Sabtu, Julai 16, 2011

Black Dog Bone - Bahagia Dan Derita

Pernah satu ketika, aku pandang dunia umpama satu kadbod hitam. Semua hitam. Lalu aku gapai satu bolpen yang juga berwarna hitam. Aku conteng kadbod itu. Aku mundur beberapa langkah ke belakang. Lalu aku tertawa. Lihatlah Dunia, kerosakan yag aku buat. Sama sekali tak mencacatkan engkau. Kau kekal hitam. Aku ngarep. Sampai hidung aku bersentuhan dengan kadbod. Aku lihat contengan tadi. Hitam. Tapi tak sama kehitaman kadbod. Bibir mencebik.

Aku tahu aku salah. Sebab kadbod itu bukan dunia. Kadbod itu dunia ciptaan aku. Dunia anti-utopia. Sebab kala itu aku lihat semua jahat. Sudah tiada lagi orang baik. Tiada benda baik. Yang zahirnya baik pun aku rasa ada tersembunyi kejahatan yang maha dahsyat. Jahat. Aku jahat. Kau jahat. Semua jahat. Jadi macam mana nak keluar dari kejahatan? Kalau di keliling semua jahat?

Rupa-rupanya, orang baik, benda baik, dan yang baik-baik wujud. Tapi selalu terlindung oleh pandangan aku terhadap dunia yang hitam itu. Maka bila pandangan jahat itu terubahkan kepada pandangan yang lebih baik. Lebih positif. Maka dunia bagi aku tidak lagi hitam. Tapi terang memancar.

* Bila ada pelajar sekolah menengah berpakaian sukan sekolah, menghampiri sambil tersenyum dan mengucapkan lafaz agung. Lafaz "Assalamualaikum" yang sudah jarang hinggap di bahuku dan tertangkap oleh telingaku. Bila lafaz itu hadir, ia adalah magis dari Allah yang memindahkan kebahagiaan dan kesejahteraan dari satu entiti ke entiti lain tanpa perlu modal hatta sezarah pun. "Waalaikumussalam Warahmatullah". Adik, moga bahagia dan sejahtera yang aku dapat, dapat juga pada umat manusia lainnya.

Tiada ulasan: