman mendatang. Sebab sangat tak best bila terkenang nama-nama moyang aku diejek-ejek. Lantas atas dasar hutang darah dibayar darah, aku pun ejek balik. Siap dengan bin/binti lagi. Dan kalau boleh diputar waktu, aku mahu lekat pita selofan atas mulut aku dan semua kawan-kawan agar kami tak jadi sebut yang jelik-jelik itu.

* Nampaknya tulisan ini tiada sinkronisasi dan alunan bahasanya sangat cacamarba. Tidak sesedap bubur caca dan tidak secantik Irina Shayk.

Selasa, Julai 19, 2011

Damasutra - Seribu Bayangan

Bagio pernah beri kalam hikmah. "Kerana kita rasa bangga bila dipuja dan rasa keji bila dihina". Bahkan. Fitrahnya manusia akan kembang hidung dan bontot pabila dipuja-puji. Terlambung-lambung ke awan sembilan. Tercampak ke kayangan bertemu puteri bongsu paling cantik sekelian alam. Dan fitrah juga manusia rasa kecil besar kecil besar bila dihina-dina. Terpontang-panting lariannya sambil menutup muka dengan plastik sampah warna hitam tak mahu tunjuk muka dan batang hidung pada satu makhluk bernyawa pun.

Dan apabila pujian diterima di waktu yang paling tak tersangkakan, perasaan gembira bukan kepalang hadir mencurah-curah seperti pancuran air suam yang menyegarkan ketika suhu musim dingin mencecah negatif 33 darjah sentigred. Maka satu hari itu kalau terserempak dengan kuntilanak pun terasa seperti bertemu janji dengan Kristina Cempaka. Err, takpun Shireen Sungkar.

* Bila agaknya Rock Ooo.. nak siap Mamat Khalid? Tak sabar nak tengok Amy Mat Piah dan rakan-rakan Rimba Bara mengembalikan nostalgia Rock Car Park di Malaya. Muahaha.

Sabtu, Julai 16, 2011

Black Dog Bone - Bahagia Dan Derita

Pernah satu ketika, aku pandang dunia umpama satu kadbod hitam. Semua hitam. Lalu aku gapai satu bolpen yang juga berwarna hitam. Aku conteng kadbod itu. Aku mundur beberapa langkah ke belakang. Lalu aku tertawa. Lihatlah Dunia, kerosakan yag aku buat. Sama sekali tak mencacatkan engkau. Kau kekal hitam. Aku ngarep. Sampai hidung aku bersentuhan dengan kadbod. Aku lihat contengan tadi. Hitam. Tapi tak sama kehitaman kadbod. Bibir mencebik.

Aku tahu aku salah. Sebab kadbod itu bukan dunia. Kadbod itu dunia ciptaan aku. Dunia anti-utopia. Sebab kala itu aku lihat semua jahat. Sudah tiada lagi orang baik. Tiada benda baik. Yang zahirnya baik pun aku rasa ada tersembunyi kejahatan yang maha dahsyat. Jahat. Aku jahat. Kau jahat. Semua jahat. Jadi macam mana nak keluar dari kejahatan? Kalau di keliling semua jahat?

Rupa-rupanya, orang baik, benda baik, dan yang baik-baik wujud. Tapi selalu terlindung oleh pandangan aku terhadap dunia yang hitam itu. Maka bila pandangan jahat itu terubahkan kepada pandangan yang lebih baik. Lebih positif. Maka dunia bagi aku tidak lagi hitam. Tapi terang memancar.

* Bila ada pelajar sekolah menengah berpakaian sukan sekolah, menghampiri sambil tersenyum dan mengucapkan lafaz agung. Lafaz "Assalamualaikum" yang sudah jarang hinggap di bahuku dan tertangkap oleh telingaku. Bila lafaz itu hadir, ia adalah magis dari Allah yang memindahkan kebahagiaan dan kesejahteraan dari satu entiti ke entiti lain tanpa perlu modal hatta sezarah pun. "Waalaikumussalam Warahmatullah". Adik, moga bahagia dan sejahtera yang aku dapat, dapat juga pada umat manusia lainnya.

Sabtu, Julai 09, 2011

Mana Asakura Keita?

Mengapa masalah ini terjadi? Tanyakan sahaja pada Menteri Pendidikan. Pada Perdana Menteri. Pada Ketua Pembangkang. Pada suku-sakat, sahabat-handai mereka. Pada hartawan yang tiba-tiba jadi jutawan. Pada cendekiawan yang hebat hujah dan syarah. Pada spekulator yang senyum malu-malu. Pada yang dapat habuan. Yang menikmati hasil-mahsul negara dan melegarkannya di kalangan mereka.

Suruh mereka bagi jawapan. Akan bila waktunya korupsi yang berakar-umbi ini akan berhenti.

Aku bukan mahu banyak. Cukuplah kalau mereka hormat orang kecil (macam mana nak jamakkan ek? orang-orang kecil, salah. orang kecil-kecil, err. orang kecil-orang kecil, erk.) yang bayar ufti untuk dijadikan gaji mereka.

Ahad, Julai 03, 2011

Those Little Messengers


Melihat adik-adik di sekolah tertawa riang, bergurau senda dan beraktiviti memberikan kepuasan yang tidak sedikit. Pada wajah mereka terpancar sinar yang jarang terdapatkan pada wajah-wajah orang dewasa. Mereka kurniaan Tuhan kepada dunia. Anugerah daripadaNya untuk menaturalkan koefisi kegembiraan dan kedukaan. Pada mereka banyak ibrah yang boleh diambil. Pada mereka banyak titik positif yang boleh disalurkan pada jiwa-jiwa yang bermuram durja. Mari wahai kawan. Aku dan kamu. Kita lihat adik-adik kecil kita. Kita amati tanda-tanda kebesaran Allah yang disampaikan melalui mereka.