Ahad, Julai 24, 2011

Cherry Blossom Love Story

Majoriti kata zaman kanak-kanak adalah berlian. Zaman yang apabila terkenang pasti mengembalikan ukiran senyum waima kelat mana pun kedaifan hari ini dan gelap mana pun masa hadapan. Tapi kanak-kanak juga punya hodohnya. Kejujuran dalam diri akan dizahirkan tanpa was-was. Dan selalunya ia akan membawa kepada pertengkaran, esak tangis dan derai tawa. Semua dalam satu masa.

Kanak-kanak yang belum kenal erti demokrasi terpimpin malah tidak tahu hidup mereka adalah atas ehsan subsidi seringkali bergurau hingga terlebih sudah. Gurauan paling popular pastinya mengejek nama bapa, emak, datuk, nenek, moyang hingga seluruh salasilah keluarga rakan mereka diselongkar. Malah nama-nama tersebut diubahsuai kepada perkataan lebih menyakitkan hati bagi menambah after-effect ejekan tersebut sehebat after-taste selepas makan durian musang king lebih 15 ulas.

Juga mereka sering menggelar. Ini memang tidak selaras tuntutan Al Quran yang melarang menggelar dengan nama-nama yang tidak elok. Sebagai contoh, Ayam, Kambing, Itik, Babeng, dll (sekadar menyebut beberapa nama). Sedangkan nama yang diberi memiliki maksud yang indah seindah penciptaan manusia itu sendiri. Bayangkan jika nama seunik Febriani Ferdzilla dipanggil Ketot. Dan bayangkan kalau nama yang gah seperti Charlotte Marie Pomeline Casiraghi dipanggil Kemek. Pasti mereka marah dan tidak suka. Fitrah manusia memang tak akan suka.


Ini realitinya. Dan ia pernah terjadi pada zaman kanak-kanak aku, sebelum itu, selepas itu dan sekarang. Aku harap ia berkurang zaman mendatang. Sebab sangat tak best bila terkenang nama-nama moyang aku diejek-ejek. Lantas atas dasar hutang darah dibayar darah, aku pun ejek balik. Siap dengan bin/binti lagi. Dan kalau boleh diputar waktu, aku mahu lekat pita selofan atas mulut aku dan semua kawan-kawan agar kami tak jadi sebut yang jelik-jelik itu.

* Nampaknya tulisan ini tiada sinkronisasi dan alunan bahasanya sangat cacamarba. Tidak sesedap bubur caca dan tidak secantik Irina Shayk.

Tiada ulasan: