Rabu, Mei 09, 2012

Devon Loch

Mereka mengaku mereka pejuang seni. Landasan yang mereka lalui terpencil oleh arus perdana. Bangga. Mereka tidak segan silu menyuarakan ideologi. Tegas menyatakan pendapat. Lantang membentang hujah dan fakta. Mereka malah bebas meneroka setiap inci imaginasi.

Ya, mereka insan-insan yang besar potensi diri. Mereka mengekspresi diri cara sendiri. Mengubah dunia. Mengubat persepsi. Menukar yang tabu jadi apresiasi.Kadangkala membenci. Selalunya menyayangi. Sekali sekala disenangi. Acap kali sukar dimengerti.

Tidak salah punya idea sendiri. Tiada dosa menghalusi seni. Mencabar kreativiti. Silalah memburu rektifikasi seberapa lapis dimensi. Pergilah terjun ke jurang transmisi rahasia bumi. Lalu pulang membawa justifikasi berani mati. Kau berhak mengimprovisasi. Kau bisa menikmati.

Tapi ingat, dunia dan seluruh bimasakti kepunyaan Ilahi. Dia yang hakiki. Lesen kreatif yang diberi bukan sebagai ejen penyebar benci. Bukan caranya seni itu jadi benteng kukuh menghalalkan fiksi keji. Timbullah debat istilah. Kolot. Urban. Buka minda. Syadid. Luar kotak. Tempurung.

Insan terpilih nan istimewa. Ya, anda istimewa. Anda dilahirkan berkelebihan. Seni yang mengalir di dalam pembuluh darah anda alangkah bagus kalau disalurkan ke arah hidayah. Menuju taufik. Mata pena, hujung berus lukis, merdu suara si buluh perindu, liuk-lentok bahasa tubuh, minda yang cerdas, malah apa sahaja yang namanya seni.

Biar aku dan mereka yang lain menikmati sambil menginsafi. Kenyang minda, kenyang hati. Puas pancaindera, puas juga rohani. Boleh. Kita semua boleh. Aku di sini, menanti hasilnya nanti. Untuk dinikmati dan disemat dalam hati. Jadi pembakar semangat. Jadi azimat.


2 ulasan:

Lily Harina berkata...

sementara menanti, tuan juga boleh muncul sebagai penghasil karya untuk kami nikmati sambil insafi dan seterusnya terlantar kekenyangan minda dan hati. kan? tak perlu sasar pada audiens yang ramai, mulalah dengan kecil-kecilan, untuk kami-kami di sekeliling.

entri ini jadi bukti. dan ruangan ini jadi tapaknya kepada ruangan yang lain. tuan telah pun menjadi penulis terunggul di hati pengunjung. :)

'Boleh. Kita semua boleh.'

warx.hensem berkata...

Puan Yang Dikasihi,

Terima kasih atas lambungan pujian yang menghangatkan. Mungkin akan Puan Yang Dikasihi temukan karya itu. Atau mungkin tidak. Kemungkinannya ada. Biar masa dan tempat sahaja yang menentukan. Sampai saat itu, moga bertemu kembali.

Hahaha