Jumaat, Jun 29, 2012

Begitu Dekat Namun Begitu Jauh

Di hadapan kau manusia-manusia berpelajaran. Yang punya visi seluas jajahan langit dan bumi. Juga misi besar menghubungjalinkan imaginasi dengan praktikaliti. Ilmu mereka dahsyat. Memori mereka malah lebih menakutkan. Kalau kau melihatnya dengan pandangan hasad, ia akan jadi menjengkelkan. Sebaliknya, jelinglah dengan jelingan mengangkat dan memartabat. Nescaya dikau temukan definisi kagum dan takjub.

Lalu salah seorang daripada mereka datang merapati. Senyum balas senyum. Ketulan ais yang beku dan sejuk perlahan-lahan mencair oleh hangat sapa mesra. Sembang kosong jadi penuh. Bual bicara santai bertukar serius. Survival negara, masa depan bangsa, letak duduk nusa, manifestasi agama. Kalaulah tenaga manusia dijadikan tanpa limitasi, kau yakin diskusi ini masih tak nampak penghujung.

Lalu kau tanyakan padanya apakah nasib warisan yang makin dilupakan. Adakah ia akan hanya jadi topik perdebatan. Ataukah hanya laku di dada akhbar yang tiada sambutan. Atau hanya hiasan dinding mengenang zaman kegemilangan. Ataupun sekadar pelengkap silibus matapelajaran sekolah yang kalau adapun boleh, kalau tiadapun boleh. Atau menjadi sinonim kepada satu-satu golongan dan lama-lama berubah jadi stereotaip.

Jawapannya sangat mengejutkan. Dia mengakui warisan peninggalan itu harganya mahal. Seharusnya dipelihara malah dipulihara. Ditanam semat dalam nubari dan sukma jiwa-jiwa pewarisnya. Biar tak lapuk dek hujan. Tak pula lekang dek panas. Biar kesinambungannya bergerak dengan lokus yang cantik dan lancar. Tapi sayang seribu kali sayang. Dia juga mengakui warisan itu tidak lagi mengalir di pembuluh darahnya. Dia hanya mampu berharap tanpa tahu menghulur solusi.

Tak lama dia pun berlalu. Kau hantar dia pergi dengan renungan jauh dan helaan nafas yang panjang. Kenapa jadi begitu?  Tak ramai rupanya yang tahu. Ia makin pupus. Bayangan orang tua separuh abad itu datang lagi. Pesannya, "Melayu itu tulisannya jawi. Hilang itu, hilanglah peradaban."

dari sini




Tiada ulasan: