Waktu itu musim sejuk. Salji yang turun semalaman telah mengeras menjadi ais. Ia akan kekal di situ buat beberapa lama. Menunggu penyaluran tenaga haba yang membolehkannya mencair dan mengalir ke perut bumi. Diresap dan diserap oleh daun-daun halus dan tanah beku. Ngilu tapi nyaman.
Aku benci. Kaki lima diturap lapisan ais. Licin, sejuk, kotor. Silap kau melangkah, tersembam di khalayak. Terbenam dalam lapisan salji bersama-sama rasa malu yang membengkak. Saat maki hamun terburai pantas dari bibir yang pucat, aku lupa makhluk lain di keliling sedang giat merafak zikir. Istighfar.
Memang selalu begitu. Terlanjur lepas, baru menyesal. Dah terhantuk, lama sekali tengadah berselang. Mujur Tuhan itu Maha segalanya. Segala puji bagiNya. Masih Kau sayang akan diri ini. Masih Kau izin kalimah suci terungkap lepas baru sebelumnya menyumpah laknat apa sahaja yang terlintas.
Jeans lusuh itu sudah basah dan bernoda lumpur. Lutut luka seribu rindu. Aku bangun, bersihkan apa yang patut dan mara berhati-hati ke tempat menunggu. Bas 21 berwarna kardinal menghala ke Frederiksen Court tiba. Lelaki pertengahan usia dengan rambut keriting paras bahu tersenyum mesra. Beliau mengenakan jaket musim sejuk bersama seluar pendek. Pedal minyak ditekan, kenderaan penumpang itu laju meredah dingin.
Aku mengenakan fon telinga yang tersambung iPod Nano 3rd Gen. Kencang irama All American Girl verse akhir berkumandang. Habis diputar, Selamanya Cinta pula menyusul. Aku menyemak nota pelajaran. Menyedapkan hati sendiri. Eskapisme dari terus terbuai rasa bersalah oleh usaha yang tak seberapa. Loceng bas dibunyikan. Aku melangkah lesu. Tuhan, tolong aku.
Apa yang kamu usahakan, itulah yang layak bagi kamu. Man Zaro'a Hasoda. Alhamdulillah. Aku ucap pula pada si dia Yarhamukallah. Suatu masa nanti, di hari yang indah, aku pasti akan lahir regret jauh di sudut kamar hati aku. Sesal akan apa yang aku mahu tapi tidak aku lakukan. Sesal yang tidak berpendapatan. Tapi sesalan itu harusnya aku jadikan sebagai input membina. Yang menjadi batu asas kejayaan masa hadapan.
Ceritera ini, hikayat ini mungkin cuma sebuah retorik. Yang bersifat populis. Yang berkepentingan siasah. Tapi moga ada yang dapat aku ambil supaya ia menjadi sebuah cereka yang berkebajikan dan melahirkan lestari kebaikan. Yang tersangkut walau secebis hati yang makin kotor oleh yankusnya iman. Agar ia kembali putih, suci dan terhormat.
Bawah cermin kopak itu ada kotak yang di dalamnya tersembunyi tempurung tempat katak melalak. Lepaslah katak itu. Biar ia melihat dunia. Buruk baiknya. Biar ia nilaikan sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan