Orang Malaysia memang selalu berbangga dengan santun bicara, manis senyum dan lembut perilaku. Banyak yang mengaku masih mempertahankan adat san susila ketimuran. Malah tanpa silu mewara-warakan kepada dunia, bahawa merekalah bangsa negara yang ramah-tamah dan saling menghormati.
Tapi semua itu tiada aku lihat. Kamu pergilah ke mana sahaja. Masyarakat yang sama, namun tiada lagi garis senyum kelihatan. Tiada lagi budi bahasa. Bagi mereka, dunia ini hanya tentang mereka. Orang lain ditinggalkan corot dalam senarai prioriti.
Mari membanding mereka dengan gadis/makcik/nenek Walmart. Memang tidak mungkin kita dapat satu-satu perbandingan yang adil. Ini kerana subjek yang dinilai mungkin berbeza budaya, geografi, intelektualisme, et cetera. Namun pada asasnya subjek yang ini adalah sama. Manusia. Yang memiliki fitrah yang sama. Yang asal jadinya adalah tanah. Yang diiktiraf khalifah muka bumi. Yang diberikan akal dan nafsu.
Jadi mengapa, ada yang hidup dengan bongkak dan sombong. Bagaikan mereka itu setingkat lebih mulia dari yang lain. Atau berasa darjatya lebih tinggi. Menganggap orang lain seperti pariah dan dirinya adalah brahmin. Andai kata ada perkara yang menyakitkan hati dan mata, tidak bolehkah bereaksi secara rasional dan positif. Mengapa perlu sampai berbunuhan, caci-cerca dan provokasi.
Panduan hidup telah lama ada. Dari adab yang sekecil-kecil, cara muamalah, hinggalah perkara-perkara fundamental dalam aspek penyatuan masyarakat, pembinaan negara serta pengukuhan agama. Tiada rugi menghulurkan senyum dan menegur secara baik. Kan memang fitrah manusia sukakan yang indah-indah. Kalau dapat yang indah, nyata sahaja balasan yang akan diberi adalah indah juga.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan