Isnin, Disember 31, 2012

Aksesori Lima Simpang

Tidak ada milik kita. Semua yang ada, Allah yang punya.

Nilai sentimental yang tertinggal di Pasir Penambang di balik celah deretan pohon kelapa bali, kini semakin pekat mewarnai. Matahari pagi yang panas membakar itu memberi sumber tenaga haba dan cahaya yang menghangatkan. Gelap pekat langit malam tanpa kerdip bintang pula mewujudkan damai dan seram sekaligus. Begitulah silih berganti. Saat, minit, jam, hari, minggu, bulan, tahun dan dekad.

Di saat aku menulis naskhah ini, pemimpin tertinggi negara sedang rancak menjual segala jasa dan pencapaiannya kepada rakyat sempena kedatangan tahun baru kalendar Gregorian. Transformasi dan kelangsungan yang diusahakan oleh beliau dan saf-saf kepimpinan kabinetnya kelihatan gah dan megah di media-media massa. Ah, bukankah Malcolm X telah berpesan yang media itu kuasa gergasi.

Beliau menggesa dan mengajak seluruh rakyat bersama-sama mendukung dan menyokong secara padu agar beliau dan rakan-rakan dapat terus berkhidmat. Demi kelestarian masa hadapan. Demi kesejahteraan yang berpanjangan. Demi keharmonian majmuk. Demi aspirasi yang tiada limitasi. Demi janji-janji yang ditepati.

Dan nilai sentimental yang tertinggal tadinya menyedarkan aku. Tiada gunanya sogokan materi. Tiada nilainya pidato semangat yang terdengar hebat. Tiada. Umpama tin timah kosong yang tinggi kenyaringan tapi sifar isi. Bagaimana memenuhkannya? Cukup dengan menurut silibus Kementerian Pelajaran semata? Cukup dengan kurikulum bersepadu yang digubal panjang berjela? Tidak kawan. Sekurang-kurangnya tidak pada pandangan aku.


Selasa, Disember 25, 2012

Kedai Itu Sudah Tutup Barangkali

Suatu hari, seorang rakyat murba dipanggil menghadap paduka raja. Dianugerahkannya oleh istana sepersalinan pakaian khas sempena upacara. Ah, girang si murba bukan kepalang. Tiga hari tiga malam tidurnya tiada lelap. Bayangan detik pertemuan dengan penguasa paling agung di negeri jajahan diulang rakam dalam kotak memori. Patah kata yang bakal diucap semasa merafak sembah nanti ratusan kali disemak hafalan. Semuanya perlu sempurna. Biar nanti tiada memalukan diri. Biar nanti terlihat tiada kekok.

Kawan, kalau sebegitu teliti persiapan bertemu raja dalam kalangan manusia, mengapa tiada sama bila berhadapan Raja segala raja? Pastikanlah pakaianmu rapi. Hatimu pula biarkanlah ia setenang hembus bayu. Jagakan fi'li, qauli dan qalbi biar selari. Moga pembicaraan dengan Penakluk hati sesufi hakikat abadi. Itulah yang sebaik-baiknya. Tapi semalam kawan, aku lihat kau mengabaikan semua itu. Dan itu sangat menggangguku. Juga rakyat murba lainnya.

Jangan begitu lagi kali yang lain. Bolehkan? 

Isnin, Disember 17, 2012

Sahibul Menara

Di sana,

Hari ini aku ketemu sama Sarah. Keponakan Kiai Rais. Orangnya indah. Senyumnya manis. Semanis namanya. Begitu memandangnya, terus datang keinginanku memotret gambar. Kucari-cari kamera digital SLR yang sebesar dua penumbuk itu. Tidak jumpa. Ah, lama sudah kutinggal ia. Tersorok selamat dari pandangan noda manusia. Sekarang mungkin disalut habuk dan debu entah di mana.

Atas segala kemungkinan, Sarah ternyata meminati fotografi. Bukan sekadar minat, itu adalah obsesinya. Ternyata dia mahir sekali dengan kamera dan segala fungsinya. Tanyakan sahaja. ISO, aperture, shutter speed. Aku sempat kagum. Dengan ilmunya, bakatnya dan tentu sahaja kebijakannya. Sarah memberi dimensi baru aku mengenal seni. Seni yang tak bertuhankan makhluk.

Hadirnya Sarah cuma seketika. Datang memberi harapan yang hangat. Penghias episod hidup yang terjalin oleh perca-perca menarik yang pelbagai. Satu pesan yang dititipkan sepeninggalannya. Man Jadda Wa Jada. Jangan ungkapan ini disalahterjemahkan. Gunakannya mencari pengertian hidup yang membahagiakan.


Ahad, Disember 09, 2012

Jangan Sekali-Kali Demikian

Di sana,

Hari ini aku ketemu sama Humaira. Matanya bulat. Pipi tembamnya yang gebu, sungguh geram inginku cubit kuat tapi manja. Sedikit kesempatan, aku singgahkan kucupan mesra lagi hangat. Dia hanya membiarkan. Tidak menolak, tidak juga menggalakkan. Aku sangsi dengan reaksinya. Namun ada sedikit riang terjelma.

Humaira muncul di tengah hiruk-pikuk ratusan manusia yang sedang bersilaturrahmi. Dia paling menyerlah antara mereka. Dia satu dalam banyak yang mampu menjentik naluri. Melihat senyumnya, aku rebah tidak bermaya. Merasa sentuhannya, tidakkan sekali aku berpaling pada ilusi wanita jelmaan bidadari. Ah, bahagianya.

Namun kebahagiaan kan jua sesuatu yang tiada baqa'. Ia datang dan pergi seiring waktu. Dia pun pergi menjauh. Hilang bersama arus bayu di celah-celah keangkuhan manusia-manusia yang egoistis. Adakah dia juga hanya mempermainkan dan memanfaatkan kenaifanku? Matilah dia di dalam hatiku. Matilah dia bersama cintaku.

Cekatan dia didukung ibunya melewati kemarahan dan harapan palsu diriku. 18 tahun lagikah perlu aku nantikan? 

* * * * *

Hari ini juga, aku meminta izin seorang kawan untuk aku khianati janjiku dahulu. Hatinya berat melepaskan. Namun melihat tekadku yang bulat, dia mengiakan. Lantas dia titipkan salam takzim dan doa izzah buat insan hari gemilang sebagai galang-ganti pengkhianatan yang aku hulurkan. Dari hati kecil, aku jua berharap doa itu dibalas kebaikan lebih besar untuknya.

Ahad, Disember 02, 2012

Dahulu Dia Zakiah Nurmala

Di sana,

Hari ini aku ketemu sama Kugy. Ya, si ejen Neptunus itu. Ah, ternyata Kugy yang sebenar lebih cantik dari yang daku imaginasikan. Aku kira ternyata cinta pandang pertama bukan sekadar mitos dan legenda. Kata-katanya yang sedikit gila. Kerdip matanya yang memukau. Juga semulajadi sifatnya yang tak terjangka dan sukar ditebak. Malah dia juga berbintang Aquarius. Tentu sahaja.

Hampir dua jam kami meluang waktu. Ia berlalu terlalu pantas. Detak jantungku adakala tak bergerak pada frekuensi yang normal. Asing sekali perasaan ini. Ada sedikit keterujaan. Bercampur-baur dengan ketakutan. Sesekali sakit menyerang. Bersamanya aku telusuri laluan dan lorong-lorong fantasi. Ajaib sekali. Umpama pencarian bintang hati antara jutaan kerdip gugus bintang seluas jagat cakerawala.

Kugy memang aneh tapi unik. Ada satu saat dia tinggalkan aku di realiti sambil dia seorangan menikmati watak-watak dongeng ciptaannya. Sampai kesempatan yang dirasakannya tepat, baru dia temukan aku dengan mereka. Ternyata kegirangan dan obsesinya sungguh menggiurkan. Hanya pabila ia dinikmati bukan dengan mata kasar yang terhijabkan. Puas aku meladeni mereka, aku putuskan menarik diri dari alam itu. Biar ruang itu penuh oleh Kugy seorang bersama apa yang diinginkannya.

Ah, Kugy. Wajahnya kemilau cahaya bersama alam khayalan. Namun dia juga realistis. Tak hanya bermodalkan mimpi. Kerana mimpi sejauh manapun, kenyataan memang tak selalu sama dengannya. Dan demi merealisasi mimpi dan khayalnya yang seluas samudera itu, dia mengkhianati diri. Berdiri dalam kepura-puraan agar di masa hadapannya, dia mampu ketemu diri sebenar.

Kugy masih saja berantakan. Pemendam. Kadang pendendam. Dilayarkan lipatan perahu kertas berisi nota-nota rahsia hatinya melalui jalan air. Untung-untung ia timbul dan bersambut jawapan yang menyenangkan. Kalau tenggelam pun, ia terkubur dalam ruang tang tak terselamkan. Bersama kegilaan. Bersama sifat romantis kurang harapan.

Kugy dan aku. Similariti yang banyak ini. Adakah ia disengajakan?


Ahad, November 11, 2012

Butiran Debu

Lewat tayangan layar seluloid, figura ini menempah segala kemasyhuran, penghargaan dan populariti yang tak terkecapkan.

Perjuangan memang tidak mengenal senang. Kesusahan pula berbeza definisinya mengikut titik geografi. Kita masing-masing diuji dengan bentuk ujian yang pelbagai sesuai kemampuan. Ada manis, maka adalah pahitnya. Ada suka, duka pun tak tertinggal menemani.

Oki, sesuai sifat semulajadinya yang sentiasa berusaha keras memungkinkan segala keinginan dan impian, memang menginspirasikan. Dia melalui kepayahan dengan senyum dan penuh rasa penyerahan. Dia mengharungi mehnah dengan kemahuan merubahnya jadi hikmah yang menyenangkan.

Dalam kelemahan yang sedikit menggugat, dia temukan kekuatan yang hebat mengikat. Mengikat hatinya kepada kebesaran yang hakiki. Dia mengenal tumpahan cinta Rabbul Izzati yang takkan pernah surut. Dan dia mempertahankannya agar cinta Tuhan itu takkan pernah padam dari menyinari hatinya.

Dan dia mahu berbagi rasa. Bersama mereka yang mengagumi dan juga mereka yang masih mencari. Dia mahu memberi impak walau kecil jumlah dan nilainya. Dia mahu melukis pelangi di atas layar kehidupan orang lain. Biar ceria. Biar cantik.

Lalu, aku pun juga mahu jadi sepertinya. Memberi walau sedikit. Dengan apa sahaja yang Tuhan karuniakan. Apa sahaja yang Dia pinjamkan. Berbagi rasa sepanjang usia, untuk selamanya.

Selasa, Oktober 09, 2012

Miraggio = Fata Morgana

Ini tentang melihat dunia dengan sudut pandang yang luas. Gambaran besar. Imej yang mencapah. Layar putih yang terbentang bakal menghasilkan titik-titik magis yang lama-lama bercantum membentuk kegilaan yang adiktif. Ini bicara tentang wawasan, tentang visi. Tentang mereka yang berjiwa besar. Mereka yang berimpian. Yang melihat hakikat kejadian melampaui garisan. Menjangkau sekalipun mimpi-mimpi paling liar.

Ini pula tentang memerhati dunia dengan penelitian mikroskopik. Titik fokus. Perincian halus. Kecil namun penting. Kesenian setiap zarah yang sesetengah bergerak rawak, yang setengah lain bergetar pada paksi yang tetap, mencipta sensasi yang tidak sedikit. Ini pengutaraan tentang kompleksiti yang komprehensif. Tentang mencabar daya fikir dan daya sabar. Keujaan yang hanya dinikmati mereka yang sensitif. Yang mengalami bisikan rahasia mistik alam. Menembusi zat-zat kasar yang menyembunyikan.

Mereka adalah salah satu daripada dua opsyen itu. Ah. Alangkah beruntung mereka yang boleh mencantum keduanya. Lalu dijadikan alat permainan hidup. Sebab dua unsur yang saling kelihatan menentang itu adalah senjata sulit yang menghubung dua pola cemerlang. Cemerlang ganda dua. Ya, hanya untuk mereka yang terpilih menyantuni kedua-dua sudut pandang itu. Mereka lebih dinamik. Lebih fleksibel. Lebih seru.

24:39


Isnin, Oktober 01, 2012

Tidur Awal

Mari kita dendangkan lagu yang sama


Dan berikan aku sejambak bunga


Masih ingatkah dikau tempat itu


Susurlah jalan itu, laluan bahagia


Pelihara dirimu dan hidupmu akan sensasi


Dan akhir sekali, selamat tinggal (Jangan diucap selamat tinggal kepadaku)



Ini translasi terus. Banyak cacat-celanya. Tapi aku takkan tukarkan walau disogok dunia dan isinya sekalipun.

Khamis, September 27, 2012

Bilik Kecil Di Hujung Bangunan Usang

Aku ini letak duduknya di mana?

Reaksi dan respon terhadap sesuatu isu yang timbul selalunya berlaku spontan, tergesa-gesa dan instinktif. Boleh jadi rentetan panasnya sesuatu isu menjadikan penerima berita cepat melatah, emosi, diserbu amarah malah rasa tercabar untuk membangkang/menyokong. Maka timbullah segala tohmah, fitnah, teori-teori konspirasi, elaborasi/manipulasi fakta juga putar-belit kronologi cerita.

Mengapa? Kerana tindakan tidak dirancang. Perbuatan tanpa fikir. Tiada lapang dada dalam menerima berita. Bias atas kapasiti tuli dan buta terhadap pihak yang disokong sama ada disebabkan mempunyai pertalian darah/kepentingan peribadi/satu ideologi dan sebagainya. Sumber hujah bukan lagi berdasarkan dalil naqli dan aqli yang boleh diterimapakai semua. Tetapi bersumberkan pesongan, cedokan sebahagian intipati cerita yang akhirnya lari dari matlamat asal mencari titik persamaan.

Kemudian datang pihak yang mengaku mereka neutral. Pasifis. Tapi tidak mereka akui duduk berdiri atas pagar. Mereka canangkan bahawa dunia sudah kucar-kacir. Si Fulan A semakin Firaun. Si Fulan B pun tidak kurang Firaunnya. Tiada satu pun yang benar-benar benar. Semua berkepentingan. Semua adalah spekulator. Semua bobrok. Semua Soros. Kecewa dengan dunia, mereka hanya perhati. Peduli tapi biarlah ia pulih sendiri. Luncai kan akhirnya terjun dengan labu-labunya.

Sudahlah. Rujuklah. Sumbernya luas. Dari kutub utara ke selatan. Dari jihat timur ke barat. Ambillah apa-apa yang baik darinya. Yang baik dan yang fasad, kedua-duanya jelas. Adapun apa-apa yang dikelabui ambiguiti, carilah pencerahannya.


Isnin, September 17, 2012

Agenda Kenangan SMA Lina & Zahrana

Biarkan orang lain menjalani kehidupan yang kecil, tetapi kamu jangan

Biarkan orang lain memperdebatkan soal-soal kecil, tetapi kamu jangan

Biarlah orang lain menangisi kepedihan-kepedihan kecil, tetapi kamu jangan

Biarlah orang lain menyerahkan masa depan mereka kepada orang lain, tetapi kamu jangan

-Jim Rohn-

Selasa, September 11, 2012

Multimeter Yang Bukan Selalu

Hari itu hari akhir persekolahan. Aku, sudah dikira tua bangka untuk bergelar pelajar sekolah, berdiri memerhati dari jauh. Pandangan aku jatuh pada seorang pelajar lelaki berbaju merah jambu. Tidak sukar untuk dia jadi tumpuan. Hanya dua orang pelajar yang layak memakai warna baju seperti itu. Susuk tubuhnya kecil. Rambut disisir ke tepi kanan. Tidak berminyak. Ada sesuatu sedang dipendamnya.

Aku lihat langkahnya yang longlai. Beg galas lusuh berwarna ungu kelihatan lebih berat dari tuan. Seakan satu kemestian kala itu, beg para pelajar penuh dengan buku teks, buku latihan dan alatulis yang membebankan. Jadual pengajaran dan pembelajaran yang padat tidak memungkinkan separuh beban itu ditinggal di rumah. Perkara yang aku pasti telah ditangani sehabis baik oleh pihak sekolah (dan semestinya pihak Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri hatta Kementerian Pelajaran sekalipun) dewasa ini.

Mataku tidak jadi berkedip apabila anak kecil itu tiba-tiba berlari. Langkahnya makin pantas. Apa yang ditujunya? Di hujung kaki lima itu berdiri seorang wanita. Lagak seorang guru. Berbaju kurung warna cerah bermotif flora dengan kerudung yang padan dengan salah satu warna yang ada pada baju. Sebuah buku panjang dan tebal di lengan kanan dengan beg tangan besar tersangkut di bahu kiri. Wanita itu sedang menanti. Riak muka dan raut wajahnya tak boleh aku baca.

Aku, sang pemerhati. Hari itu aku jadi saksi. Si pelajar merangkul gurunya. Ah, malah aku pasti gurunya itu juga ibunya. Tak semena-mena air mata berderaian. Entah air mata gembira atau air mata kecewa. Lama pelajar itu dibiar nyaman dalam dakapan. Dakap makin erat. Esak tangis makin kerap. Sesekali si ibu bersuara memujuk. Tangis tak reda malah lebih lebat mencurah. Aku senyum. Aku yakin, Akira Kurosawa pun pasti terilham untuk merakam babak ini dalam filemnya kalau melihat.

Aku tak tahu apa puncanya. Dan aku tak pasti apa kesudahannya. Hanya sahaja pandangan mata aku tertancap ke situ pada saat itu. Sesuatu yang selalu terjadi. Juga sesuatu yang tidak pernah orang lain mahu ambil peduli.

* * * * *

Apakah Pelan Pembangunan Pendidikan (PPP) 2013-2015 mampu menjadi solusi dan mencapai matlamat dalam meladeni keperluan 9 bidang keutamaannya?
  • Memartabatkan profesion perguruan
  • Meningkatkan kepemimpinan sekolah
  • Meningkatkan kualiti sekolah
  • Memantapkan standard kurikulum dan pentaksiran
  • Meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa
  • Pembabitan ibu bapa, swasta dan sosial sebagai rakan kongsi
  • Meningkatkan kesediaan murid untuk pendidikan tinggi dan pasaran kerja
  • Memperbaiki kecekapan dan keberkesanan sumber
  • Membina kemampuan dan keutamaan sistem penyampaian 
Dengan prasarana, modal insan, kepesatan teknologi dan buah fikiran yang mapan, tidak mustahil pelan yang mantap dan pelaksanaan yang menyeluruh mampu menginjak sistem pendidikan negara kepada tahap yang lebih baik, bukan untuk kebaikan sesetengah golongan sahaja, tetapi untuk semua. Biarlah semua merasa dan mendapat manfaat dari segenap aspek.

Ahad, September 02, 2012

Bermain Dengan Bulan


Bulan penuh. Kau sedarkan aku yang masa tak pernah tergerak untuk menunggu. Namun kau juga yang membikin masa seakan terhenti. Kau bilang kau mahu jadi seperti bulan. Menerang kelam. Aku senyum. Nyaman. Tak lama, kau bilang lagi. Terkadang cahaya yang kau pancar tak gemerlap. Malap. Aku tambah sungging senyumku. Tak mengapa, kataku. Asal aku tahu yang kau tetap ada di sana. Di kejauhan. Kalau memang bulan takkan jatuh ke riba, biar aku cipta misi menjejakmu ke sana. Kau akan kupagar. Agar kau tak bisa lari. Tak malap lagi.

Selasa, Ogos 28, 2012

Gloire De Dijon

Naluri membawanya terbang jauh ke barat. Misinya serampang dua mata. Demi penyucian. Juga demi pertautan.

Telah datang dua asbab kepadanya yang membuka mata kasar dan juga mata hati. Dua hati yang telah melalui prosedur penyucian dan proses pertautan. Dua hati yang telah naik maqam dari tahap biasa-biasa kepada istimewa. Dua rasa yang bermetamorfosis dari martabat yang kecil kepada mega.

Iman. Kudung kerana cinta. Atau lebih tepat hilang upaya kerana curangnya pada cinta. Dia untung meski kekurangan. Satu pintu tertutup namun banyak pintu lain terbuka luas. Dia bahagia noda cintanya telah disucikan. Dia ditarik keluar dari sumur dosa dengan tautan kasih Tuhan yang sangat kuat. Lalu dia semaikan hikmah dan pedagogi agung yang diterimanya. Serpihannya singgah pada hati yang mencari hidayah.

Cinta. Gadis aneh dengan senyum virus. Siapapun yang menerima senyum itu akan sekejap nanar, sekejap girang. Observasinya tajam. Namun pandangannya mesra. Siapa sangka di balik bebola mata biru yang besar dan galak itu, sembunyi hati yang sedang celik pada tautan Tuhan. Rasa yang disucikan dari fitnah besar akhir zaman. Lalu tersebar sinar cahaya kasih yang merafak indah hablumminallah dan hablumminannas.

Diteguknya percikkan azimat mereka berdua. Kini dia telah punya kekuatan untuk menyucikan dosanya. Juga mempertaut cintanya. Di barat sana, dia bertemu Zulaikha. Gloire de Dijon hatinya.


Pengaruh (baca: Influence)
John Norafizan, Kereta Api Dan Filosof Cinta, Antologi Cerpen Kisah Cinta Seribu Wajah, 2012.

Selasa, Ogos 21, 2012

Merajut Fiksi Dan Sejarah

Raya kali ini aku temukan 2 perkara baru. Eksplorasi yang tidak aku sangkakan. Perkara tersebut boleh sahaja selama ini mekar dan tumbuh subur di hadapan aku. Tapi tak ternampak oleh seni memperhalusi seni yang belum berkembang dalam diri. Atau boleh sahaja ia adalah rahsia paling kesumat yang selama ini tersimpan rapat-rapat dalam lipatan sejarah. Tiba-tiba ia tergali keluar oleh rasa ingin tahu yang meluap-luap hingga kemuncak.

Satu. Wujud seorang lelaki budayawan yang sangat seni. Pemerhatiannya sangat halus. Kalau diberikan padanya sehelai kain putih dan engkau katakan padanya "bikinkan aku satu mahakarya", nescaya boleh sahaja kain itu terjelma merak kayangan yang indah mempesona. Dia istimewa. Dia adalah kurniaan.

Dua. Wujud seorang wanita bangsawan yang misteri. Hadirnya di dunia cuma sekejap. Peribadinya yang luhur jadi bualan zaman-berzaman. Aslinya tiada ketahuan namun oleh kebiasaannya yang bukan biasa bagi marhaen, pantas sahaja dia dalam liga yang lain. Dia istimewa. Dia adalah obsesi.

Insan-insan istimewa ini, biarlah mereka terus dalam rahmat dan kasih sayang. Biar mereka abadi dalam dakapan Tuhan. Biar mereka tenang dalam peluk erat rindu dendam kerabat keluarga. Biar mereka sejahtera bersama kucupan kenangan. Biar mereka lestari bersama darah merah pekat yang mengalir iman dan ingatan. 

Untuk sejenak ini, anganan yang sering diada-adakan, boleh jadi adalah realiti purba yang kembali menghantui. Ada sedikit senang dengan kebarangkalian yang juga sedikit. Ah, ini gila.

Ahad, Ogos 05, 2012

Kegilaan dan Kemeriahan

Semalam aku jadi saksi sebuah panorama. Kenyataan, realiti yang tak pernah aku bayangkan. Yang mungkin sahaja telah, sedang dan akan berlaku setiap kali menjelangnya hari kebesaran. Orang ramai berlumba-lumba mendapatkan keperluan. Berasak-asak merebut kemahuan. Aku lihat sebuah Indonesia, atau sebuah India dalam gudang kerepek di Malaysia.

Pagi itu, rancangku mahu ke sana bagi memenuhi kiriman teman sekerja yang mahukan beberapa aneka kerepek dari Banting. Kalau diikutkan hati, aku memang tidak suka (belum jatuh benci) apabila dikirim-kirim sebegitu. Bukan tidak mahu membantu, tapi cuma tidak selesa hidup di atas ekspektasi orang. Yang akhirnya membuat aku rasa bersalah apabila tuntutan dan harapan mereka tidak dapat aku penuhi.

Kebetulan, Puan Mama dan Encik Abah singgah di rumah. Lalu aku membujuk rayu Puan Mama untuk menemankan aku ke sana. Puan Mama bersetuju dengan godaanku dan menurut aku ke venue yang aku hajati. Sampai ke destinasi, alangkah terkejutnya kami. Orang ramai berbondong-bondong memenuhi gedung kerepek tersebut. Umpama ada pesta malam minggu yang mengundang penyanyi paling top seluruh Malaya.

Premis kerepek tersebut sangat sesak. Bahu berlaga bahu. Langkah tak dapat diorak. Umat manusia lebih banyak dari kerepek yang tinggal di rak jualan. Entah macam mana, kami berjaya menyusup sampai ke pintu yang memisahkan ruang jualan dengan kawasan kerepek dipek semula. "Kerepek pisang habis!" Laung seorang gadis. Pekerja yang bahang tekanan perasaannya mungkin sudah sampai tahap gelegak.

Datang seorang lagi gadis dengan 3, 4 bungkusan kerepek ubi pedas kering seberat 1/2 kg setiap satu. Mereka yang berkumpul rapat-rapat di sekitar pintu, masing-masing menghulur tangan. "Ah, ini dah macam orang berebut makanan bantuan perang daripada NATO. Macam dalam filem Hotel Rwanda." Teriak hati kecil aku. Aku geleng kepala. Kerepek tak lagi mengghairahkan aku.

Aku cari Puan Mama. "Macam mana ni Ma?" Tanya aku minta pandangannya. "Entah. Ikut kaulah." Jawabnya ringkas. Aku tahu dia tidak selesa dengan keadaan seperti itu. Aku yang mewarisi setiap penjuru biologi miliknya faham benar naluri itu. Lalu aku putuskan kami pulang dengan tangan kosong. Esok, bila datang hari yang lapang, aku akan datang semula. Dengan harapan agar masih ada kerepek untuk dibeli.

Sampai begitu sekali kegilaan orang kita membuat persiapan raya. Tak hairan kalau pemacu perusahaan kecil sederhana adalah jutawan yang mengagumkan. "Mama tak pernah tengok kilang kerepak sesak macam ni." Aku senyum dan membalas dalam hati. "Bang Cik pun sama."

Isnin, Julai 30, 2012

Bu Muslimah

Sungguh, dia adalah perempuan nan bercinta.

Dia tak pernah berhenti mencurah bahagia. Hati mereka jadi banjir kilat dengan kebahagiaan.

Murah senyumannya untuk seisi alam. Hidup mereka jadi terang dengan senyum berkemilau.

Hilai tawanya gemerincih air terjun tak terlawan. Suram pun segan untuk keluar dari persemayaman.

Pandangan matanya lengkap dengan tancap kasmaran. Jiwa yang tak terpandang jadi remuk redam.

Santun budinya tak terlawan jelitawan bangsawan. Tak tergugat oleh puteri bongsu kesultanan kayangan.

Tegas pendiriannya menjaga diri dan nama. Tak bisa diceroboh binasakan anasir jahat yang kesumat.

Sifat malunya mahkota yang gah di singgahsana adab yang perjal. Yang mengundang segan siapapun.

Akal, ilmu, pengalaman yang sejauh itu tertempa, penguat tekad serta azimat perjalanan. Ia menyamankan.

Dia perempuan nan bercinta.

Yang menyerahkan seluruh raganya untuk Tuhan Yang Empunya Segala Izzah Dan Kemegahan.

Yang menjadi suri teladan buat insan sejenisnya dalam menyelusuri keindahan fana dan baqa'.

Yang diangkat darjat dan martabatnya oleh agama yang sejahtera.

Isnin, Julai 23, 2012

Hentian Pit

Kedatangan bulan mulia ini adalah sebagai satu semakan realiti untuk aku serta umat Islam lain secara umum. Usai Ramadan yang lalu, telah 11 bulan kita lewati. Dalam tempoh yang panjang itu, adakah benih yang kita semai berjaya dituai ataupun lenyap oleh sebab tiadanya usaha susulan untuk menyiram dan membaja hingga ia subur meranum. Syukur kita ditemukan semula dengan Ramadan kali ini. Peluang menyemai benih baharu. Ruang untuk meningkatkan amal, menunduk nafsu dan mengkrabkan diri dengan pencipta juga sesama manusia.

Alhamdulillah. Tanah tumpah darah ini masih sejahtera dan damai. Masih ramah terhadap penghuninya lalu membenarkan syiar dan syariat tumbuh segar menyirami isi alam. Masih berbau harum manis udara Ramadan seperti tahun-tahun sebelumnya. Tapi kawan, ingatlah, di belahan dunia yang lain, saudara-saudara kita tidak dapat mengecap nikmat seperti yang kita ada. Ramadan mereka tidak seaman ini. Tidak sesenang ini.

Mereka dizalimi kuffar. Mereka ditindas, takut, lapar, sakit, susah. Mereka dihidang kekejaman, kepul asap api rumah yang terbakar dan bau hanyir darah sendiri. Mereka diperdengar dentum peluru, raungan yang perit dan derai tangis yang syahdu. Mereka lihat syaitan di tengah-tengah suci Ramadan. Mereka tak mampu kerana kuasa tidak di tangan mereka. Mereka tiada apa-apa melainkan Tuhan dan kita. Kesengsaraan mereka terhijab daripada pengetahuan dunia oleh media yang termanipulasi oleh autokrasi.

Dan mereka (perajurit Arakan) adalah tanggungjawab siapa?  


Ahad, Julai 22, 2012

Colored Box

Sampai ke saat ini, aku masih belum temui jawapannya. Sesuatu yang tertinggal dalam memori. Yang ghaib bersama puputan awan sirus di langit kelam. Aku lemah. Aku tiada daya. Namun aku masih belum mahu beralah. Masih lagi berharap imbasan kenang-kenangan yang samar dan berbalam itu akan membuahkan sesuatu. Masih mencuba menyelak halaman-halaman indah yang pernah kita lalui secara berpapasan. Mana tahu di sebalik semua itu, muncul ia secara-tiba-tiba. Sesuatu yang hilang dari ingatan, datang menyapa dengan senyuman girang.

Atau engkau dengan sukarela menghulur sedikit ihsan. Beritahu aku jawapan. Engkau mahu?

Rabu, Julai 11, 2012

Ini Bukan Melodi Rachmaninoff

Setelah Etretat, mahukah kau temankan aku ke Amalfi. Menjengah pekan pesisir yang penuh mitos serta pemandangan yang mengujakan. Kita kemudian bersama-sama menyusur jalan yang panjang tanpa tahu mana titik penghujungnya. Yang pasti jalanan itu penuh helah dan tipu muslihat. Engkau pasti akan hanya merasa perit dan sakit. Kerana hanya itu yang mampu aku berikan sepanjang kembara kita. Tapi bertahanlah. Sebab akan ada masanya nanti, singgah jua kita di tempat misteri. Asing namun nyaman. Yang pasti menjanjikan memori berkekalan. Yang dipinjamkan Tuhan.

* Pertama kali aku jatuh hati pada matanya yang redup itu, dia adalah Sister Angela. Kini aku menyusuri jejaknya sampai ke Andalusia. Megami no Houfuku.

Sabtu, Julai 07, 2012

Entah Nanti Hadirnya Dari Jihat Yang Mana

CAHAYA

Siapa kata
cahaya datang dari api?
pada kunang-kunang ada cahaya
pada ikan dan belut ada cahaya
cahaya ada di langit dan bumi
cahaya ada pada munajat pada malam hari
cahaya boleh terpancar dari dalam hati
jadi siapa kira
cahaya mesti datang dari api?


Uzbekistan 
2005


Muka 51, Ingin Jadi Nasrallah - Faisal Tehrani


* * * * *

Entah kenapa sudah dua percubaan gagal pada gendala yang pertama. 

Satu tentang seorang ghulam yang menjengkelkan yang aku tak kenal pun akan isimnya. Lirik senyum, bahasa tubuh, raut wajah, semuanya. Ada sesuatu di balik semua itu yang buat aku jengkel. Dan tiap kali rasa itu hadir, aku akan ketemu orang yang mirip ghulam itu. Skeptikal ini tabiat burukku. Aku tak patut pun merakam kejengkelan itu di sini. Maaf. Kepadamu ghulam dan makhluk lainnya.


Dua tentang manusia yang bukan sahaja rambutnya, malah namanya juga seperti wanita. Tentang subjek yang terkait rapat dengan dirinya. Kegilaan malah kecintaan jutaan umat. Separuhnya cinta buta. Sebahagian yang lain cinta mati. Ini tentang perkara-perkara yang bersinonim. Ini juga tentang perkara-perkara yang menentang antara satu dengan yang lain. 

Aku biarkan keduanya diotosimpan oleh sistem lalu bersipongang dalam sukma. Aku masih tercari-cari cahaya yang hadirnya nanti tak semesti dari api.

Jumaat, Jun 29, 2012

Begitu Dekat Namun Begitu Jauh

Di hadapan kau manusia-manusia berpelajaran. Yang punya visi seluas jajahan langit dan bumi. Juga misi besar menghubungjalinkan imaginasi dengan praktikaliti. Ilmu mereka dahsyat. Memori mereka malah lebih menakutkan. Kalau kau melihatnya dengan pandangan hasad, ia akan jadi menjengkelkan. Sebaliknya, jelinglah dengan jelingan mengangkat dan memartabat. Nescaya dikau temukan definisi kagum dan takjub.

Lalu salah seorang daripada mereka datang merapati. Senyum balas senyum. Ketulan ais yang beku dan sejuk perlahan-lahan mencair oleh hangat sapa mesra. Sembang kosong jadi penuh. Bual bicara santai bertukar serius. Survival negara, masa depan bangsa, letak duduk nusa, manifestasi agama. Kalaulah tenaga manusia dijadikan tanpa limitasi, kau yakin diskusi ini masih tak nampak penghujung.

Lalu kau tanyakan padanya apakah nasib warisan yang makin dilupakan. Adakah ia akan hanya jadi topik perdebatan. Ataukah hanya laku di dada akhbar yang tiada sambutan. Atau hanya hiasan dinding mengenang zaman kegemilangan. Ataupun sekadar pelengkap silibus matapelajaran sekolah yang kalau adapun boleh, kalau tiadapun boleh. Atau menjadi sinonim kepada satu-satu golongan dan lama-lama berubah jadi stereotaip.

Jawapannya sangat mengejutkan. Dia mengakui warisan peninggalan itu harganya mahal. Seharusnya dipelihara malah dipulihara. Ditanam semat dalam nubari dan sukma jiwa-jiwa pewarisnya. Biar tak lapuk dek hujan. Tak pula lekang dek panas. Biar kesinambungannya bergerak dengan lokus yang cantik dan lancar. Tapi sayang seribu kali sayang. Dia juga mengakui warisan itu tidak lagi mengalir di pembuluh darahnya. Dia hanya mampu berharap tanpa tahu menghulur solusi.

Tak lama dia pun berlalu. Kau hantar dia pergi dengan renungan jauh dan helaan nafas yang panjang. Kenapa jadi begitu?  Tak ramai rupanya yang tahu. Ia makin pupus. Bayangan orang tua separuh abad itu datang lagi. Pesannya, "Melayu itu tulisannya jawi. Hilang itu, hilanglah peradaban."

dari sini




Selasa, Jun 19, 2012

Hati Yang Deg..Deg..Kan

Tuhan,
Hari ini, saat ini, hambaMu berlegar di lingkungan alpa dan lupa. Amat selalu menagih belas ihsan dan simpati sesama manusia. Sangat kerap bergantung harap pada yang sementara. Seolah-olah pergantungan itu, pengharapan itu akan menghadirkan impak dan natijah indah yang berkekalan. Hkikatnya tidak. Ia laksana fatamorgana yang dari jauh tampak gah dan mengkhayalkan. Namun ia hilang lesap entah ke mana tatkala hampirnya kita pada kebenaran hakiki.

Tuhan,
Hati hambaMu ini sering berbolak-balik. Sering pontang-panting ke arah lalai dan maksiat. Namun kerap jua Kau simpangkan ke jalan hidayah membersih lumpur noda. Kau hadirkan segenap bukti dan saksi kebesaranMu. Kau kurniakan segala hikmah dan kebijaksanaan agar insan seperti aku mahu berfikir. Tentang keberadaanMu, tentang kemaharajaanMu. Namun berfikir aku jarang sekali. Mujur ampunanMu maha luas.

Tuhan,
Dalam lemah-longlai larianku menujuMu, teguhkanlah azam. Agar kudrat masih mampu menanggung jasad yang menua sampai ke destinasinya. Hadirkanlah teman, kawan dan rakan yang mahu menumpangkan bahu tempat berpaut. Yang walau jarang sekali di sisi, namun doanya tidak bertepi. Yang mampu membawa senyum dan tangis sesekali. Yang Kau reda dan rahmati.

Tuhan,
Aku memang sentiasa mahu kelihatan kuat di hadapan manusia. Di pandangan abah mama dan adik-adik. Pada anggapan sahabat dan mereka yang mengenali. Bukan kerana ego dan tinggi diri. Bukan kerana darjat aku lebih tinggi. Bukan kerana mahu mereka rasa iri. Aku hanya ingin mereka senang hati. Biar tumpuan mereka kepada yang lebih memerlukan. Supaya mereka fikir aku aman dan sentiasa nyaman .

Tuhan,
Saat susah dan saat aku menemukan kesukaran, aku sentiada dambakan kasihMu. Saat senang, aku lupa. Aku abaikan tanggungjawab dan kewajiban. Dosa jadi setinggi gunung. Tapi Kau tak pernah berhenti menghulurkan, menawarkan cintaMu. Malah pengampunanMu melangit luas. Tiada sempadan. Kau berikan tanpa syarat.

Tuhan,
Berikan aku kekuatan yang mampu mengubah duri jadi mawar, mengubah cuka jadi anggur, mengubah malang jadi untung, mengubah sedih jadi riang, mengubah sakit jadi sihat, mengubah kikir jadi dermawan, mengubah kandang jadi taman, mengubah penjara jadi istana, mengubah amarah jadi ramah, mengubah musibah jadi muhibbah. Beri aku cintaMu.

* Suatu hari nanti, saat aku kembali menatap dan menyeluruhi bingkisan hati yang ini, aku pasti malu pada keteranganku sendiri. Kerana selancar sehebat mana jari-jemari menari menghadirkan kata-kata, di akhirnya perlakuan harus selari dengannya. Aku titipkan doa untuk diri sendiri dan manusia yang mencintai agar nanti, tiada yang terhindar dari kasih Ilahi. Suatu hari nanti.



Rabu, Jun 13, 2012

False 9

Kekasih,

Kita adalah dua kelip-kelip terakhir di dunia. Dan hasratku hanyalah untukmu percaya, aku dan kamu.

* * * * *

Sri Rahayu tak menghampakan. Bimasakti, gugusan bintang, kelip-kelip, aktivis alam sekitar dan Kuala Selangor. Subjek yang jauh dari pengetahuan telah dapat dirapatkan oleh keintiman latar tempat. Pertembungan dan asimilasi budaya yang diketengahkan, walaupun wujud konflik namun pengakhiran yang membawa harmonis. Aku umpama sirih yang dibawa pulang ke gagang. Langit malam gelap di Kuala Selangor hampir musnah oleh cemar cahaya. Langit malam yang sama pernah menjadi saksi permastautinan aku dan kawan-kawan. Menguliti ilmu, membina hala tuju hidup, mengenal jati diri dan mencari identiti kendiri. Diteman bintang-bintang dengan kerlip yang rawak tapi dalam susunan seragam. Menurut fitrah. Dalam masa yang sama mengajak manusia mengenal isi dunia dan Penciptanya secara harfiah mahupun figuratif. Sesekali datang sang kunang-kunang dengan kerdip cahayanya yang indah dan tiada tanda ancaman. Lalu tidur kami pun nyenyak diteman mimpi-mimpi bahagia. Mimpi-mimpi yang menari untuk masa hadapan yang kami sendiri tidak pasti. Aku yakin, kemajuan, peradaban dan pembangunan materi perlu bergerak seiring dengan tuntutan alami. Kerana manusia dipertanggungjawabkan dan bertanggungjawab memakmurkan. Aplikasi teknologi yang melintas-lintas laju perlu selari dengan pemeliharaan juga pemuliharaan hijau bumi. Elok rasanya kalau suatu hari nanti, tatkala aku putuskan mahu ke Kampung Kuantan menyaksi keajaiban alam, kawanan(?) kelip-kelip itu mesra mengeluarkan cahaya dan menari laksana buruj-buruj yang membentuk bimasakti. Beauty.

* * * * *

Janji jujur sepi. Kadang tak mengerti. Adakah hidup sebegitu sukar? Sebegitu rumit? Setiap pilihan, baik yang kita suka, ataupun kadang terpaksa, punya natijahnya. Sesetengah mereka, oleh sebab pilihan itu, mereka jadi megalomania. Setengah yang lain tunduk, jatuh, lalu mati beragan. Tapi titik-titik pilihan itulah yang menyebabkan kita berada di mana kita pada hari ini. Memang tidak mungkin melihat sambungan titik kehidupan untuk masa depan. Tapi lihatlah di belakang. Titik-titik yang lama kita tinggalkan. Kan susunannya indah. Kan. Walau herot, walau bengkok, titik-titik tersebut masih akan mengukir kuntum senyum. Marilah gunakan senjata. Berdoalah. Agar sampai suatu masa, apabila kita putuskan untuk kembali menjenguk semula titik-titik hidup itu, kita masih tersenyum. Selamanya.

* * * * *

Bola sepak adalah permainan yang ringkas. Sebelas pemain lawan sebelas pemain yang lain. Namun akhirnya, pasukan Jerman yang selalu menang.

* * * * *


Selasa, Mei 29, 2012

Manira Kucing Madura

Entah. Kalau yang namanya manusia itu, sukar sungguh dimengerti. Perjalanan jauh yang mengambil masa berjam-jam. Rasa kantuk yang tertahan-tahan. Hilang bentuk kembara di negeri asing. Sendirian berehat dan merawat. Lalu singgah menikmati segarnya madu, air dan batu.

Destinasi tujuan lengkap seri bahagia. Tak kurang kejutan, kebersamaan, mesra kasih, nikmat rezeki serta halwa rasa dan pancaindera. Melihat dan mendengar. Ada rasa senang dan muhibbah. Ada rasa kedekatan dan kejauhan datang serentak. Namun semua itu diremuk redam dengan senyum redup dan sejuk.

Kala hadap-menghadap dua sejoli, entah mengapa segan mengisi. Satu dua lafaz mabruk lalu terkunci. Tiga empat kuntum sengih lalu undur diri. Layaknya penjajah gelar raja sehari. Gah, dirai. Sinar mata, seri wajah, serlahan aura. Berlalu pulang dengan oleh-oleh dan tempias, percik bahagia. Indah.

Lalu bila minda separa sedar mengambil alih, tanda-tanda letih menyanggah tampuk takhta. Hanya dua kemungkinan. Nasib baik atau celaka. Kedua-duanya dari Tuhan. Sedarlah. Biar semua selamat sampai ke aslinya. Bersama basyirah yang bakal dikongsi dengan tersayang. Biar najib, moga-moga anwar dengan aziz.

Ahad, Mei 27, 2012

Bukan Niat Melukakan Rasa

Sedang duduk-duduk menanti azan Jumaat dikumandangkan, aku meninjau kelakuan adik-adik sekolah tahfiz barangkali. Penuh warna-warni. Ada yang tertib dan menjaga tingkah. Ada yang gemar mengusik. Ada yang tumpang sekaki bergurau senda dengan si pengusik. Ada yang khusyuk tawaduk hingga kepala mencecah lantai, mujur tiada dengkur. Ada yang sibuk membetulkan lilit serban sendiri dan rakan sebelah.

Aku senyum. Lantas terkenang zaman aku sebaya mereka. Pakaian kami sama ada seragam sekolah hari Jumaat (baju Melayu putih lengkap bersamping) ataupun jubah putih, berkopiah putih pula. Pelajar tingkatan 4 kala itu diwajibkan membawa buku tazkirah. Arahan exco-exco Badar dan ketua-ketua pelajar, catat segala isi khutbah Jumaat. Tujuannya, menambah ilmu di dada, elak rasa kantuk dan elak jadi mangsa mereka waktu Liqa' Muhasabah.

Memang leceh. Tapi berkesan melawan rasa ingin tidur. Sesekali, aku dapati catatan dan isi-isi khutbah boleh digunapakai sewaktu menjawab soalan karangan Bahasa Melayu Kertas 2. Entah di mana buku itu saat ini. Namun, kalau penat melingkari tubuh, minda lesu, nafsu pun mengambil peranan. Tidur juga. Tersengguk-sengguk itu perkara biasa. Sedar sebentar mengaminkan doa antara 2 khutbah. Jemaah lain siap menyapu tangan ke muka, kami masih terus doa dan berdoa. Sampailah khatib singgah ke frasa "Aqimussolah!". Kelam-kabut mengesat liur dan membuang tahi mata.

Persediaan menghadapi sesuatu memang penting. Sebab itu banyak perkara sunat yang dianjurkan untuk dilakukan sebelum para Muslim datang berhimpun untuk solat Jumaat. Perhimpunan rasmi mingguan. Penghulu hari. Pahala diganda. Dosa diampun. Hari perayaan. Tiap kali mengaminkan Fatihah secara berjemaah, hati aku diterang cahaya. Amin. Gema perkataan itu sangat ajaib. Ia simbol penyatuan, kemegahan dan keindahan. Mendengarnya terasa sayu, gerun dan senang secara serentak.

Muazzin bertasbih. Tanda bang akan dikumandang sebentar lagi. Aku tersentak. Baru teringat yang aku belum berniat iktikaf usai solat sunat tahiyatul masjid tadi. Aku semat azam untuk tidak tunduk tertidur semasa khutbah nanti. Aku harus kuat.

Isnin, Mei 21, 2012

Kegilaan, Bontot Kuali dan Kesumat

Semasa di bilik termenung sebentar tadi, sempat aku berangan. Entah terbawa-bawa oleh kegilaan lama atau pengaruh Fatin Liyana. Ya, aku baca blog honeykoyuki. Jadi? Malah itu bukan indikasi tepat tahap EQ seseorang. Angan yang ini aku pasti takkan pernah jadi nyata. Sebab anganan ini membawa aku kepada cinta lama. Mariana. Cinta yang telah lama ditalkinkan dan sisanya terbang dibawa bayu musim sejuk meresap ke sum-sum mamalia benua Amerika.

Jauh di kota metropolitan paling sibuk di pelosok dunia, kami dipertemukan. Mungkin ini dinamakan suratan. Atau mungkin juga ini namanya kebetulan. Kebarangkalian yang tidak berpadanan. Berselisih secara rawak. Secara tiba-tiba dua molekul berlanggar menghasilkan letupan yang fatal. Aku jadi linglung. Pada masa yang sama ada sedikit suka. Lalu entah mengapa, aku luahkan padanya bagaimana cinta pandang pertama begitu relevan dalam hidup aku.

Dia senyum. Tak membalas. Tak mengiyakan. Aku menambah. Bagaimana aku tersedar yang kami berdua tak mungkin jadi satu materi. Yang aku tak mahu lagi berfantasi. Lalu aku lepaskan hasrat menggunung setinggi Everest itu. Lepas umpama layang putus tali patah teraju. Aku khabarkan yang kami tak mungkin bisa ketemu apatah lagi menjalin cinta asyik mahsyuk. Dia senyum lebih besar. Hidungnya yang kebun tunggal menyerlah anggun.

Aku capai gayung. Aku ceduk air dari timba. Ada cicak yang memperolok anganku. Kesumat malam semalam belum terbalas. Dengan tujahan yang keras, cicak itu menggelupur menyelamat diri. Aku gelak besar. Di sisi aku, Mariana masih kelihatan indah. Tawanya tertahan menyaksi aksi lucu aku dan sang cicak. Tiada patah kata darinya yang aku dengar. Mungkin sebab sekitar yang hingar. Atau pendengaran aku terhindar.

Sampai masa aku dan dia harus pergi. Ke maqam masing-masing. Bersemayam dalam lingkungan yang beza. Anganan ini umpama buih besar yang menanti masa untuk pecah. Dan sebelum saat itu tiba, aku putuskan langkah seterusnya adalah gerakan azimat bersulam keramat. Yang akan dengan pantas membuat aku kembali ke realiti yang sakit tapi berhikmat. Biar kegilaan yang sekejap itu tak terus berpenunggu.

Ahad, Mei 13, 2012

Lembah Cahaya

Kala halaman itu aku renung, aku tenung,
Datanglah jentikan qalbu ,
Yang meranapkan selubung hitam,
Hasil jelaga amarah nafsu,
Lalu,
Aku kembalikan naskhah itu ke maqam selayaknya,
Aku alihkan pandangan ke langit malam,
Yang gelap, yang pekat,
Sifar kerlipan kejora,
Aku hala telunjuk ke arahnya,
Aku lukis bintang sudut lima,
Nyata,
Aku tiada upaya, tiada daya,
Azan pun berkumandang,
Menuju jaya.

warxhuhu, chalet 19, nur lembah pangsun


Rabu, Mei 09, 2012

Devon Loch

Mereka mengaku mereka pejuang seni. Landasan yang mereka lalui terpencil oleh arus perdana. Bangga. Mereka tidak segan silu menyuarakan ideologi. Tegas menyatakan pendapat. Lantang membentang hujah dan fakta. Mereka malah bebas meneroka setiap inci imaginasi.

Ya, mereka insan-insan yang besar potensi diri. Mereka mengekspresi diri cara sendiri. Mengubah dunia. Mengubat persepsi. Menukar yang tabu jadi apresiasi.Kadangkala membenci. Selalunya menyayangi. Sekali sekala disenangi. Acap kali sukar dimengerti.

Tidak salah punya idea sendiri. Tiada dosa menghalusi seni. Mencabar kreativiti. Silalah memburu rektifikasi seberapa lapis dimensi. Pergilah terjun ke jurang transmisi rahasia bumi. Lalu pulang membawa justifikasi berani mati. Kau berhak mengimprovisasi. Kau bisa menikmati.

Tapi ingat, dunia dan seluruh bimasakti kepunyaan Ilahi. Dia yang hakiki. Lesen kreatif yang diberi bukan sebagai ejen penyebar benci. Bukan caranya seni itu jadi benteng kukuh menghalalkan fiksi keji. Timbullah debat istilah. Kolot. Urban. Buka minda. Syadid. Luar kotak. Tempurung.

Insan terpilih nan istimewa. Ya, anda istimewa. Anda dilahirkan berkelebihan. Seni yang mengalir di dalam pembuluh darah anda alangkah bagus kalau disalurkan ke arah hidayah. Menuju taufik. Mata pena, hujung berus lukis, merdu suara si buluh perindu, liuk-lentok bahasa tubuh, minda yang cerdas, malah apa sahaja yang namanya seni.

Biar aku dan mereka yang lain menikmati sambil menginsafi. Kenyang minda, kenyang hati. Puas pancaindera, puas juga rohani. Boleh. Kita semua boleh. Aku di sini, menanti hasilnya nanti. Untuk dinikmati dan disemat dalam hati. Jadi pembakar semangat. Jadi azimat.


Selasa, Mei 01, 2012

Sejarah Punya Banyak Sisi. Mana Satu Yang Termanipulasi?

Kita selalu merungut dan mengeluh tentang perkara-perkara buruk dan negatif yang berlaku seputar kehidupan kita. Kita hanya nampak yang itu. Yang jelik. Yang hodoh. Lihat sahajalah kolum dan ruangan komen pembaca dalam majalah, akhbar, laman sosial mahupun blog. Kebanyakan komen yang dibuat menjurus ke arah itu.

Kita melampiaskan amarah pada kesesakan trafik saban pagi dan petang, buruknya layanan petugas kaunter pejabat kerajaan, kejadian ragut dan simbah cuka getah yang leluasa, korupsi dalam masyarakat yang semakin meruncing, tiada siapa peduli pada kebersihan dan kehijauan bumi. Dan senarainya akan terus bertambah dan bertambah.

Dalam masa yang sama, kita lupa perkara baik yang orang lain dan keliling kita lakukan. Di sebalik semua negativiti yang dipaparkan, masih ramai manusia yang menjadikan amal mulia sebagai darah daging mereka. Dan kita memandang sepi semua itu bagaikan kebaikan itu tidak wujud. Walhal bila kita menilainya dari sisi lain, dari konteks yang lebih intim, ia patut mendapat merit yang sewajarnya.

Bayangkan, dalam hiruk-pikuk dunia yang bergerak pantas dan pesat, masih ada manusia yang mampu memperlahan kenderaan untuk memberi laluan kepada pejalan kaki melintas jalan. Masih ada mereka yang jujur sanggup mengejar tuan punya RM50 yang keciciran sewaktu membuat pembayaran. Masih ramai yang ringan tulang mengutip sampah dan memasukkannya ke tempat yang betul. Masih ramai yang senyum menyapa salam kepada saudaranya walau betapa besar pun masalah ditanggung ketika itu. Dan senarainya sangat panjang.

Kebaikan-kebaikan kecil pada sesetengah orang namun impaknya besar pada sang penerima kebaikan. Pada mereka yang telah, masih dan akan melakukan kebaikan kepada diriku, terima kasih. Aku mungkin kadangkala bersikap ignorant, tapi Allah pasti akan membalasnya dengan kebaikan yang lipat ganda. Teruskanlah. Kamu semua inspirasi aku untuk sama membuat kebaikan dan kebajikan.

Moga kita dapat hasanah dunia dan hasanah akhirat lalu terjauh dari azabNya yang maha kuat lagi maha dahsyat.

Rabu, April 18, 2012

Buku Merah Jangan Lupa Bawa

Kisah saya adalah kisah benar bahawa saya telah susah selama 2 tahun yang lepas sehingga berhutang banyak tetapi saya tidak pernah menyerah untuk cuba mengatasi masalah saya, sehingga saya berjodoh dapatkan bantuan dan nasihat dari Tok Guru, walaupun waktu untuk dapatkan nasib nombor saya agak susah tetapi saya tidak pernah menyerah, kemudian saya telah berjaya dapatkan kekayaan saya di M*gn*m*D dengan 1st Prize sebanyak RM560,000, sekarang saya percaya nasib dapat diubah jika kita ikhlas dan berusaha, saya harap seterusnya Tok Guru dapat membantu dan nasihat orang ramai waktu kesusahan. saya juga ikhlas dan jujur untuk derma sebanyak Rm60,000 untuk Wat Temple dan rumah anak yatim.

Saya Johnny dengan hati ikhlas terima kasih atas jasa Tok Guru.

* * * * *

Kepingan brosur yang memuatkan testimoni di atas berada dalam peti surat rumah. Saat membacanya buat pertama kali, aku gelak kecil. Penggunaan Bahasa Melayu yang tidak mencapai tahap memuaskan ditambah dengan kisah yang 'Too good to be true' berjaya menggeletek. Sampai detik aku menaip entri ini, aku masih tidak dapat menangkap fokus utama iklan ini. Sama ada mahu mempromosi judi, meminta derma untuk penubuhan tokong, menyebar dakyah, motivasi bagi mereka yang dirundung susah atau kesemua sekali.

Semua dalam satu. Gambar aktiviti keagamaan berlatar belakangkan binaan agama yang agam, gambar pemberi testimoni tersenyum berdamping dengan 'Tok Guru'nya, gambar tiket judi dan resit kemenangan, semuanya ada. Ah, lesen kreatif kadang-kadang disalah pakai untuk tujuan yang menguntungkan setengah pihak, merugikan setengah yang lain serta memberi impak buruk kepada lingkungan.

Lebih menyedihkan, apabila kita menoleh ke kedai judi, pasti ada sosok Melayu Islam yang tanpa segan silu beratur membeli tiket percuma ke neraka. Telahpun berakar umbi ketagihan tahi judi ini dalam masyarakat. Malah P. Ramlee telah secara konsisten memberi kritikan sosial yang sinikal melalui karya-karya beliau. Orang kita hanya ketawa berdekah-dekah tanpa berfikir dan beriktibar.

Maka aku tidak salahkan tauke-tauke kedai judi kalau mereka orang paling payah percaya dengan syiar Islam. Orang Islam sendiri tidak menunjukkan perihal yang baik. Tiada lagi dakwah bilhal yang suatu ketika cukup efektif mempengaruhi hati manusia untuk berubah dari gelap ke terang, dari buruk ke baik.

Cekur cekur ah
Cekur cekur ih
Ekor ekor ah
Ekor ekor ih
Ah ah ah ah
Ih ih ih ih
Hilang gigi tinggal gusi

Khamis, April 12, 2012

Semenjak Aeon

Beberapa hari yang lepas, aku terbaca satu posting yang menarik di Facebook.

* * * * *

Jika gaji kita RM 5000 tetapi kita kerja kuat seperti gaji RM 20000, Allah SWT akan berikan beza RM 15000 itu samada dalam bentuk duit, anak soleh, hidup bahagia dan lain-lain.

Jika gaji kita RM 5000 tapi kita kerja malas macam gaji RM 2000, beza RM 3000 itu Allah akan tarik samada dalam bentuk kecurian, kesusahan, anak nakal dan seumpamanya.

-Prof Dr Muhaya-

* * * * *

Aku jadi terfikir. Selama ini, ramai orang yang sering mengeluh gaji tidak dinaikkan. Gaji sekarang tidak mencukupi. Tolak duit makan, minyak kereta, ansuran kereta, sewa rumah, tol, bil air, elektrik, telefon, internet, barang dapur, et cetera. Sudahnya jangankan mahu menyimpan, yang dibelanja lebih banyak dari yang diterima.

Lalu keluh-kesah terdengar lebih panjang. Lebih lama. Macam mana mahu beli rumah? Bagaimana mahu kumpul duit untuk kahwin? Sesekali mendongak ke atas, ramai sungguh yang hidup mewah. Banyak duit mereka. Senang dan bahagia hidup. Mahu pakai barang berjenama? Sebut sahaja. Mahu makan yang mewah-mewah? Tidak jadi hal.

Aku panjangkan lagi fikiran. Benar, lahirnya memang mereka yang bergaji besar kelihatan senang. Tapi mana ada manusia yang tidak mendepani masalah. Masalah mereka yang bergaji besar mungkin lebih banyak. Ujiannya pun lebih hebat. Mungkin usaha mereka untuk mendapatkan rezeki berlipat ganda payahnya.

Masih berasa tidak adil? Ada yang kaya dan bergaji besar tapi usahanya sedikit? Kerjanya menipu, mengular, mengipas, mengelat, goyang kaki, mengarah sini-sana dan pandai bercakap semata? Jangan risau. Buatlah kerja kita dengan ikhlas, bersungguh-sungguh, berdaya-saing, seoptima mungkin. Bukan untuk siapa-siapa. Tapi untuk diri sendiri.

Nilaian Allah, pemberian rezeki, habuan duniawi dan ukhrawi, semuanya punya rahsia. Apabila rahsia itu terhijab, kemanisan bagi yang ikhlas dan rajin akan dapat dirasa. Sehingga sampai saat itu, sabar adalah secantik-cantik sifat. Allah melihat. Allah mendengar. Allah berkuasa.

Kawan, usaha keras bukan sekadar pada kerjaya, pada mata pencarian. Malah rangkumkan sekali dalam segenap aspek kehidupan. Bersungguh-sungguh dalam mencari ilmu, dalam beribadah, dalam menyebar cinta sesama insan, dalam melakukan hobi dan kegemaran yang baik, dalam menunjukkan kasih sayang terhadap keluarga, rakan dan saudara. Dalam apa sahaja. Pasti akan ada ganjarannya. Kalau bukan di dunia, yakin dan percaya pada adanya hari pembalasan.

Seorang kawan pernah beritahu ini pada aku. "Rezeki manusia berbeza-beza. Ada orang rezeki murah masa belajar. Selalu cemerlang. Ada orang rezeki murah masa bekerja. Senang naik pangkat. Ada orang rezeki murah dalam hidup. Ada pula rezekinya tak kunjung tiba tapi menantinya ganjaran yang baik waktu mati dan kala bertemu Tuhan."

Waktu itu umur kami dalam lingkungan belasan tahun. Ada antara kawan kami yang sedikit tertinggal dalam pelajaran walhal mereka inilah yang paling gagah mengulangkaji. Pelbagai cara digunapakai dan aneka wadah ditunjuk ajar. Tak kira sesama pelajar mahupun dari guru-guru. Mereka tetap di kelompok belakang. Namun hari ini, hidup mereka mungkin lebih baik berbanding kebanyakan orang.

Ah, sudah cukup berusahakah aku dalam hidup? Orang yang tidak punya talenta seperti aku hanya tahu memberikan yang habis baik dalam perkara asas. Perkara yang semua orang tahu lakukan tapi kurang mahu berusaha menyempurnakan. Memang 90 peratus rahsia kejayaan datang dari sikap. Kalau sikap seseorang itu positif, maka dia pasti akan berjaya.

Selasa, April 10, 2012

Bejana Air

Bolehkah kita jadi sepertinya. Yang masih tersenyum mengubat lara. Biar derita yang tak tertanggung terselindung di baliknya. Semata untuk mententeram hati insan-insan yang dirundung bimbang.

Saat derita itu makin menggunung, disapunya air ke wajah bagi mengurangkan pedih. Bibir tidak lekang mengalun zikir kasih dan cinta. Pada mereka yang dikasihnya. Yang dicintanya.

Lalu tibalah waktu ajalnya bertamu. Tenang dan diiringi linang air mata yang syahdu. Tiadalah daya manusia menghalang. Kerana telah ditetapkan setiap yang bernyawa pasti akan bertemu mati.

Mereka yang mencintainya dikunjung hiba. Dunia jadi murung. Semesta gerhana. Tiada kata yang mampu terungkap. Sukar takdir ini untuk diterima. Untuk dipercaya. Namun iman yang teguh reda dan rela melepaskan.

Walau dirinya lama tiada, cintanya tetap subur dan semarak selamanya. Dia meninggalkan warisan suci lagi abadi. Yang mampu menghindar kekasih-kekasihnya dari menurut jalan orang yang sesat lagi dimurkai.

Kami merinduimu. Muhammad Al Mustafa.

Isnin, April 09, 2012

Ikhlas Dariku - Akhil Hayy

Benar cinta itu kadang bahagia kadang luka. Cuma aku ini, si pengecut yang hanya tahu melukakan. Pengecut yang kalah oleh takutkan luka. Kalah lantas melukakan hati pencinta dan hati sendiri.

Cinta. Aku berdosa atas tiap titis air mata. Yang jatuh oleh sakitnya rasa. Aku tidak ke mana. Mengharap tangkai doa dan bahagia. Untuk kita. Untuk cinta. Yang aku pasti ada.

Ahad, April 01, 2012

Ziarah Cinta Lama

Tidak rugi kita berakhlak mulia. Malah Allah lebih-lebih lagi suka. Beradab sopan kita sentiasa. Mari bersama mengamalkannya.

Buta mata. Tak nampak jalan di dunia. Kerana tidak nampak cahaya. Tidak tahu ke mana hendak dituju. Ke hilir atau ke hulu.

Semalam bersama titian kehidupan. Terasa bagaikan igauan mimpi. Ku tersesat bersama keindahan dunia. Yang tidak menjanjikan apa-apa.

* * * * *

Kaget. Betulkah pukul 9? Aku bergegas ke kamar mandi. Tak mahu ketinggalan. Sekurang-kurangnya dapat melepaskan gian. Tapi apabila memikirkan logik, takkanlah pukul 9? Terlalu awal.

Sampai di venue, aku terpinga-pinga. Memang aku patut turutkan sahaja logik tadi. Tak mengapa. Tak rugi pun kalau aku meninjau-ninjau keadaan lebih awal. Lagipun memang aku tunggu detik dan saat itu.

Usai zohor, aku sudah awal-awal terpacak di sana. Aku rindu. Terlampau rindu. Dan kerinduan itu terubat dengan ubat yang mengkhayalkan dan mengujakan. Inilah dia yang pernah menghiasi hari-hari aku. Dan hari ini ia kembali pulang ke gagang.

Lembing Awang pasti akan kembali kepada Dayang.

Oh Tasneem & Soutul Mujahidin. Harmonis dan penyebab pendarahan hidung.

An-Nahwan - SAM Kuala Kubu Baru.


Sons of Adam - SMK Seksyen 18, Shah Alam.


Tasneem - SMKA Kuala Selangor.


Tasneem & Ustaz Ghazali Harun sedang mendengar komen juri.


All for Ummah - SMAP Kajang.



SAMT Hishamuddin Klang.


Jaket Kolej yang mencuri perhatian. Soutul sedang menanti giliran.


Tabiat lama yang sukar dikikis.

Malangnya aku hanya sempat menyaksikan 5 persembahan yang merangsang adenalin sahaja. Ini disebabkan oleh temujanji yang diatur bersama Lily (Lily Collins). Maka terlepaslah menyaksikan Soutul.

Dengarnya, SMAP Kajang menang. Rujuk sini.

Sabtu, Mac 31, 2012

Terima Cabaran Miranda

Gelap.

Tak nampak.

Raba.

Tak jumpa.

Panik.

Tak jumpa juga.

Tunggu.

Tak kunjung tiba.

Lama.

Tak.

Ada.

Mana.

Itu.

Jumpa.

Saja.

Jaga.

Curi.

Sempat.

Buka.

Terang.

Nampak.

Jimat.

Pelihara.

Kesatuan itu menyatukan. Bukan pecah-belahkan. Tapi matlamat selalu tak kesampaian. Satu dua yang bermuslihat. Thiqah sudah tak lagi ada. Syak wasangka yang main peranan. Akhirnya satu jadi ribu.

Selamatkan manusia. Selamatkan dunia.

1Jam. 1Dunia.

Khamis, Mac 22, 2012

Cari Cara Putar Belitkan

Fikirannya menerawang. Sambil menekup muka, dia membuang jauh keluh-kesah yang terbuku. Dia tidak boleh terus begini. Dia harus lakukan sesuatu. Tapi apa? Tapi bagaimana? Kini dia dipenuhi benci. Virus-virus benci yang hitam perlahan-lahan memenuhi hati. Benih-benih kasih yang cuba disemai tak lagi mahu berputik. Dia tahu jika ini dibiarkan, kebencian akan membarah. Tumor kotor akan merebak. Dirinya akan lumpuh dan tak berdaya menahan.

Dari manakah muncul wabak ini? Tanpa simptom dan amaran, terus sahaja ia menjahanamkan. Dia salahkan orang keliling. Yang rapat bila berkepentingan. Yang baik bila terhidu manfaat. Yang sentiasa menyorok udang di balik batu. Lalu dia hilang percaya. Dia penuh curiga. Disimpan segala kejahatan dalam dirinya. Dan kau saksikanlah sendiri. Dia satu entiti yang sangat berbeza.

Dia buas. Dia keras. Dalam masa yang sama dia sebenarnya mengharap belas.

Sabtu, Mac 17, 2012

Karma Karma Karma Karma Karma Chameleon

MB masuk ke pejabat aku. Reaksinya kelam-kabut. Begitulah kebiasaannya apabila ditekan kanan, kiri, atas dan bawah oleh BB. Dengan hidung kembang-kuncup menahan marah, dia memaki-hamun semua staf bawahan termasuk aku. Puas melunaskan nafsu amarah, perutnya mula lapar. Apa lagi, biskut lemak jenama ‘M’ sumbangan ikhlas KS setiap bulan selamat jadi habuan.

Sebelum keluar, dia menoleh lagi.

“Ingat, datang jumpa saya di pejabat. Saya mahu bincang pasal kertas cadangan semalam.”

* * * * *

Aku bengang. MB selalu sembang pasal integriti, kerja keras dan disiplin. Pada pandangan matanya, semua orang korup. Semua hidup berpaksikan materi. Perbuatan baik orang lain terhadapnya adalah beragenda. Ada motif buruk. Tapi sedarkah dia yang dirinya tiada beza. Malah lebih buruk dari orang yang dianggapnya hina. Bodohnya MB.

“Baiklah, awak betulkan perenggan terakhir kertas cadangan ini seperti apa yang kita persetujui tadi.”

Aku angguk.

“Hah, awak tahu ke mana AS pergi waktu ini?”

“Tak tahu, MB.”

“Ini yang saya tak suka. Saya percaya yang hidup ini perlu kita jalani dengan jujur dan penuh rasa tanggungjawab. Orang seperti AS memang licik. Jenis orang berperawakan chameleon. Lebih bahaya dari musang berjanggut.”

Aku angguk lebih lagi.

“Awak tahu apa rahsia jaya?”

Kali ini aku geleng.

“Saya mahu kongsi satu ilmu. Moga-moga ia manfaat.”

Mata dia bulat, bersinar dan bercahaya. Dia semakin galak. Diambilnya kertas conteng, dilukisnya segi empat tepat dan bulatan besar diluarnya.

“Cuba teka apakah yang saya lukis ini?”

Aku angkat bahu.

“Ini syiling Cina. Duit. Saya sebagai orang yang positif, percaya yang hidup kita perlu seperti syiling ini. Fleksibel di luarnya, tapi kukuh dalamannya. Boleh sesuai diri namun tetap teguh dengan prinsip. Barulah kita berjaya dalam hidup.”

Aku tertarik. Tapi aku masih benci MB.

“Awak boleh keluar.”

“#@%&$ MB. Buang masa aku.”

Aku bisik sendiri.

Transformasi? Reformasi? Basi.

Isnin, Mac 05, 2012

Ijlis Bina Nu'min Sa'ah

Nampaknya nilaian kejayaan di mata manusia, pada saat ini, pada zaman ini, adalah berpaksikan materi. Anda adalah lelaki paling kacak kalau anda memiliki Lamborghini Aventador LP700-4. Anda lelaki paling tampan kalau anda punya rumah banglo bertingkat-tingkat berbentuk lambang Dollar dari sisi pandang atas. Anda lelaki paling menawan kalau anda punya tunai lebih banyak dari jumlah total pelaburan KWSP seluruh Malaysia. Anda adalah lelaki yang berjaya. Tahniah.

Masyarakat tidak akan mempersoal bagaimana anda memperoleh kekayaan tersebut walhal anda hanya lulus darjah 5. Masyarakat tidak akan peduli kalau sumber pendapatan anda meragukan, jatuh hukum makruh hatta haram sekalipun. Masyarakat tidak mahu tahu helah dan tipu daya, wujud elemen pemerdagangan manusia, persundalan, risywah dan segala bagai gejala kotor yang tercampur dalam jalur masa keberhasilan wang itu. Yang penting hanya produk akhir. Berapa banyak yang anda hasilkan.

Banyak? Infiniti? Wah! Kamu calon menantu ummi dan abi. Bolehlah kami menumpang senang. Tercapailah hasrat kami menjejak kaki ke Tanah Suci malah melangkau ke negeri-negeri percutian lainnya. Merasalah kami tilam empuk, makan mewah, barang kemas berselirat dan hidup yang lebih aman, bahagia, sentosa dan mengasyikkan. Bolehlah kami menghabiskan sisa-sisa hidup dengan manfaat. Ah, hidup ini indah rupanya. Siapa kata wang tidak boleh beli bahagia? Sebut sahaja harganya. Kami bayar.

Islam itu syumul, kawan-kawan. Aku memamg bukan orang yang layak memberi ceramah keagamaan. Ilmu kurang, hafalan rosak, pidato sumbang, amal tak banyak. Tapi kawan, aku tahu sedikit. Sedikit yang bayyin. Garis panduan muamalat yang telah diwariskan junjungan besar. Yang patut kita patuh. Selagi apa yang anda lakukan selari dengan tuntutan, tidak menyimpang dari jalannya. Lakukanlah. Carilah rezeki dari rahsia-rahsia Tuhan yang tersembunyi. Moga ia memberi keberkatan dan menjadi suri petunjuk yang membawa anda dan orang sekeliling termasuk aku ke arah redaNya.

Ingatlah harta, takhta dan wanita itu datang dengan ujian. Dan telah ramai yang tewas. Apakah kita tergolong dari kalangan mereka yang mengambil pelajaran darinya? Astaghfirullah.

* Penulisan ini juga ujian untuk si penulis. Ini ujian yang berat. Ya Allah, permudahkanlah urusanku, keluargaku, sahabat-sahabatku serta muslimin muslimat lainnya.

Rabu, Februari 29, 2012

Lompat Setempat Empat Kali

Adakala kejayaan memberi natijah buruk pada sang pengecapnya. Diri mereka jadi alpa dan leka. Dalam hati tertanam rasa ujub, riak dan takbur. Kesinambungan hidup mereka tidak selancar yang diduga. Jalan yang tampak lurus dan benderang, rupanya penuh ranjau. Ditipu fatamorgana. Ditambah komplasensi yang subur tersemai atas yakinnya diri mereka akan jaya tanpa usaha. Lantas apalah yang tinggal dengan kejayaan lampau. Hanya memori indah yang diulang tayang. Tanpa ada kesan membekas pada sinkronisasi cerita sukses pada masa depan.

Adakala kegagalan memberi natijah baik pada sang penerima. Diri mereka jadi sedar akan kepentingan usaha, ikhtiar dan tawakal. Dalam hati sentiasa merendah diri, mengimbangi lemah makhluk dengan bersandar segala pada Pencipta. Hidup mereka jadi bermakna, tenang dan bahagia. Jalan yang kelihatan samar, rupanya bakal menemukan cahaya indah di penghujungnya. Ditambah sifat percaya yang setiap manusia punya lebih, punya kurangnya. Maka gagal yang dulu tidak lagi menghantui. Malah dijadikan batu loncatan dan daya pandu untuk mara memperkasa kudrat.

Asyiknya kalau hidup ini skripnya bahagia dari awal hingga akhir cerita. Tapi manalah terjangkau oleh kita akan pengetahuan Allah yang maha luas. Rahsia-rahsia yang tersembunyi itu di luar capaian akal.

* * * * *

Apa pengertian adil?

Wang RM 30 untuk 3 orang lelaki.

Adil menurut nilaian manusia - Setiap seorang akan mendapat RM 10.

Keadilan Allah - Allah membahagi-bahagi nikmat menurut kehendaknya. Ada yang mendapat RM 20, ada yang RM 10, ada yang tiada peroleh apa-apapun. Semua ada bahagiannya. Hanya Dia yang tahu apa, bila, di mana, mengapa dan bagaimana.


Isnin, Februari 27, 2012

Menaip Pada Waktu Malam Dengan Tujuan Untuk Menghasilkan Adikarya Lalu Mengharapkan Kekaguman Orang Yang Membacanya Bukanlah Perkara Yang Terpuji

Nombor dan angka. Apabila ia menjadi paksi ukur prestasi.

Pernahkah mereka tahu bahawa persepsi mereka itu merimaskan. Apabila sebuah keberhasilan kecil membutirkan reputasi. Reputasi bersapa ekspektasi. Terbebanlah makhluk Tuhan itu dengan intimidasi berbaur iri dan dengki. Perlahan-lahan dirinya membenci. Benci diri sendiri dan segala apa yang datang tanpa pernah permisi. Mujur telah datang satu rentetan kalimah-kalimah mulia lagi agung. Digadarnya tanpa preskripsi dengan penat lelah hingga mereka yang melihat tahu sendiri yang mereka khilaf, mereka salah.

Begitulah tuan-tuan. Bukan mudah membina. Penggal demi penggal dicicirkan. Titis peluh hancing tak terkira menyiram jejak yang ditinggalkan. Bukan mudah mencipta. Enzim kritis dan kreatif sukar dirangsang. Tiada katalis yang mampu menggerakkan. Kan lebih mudah merobohkan. Lebih senang menggoncang, mengganggu, menggugat. Bertahun manusia menanti panggilan kemuliaan dari manusia lain. Namun dalam sesaat, mulia itu mampu jadi hina-dina.

Dia memang hanya tahu bertempik dari jauh. Musababnya, dia tak ingin dekat. Tak lalu. Sebab kebarangkalian titik ekuilibrium memusat padanya sangat tinggi. Dia tak mahu jadi fulkrum yang tolong merobohkan. Dia hanya hebat pada angka. Pada nombor. Sedang orang lain tiada tahu yang semua itu penipuan. Ilusi. Mereka terpedaya oleh entiti silap yang berkomoditi menawan. Dia sedar itu. Dan dia tidak mahu.

Geram. Pandangan-pandangan itu sangat melumpuhkan. Pernah rasa semut-semut pada kaki kiri oleh lamanya bersimpuh? Cuba kau gerakkan. Sakitnya bukan kepalang. Betul. Ini bukan perkara main-main.

* Mahu menulis tentang kecemerlangan pelajar-pelajar sekolah dewasa ini. Aku perlukan empati umum. Kerana sedang mereka adalah bijaksana yang mampu merubah masa depan agama, bangsa dan negara, aku tak lebih sekadar seorang pretender. Satu lagi mangsa korban sistem pendidikan berteraskan peperiksaan. Ya, aku sukakan peperiksaan dan aku kejam.

Khamis, Februari 16, 2012

441 lbs

Lihatlah betapa banyak waktu yang telah terbazirkan.

1 Litre of Tears
Absolute Boyfriend
Ace Wo Nerae
Atashinci No Danshi
Attack No 1
Attention Please
Bambino
Bara No Nai Hanaya
Bloody Monday
Buzzer Beat
Change
Code Blue
Dance Drill
Dragon Zakura
Engine
Galileo
Gokusen
Great Teacher Onizuka
Hana Kimi
Hana Yori Dango
Hero
Hotaru No Hikari
Kami No Shizuku
Kiina
Kurosagi
Liar Game
Love Shuffle
Lunch Queen
Majo Saiban
Mauo
Mei-Chan No Shitsuji
Misaki Number One
Mop Girl
Mr Brain
My Boss My Hero
My Little Chef
Nobuta Wo Produce
Nodame Cantabile
Oh My Girl
One Pound Gospel
Pride
Proposal Daisakusen
Room of King
Ryusei No Kizuna
Seigi No Mikata
Seito Shokun
SPEC
Strawberry on the Shortcake
Summer Snow
Teppan Shoujo Akane
Tokyo Friends
Triangle
Trick
Wagaya No Rekishi
Yama Onna Kabe Onna
Yamada Taro Monogatari
Yasuko to Kenji
Yukan Club

Apabila dihitungkira, ternyata banyak minit telah berlalu. Begitu juga gadis-gadis Jepun yang datang dan pergi dalam hidup.

Khamis, Februari 09, 2012

The Flower Shop Without Roses

Sore itu hujan turun lebat. Siapa sangka air mata alam yang jatuh mencurah itu petanda aksi longlai gergasi merah. Tersungkur di kandang sendiri. Meratapi misi 33 yang terpaksa ditangguh semusim lagi. Aku hanya menggeleng. Sesekali menekup muka. Suratan atau kebetulan, tidak jauh dari tempat aku melabuh punggung, duduk seorang gadis genit memasung pandang ke tengah padang.

Aku jeling sekilas lalu hati rasa berdebar. Aku yakin bukan dia. Dia bukan Mariana yang aku puja. Tak mungkin Mariana yang itu tertulis duduk hanya selang hasta denganku. Apatah lagi di tengah hiruk-pikuk sorak sorai penyokong sukan bola sepak. Menghenyak buntut atas bangku duduk yang dicela tinja burung.

Walaupun dia hanya Mariana versi 'Lite' yang mengganggu-gugat tahap kestabilan emosi, aku sudah cukup gembira. Kali terakhir deria rasa itu terusik sampai sebegitu, aku digigit dingin. Menahan sakit serta lirikan senyum penghinaan rakan keliling. Namun datang bidadari kayangan membisikkan kata-kata keramat penghibur duka. Kata-kata yang kala hadirnya, akan aku ukir senyum melebar sampai telinga. Walau empunya kata jauh tak tercapai jemari.

Malam ini, bulan terang. Delapan tahun penuh dan cukup oleh pengalaman. Sangat sedikit namun menggirangkan. Kadang mengecewakan. Tapi keseluruhannya memuaskan. Aku mungkin selalu melukakan. Sering mengabaikan. Tapi itulah cara aku menyemarak sayang. Menunjuk cinta. Biar ia beku tapi tidak mahu terbazir sendu. Sambutlah rindu dendam hati ini yang sudah tak teredam lagi.

Selasa, Februari 07, 2012

18 Dan Masih Mengira

Februari ini, tekad itu kuat dan meluap-luap. Aku mahu kerat. Aku mahu putuskan tali-temali jahanam yang mengikat erat. Aku mahu hapus simpulan mati ini. Biar aku bebas. Tidak jatuh dalam lumpur noda lagi dan lagi. Cuma aku takut aku belum siap. Lantas tali itu mencengkam lebih rapat. Menghancur tulang-temulang yang makin reput dimamah usia. Lalu aku longlai menangisi lemah tak bergunanya diri ini.

Suku abad ini, aku menjadi saksi bumi. Melihat, belajar, mentafsir. Ajaib yang bukan sekali. Ajaib yang diulang banyak kali. Ajaib yang dikurnia berkali-kali. Isolasi atau asimilasi. Tentukanlah sendiri. Mungkin di hujung jalanan ini, aku bakal dapati, keajaiban-keajaiban ini memberi taujih yang berguna dan aku hargai. Biar putih hati. Biar senyum sendiri.

Rabu, Februari 01, 2012

Seni Yang Belum Terfahamkan

Sukar dimengerti. Dia berpenyakit. Dwi polar mungkin. Berketerampilan malah punya talenta yang pelbagai. Namun di belahan yang terlindung, dia sakit. Perlu pertolongan. Ada sesuatu yang dahsyat tersembunyi di hentian paling dalam. Terkunci, kegelapan, lalu membarah. Tiada yang berani mendekati sisi itu. Sisi yang gelap pekat, legam.

Sayang. Sakitnya sudah tak tertanggung. Pilihannya cuma dua. Yang satu, hapus. Dia akan bebas bagai burung. Tapi deritanya setengah maut. Yang lain, ladeni. Legalah satu dua detik. Selang masa, tegarlah ia melayannya seluruh hayat. Malang sekali, dia bahkan ketagihan. Ulang siar perlakuannya hingga malulah siang malam dari berganti tugas.

Dari hormat tukar empati. Empati berganti idiosinkrasi. Lahir pula benci. Lantas pengakhirannya caci maki sumpah berapi. Satu persatu teman meninggalkan. Dia, dalam sangkar, adalah tawanan yang rawan. Ditawan jelik jijik kendiri. Terperangkap dalam putaran keji yang infiniti.

Kesal. Ya, ia tak berguna. Tapi bersamanya juga ada lintasan sinar. Yang bergerak sedikit pantas untuk dihambat. Gagahlah. Andai dapat ia terkejarkan, segalanya akan indah. Kerana lintasan itu kalau diamati, upaya memberi daya ke gerbang unggul yang maha luas. Melebihi luas gugusan bimasakti. Gerbang kasih suci cinta abadi. Dia, Tuhan kita Yang Maha Tahu.

* Kawan, berikan hak pada yang berhak. Kawan, gadaikan sifat haloba yang menjadi racun. Kawan, jangan meminta-minta. Kawan, dua daging boleh jadi paling baik dan paling buruk. Kawan, aku pun khilaf. Kawan, mari saling mendoakan. Kau mahukan?

Isnin, Januari 23, 2012

Dibawa Berlari Ke Jalanan Sepi

Logik mampu membawa anda dari titik A ke titik B. Imaginasi malah mampu membawa anda ke mana-mana.

Pada saat paling tak terjangkakan, kau akan ketemu sesuatu yang pelik tapi menyenangkan. Kebesaran Allah itu dapat dilihat di mana-mana. Pada keindahan ciptaan agungNya, pada marabahaya ujianNya, pada keajaiban aturanNya, pada apa sahaja ketentuanNya. Hanya sahaja hati yang hitam, keras dan membusuk ini yang senantiasa mencari jalan menjauhi hakikat keberadaanNya.

Siapalah aku dan kamu yang kecil dan hina ini untuk memperlekeh lalu mempersoal kekuasaanNya. Sedang pengetahuan Allah itu tak terbanding, tak terjangkau. Umpama satu titisan air dari jarum yang diangkat dari rendaman kau nisbahkan dengan air lautan yang luas saujana mata memandang.

Resmi manusia. Nafsu keinginan itu hanya bertambah dan bertambah. Hingga dikatakan jika hamba Allah itu dikurniai ia dua buah gunung emas, maka takkan pernah berasa cukup. Malahan hamba Allah itu akan meminta pula gunung emas ketiga. Tiadalah berhenti ia meminta kecuali mati.

Pertemuan yang sekali itu, cukup untuk buat aku rasa gembira. Katalah apa sahaja. Jatuhkanlah hukuman apa pun. Tapi selagi manusia itu lahirnya masih mengimani Allah, masih bersaksi setia menyerah diri padaNya, masih melakukan amal-amal yang menzahirkan dia itu Islam layaknya, maka kita harus meladeninya selaku Muslim. Jaga adab dan tertibnya selaku muslim jua.

Entah apa yang bakal menanti sepanjang kaki langit.

Ahad, Januari 15, 2012

Nur Fazura Mk II

Mereka mengutarakan segala macam jargon untuk kelihatan terpelajar. Untuk membuktikan mereka pakar. Untuk menunjukkan mereka ahli. Untuk bermegah pada dunia yang mereka sekurang-kurangnya lebih baik dari subjek yang menerima kata-kata mereka. Sebagai balasan, mereka mahu puja-puji, pangkat dan daulat yang mereka kira layak untuk taraf kata-kata yang keluar. Setidak-tidaknya mengikut standard mereka.

Mereka tidak sedar. Mereka tidak pernah mahu mengakui. Apabila jargon yang mereka gunakan itu dipermudah untuk kefahaman orang yang 'jahil', maka izzah dan hormat masyarakat adalah lebih tinggi kepada mereka. Mereka jadi golongan yang dekat dan mesra. Mereka mendapat kepercayaan dan satu pangkah ekstra. Mereka tidak pernah dan tidak akan sedar.

Aku duduk di sini. Di bawah putaran kipas angin uzur. Tidak berbaju dan kepanasan. Di luar sana, tiada angin yang berhembus. Malam nampak muram. Bulan bersembunyi di balik awan. Bintang-bintang jauh tak menampakkan kerdip sinar yang kadang terang kadang berbalam. Aku merengkel. Lantas aku mengutuk diri yang tersangkut dengan istilah-istilah akademika yang memusingkan.

Aku putuskan yang malam ini adalah malam terakhir. Malam penutup buat Noor Neelofa dari terus-terusan menghantui gelap malamku. Selamat Datang, Izara Aishah!

Isnin, Januari 09, 2012

Si Salju Putih Dengan Pemburu

Dia mahu memanipulasi. Dia gila mengeksploitasi.

Dia orang biasa. Dia sederhana. Dia jarang berbicara. Mungkin kerana dia tidak begitu tahu bagaimana mengatur kata. Orang kata pidato itu kemahiran merekayasa. Baginya ia adalah sumpahan durjana. Ah, ada orang yang anggap lahirnya celaka. Beruntunglah yang lahir-lahir saja dia bangsawan, hartawan dan rupawan.

Entah apa yang ada padanya. Entah apa kebaikan yang dilakukannya. Entah apa doanya yang makbul tak bertapis terus ke langit tujuh. Takdirnya dia disayangi. Nasibnya dia diminati. Qadarnya dia disenangi. Lalu mereka pun mengamanahkannya taklifan yang berat. Yang datang bersama tanggungjawab menggunung. Yang tak terpikulkan oleh kudratnya yang selayaknya bukan kudrat perwira.

Bermulanya khianat. Cenderung korup. Dan selebihnya adalah sejarah. Yang separuhnya terpadam. Dan setengah lagi membusuk dalam lipatan dendam. Hanyutlah dia dibawa skeptik jijik yang jahanam. Lalu kisahnya dijadikan pedoman. Agar tak terulangkan oleh kaum-kaum yang mahu belajar dari teladan dan sempadan.

Rabu, Januari 04, 2012

Kerdip Lampu Merah dan Bunyi Siren

Lagi sajian mata bernuansa religi. Magis Buya Hamka diterjemah ke skrin perak. Kamu tidak perlu jadi seorang prodigi untuk memahami keindahan. Kamu hanya perlu gabungjalin rasa yang bersifat alami, akal yang sihat berfungsi dan intelektualisme yang waqi'e. Bersatunya elemen-elemen ini dan kamu akan dapati diri menikmati dunia dari sisi pandang yang beda.

Manusia sifatnya alpa. Bila di puncak jaya, kuasa dan darjat yang dipunya sering membutakan hati dan fikiran. Mengelabui pertimbangan. Memendungkan lalu menghadirkan taufan. Maka terjadinya korupsi atas bawah yang leluasa.

Manusia sifatnya leka. Bila dianugerah pintar akal, licik tipudaya yang maharajalela. Ammarahbissu' mengatasi mutmainnah. Seharusnya ilmulyaqin memedomankan hidup. Namun sebaliknya tunggang-langgang dihambat nafsu yang mengekang.

Manusia mudah lupa. Aku lupa. Kamu lupa. Mereka lupa. Lekas. Ayuh. Kita cari almuzakkir yang tegas memimpin. Kembalikan diri ke jalan yang mustakim. Yang menjadi tempat tinggal bagi mereka yang mendapat nikmat. Yang terpelihara dan dipelihara. Mari, aku gesa diri sendiri untuk memulihara.