Nampaknya nilaian kejayaan di mata manusia, pada saat ini, pada zaman ini, adalah berpaksikan materi. Anda adalah lelaki paling kacak kalau anda memiliki Lamborghini Aventador LP700-4. Anda lelaki paling tampan kalau anda punya rumah banglo bertingkat-tingkat berbentuk lambang Dollar dari sisi pandang atas. Anda lelaki paling menawan kalau anda punya tunai lebih banyak dari jumlah total pelaburan KWSP seluruh Malaysia. Anda adalah lelaki yang berjaya. Tahniah.
Masyarakat tidak akan mempersoal bagaimana anda memperoleh kekayaan tersebut walhal anda hanya lulus darjah 5. Masyarakat tidak akan peduli kalau sumber pendapatan anda meragukan, jatuh hukum makruh hatta haram sekalipun. Masyarakat tidak mahu tahu helah dan tipu daya, wujud elemen pemerdagangan manusia, persundalan, risywah dan segala bagai gejala kotor yang tercampur dalam jalur masa keberhasilan wang itu. Yang penting hanya produk akhir. Berapa banyak yang anda hasilkan.
Banyak? Infiniti? Wah! Kamu calon menantu ummi dan abi. Bolehlah kami menumpang senang. Tercapailah hasrat kami menjejak kaki ke Tanah Suci malah melangkau ke negeri-negeri percutian lainnya. Merasalah kami tilam empuk, makan mewah, barang kemas berselirat dan hidup yang lebih aman, bahagia, sentosa dan mengasyikkan. Bolehlah kami menghabiskan sisa-sisa hidup dengan manfaat. Ah, hidup ini indah rupanya. Siapa kata wang tidak boleh beli bahagia? Sebut sahaja harganya. Kami bayar.
Islam itu syumul, kawan-kawan. Aku memamg bukan orang yang layak memberi ceramah keagamaan. Ilmu kurang, hafalan rosak, pidato sumbang, amal tak banyak. Tapi kawan, aku tahu sedikit. Sedikit yang bayyin. Garis panduan muamalat yang telah diwariskan junjungan besar. Yang patut kita patuh. Selagi apa yang anda lakukan selari dengan tuntutan, tidak menyimpang dari jalannya. Lakukanlah. Carilah rezeki dari rahsia-rahsia Tuhan yang tersembunyi. Moga ia memberi keberkatan dan menjadi suri petunjuk yang membawa anda dan orang sekeliling termasuk aku ke arah redaNya.
Ingatlah harta, takhta dan wanita itu datang dengan ujian. Dan telah ramai yang tewas. Apakah kita tergolong dari kalangan mereka yang mengambil pelajaran darinya? Astaghfirullah.
* Penulisan ini juga ujian untuk si penulis. Ini ujian yang berat. Ya Allah, permudahkanlah urusanku, keluargaku, sahabat-sahabatku serta muslimin muslimat lainnya.
2 ulasan:
maka tuan penulis sendiri, menilai mengikut ukuran yang mana satu?
'dan sutera tak sebangsa dengan benang' kata seorang yang kusertai dengan anggukan di baliknya. ya begitulah, engkau sutera dan aku benang. menurut ukuran ilmu, dari pemandanganku.
semoga selamat-selamat selalu, di mana jua berada.
hamba adalah produk sistem pendidikan pasca penjajahan. dan hamba harap tuan hamba hadir dapat mengubah cara hamba menilai. moga satu hari sutera dan benang bercantum jadi hiasan amat tinggi harganya.
Catat Ulasan