Sedang duduk-duduk menanti azan Jumaat dikumandangkan, aku meninjau kelakuan adik-adik sekolah tahfiz barangkali. Penuh warna-warni. Ada yang tertib dan menjaga tingkah. Ada yang gemar mengusik. Ada yang tumpang sekaki bergurau senda dengan si pengusik. Ada yang khusyuk tawaduk hingga kepala mencecah lantai, mujur tiada dengkur. Ada yang sibuk membetulkan lilit serban sendiri dan rakan sebelah.
Aku senyum. Lantas terkenang zaman aku sebaya mereka. Pakaian kami sama ada seragam sekolah hari Jumaat (baju Melayu putih lengkap bersamping) ataupun jubah putih, berkopiah putih pula. Pelajar tingkatan 4 kala itu diwajibkan membawa buku tazkirah. Arahan exco-exco Badar dan ketua-ketua pelajar, catat segala isi khutbah Jumaat. Tujuannya, menambah ilmu di dada, elak rasa kantuk dan elak jadi mangsa mereka waktu Liqa' Muhasabah.
Memang leceh. Tapi berkesan melawan rasa ingin tidur. Sesekali, aku dapati catatan dan isi-isi khutbah boleh digunapakai sewaktu menjawab soalan karangan Bahasa Melayu Kertas 2. Entah di mana buku itu saat ini. Namun, kalau penat melingkari tubuh, minda lesu, nafsu pun mengambil peranan. Tidur juga. Tersengguk-sengguk itu perkara biasa. Sedar sebentar mengaminkan doa antara 2 khutbah. Jemaah lain siap menyapu tangan ke muka, kami masih terus doa dan berdoa. Sampailah khatib singgah ke frasa "Aqimussolah!". Kelam-kabut mengesat liur dan membuang tahi mata.
Persediaan menghadapi sesuatu memang penting. Sebab itu banyak perkara sunat yang dianjurkan untuk dilakukan sebelum para Muslim datang berhimpun untuk solat Jumaat. Perhimpunan rasmi mingguan. Penghulu hari. Pahala diganda. Dosa diampun. Hari perayaan. Tiap kali mengaminkan Fatihah secara berjemaah, hati aku diterang cahaya. Amin. Gema perkataan itu sangat ajaib. Ia simbol penyatuan, kemegahan dan keindahan. Mendengarnya terasa sayu, gerun dan senang secara serentak.
Muazzin bertasbih. Tanda bang akan dikumandang sebentar lagi. Aku tersentak. Baru teringat yang aku belum berniat iktikaf usai solat sunat tahiyatul masjid tadi. Aku semat azam untuk tidak tunduk tertidur semasa khutbah nanti. Aku harus kuat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan