Semalam aku jadi saksi sebuah panorama. Kenyataan, realiti yang tak pernah aku bayangkan. Yang mungkin sahaja telah, sedang dan akan berlaku setiap kali menjelangnya hari kebesaran. Orang ramai berlumba-lumba mendapatkan keperluan. Berasak-asak merebut kemahuan. Aku lihat sebuah Indonesia, atau sebuah India dalam gudang kerepek di Malaysia.
Pagi itu, rancangku mahu ke sana bagi memenuhi kiriman teman sekerja yang mahukan beberapa aneka kerepek dari Banting. Kalau diikutkan hati, aku memang tidak suka (belum jatuh benci) apabila dikirim-kirim sebegitu. Bukan tidak mahu membantu, tapi cuma tidak selesa hidup di atas ekspektasi orang. Yang akhirnya membuat aku rasa bersalah apabila tuntutan dan harapan mereka tidak dapat aku penuhi.
Kebetulan, Puan Mama dan Encik Abah singgah di rumah. Lalu aku membujuk rayu Puan Mama untuk menemankan aku ke sana. Puan Mama bersetuju dengan godaanku dan menurut aku ke venue yang aku hajati. Sampai ke destinasi, alangkah terkejutnya kami. Orang ramai berbondong-bondong memenuhi gedung kerepek tersebut. Umpama ada pesta malam minggu yang mengundang penyanyi paling top seluruh Malaya.
Premis kerepek tersebut sangat sesak. Bahu berlaga bahu. Langkah tak dapat diorak. Umat manusia lebih banyak dari kerepek yang tinggal di rak jualan. Entah macam mana, kami berjaya menyusup sampai ke pintu yang memisahkan ruang jualan dengan kawasan kerepek dipek semula. "Kerepek pisang habis!" Laung seorang gadis. Pekerja yang bahang tekanan perasaannya mungkin sudah sampai tahap gelegak.
Datang seorang lagi gadis dengan 3, 4 bungkusan kerepek ubi pedas kering seberat 1/2 kg setiap satu. Mereka yang berkumpul rapat-rapat di sekitar pintu, masing-masing menghulur tangan. "Ah, ini dah macam orang berebut makanan bantuan perang daripada NATO. Macam dalam filem Hotel Rwanda." Teriak hati kecil aku. Aku geleng kepala. Kerepek tak lagi mengghairahkan aku.
Aku cari Puan Mama. "Macam mana ni Ma?" Tanya aku minta pandangannya. "Entah. Ikut kaulah." Jawabnya ringkas. Aku tahu dia tidak selesa dengan keadaan seperti itu. Aku yang mewarisi setiap penjuru biologi miliknya faham benar naluri itu. Lalu aku putuskan kami pulang dengan tangan kosong. Esok, bila datang hari yang lapang, aku akan datang semula. Dengan harapan agar masih ada kerepek untuk dibeli.
Sampai begitu sekali kegilaan orang kita membuat persiapan raya. Tak hairan kalau pemacu perusahaan kecil sederhana adalah jutawan yang mengagumkan. "Mama tak pernah tengok kilang kerepak sesak macam ni." Aku senyum dan membalas dalam hati. "Bang Cik pun sama."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan