Perca-perca kehidupan. Warna yang pelbagai. Motif yang aneka. Nuansa yang berbeza. Kukumpul-kumpul jadi satu mahakarya. Yang indah tapi membingungkan. Yang mulus namun misteri.
Butang 1 pada alat kawalan jauh itu aku tekan. Kaget. Maha Suci Allah dengan segala kemahaluasan kerajaanNya dan kemahakayaan ilmuNya. Pasti. Tidak akan dilambatkan dan tidak akan dipercepat kematian. Cedera yang fatal di kepala, leher dan dada. Penamat riwayat jaguh permotoran dalam pembikinan. Marco Simoncelli.
Panas dan lembab bumi Sepang menjadi saksi tragedi itu. Walau tidak segah The Doctor ataupun legenda lumba motor lain seperti Mick Doohan, Wayne Rainey, Kevin Schwartz, Max Biaggi, et cetera. Namun kematian mendiang tetap diratapi dan ditangisi. Benarlah kata orang, manusia memang mati meninggalkan nama.
Aku mundur. Rasa terkejut itu masih bersisa. Diam-diam aku berdoa. Moga pengakhiran aku dan mereka yang aku sayang serta manusia amnya akan terhenti di noktah yang baik.
Mahakarya yang tercipta itu milikNya yang hakiki. Aku diberi pinjam. Dan aku masih belum mahu bersyukur? Atau sudah cukupkah syukur yang aku lahirkan?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan