Selasa, Disember 28, 2010

Tahniah

Selamat Pengantin Baru & sekalung tahniah buat Mohd Asmawi Abu Bakar & Husna Abdullah atas rumah tangga yang baru dibina. Moga ikatan tulus suci dan murni ini berkekalan dunia akhirat. You two made a lovely couple.

Tahniah kepada kenalan sahabat handai yang sudah & akan berkahwin, menyambut hari lahir, meraikan apa sahaja kegembiraan dalam hidup. Aku berdoa agar kita semua berada di atas landasan yang benar selamanya dan ditunjukkan kemudahan dalam perkara kebaikan.

Tahniah juga buat pasukan Harimau Malaya yang berjaya mengalahkan pasukan Indonesia pada perlawanan akhir timbal balik pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kini anda sudah sebelah tangan menggenggam Piala Suzuki AFF. Pastikan sebelah tangan lagi mencengkam erat piala tersebut di Stadium Gelora Bung Karno.

Tahniah kepada penyokong bola sepak yang menjaga adab, tertib dan solat mereka. Semangat kesukanan yang tinggi tanpa mengabaikan hukum Tuhan adalah benda yang sangat dituntut dan dikagumi. Kepada yang bermain laser pointer, you're such a disgrace.

Khamis, Disember 23, 2010

York

Bukan. Bukan pasal York di United Kingdom. Juga bukan pasal New York di United States. Ini pasal aircond York. Aircond yang membuat aku menggigil kesejukan saban waktu. Kadangkala dinginnya tak terasa tatkala aku diperlakukan seperti sahaya.

Oh, ini sebenarnya pasal gadis yang menyumbang suara untuk iklan York di radio. Dialog yang dilontarkan aku kurang ingat tapi lebih kurang begini. "Abang, Bang! Sudah beli aircond untuk rumah baru kita ke?" "Ala, Ina nak aircond York, macam yang kat rumah Dato'!" "Ina tau, abang mesti buat keputusan yang bijak!"

Siapakah gerangannya? Hidup memang penuh tanda soal.

Sabtu, Disember 11, 2010

Kota i

i-City is overrated. Berduyun-duyun manusia termasuk aku dan mereka yang rapat dengan aku mengunjunginya. Pelbagai ragam dan karenah manusia dipaparkan seperti menonton adegan drama Korea. Suasana yang pasti memberi senyuman paling indah buat pengkaji tingkah laku manusia kerana akan ada hasil besar yang akan di bawa pulang. Tesis setebal dua inci pasti dapat dikarang dengan mudah bersama fakta tinjauan yang mengesankan.

i-City masih belum siap sepenuhnya. Berbekal lampu neon yang menyinari malam sepi manusia-manusia sunyi. Ya. Manusia-manusia sunyi. Warna-warni malam hanya pesona sementara.


Kredit gambar: http://www.ewinee.com/2010/03/i-city-shah-alam-digital-lights-pics.html

Minta maaf kepada pemilik gambar sebab aku curi tanpa beritahu (ada ke orang curi bagitahu dulu?)

Jumaat, Disember 03, 2010

Berkeluh-kesah

Sampai sudah, aku masih tidak mampu untuk bergerak melepaskan. ~Berkeluh-kesah~

Lalu aku mencari laman FB Marsha Timothy dan menonton video klip kumpulan Letto bertajuk Permintaan Hati yang dibintanginya.

Jumaat, November 26, 2010

Cinta Itu Semanis Gula-Gula

Ia berwarna merah jambu. Berperisa stroberi. Manis. Mengasyikkan. Membuai khayalan.

atau

Berwarna jingga pucat. Berperisa oren. Liat dan kenyal. Sukar dilupakan.

juga

Berwarna hijau cair. Berperisa pudina segar. Pedas dan berangin. Menyegarkan. Kadang menyakitkan.

akhirnya

Berwarna merah jambu. Berperisa stroberi. Indah. Ah, sangat indah.

Khamis, November 25, 2010

Kembaran

Sila baca tajuk dengan betul. Ia tidak sama dengan berkemban. Haha.

Oh, apa sudah jadi?

Di Indonesia : Pilih aku atau Merapi.

Tapi di Malaysia : Pilih aku atau KLCC.

Aku kata : Bodoh.

Selasa, November 23, 2010

Rahasia

Dalam perjalanan pulang ke rumah, aku secara tidak sengaja terpandang suatu kejadian yang agak mengejutkan. Ada seorang lelaki berpakaian seragam pengawal keselamatan mengerang kesakitan di bahu jalan. Melihat akan lagaknya, dia seolah-olah menahan sakit akibat terjatuh dari sebatang pokok ataupun dipukul curi/tak curi. Namun tiada sesiapa yang berdekatan dengannya. Jadi telahan aku yang pertama mungkin benar. Sambil aku berlalu dan memandang dari jauh, aku berdoa agar ada manusia berhati mulia yang dapat menolongnya walaupun ada kemungkinan lelaki tersebut baru ditendang anggota sulitnya oleh wanita yang cuba dikacaunya di tepi jalan tersebut. Ah, semakin banyak yang kita lihat, semakin banyak pula yang kita tidak tahu.

* * * * *

Sukan Asia di Guangzhou semakin menuju kemuncaknya. Setakat jam 9 malam hari ini, Malaysia sudah memenangi 6 emas, 13 perak dan 8 gangsa. Kurang 3 emas untuk mencapai sasaran yang ditetapkan kontinjen negara. Yang paling mencuri perhatian adalah kecemerlangan skuad hoki yang kali pertama layak ke perlawanan akhir di peringkat Sukan Asia. Tahniah kepada yang telah berjaya. Selamat berjuang untuk yang masih belum turun gelanggang. Cuba lagi untuk yang kurang bernasib baik.

Dengan ini, terimalah 3 atlit wanita Malaysia paling hangat di Sukan Asia tahun ini menurut kaca mata aku.

1. Nur Ayuni Farhana - Menembak


2. Leong Mun Yee - Terjun


3. Nicol David - Squasy

Selasa, November 09, 2010

Massacre

Aku tidak tahu ini masalah emosi terganggu atau masalah ketidakseimbangan hormon. Yang pasti aku berasa puas apabila dapat melakukan pembunuhan. Pembunuhan secara terang mahupun sembunyi. Secara terancang mahupun spontan. Pembunuhan orang perseorangan mahupun beramai-ramai. Aku akan tersenyum bangga melihat musuh-musuh aku jatuh terkulai tidak berdaya. Mengharap belas ihsan supaya nyawa mereka diperpanjang. Puas. Aku akan teruskan misi penghapusan etnik ini selagi termampu.

Selamat pulang ke sisi Tuhanmu. Moga dosa aku membunuhmu diampuni.

Khamis, November 04, 2010

Bangun Wei!

Manusia tidak lari daripada melakukan dosa. Sebab manusia sering lupa. Jalan pulang sentiasa terbuka. Maka aku, kamu dan mereka perlu sentiasa mencari jalan pulang. Kalau jatuh, kenalah usaha untuk bangun semula. Kalau jatuh, tak berusaha bangun, maka akan ada lori yang melanggar. Kamu pilih, kesusahan untuk bangun atau kesakitan dilanggar lagi dan lagi?

Aku sangat terkesan dengan kisah patung Dharma dalam komik Doraemon yang aku beli masa kecil dulu. Aku yang dulu sangat naif dan polos, merembes air mata mengenangkan Nobita yang sangat merindui mendiang neneknya. Melalui analogi patung Dharma, nenek menyampaikan nasihat secara langsung dan tidak langsung kepada Nobita. Patung Dharma walaupun jatuh berkali-kali, namun tetap berdiri dengan sendiri selepas kejatuhan.


Aku amat kagum dengan kisah si cantik Ana Ivanovic. Superstar tenis dari Serbia ini melalui dua tahun yang penuh dengan kekecewaan. Selepas menjuarai Grand Slam di Roland Garros dan melonjak selaku pemain No. 1 Dunia, beliau ditimpa kecederaan, kehilangan keyakinan diri dan kekalahan berturut-turut. Selepas hampir dua tahun kemarau kejuaraan, beliau akhirnya berjaya peroleh gelaran di Linz, Austria baru-baru ini. Berkat azam dan tekad untuk bangun dari kegagalan.

Kita selalu merasakan padang rumput di sebelah luar pagar sana adalah lebih hijau. (macam mana nak terjemah the grass is always greener at the other side of the fence?) Tetapi kita lupa bahawa apa yang berlaku pasti datang bersebab. Jadi tunggu sahaja silver lining yang akan datang bersama awan yang gelap.

Khamis, Oktober 28, 2010

Putuskan Saja Pacarmu

Pernahkah anda ke Banting? Kalau kali terakhir anda ke sana adalah 10 tahun dahulu, anda pasti akan terperanjat dengan keadaannya waktu ini. Kenapa? Sebab sudah ada McD, Secret Recipy, Al Ikhsan dan Balai Polis baru. Ya, mungkin itu antara sebabnya. Tapi kewujudan francais tersebut sedikit pun tidak menggusarkan aku. Apatah lagi membangkitkan rasa bangga. Biasa-biasa saja.

Yang membuatkan aku sedikit pelik adalah kepupusan anak jati (Jawa) Banting di Banting. Ke mana mereka menghilang? Kedai-kedai makan dan restoran dikuasai oleh 1. Mamak, 2. Kelantanese, 3. Indon. Sukar sekali mencari kedai makan yang diusahakan oleh orang tempatan. Apakah faktornya? Mandrem kurang kuat? Beruzlah? Atau semua sudah jadi tauke besar?

Bulan Syawal yang lepas aku ke rumah terbuka kenalan abah di Kg. Sijangkang. Setahu aku Sijangkang majoritinya dihuni oleh orang Jawa. Tetapi aku seolah berada di Kota Bharu apabila sampai ke sana. Hampir kesemua tetamu bercakap dalam dialek Kelantan. Biar betik? Adakah orang Kelantan telah melakukan "Belanda" di Sijangkang?

Oh, ini bukan entri provokasi. Bukan juga aku bersikap taksub perkauman. Apatah lagi mengamalkan asabiah. Namun, apakah sudah pupus generasi yang sangat best itu?

"Aku tak mengerti apa yang ku rasa. Rindu yang tak pernah begitu hebatnya. Aku mencintaimu lebih dari yang kau tahu uuuuuu~"


* * * * *

Sebenarnya aku nak tanya kat kamu kamu kamu. Kalau kamu pernah ke Banting, tahukah kamu kedai makan mana yang tak guna jampi-jampi, tak guna jin, tak guna rendaman seluar dalam, dll. Sekarang ni banyak betul cerita keluar yang kedai-kedai makan ni guna mandrem ni, kedai tu guna pelaris tu. Dah aku kembang tekak. Tak boleh dah makan sup ekor, cendol, mee kari, dll. Huhaaua.

Jumaat, Oktober 22, 2010

Kak Sam 101

Di suatu petang yang nyaman, sekumpulan pelajar Malaysia bersiar-siar di kompleks membeli-belah Jordan Creek di bandar Des Moines Barat. Setelah penat menjamu mata (sama ada bermata keranjang ataupun bermata rambang), maka mereka pun melepaskan kelelahan di Food Court. Sambil masing-masing mengambil kesempatan membuang hajat yang lama tertahan, ada sebahagian yang duduk-duduk memerhatikan keenakan kek hari jadi yang bakal dibuka itu.

Maka sambil menikmati kek tersebut, ada mata-mata jahat yang memerhati. Mata mereka seolah berkata "Mak ai, batak gila budak-budak chicanos ni!". Err, sudah senantiasa pelajar-pelajar tersebut disalahertikan sebagai sebahagian bangsa Hispanic yang melata di bumi Uncle Sam. Penyelamat kami dari stereotaip tersebut adalah rakan-rakan yang bertudung yang membezakan bahawa kami ini Muslim.

Dengan tidak semena-mena, Kak Sam dengan selambanya memberikan kata-kata hikmahnya. "Wak, first date jangan bawak gf makan makanan berkuah!" Err, aku terkedu. Kak Sam dengan muka innocent menghirup air mineral. "Apesal Kak Sam tiba-tiba cakap macam tu?" Aku bertanya kehairanan. "Saja." Jawabnya spontan. Maka darah-darah muda di sekeliling aku pun mahu ikut sama dalam topik yang menarik ini. Muka mereka berseri-seri, seolah-olah baru mendapat pencahayaan agung.

"Apa lagi next tips Kak Sam?" Soal mereka. Dan perbicaraan ini meleret hingga beberapa ketika. Kak Sam yang berhati tulus dan mulus menjawab pertanyaan mereka dengan senyuman. Kadangkala manis, kadangkala sinis. Ah, Kak Sam, bilakah dapat aku praktikkan Dating Rule #1 kamu itu?

Jumaat, Oktober 15, 2010

Giant Warrior

Persatuan Penyokong Bola Sepak Selangor mengambil keputusan untuk tidak pergi ke Kota Bharu bagi perlawanan suku akhir kedua antara Kelantan dan Selangor malam ini. Keputusan diambil ekoran kejadian memalukan malam Selasa lalu membabitkan pergaduhan kedua-dua penyokong.

Perlawanan tempoh hari berkesudahan seri 0-0. Ini bermakna peluang masih terbuka luas bagi kedua-dua pasukan untuk layak ke separuh akhir. Insiden membakar mercun, membaling botol minuman, merosakkan fasiliti stadium adalah perlakuan yang merosakkan imej bola sepak negara.

Apa yang menghairankan, kejadian seumpama ini kebanyakannya berlaku ketika perlawanan yang melibatkan pasukan Kelantan. Persatuan Bola Sepak Kelantan telah berulang kali menasihati para penyokongnya agar mematuhi larangan-larangan di stadium namun kejadian seumpamanya masih berlaku.

Semoga tiada lagi kekecohan dan insiden yang mengakibatkan kecederaan dan kerosakan harta benda berlaku malam ini dan perlawanan akan berlangsung dengan lancar.

Nota kuku kaki: Menyorak untuk Selangor dari depan TV (kalau RTM siar perlawanan ni la).

Nota kuku besi: Sangat merindui zaman Kelantan masih pasukan belasahan. Huahuahua

Ahad, Oktober 10, 2010

Bilang padaku, apa arti cinta yang sesungguhnya?

Isnin, Oktober 04, 2010

Nur Hikmah

Menonton Berita Dunia di TV1 bukanlah aktiviti yang mengujakan. Tetapi ada sesuatu yang aku peroleh hari ini. Setiap kali sampai ke hujung siaran berita, Farit Ismeth Emir pasti akan mengutarakan kata-kata hikmah. Ringkas tapi mengesankan.

Tuan-tuan,

Hati itu umpama kaca, jangan biarkan ia retak.
Akal itu bak air, jangan biarkan ia kering.
Iman itu ibarat debu, jangan biarkan ia hilang.

Renung-renungkan.

Kamu terkesan bukan? Walaupun kata-kata ini tak terluahkan oleh insan sejelita Pevita Pearce ataupun semanis Shireen Sungkar, namun kalau kamu dan aku membuka sedikit ruang di lubuk hati yang seni, maka kata-kata itu pasti mampu menggerakkan diri kita ke arah yang lebih positif.

Selasa, September 28, 2010

Magik Ka?

Aku telah menonton Magika. Hanya kerana keinginan yang membuak-buak untuk menyaksikan janda terhangat di pasaran, Maya Karin. Dan aku gembira bercampur kecewa. Gembira kerana ada berpuluh-puluh Maya Karin dalam Magika. Kecewa atas sebab wataknya hanya melepas batuk di tangga. Tiada siginifikasi terhadap jalan cerita. Setakat menjadi daya penarik penonton (khususnya orang seperti aku) ke panggung.

Secara kritis, aku rasa Magika bukanlah cereka yang menyengat. Jalan cerita yang mudah ditebak, lakonan yang OK walaupun banyak yang longgar, terlalu banyak watak mitos menyebabkan kurang fokus pada kesinambungan cerita. Namun ini masih filem yang aku suka. Kerana aku suka watak-watak mitos/legenda Melayu, aku suka cerita fantasi dan cerita ini lari dari genre seram/komedi/aksi yang banyak disuap kepada masyarakat.

Daripada banyak watak yang dimuatkan dalam filem, aku sangat tertarik dengan watak penunggu/naga Tasik Chini lakonan M. Nasir. Dan buat pertama kalinya aku merasakan yang Diana bukan hanya sekadar wajah yang cantik.

Aku beri 3 1/2 Bintang.

(Sungguh sampah rebiu filem yang aku buat ini)

Rabu, September 22, 2010

Sekali Dia Tulis Arab Daa..

Selamat Hari Raya Aidilfitri
Maaf Zahir dan Batin.

Jangan bermain meriam buluh nanti terbakar jari.

Wahid. Oh ya kawan-kawan. Beberapa malam sebelum kedatangan Syawal, Surau Raudatul Muttaqin Taman Kemuning masih lagi penuh dikunjungi pengimarah Ramadan. Agak berbeza keadaannya dibandingkan dengan Surau Attaufik, Kg. Batu Laut. Mungkin kepadatan penduduk di kedua-dua tempat banyak jurangnya. Alhamdulillah, manusia masih mahu memburu kebaikan walau sesetengahnya tenggelam dalam kejahatan.

Itsnain. Dam dam dum bunyi mercun. Sangat hampeh dan bagai meminta pelempang. Pulang sebaik salam rakaat solat tarawikh ke 8 (kantoi buat 8 je), aku terserempak dua anak kecil usia kira-kira 5-8 tahun. Mereka berlari bagai ada letupan ingin terjadi. Aku dengan konfiden melangkah macho ke arah kenderaan persendirian. Tiba-tiba letupan terjadi betul-betul di telapak kaki kiriku. Kurang asam punya budak, bakar mercun rupanya. Aku yang terkejut tapi kontrol buat-buat tak terkejut memaki ringan di dalam hati sambil memuji diri yang tidak membakar mercun secara rawak sewaktu aku sedang kecil dahulu. Ini kerana aku hanya main mercun bawang, mercun mancis, mercun tarik, thunderclap, mercun tepek, mercun cina, mercun katak, mercun gasing dan mencucuh belerang pada meriam batang paip buatan sepupu.

Tsalatsa. Tolong jangan tanya apa-apa tentang tempat kejadian itu. Aku sudah penat nak jawab.

Jumaat, September 03, 2010

83.333 ~


Memburu malam al Qadar itu bukan hanya pada 10 malam yang terakhir. Pemburuan itu bermula seawal bermulanya Ramadan. Dan bagi mereka yang memang mahu bertemu dangan al Qadar, persiapan mereka malah lebih awal daripada itu.

Maka beruntunglah mereka tatkala al Qadar datang menjenguk umat manusia sekali dalam setahun. Bagi mereka yang hanya tersedar ketika al Qadar berlalu pergi pada siang harinya, perasaan sesal yang tak terungkapkan mengisi pelosok hati. Kekecewaan yang lebih perih dan pedih daripada ketinggalan bas terakhir di malam musim dingin yang paling menggigit.

Ah, apakah ada al Qadar lagi kali yang lain?

Khamis, Ogos 19, 2010

Ada Apa Dalam Gua


Kisah ini aku dengar semasa tazkirah antara solat terawih di surau Taman Kemuning tempoh hari.

Ada seorang guru yang mempunyai 3 orang anak murid. Pada suatu hari, guru tersebut menyuruh 3 orang anak muridnya masuk ke dalam gua yang gelap gelita. Arahan guru itu kepada muridnya agar mengambil apa sahaja yang mereka boleh ambil dari gua itu.

Murid 1:
Oleh kerana keadaan gua yang gelap, dia risau untuk mengambil benda-benda yang ada di dalamnya. Maka dia mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja dan tidak mengambil apa-apa. Takut-takut benda yang ada di dalam gua itu berbahaya (i.e. ular, benda tajam dll)

Murid 2:
Murid ini masuk dan mengambil 2 benda yang boleh dicapainya dengan kedua belah tangannya.

Murid 3:
Murid ini membawa 2 buah karung dan mengisi karung itu dengan benda yang ada di dalam gua itu sehingga penuh.

Apabila keluar dari gua, didapati bahawa benda yang ada di dalam gua tersebut sebenarnya ketulan-ketulan emas.

Murid 1:
Menyesal yang tak sudah. "Kalau aku tahu, pasti aku akan ambil benda itu tadi."

Murid 2:
Menyesal kerana hanya mengambil dua ketul sahaja. "Kalau aku tahu, pasti aku akan ambil lebih banyak."

Murid 3:
Pun menyesal. "Kalau aku tahu, pasti aku akan bawa lebih banyak karung."

Begitulah kalau boleh ditasybihkan degan umat Islam pada bulan Ramadan. Mereka akan menyesal kelak kerana tidak mengambil sebanyak-banyak fadilat dan kelebihan yang ada di bulan Ramadan sebagai bekal untuk akhirat.


Renung-renungkan dan selamat beramal.

Rabu, Ogos 04, 2010

Miracle


Apa agaknya perasaan apabila seseorang itu di ambang kemusnahan tetapi di saat paling seni sebelum kecelakaan itu berlaku, datangnya "miracle" atas kuasa Allah menyelamatkannya dan memberinya peluang kedua.

Aku yakin orang itu adalah orang yang paling dekat dengan Tuhan pada ketika itu, yang menyerahkan segala-gala yang ada dalam dirinya hanya semata-mata untuk mengharap sedikit reda dan kasih sayangNya.

Ah, mengapakah detik seperti itu hadir tatkala aku dan kamu berada dalam susah dan payah. Mengapa jarang detik itu hadir ketika aku sedang senang lenang berpeleseran di muka bumi.

Namun "miracle" jarang-jarang berlaku dan beruntunglah kamu dapat bersua dengannya walau hanya sekali.

Khamis, Julai 29, 2010

Surat Untuk Nancy


Mohd Shafiq Ramjis
9, Jalan Budi 1,
Taman Budiman,
42700 Banting,
Selangor.

29 Julai 2010

Menemui Nancy Escher yang berada di Ames, semoga berada dalam keadaan sihat sejahtera.

Saudari,

Saya berharap saudari masih tidak melupai saya. Tujuan saya menulis surat ini adalah untuk meluahkan kerinduan dan berkongsi pengalaman selama saya di bumi Malaysia sejak meninggalkan Ames.

Untuk pengetahuan saudari, saya telah mula bertugas dan memulakan karier di sebuah syarikat pembaikpulih pesawat udara di Subang, Malaysia. Secara keseluruhannya, saya berasa bangga dapat bekerja di bidang yang berkaitan dengan pengajian saya. Walaupun kehidupan tidak seindah seperti waktu zaman bergelar pelajar, namun saya akur inilah yang telah ditetapkan dan saya perlu menjalani hidup berkerjaya dengan sebaik-baiknya.

Bercerita tentang pekerjaan, teringat saya akan tempat pertama saya bekerja. Bagaimana keadaan di Hotel Memorial Union? Adakah saudari masih berdepan masalah pekerja yang datang lewat seperti bekas-bekas pekerja dari Malaysia sebelum ini? Saya pasti dalam setandang pisang, tak mungkin semuanya elok. Namun mengimbas memori bekerja di sana, ia merupakan kenangan indah yang tak mungkin saya lupakan. Apatah lagi itulah kali pertama saya merasai wang hasil titik peluh sendiri.

Beberapa hari lagi, bulan Ramadan akan tiba. Umat Islam akan mula berpuasa dan mengimarahkan seluruh detik di bulan Ramadan. Tahukah saudari, antara tarikan pada bulan Ramadan di Malaysia adalah wujudnya lambakan Bazar Ramadan. Pada bulan tersebut para peniaga khususnya peniaga makanan akan tumbuh bak cendawan. Malah makanan kesukaan saudari iaitu lemang dan rendang juga akan mula dijual. Fenomena ini tidak dapat dirasai ketika saya berada di Ames, tetapi saya tetap merindui saat menghadapi Ramadan di Ames

Masih jelas dalam ingatan saya terpaksa berbuka di dalam dewan peperiksaan pada hari pertama saya berpuasa di Ames. Mujur keadaan musim luruh yang agak dingin meringankan sedikit bebanan berpuasa di negeri orang. Apapun, banyak pelajaran yang boleh diambil dari kepayahan kerana itulah pengertian sebenar berpuasa. Bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi menghayati dan menginsafi kesusahan orang yang lebih menderita.

Sudah banyak rasanya perkara yang saya perkatakan dalam surat ini. Saya berharap saudari berasa gembira dengan kehadiran surat dari saya ini. Sampaikan salam rindu saya kepada rakan-rakan yang lain khususnya Mary Beth dan gadis-gadis hotel lainnya.

Sampai di sini sahaja yang sempat saya tuliskan. Akhir kata , sambutlah salam mesra daripada saya untuk saudari dan rakan-rakan lain. Semoga kita dapat bertemu nanti.

Sekian , terima kasih.

Yang benar,

Shafiq

Selasa, Jun 22, 2010

Musim Mengawan

Oh. Dua minggu sudah aku ke majlis perkahwinan Yeop & Farah di Tanah Merah, Kelantan. Mak datuk jauh sungguh perjalanan. Kalaulah punggung manusia bisa berkata-kata maka aku telah dicarutkan dengan kata-kata kesat. Tapi keseronokkan makan tanpa membayar ditambah lagi dengan kemeriahan Piala Dunia (lebih-lebih lagi menonton gelek tari Shakira semasa konsert pembukaan) menjadikan kelelahan itu berjaya dipadamkan. (Oh ya, dunia makin bergolak. Israel semakin angkuh. Bencana alam melanda tak kira benua dan perasuah semakin berleluasa)

Berbalik kepada Yeop dan Farah, semoga berbahagia hingga hujung nyawa. Yeop, ko jangan garang-garang sangat. Hehe. Farah, kirim salam kat cousin2 ko yang bagi aku aiskrim colet tu ek. Haha.

Wah. Sabtu lalu aku ke majlis perkahwinan Zaf pula. Aku agak kecewa sebab sampai lambat atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. (Orang berkeluarga kan banyak tanggungjawabnya) Maka ketika sampai aku hanya berkesempatan berjumpa dengan Kak Im, Abg Azizi & Najlaa dan juga Shaiza & keluarga. Najlaa sungguh comel seiras Suri Cruise. Hehe. Aku pun mengambil kesempatan bergambar bersama mempelai dan duduk di tengah-tengah pelamin sambil kontrol macho. Sebab kawan-kawan Zaf ada jugak la yang comel-comel (iras-iras Katie Holmes pun ada. Hehe)

Maka, ucapan aku kepada Zaf supaya menjadi isteri yang solehah. Jangan berpoya-poya lagi seperti dulu. Huahua

Rabu, Mei 19, 2010

Dengan Adab

Saya baru sahaja menerima panggilan dari Indonesia. Panggilan itu bukanlah untuk saya. Namun setelah menerima panggilan itu, hati saya berbunga-bunga. Empunya suara adalah seorang wanita. Usianya tidak dapat saya agak kerana saya adalah penganalisis umur wanita yang sangat teruk. Apa yang menarik perhatian saya adalah kesopanan dan kelembutan suara si pemanggil. Penuh adab dan tatasusila.

Berbeza dengan layanan yang saya terima apabila berurusan dengan warga Malaysia yang saya rasakan agak kasar. Tiada senyum, sering mengabaikan dan buat tak endah, malah membentak-bentak apabila pelanggan bertanyakan sesuatu. Kalaupun dalam emosi marah, apakah keutamaan pelanggan boleh diabaikan?

Tidak kira di pejabat kerajaan, pusat-pusat perkhidmatan malah di kaunter restoran pun keadaan ini berlaku. Apakah orang Malaysia kebanyakannya terdidik biadap?

Jumaat, Mei 07, 2010

Keja(M atau R)

Aku sedang berhadapan dengan dunia yang kejam.

Aku ubah frasa di atas.

Aku sedang berhadapan dengan kekejaman dunia.

Anda tentukan yang mana satu.


Aku sering diberikan harapan. Harapan seteguh gunung. Namun acapkali yang teguh pada pandangan tak mampu bertahan. Keteguhan itu hancur sekelip mata. Jadi harapan akan terus tinggal harapan. Mungkin sebab ini Sheila on 7 berhenti berharap dan meratap betapa hancurnya hati. Mungkin juga Kerispatih menunggumu dan masih tak lekang oleh waktu. Mungkin sebab ini juga Ungu hampa hati dan hanya cinta dalam hati. Dan mungkin bila nanti kita akan bertemu lagi (eh, ini lagu Peterpan!) masih menanti bintang di surga walaupun sudah bertemu Luna Maya.

Kejamkah dunia? Tapi aku dan engkau tetap mengejarnya. Jadi, samakah kita?


Pernahkah kau merasa~~

Rabu, Mei 05, 2010

CTKD (Canda Tangis Ketawa Duka)

Ini entri tentang wanita. Sebentar tadi, ketika sedang dalam perjalanan di tengah-tengah kesibukan kota (Banting je pun), aku terlihat kelibat 2 manusia. Seorang kakak bersama adik perempuannya. Si adik boleh aku andaikan dalam lingkungan umur 7-8 tahun. Bersamanya ada plastik berisi makanan ringan. Mungkin sebungkus 'jajan' dan beberapa batang aiskrim. Yang si kakak boleh aku sifatkan seperti Zhang Ziyi Malaysia. Aku rasa kamu semua pasti boleh mengagak suku/bangsa kedua-duanya. Bukan begitu? Berambut panjang melepasi bahu dan beperawakan ceria. Apa yang menarik tentang kedua-dua gadis ini? Tentu kamu tertanya-tanya. Ini fenomena biasa di mana-mana pun. Tiada yang menarik. Tetapi aku perasan sesuatu yang tiada pada kebanyakan orang. Gelak tawa. Kalaulah gelak tawa yang aku lihat pada mereka berdua boleh dibeli dengan wang ringgit, atau ditukarganti dengan emas permata, atau digolok gadai dengan harta dan rupa, pasti tiada siapa yang ketika ini bermuram durja, menangis hiba atau mati beragan. Ah, dunia!

Khamis, April 22, 2010

Rapat-rapat


Tanam pinang rapat-rapat,
Biar senang puyuh berlari;
Kupinang-pinang tapi tak dapat,
Kupujuk-pujuk kubawa lari.

Buah berangan masaknya merah,
Kelekati dalam perahu;
Luka di tangan nampak berdarah,
Luka di hati siapa yang tahu.

Puas sudah kutanam padi,
Nenas juga ditanam orang;
Puas sudah kutanam budi,
Emas juga dipandang orang.

Dari mana punai melayang,
Dari paya turun ke padi;
Dari mana datangnya sayang,
Dari mata turun ke hati.

Tanjung Katong airnya biru,
Tempat mandi si dara jelita;
Sama sekampung lagikan rindu,
Inikan lagi jauh dimata.

Asal kapas menjadi benang,
Asal benang menjadi kain;
Barang yang lepas jangan dikenang,
Sudah menjadi hak orang lain.

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih saya lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Sebab kasih saya turutkan.

Tudung periuk pandai menari,
Menari lagu putera mahkota;
Kain yang buruk berikan kami,
Buat menyapu si air mata.

Pucuk pauh delima batu,
Anak sembilang di tapak tangan;
Tuan jauh di negeri satu,
Hilang di mata di hati jangan.

Rabu, April 21, 2010

Engkau Dan Aku

Jadi apa matlamat hidup engkau sebenarnya?
Engkau sudah tamat pengajian.
Sudah juga ada pekerjaan.
Pasangan hidup sudah dijanjikan walau belum engkau temukan.
Dan apa lagi selepas itu?
Kau hidup dalam rutin.
Tapi betulkah rutin itu yang engkau mahu?
Engkau bangun pagi, mandi, solat dan berangkat mencari sesuap nasi.
Kau pulang, cari makanan mengisi perut yang lapar lalu selesaikan semua tanggungjawab seorang insan.
Putaran ini berulang.
Hari berganti hari.
Berganti bulan dan tahun.
Inikah kitarannya sampai datang sang ajal?
Apa lagi yang kau perlu buat untuk mengumpul bekalan dari ladang akhirat yang terbentang luas ini?
Belum cukup.
Engkau sendiri tahu ini belum mencukupi.
Tapi engkau buntu, tak nampak jalan dan cahaya.
Apa lagi yang perlu, yang harus ada, yang bisa lengkapkan hidup fana dan sementara ini?
Usia semakin berkurang dan kau bukan menginjak muda.
Setarafkah engkau dengan si ghulam yang menggadai nyawa untuk agamanya.
Sedarjatkah kau dengan sahabat Kahfi yang lari dari hidup yang berlingkar noda.
Sekufukah kau dengan remaja-remaja yang membantu nabi dalam perang menentang jahiliah.
Ah, jangankan dengan mereka, dengan musuh engkau syaitan pun kau tewas.
Termakan pujuk rayu hasutan.
Maka kau perlu sendiri mencari konklusi.

Selasa, April 13, 2010

Old Days

I miss the good old days.

1. Waktu itu aku rasa semua orang menyanjungi kehebatan aku. Perasaan itu boleh disimpulkan dalam satu ayat yang bongkak. 'Akulah manusia paling hensem di dunia'.

2. Waktu itu keadaannya agak berubah. Walaupun masih diagung-agungkan ramai wanita, tetapi sudah muncul beberapa pencabar yang menyakitkan hati.

3. Waktu itu keyakinan diri mula menurun. Lebih ramai yang mendahului bahkan wanita-wanita terhijab di sebalik tabir-tabir yang memisahkan.

4. Waktu itu satu wanita sahaja pada pandangan. Walaupun kehebatan sudah tenggelam timbul, itu bukan isunya lagi.

5. Waktu berubah lagi dan tiada lagi wanita dalam kamus hidup aku. Hanya satu istilah untuk mereka iaitu kakak. Maka bermulalah era kakak-kakak.



*psst, dengarnya Ajud dah nak kawin..

Selasa, Mac 02, 2010

Kombat

Bismillah..

Lepas lalu hari kelahiran Nabi junjungan besar kita. Adakah kamu hai manusia mengambil pedoman akan sirah yang agung ini. Berapa besar impak perjalanan hidup Baginda yang menyerbu masuk meresap dalam hati kamu yang berbintik noda hitam itu? Ataukah hati itu sudah anjal dengan segala kebaikan lantas menolak unsur positif dan karat Jahiliah terus menguasainya.

Adakah ajaran yang disampaikan telah terputus sanadnya dan kabur rawinya sehingga mungkar jua yang kau lakukan. Bagaimana gamak hati kau membolakan budak seumur 3 tahun. Bagaimana gamak hati kau menodai anak dan cucu darah daging sendiri. Bagaimana gamak kau campak dan bakar bayi yang tanpa calit dosa itu. Bagaimana gamak kau tusuk perut si tua yang tiada daya. Dan bagaimana gamak kau dustai hukum Allah dengan meragui keadilannya.

Cuba gunakan otak. Fikirkan yang ini. Bumi yang kita pijak ini, yang dikejar kekayaan di dalamnya hanyalah habuk angkasa. Betapa sia-sianya habuk kekayaan yang engkau kejar. Jadi apa yang perlu aku dan engkau kejar? Kejar posisi? Kejar ratu dewi? Kejar fantasi? Kejarlah Ilahi.


1431H [Kombat hati]

Khamis, Februari 18, 2010

Ada Taman

Hatiku telah lama patah
Patah tak tumbuh
Malah hilang menyusur kelam
Gelitanya menutup keinginan
Gelapnya menyanggah kerinduan
Kau mungkin bahagia
Atau mungkin kita serupa

Khabar apakah dirimu
Sekian lama sepi sunyi
Putus yang itu bernuansa benci
Namun benci dan cinta
Nipis sekali dinding pemisah
Benar aku boleh lupa
Tapi parutnya berbekas luka

Aku tiada usaha apatah daya
Berdiam tanpa apa
Berkecoh sembunyi lara
Bersuka lewat kecewa
Ahli lagu punya irama
Ahli bahasa punya nahu
Aku hanya punya hati
Hati seni yang damba cinta



Perghh, bila baca balik semula, rasa nak termuntah hijau. Lemau habis. Dahlah nahu tunggang terbalik. Bluek.

Selasa, Januari 19, 2010

Membunuh


Duduk di rumah berteman serangga dan makhluk Allah yang lain memang mengujakan. Namun sesetengah penghuni rumah tersebut kadang-kadang melakukan perkara yang kurang menyenangkan. Apabila ini berlaku, maka seseorang perlu mengambil tindakan nekad. Sama ada diri sendiri terbunuh atau orang lain yang ada disekeliling yang menjadi mangsa kekejaman. Meski kesalahan itu tidak sekejam tindakan rejim Zionis ke atas saudara kita di Palestin, namun kesalahan yang itu perlu dibayar dengan harga sebuah nyawa.

Musuh 1: Cicak

Musuh ini sering melemparkan bom-bom pemusnah berwarna hitam dan putih. Kalau bom tersebut jatuh ke lantai atau tempat-tempat kurang penting maka ia mendatangkan amarah terkawal. Namun bom-bom tersebut jatuh ke tempat yang tidak sepatutnya. Sebagai contoh di atas kepala seorang yang agak zuhud dan tawaduk menonton Idola Kecil 2 sambil melaungkan nama Dayana dan Maulud. Contoh seterusnya, bom itu jatuh di atas buku ringkasan guru yang baru siap ditulis.

Maka hukuman paling setimpal adalah hukuman mati mandatori.

Musuh 2: Nyamuk

Musuh ini menyerang mangsanya dengan tusukan-tusukan pedih di seluruh tubuh badan. Jangan risau sangat dengan mereka yang mempunyai susuk tubuh agak besar kerana mereka sangat mudah terperangkap dalam hempukan tangan yang berniat membunuh. Takutlah kepada mereka yang berbadan kecil tetapi licik dalam gerakan dan bisa melepaskan diri dari jerangkap samar yag diatur. Mereka ini memiliki keupayaan akal seperti akal Yahudi lagaknya. Haha. Bahagian yang mengandungi darah paling lazat mungkin berada di tapak kaki manusia kerana itulah sasaran utama mereka ini.

Maka hukuman paling setimpal adalah hukuman mati mandatori.


Masih ada beberapa musuh yang wajar disebutkan seperti pijat-pijat, tikus mondok, kelawar hitam dan tupai. Namun kes tersebut merupakan kes terpencil yang tiada nilai di sisi mahkamah.