Sabtu, Disember 31, 2011

Tidak Perlu Tekan Butang Panik

Merealisasi resolusi tidak mudah. Mungkin sebab itu aku memang tidak pernah meletak apa-apa azam dalam hidup. Seingat-ingat memang tidak pernah. Tetapi lintasan-lintasan ingin dan harap memang ada. Dan lintasan-lintasan itu yang selalunya memberi kejutan dalam perjalanan yang telah aku tempa.

Merealisasikan resolusi memang tidak mudah. Tidak sesenang menghafal fa'ala fa'alaa fa'aluu fa'alat fa'alata fa'alna. Tidak seringkas mengi'rab mubtada' marfu' biddhammah. Ia memerlukan pengorbanan fizikal, mental dan emosi. Ia membutuhkan kecekalan yang agam dan kemahuan yang menggunung.

Merealisasikan resolusi sesungguhnya tidak mudah. Namun di sebaliknya, terlindung kecantikan yang tersembunyi. Yang tidak akan pernah tersentuh oleh insan yang tiada azam sepertiku. Yang hanya dilalu dan ditempuh oleh mereka yang menginginkan sesuatu. Sentiasa. Selalu.

Merealisasikan resolusi hakikatnya tidak mudah. Aku mahu menjadi sebahagiannya. Bergelumang di dalam ketidaksenangan itu. Merasainya. Supaya aku tahu adakah ia sesukar membezakan jenis-jenis tasybih dalam balaghah Bahasa Arab Tinggi Tingkatan 5. Atau lebih susah daripada tarajjim perkataan yang tak pernah diketahui akar katanya.

Solusinya di sini, mari berevolusi dan berhenti rasa inferior dengan perkataan reformasi.

Isnin, Disember 26, 2011

Dari Jemapoh Ke Manchestee

Aku dengan ini mahu mengakui bahawa Spring Waltz adalah drama cinta paling memberi kesan kepada aku (simptom dijangkiti wabak pathetic). Dan sejak hari itu, aku jadikan Vienna sebagai destinasi percutian impian paling atas dalam senarai mesti pergi.

Aku juga ingin mengakui bahawa Shandy Aulia adalah gadis paling comel pernah aku tonton ketika usiaku menginjak 18 (pengaruh rakan sebaya dan sekepala). Dan sejak saat itu, Menara Eiffel menjadi binaan agam yang akan selalu aku pujakan.

Entah bagaimana aku tergoda akan hasutan rakan-rakan. Lalu kami pun terbang ke Eropah. Dari bumi paling basah di United Kingdom, kami melawat kawasan burung Liver. Terus ke ibu kota peradaban orang Inggeris. Lalu kami menjejak pula kesan-kesan kezaliman Bonaparte. Selesai mencari cinta di kota indah itu, kami menjadi saksi sejarah tamadun Islam di Andalusia. Akhir penjelajahan, kami ke samping menikmati sisa-sisa empayar Roman.

Ah, tentu saja kota London adalah kegemaran aku. Tiada sebab dan akibat. Sama seperti kegilaan Qais yang mencintai Laila. Serupa apa yang dirasa Shah Jahan kala membina Taj Mahal. Kota yang meninggalkan aneka memori. Kota yang hampir-hampir menyebabkan aku hilang kawan, hilang diri malah hilang pedoman.

Andai, kau lewati Segi Empat Trafalgar, mendongak-dongak di Westminster Abbey, bersesak di Stesen Victoria, bergambar melompat di hadapan Istana Buckingham, menikmati kebersihan tandas di pusat beli-belah Harrods, pusing keliling di Londoneye, merentas Jambatan Menara dan menjeling nakal gadis Inggeris di Laluan Oxford, maka ingatlah daku juga pernah melihat bulan penuh di jejak yang sama.

Muahaha. Nasib baik tak bertukar jadi gorila oleh sebab Gelombang Brute tahap optima yang dipancar ketika bulan penuh.

Isnin, Disember 19, 2011

Servis Pesanan Multimedia Itu Telah Menjadi Kertas Dinding Skrin Telefon Bimbit

Aku menyusup di celah-celah manusia. Sebelum lebih ramai yang menyerbu sasaran, aku putuskan untuk berhadapan dengannya. Lambat atau cepat, aku perlu bertemunya.

SR: Cikgu, apa khabar?
CHH: Eh, kamu. Abang, ini kawan Razi.
SR: *Senyum* Apa khabar, pakcik.
HJ: *Senyum* Baik.
CHH: Kamu dah kahwin?
SR: Err, belum. *Buat muka comel*
CHH: Ke kamu nak cari bekas pelajar Kolej Islam juga?
SR: *Terkedu* Dalam hati berbisik, "Saya nak cari ex-Kolej Tunku Kurshiah, cikgu" *Nakal*
CHH: Macam Mudzil. Isteri dia bekas Kolej Islam juga kan?
SR: Betullah tu, cikgu.
CHH: Tak apa. Bukan Kolej Islam pun boleh.
SR: *Senyum lebih lebar* Dalam hati lagi, "Cikgu ni boleh baca hati orang ke?"
CHH: Dah makan?
SR: Sudah, cikgu. Dah jumpa Razi pun. Tahniah, cikgu. Saya nak balik dulu.
CHH: Baiklah. *Sambil menghulur ole-ole*

Entah kenapa hati aku tenang. Mungkin kerana hari itu langit cerah. Atau mungkin angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Atau mungkin juga burung berkicau riang. Atau mungkinkah di belahan dunia yang lain, ada orang sedang memikirkan diriku?

Sabtu, Disember 10, 2011

Requiem Kepingan Hati

Orang Malaysia memang selalu berbangga dengan santun bicara, manis senyum dan lembut perilaku. Banyak yang mengaku masih mempertahankan adat san susila ketimuran. Malah tanpa silu mewara-warakan kepada dunia, bahawa merekalah bangsa negara yang ramah-tamah dan saling menghormati.

Tapi semua itu tiada aku lihat. Kamu pergilah ke mana sahaja. Masyarakat yang sama, namun tiada lagi garis senyum kelihatan. Tiada lagi budi bahasa. Bagi mereka, dunia ini hanya tentang mereka. Orang lain ditinggalkan corot dalam senarai prioriti.

Mari membanding mereka dengan gadis/makcik/nenek Walmart. Memang tidak mungkin kita dapat satu-satu perbandingan yang adil. Ini kerana subjek yang dinilai mungkin berbeza budaya, geografi, intelektualisme, et cetera. Namun pada asasnya subjek yang ini adalah sama. Manusia. Yang memiliki fitrah yang sama. Yang asal jadinya adalah tanah. Yang diiktiraf khalifah muka bumi. Yang diberikan akal dan nafsu.

Jadi mengapa, ada yang hidup dengan bongkak dan sombong. Bagaikan mereka itu setingkat lebih mulia dari yang lain. Atau berasa darjatya lebih tinggi. Menganggap orang lain seperti pariah dan dirinya adalah brahmin. Andai kata ada perkara yang menyakitkan hati dan mata, tidak bolehkah bereaksi secara rasional dan positif. Mengapa perlu sampai berbunuhan, caci-cerca dan provokasi.

Panduan hidup telah lama ada. Dari adab yang sekecil-kecil, cara muamalah, hinggalah perkara-perkara fundamental dalam aspek penyatuan masyarakat, pembinaan negara serta pengukuhan agama. Tiada rugi menghulurkan senyum dan menegur secara baik. Kan memang fitrah manusia sukakan yang indah-indah. Kalau dapat yang indah, nyata sahaja balasan yang akan diberi adalah indah juga.

Ahad, Disember 04, 2011

Merafak Izzah

Masa itu, entah bagaimana aku boleh menguliti karya agung Pak Hamka. Tanpa tahu asal usul, aku mengusungnya ke kelas, bilik TJN, C302, pusat sumber, malah ke makmal komputer. Kadang-kadang terbawa-bawa ke liqa' pintu dan liqa' muhasabah. Eh, pelajar tingkatan lima tak kena liqa' muhasabah. Dan aku nobatkan karya agung ini nombor satu dalam carta hati aku.

Dalam masa yang sama, blok sebelah telah digemparkan dengan kehadiran kisah cinta tragis. Kisah yang mampu meluruhkan hati-hati pemain ragbi sekolah. Aku pasti ia bukan sebuah kisah biasa-biasa. Dan sehingga ke hari ini aku masih belum mampu merungkaikan kisah itu. Kerana kembang kuncup hidung Lisa menahan marah mungkin tak sama dengan apa yang pemain-pemain ragbi sekolah imaginasikan.

Sejak itu, banyak telah berubah. Sejajar beredarnya masa dan keadaan. Namun satu yang masih belum berubah. Retorik politik tanah tumpah darahku ini. Tidak kira di peringkat mana, tetap sama. Retorik yang hanya tinggal retorik. Tidak lebih dan tidak kurang.

Khamis, Disember 01, 2011

Young Man in Coffee Shop

Riuh-rendah dunia tidak langsung mengganggunya. Dia terperosok ke sudut sempit itu. Dalam dunia ciptaannya sendiri. Dalam dimensi berbeza. Dia sendiri. Dia seorangan. Hanya Tuhan dan dirinya yang tahu lingkaran apa yang memisahkannya dari hiruk-pikuk alam.

Dalam keterbatasan, dia mencuri pandang. Terlihat olehnya segala macam ragam. Kecil besar, putih hitam. Segalanya. Nyatakan sahaja dan semua dia temui. Lalu dia tunduk, meneliti fizik diri. Yang kian usang dan berusia. Dihitungnya satu persatu. Kurang dan tambah kurang.

Satu saat dia lelah dan menarik nafas panjang. Saat berikutnya, dia terkial-kial mencari sesuatu yang dirasakan hilang dari genggaman. Mana? Dia resah dan tidak keruan. Takutnya bukan kepalang. Dia gusar tidak menemuinya.

Dia bangun mencurah segala kudrat yang tersisa. Tubuhnya dihempas. Menolak dinding yang membatasi sempadan realiti dan fantasi. Bersama gumpalan beban yang sangat berat, dia melangkah masuk semula ke tempat aslinya. Tempat dia tercicir sesuatu. Yang bernama Harapan.

Dia bertempik sekuat hati. Melolong, memanggil malah menanti sahut. Puas dia ke kanan kiri, ke depan belakang. Dia keletihan dan tiada asa lagi. Hinggalah hijab itu terbuka memunculkan Harapan yang suatu ketika hilang. Lalu beban yang dipikulnya terasa ringan dan pergi meninggalkan.

Isnin, November 28, 2011

Menegak Tiang Seri


Cukupkah mutiara-mutiara yang aku kutip di sana? Bekalan untuk menangkis dan menepis serangan perang saraf rejim kejahatan. Penerus mata rantai dan sinambungan nur kebaikan. Hirup hembus udara penyatuan. Yang waqi'e, yang zamani. Kuatkan diri yang kian usang dimamah angka. Biar sisa yang ada tidak terbazir malah terus perkasa. Di manakah mutiara-mutiara itu? Yang kamu khabar. Yang kamu uar-uar. Yang bertebaran.

Isnin, November 21, 2011

Tiada Selingkuh

Kalau engkau jatuh
Jangan engkau lemah
Kerana hidup mengajar kita
Jangan cepat mengalah

Sukan, terutamanya bola sepak adalah satu wadah yang boleh menyatukan. Bayangkan bagaimana dua orang yang berbeza gender, agama, bangsa, negara, fahaman politik dan apa sahaja yang membezakan, boleh duduk semeja, berkongsi minat menyokong pasukan masing-masing.

Menonton perlawanan antara 22 manusia berkromosom XY merebut sebiji bola untuk dimasukkan ke dalam gawang pasukan lawan mungkin kelihatan bodoh pada kaca mata sesetengah orang. Namun perkara tersebut berupaya merembes adrenalin, menggoncang semangat dan merangsang emosi bagi peminatnya.

Kecewa apabila di ambang kekalahan. Gembira dan teruja apabila menuju kemenangan. Posisi diubah. Posesi dirampas. Lawan digelecek. Bola disambar. Bendera dikibar. Gendang dipalu. Lagu semangat dilaung. Ah, kalau saja boleh digambarkan perasaan ketika gol dijaringkan, pasti tidak cukup aksara di papan kekunci untuk ditekan.

Ya, memang diakui, dalam pasukan kesayangan sendiri ada pemain yang dibenci. Mereka yang acapkali mengundang amarah dan sesal para penyokong. Namun, kemarahan yang datang selalu sahaja diredakan oleh sang hero yang datang tepat pada masanya. Pro dan kontra yang mewarnai permainan. Menjadi rencah yang mambawa kelazatan dalam perlawanan.

Tolong. Wahai kamu. Yang membawa cabaran. Yang tersandar dipundakmu harapan jutaan rakyat. Jangan bolos. Jangan bobos.

* * * * *

Wahai Mariana, jangan kau tersinggung. Kerana walau jauh manapun benteng pemisah Gelora Bung Karno menghalangku, kau masih tetap wanita tercantik di Indonesia. Abadan abada.

Ahad, November 13, 2011

Il Wol Ji Ga

Ayuh, Wira Negara!

Segalanya tentang dirimu aku kagumi. Aku susuli perjuanganmu dengan doa dan harap. Aku iringi titik keringatmu dengan sorak-sorai bergemuruh. Aku selimuti getar debarmu dengan suara semangat.

Aku amati, turuti, soroti segala lincah langkahmu, tabah hatimu, melismatik gerakmu, dan karismatik pendirianmu. Kau mara menempuh badai. Kau paksakan kudrat menongkah arus. Tiada kau hirau bisik-bisik ragu. Tiada kau intai pintu undur diri.

Ikhlaslah kau berjuang. Ikhlas jua aku hulur dokongan. Moga mekar dan harum nama watan. Untuk kau dan aku banggakan.

Selasa, November 08, 2011

Umpama Lagu Cinta Yang Diulang-Ulang

Langit keruh. Aku benar-benar terpengaruh.

Menginjak kaki ke daerah asing yang penuh teka-teki dan persoalan. Kepala menoleh kanan dan kiri. Hati tidak tenteram. Maka toleh lagi kanan dan kiri. Episod masa hadapan yang bakal dilalui. Ia penuh misteri. Mengerikan dan kadang-kadang mengujakan. Protagonis ceritera ini pula insan yang sangat biasa. Terbiasa menjadi biasa. Meredah ranjau tanpa hitung kira. Spontan menghadapi apa sahaja. Kerana baginya risiko yang terkalkulasi itu membosankan. Hidup dengan kira-kira selamat itu tiada serunya. Apalah erti kalau semua terencana seperti aturan. Kan lebih indah kalau selalu dalam kejutan. Elemen itu pasti merangsang berbilion sel-sel peka dalam anatomi manusia untuk lebih reaktif dan proaktif dengan persekitaran.

Oh, mungkin sebab itu aku cepat terpengaruh. Walau hanya kerana lapis lazuardi itu telah berubah keruh.

Ahad, Oktober 30, 2011

Guilt


Kutulis namamu di udara. Agar dapat kuhirup dan tersimpan kekal dalam dada. -@danissyamra-

ISU Cyclones

Khamis, Oktober 27, 2011

Bruised and Battered

Perca-perca kehidupan. Warna yang pelbagai. Motif yang aneka. Nuansa yang berbeza. Kukumpul-kumpul jadi satu mahakarya. Yang indah tapi membingungkan. Yang mulus namun misteri.

Butang 1 pada alat kawalan jauh itu aku tekan. Kaget. Maha Suci Allah dengan segala kemahaluasan kerajaanNya dan kemahakayaan ilmuNya. Pasti. Tidak akan dilambatkan dan tidak akan dipercepat kematian. Cedera yang fatal di kepala, leher dan dada. Penamat riwayat jaguh permotoran dalam pembikinan. Marco Simoncelli.


Panas dan lembab bumi Sepang menjadi saksi tragedi itu. Walau tidak segah The Doctor ataupun legenda lumba motor lain seperti Mick Doohan, Wayne Rainey, Kevin Schwartz, Max Biaggi, et cetera. Namun kematian mendiang tetap diratapi dan ditangisi. Benarlah kata orang, manusia memang mati meninggalkan nama.

Aku mundur. Rasa terkejut itu masih bersisa. Diam-diam aku berdoa. Moga pengakhiran aku dan mereka yang aku sayang serta manusia amnya akan terhenti di noktah yang baik.

Mahakarya yang tercipta itu milikNya yang hakiki. Aku diberi pinjam. Dan aku masih belum mahu bersyukur? Atau sudah cukupkah syukur yang aku lahirkan?

Sabtu, Oktober 22, 2011

Bushra

Khabarkan aku berita gembira dan aku mahu tertawa bersama. Kongsikan kesedihan dan akan kuseka air mata.

Aku pernah ditanya tentang apakah makna gembira. Aku terlongo. Kosong. Tiada getar udara tercipta. Aku tidak mampu mendefinisinya.

Aku pernah tahu erti derita. Lebih sakit dari sengatan lebah. Tapi aku tak pasti apakah itu hakikat derita. Aku rasa aku salah.

Seni hati memang rumit. Lantas aku putuskan biarlah apapun yang berlaku, mahunya ia baik atau buruk, akan tetap buat aku gembira.

Tempat gembira letaknya di hati. Yang selalu berbolak-balik. Oh Tuhan, Kau tetapkanlah ia pada jalanMu.

Selasa, Oktober 18, 2011

Gatra Yang Jera

Waktu itu musim sejuk. Salji yang turun semalaman telah mengeras menjadi ais. Ia akan kekal di situ buat beberapa lama. Menunggu penyaluran tenaga haba yang membolehkannya mencair dan mengalir ke perut bumi. Diresap dan diserap oleh daun-daun halus dan tanah beku. Ngilu tapi nyaman.

Aku benci. Kaki lima diturap lapisan ais. Licin, sejuk, kotor. Silap kau melangkah, tersembam di khalayak. Terbenam dalam lapisan salji bersama-sama rasa malu yang membengkak. Saat maki hamun terburai pantas dari bibir yang pucat, aku lupa makhluk lain di keliling sedang giat merafak zikir. Istighfar.

Memang selalu begitu. Terlanjur lepas, baru menyesal. Dah terhantuk, lama sekali tengadah berselang. Mujur Tuhan itu Maha segalanya. Segala puji bagiNya. Masih Kau sayang akan diri ini. Masih Kau izin kalimah suci terungkap lepas baru sebelumnya menyumpah laknat apa sahaja yang terlintas.

Jeans lusuh itu sudah basah dan bernoda lumpur. Lutut luka seribu rindu. Aku bangun, bersihkan apa yang patut dan mara berhati-hati ke tempat menunggu. Bas 21 berwarna kardinal menghala ke Frederiksen Court tiba. Lelaki pertengahan usia dengan rambut keriting paras bahu tersenyum mesra. Beliau mengenakan jaket musim sejuk bersama seluar pendek. Pedal minyak ditekan, kenderaan penumpang itu laju meredah dingin.

Aku mengenakan fon telinga yang tersambung iPod Nano 3rd Gen. Kencang irama All American Girl verse akhir berkumandang. Habis diputar, Selamanya Cinta pula menyusul. Aku menyemak nota pelajaran. Menyedapkan hati sendiri. Eskapisme dari terus terbuai rasa bersalah oleh usaha yang tak seberapa. Loceng bas dibunyikan. Aku melangkah lesu. Tuhan, tolong aku.

Apa yang kamu usahakan, itulah yang layak bagi kamu. Man Zaro'a Hasoda. Alhamdulillah. Aku ucap pula pada si dia Yarhamukallah. Suatu masa nanti, di hari yang indah, aku pasti akan lahir regret jauh di sudut kamar hati aku. Sesal akan apa yang aku mahu tapi tidak aku lakukan. Sesal yang tidak berpendapatan. Tapi sesalan itu harusnya aku jadikan sebagai input membina. Yang menjadi batu asas kejayaan masa hadapan.

Ceritera ini, hikayat ini mungkin cuma sebuah retorik. Yang bersifat populis. Yang berkepentingan siasah. Tapi moga ada yang dapat aku ambil supaya ia menjadi sebuah cereka yang berkebajikan dan melahirkan lestari kebaikan. Yang tersangkut walau secebis hati yang makin kotor oleh yankusnya iman. Agar ia kembali putih, suci dan terhormat.

Bawah cermin kopak itu ada kotak yang di dalamnya tersembunyi tempurung tempat katak melalak. Lepaslah katak itu. Biar ia melihat dunia. Buruk baiknya. Biar ia nilaikan sendiri.

Khamis, Oktober 13, 2011

Tidak Jadi Memperkenalkan Olivia Lubis Jensen

Kalau sudah namanya manusia, pasti keinginan untuk terlihat outstanding itu ada. Segala-galanya mahu lebih. Lebih hebat, lebih kacak, lebih kaya. Paling tidakpun lebih gaya. Dan aku adalah pakar dalam usaha menjadikan diri lebih dari orang lain dalam segala hal. Kecuali hal yang melibatkan ketinggian. Bukan sebab aku gayat. Tapi sila salahkan genetik.

Suatu hari, cikgu Azizah mengedar kad pelajar. Di atas kad tersebut terdapat tiga ruangan kosong pada bahagian 'Cita-cita'. Seperti lazimnya, profesion paling digilai budak-budak waktu itu adalah polis. Kalau budak perempuan, sudah pasti guru. Oleh sebab aku ingin diri dijadikan idola oleh rakan-rakan dan disayangi lebih oleh guru-guru maka aku isi ruang kosong itu dengan satu perkataan yang boleh dikira boombastic oleh murid tahun 2. ANGKASAWAN.

Dari celah manakah perkataan itu boleh terlahir dan terzahir? Waktu itu aku sangat terkesan dengan cerita Neil Armstrong menjejak bulan sambil memakai sut angkasa yang aku kira cool. Ditambah lagi kekaguman aku oleh filem Apollo 13 yang sampai hari inipun aku belum pernah tonton. Dan waktu itu segala jajan yang tertera pada pembungkusnya perkataan Apollo, pasti jadi kegemaran aku. Dan sekarang aku meragui diri aku yang dulu selepas kontroversi pendaratan di bulan yang dispekulasikan sebahagian orang hanyalah sebuah teori konspirasi.

Berhasilkah usaha aku untuk jadi lebih dari orang lain? Sudah pasti. Mereka melayan aku seperti aku penyandang Tokoh Maal Hijrah. Malah aku berasa seperti diangkat menjadi hero kampung ala-ala Fong Sai Yuk. Ditambah lagi dengan kekacakan yang terserlah sejak dari aku menumpang makanan mama dari dalam perut (kali ini genetik memainkan peranan penting). Memang sah aku dilahirkan sebagai pemenang. Ok, anda betul. Semua manusia memang terlahir selaku pemenang.

Kisah ingin lebih, melebihi, dilebihkan, kelebihan, terlebih, lebih-lebih ini tak akan padam. Tapi adalah lebih baik jika manusia itu lebihnya bersyukur. Cukuplah yang ada-ada sahaja. Sebab mereka yang lebih mulia itu sifatnya majlis. Sederhana. Tidak berlebihan, tiada pula terkurang sini sana.

Khairul Umur Ausatuha.

Selasa, Oktober 04, 2011

Dongeng Naga Di Danau Nan Indah

Ijazah terbaik memang datangnya dari jalanan. Contengan dan lakaran kehidupan yang pelbagai mampu menghasilkan lukisan yang mahakarya. Pengalaman mematangkan. Melaluinya manusia beroleh sudut pandang yang tidak lagi statik. Dengannya manusia beranjak ke titik lebih tinggi dalam peringkat kehidupan mereka.

Berbicara dengan mereka yang lebih dulu makan garam memang memberi kepuasan yang tidak sedikit. Aku biarkan mereka mendominasi pembicaraan. Aku perhatikan bahasa badan, lenggok kata dan semangat murni yang terpancar dari mimik muka. Beza. Sangat berbeza jika dibandingkan dengan patah percakapan si mentah.

Benarlah telahan aku. Hikmah dapat dicedok di mana-mana. Dan hikmah itu banyak pula aku dapati bila bersama mereka. Aku hanya senyum dan mengiakan. Aku mengangguk dan rasa senang. Sesekali aku lepaskan umpan agar hikmah keluar mencurah-curah. Lalu aku tadah dan hirup manisnya hingga aku puas.

Aku mahu lagi. Ya. Moga ada kali yang lain. Dengan hikmah yang lain. Yang indah-indah. Janji denganku wahai sang hikam.

* Beijing Open - Ivanovic & Kirilenko are having a great tournament. Loike <3 <3

Khamis, September 29, 2011

Perihal Sebongkah Batu

Filem kita budaya kita. Filem adalah cerminan masyarakat. Penonton sudah tahu menilai. Penonton tidak bodoh. Ungkapan-ungkapan ini akan kedengaran secara kerap pra, ketika dan pasca festival filem. Sejauh mana kebenarannya terletak pada definisi pihak tertentu. Yang pasti, persoalan ini berbentuk hujung terbuka. Tiada yang benar-benar benar.

Khali.

Aku ligat memutar memori. Bila kali terakhir aku belajar sesuatu selepas menonton filem. Entah. Majoriti filem yang ditonton menawarkan tidak lebih dari hiburan semata-mata. Sama ada menyentuh emosi, menghantar isyarat humor ataupun yang merangsang adrenalin. Tiada satupun yang menggetar deria ktitis. Yang memberi signal ilmu kepada penonton.

Salah filemkah? Atau dalam filem tersebut memang ada sumber ilmu yang mencurah-curah. Yang selalunya terlepas pandang oleh penonton. Penonton yang hanya mementingkan pleasure hingga menutup ruang santapann ilmu. Dek hati yang makin gelap, buta dan membatu.

Khali lagi.

Jarang-jarang. Kadang-kadang. Generasi hari ini termasuk aku sangat kurang yang menikmati medium berbentuk hiburan dengan kenikmatan ilmu. Kebanyakannya berorientasi hedonisme. Semuanya bagai angin lalu. Kalau sedap, sedapnya hanya sekejap. Kalau tak sedap, lalulah ia dengan sia-sia.

Tiada apa yang membekas di hati apatah lagi di minda. Harusnya wadah yang satu ini kita gunakan untuk menambah baik nilai diri. Menokok pengetahuan dan kefahaman akan hakikat hidup dan penciptanya dengan skala yang besar. Dan mematah unsur luaran yang membejatkan.

Ah. Hanya cakap. Bila dan di mana aku dan kamu harus mula? Mungkin dengan mengkaji asal jadinya kita. Asal agama. Asal datangnya iman kepada nenek moyang kita.


*Penulisan yang dipengaruhi oleh kewujudan sebongkah batu di Kuala Berang.

Isnin, September 26, 2011

Sekeping Kaca Yang Terlutcahaya

Dinda, aku dapat rasakannya saat kau lemparkan senyum perpisahan kita yang pertama. Ada getar yang tersirat. Ada sinar bahagia dalam kesamaran. Namun, kala itu aku yakinkan hati yang rasa kita tak mungkin sama. Walau keyakinan itu amat goyah. Dan aku tahu yang aku hanya mendustai hati.

Sabtu, September 24, 2011

Anak Patung Dari China

Pagi itu indah seperti biasa. Jutaan umat memulakan rutin hidup. Ada yang bersemangat waja. Ada yang bersemangat Jawa. Tak kurang yang lemah jiwa.

Sambil menghirup udara kota, aku melangkah. Sama laju dengan yang lain. Sama panjang bukaan langkah. Dalam hati, aku bertempik. Lihatlah dunia, aku di sini. Bersama titik-titik kota yang lain.

Tujahan langkah semakin deras. Sampai satu tanda aras dan aku putuskan untuk kembali ke asal diriku. Lalu datang seorang yang misteri. Menghampiri aku dengan senyuman yang terselindung sejuta andaian. Aku balas senyumannya. Dia semakin galak mendekatiku.

"Mau cari Amoi ka?"

Aku menelan liur. Menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak mahu. Langkah aku seterusnya sama laju dengan Usain Bolt.

Ahad, September 18, 2011

Tak Bisa Memilih

Adegan 1.

Lokasi: Pejabat Guru Besar SK Batu Laut.

Watak:

1. Ibu yang bertugas sebagai guru prasekolah.
2. Abang sulung yang hensem dan sangat berbudi bahasa.
3. Adik perempuan keempat yang perasan cun.
4. Ustaz JQAF yang sedikit keliru.

Watak imaginari:

1. Guru Besar yang tak sempat masuk bingkai.
2. Pengerusi PIBG yang menyibuk bersama guru besar.

Plot:

1. Ibu membawa dokumen adik perempuan kepada guru besar untuk ditandatangani dan disahkan.
2. Guru besar sedang berbincang hal ehwal sekolah bersama pengerusi PIBG dan ustaz.
3. Ketiga-tiga beranak menunggu penuh tawaduk di bilik menunggu.
4. Ustaz keluar dari pejabat guru besar.
5. Ustaz terserempak dengan tiga beranak dan memutuskan untuk menyapa.

Dialog:

Ustaz: "Kak, tunggu apa dekat sini?"
Ibu: "Tunggu guru besar. Tadi dah serah dokumen anak nak masuk universiti. Nak minta guru besar cop dan sahkan"
Ustaz: "Oh. Ini anak-anaknya?"
Ibu: "Haah."
Ustaz: "Ni kakak kamu ke bang?"
Abang: "Err, tak adalah ustaz. Ni adik saya yang nombor empat."
Ustaz: "Laa, ya ke? Oklah kak. Ada kelas ni. Assalamualaikum."
Ibu: "Waalaikumussalam."
Abang: "Hahaha. Muka tua."
Adik: "Boo, kau tu yang pendek."


* * * * *


Adegan 2.

Lokasi: Rumah Terbuka Guru Besar SK Kg. Medan di Johan Setia, Klang.

Watak:

1. Abang sulung yang berkaliber lagi kiut.
2. Suami seorang bekas guru di SK Kg. Medan yang terpana.
3. Guru wanita tersebut atau dikenali sebagai isteri si suami.
4. Bapa yang bertugas sebagai PK Kokurikulum.

Watak Imaginari:

1. Ibu yang kelihatan 'hot'.
2. Guru Besar yang sibuk melayan tetamu.

Plot:

1. Kedatangan di rumah terbuka disambut mesra. Pelbagai juadah disediakan. Puas menjamu selera.
2. Tiba masa untuk meminta diri. Bersalaman sesama jemputan sebelum meraih duit raya yang diidamkan.
3. Abang sulung bersalaman dengan suami seorang guru. Suratan atau kebetulan?

Dialog:

Abang: "Selamat Hari Raya, maaf zahir batin."
Suami: "Sama-sama. Ni anak cikgu Ramjis ye?"
Abang: "Haa. Betullah tu."
Suami: "Tingkatan berapa?"
Abang: "Err!" Terkedu bercampur riak. "Saya dah kerja."
Isteri: "Cikgu Ramjis, dia ingat anak cikgu masih sekolah. Tingkatan berapa dia tanya."
Bapa: "Ini anak yang sulung. Dah habis belajar. Dah kerja pun."
Isteri: "Maknanya dik, saham kamu masih tinggi lagi."


* * * * *


Muahahahahahahaha

Ahad, September 11, 2011

Bukan Fifi Fairuz Fuyoh

Mungkin sebab kami berbintang sama, aku jadi senang dengannya. Sesetengah karakteristik dirinya adalah cetakan karbon diri aku. Pengkhayal secara alami, pemendam, penjaga hati, ceria, terkadang perahsia dan sedikit fragile.

Dia hidup dengan khayal. Dengan dunia fantasi yang dia bikin sendiri. Dengan watak-watak ajaib yang menghiasi dunia buatannya. Dunia yang ideal baginya kalaupun bukan realistik. Dunia yang dia ingin berada di dalamnya selama-lama.

Perahu kertas itu teman waktu lara. Sahabat sedu-sedan. Kawan esak-tangis. Kerana realiti tak selalu indah seperti apa yang dimimpi. Lalu eskapisme itu yang buat dia bertahan. Kuat dalam tiada daya.

Kugy Alisa Nugroho. Moga perjalanan merentas jalan belok dan bengkok itu bisa bikin aku terinspirasi. Kerana jalan hidupku juga sukar diduga. Penuh kejutan. Penuh ranjau dan liku. Sinonimnya fiksi.

Ya, kami Aquarius. Kadang berantakan, kadang romantis.

Rabu, September 07, 2011

Heart Beating

Insan, kau tak punya kuasa mencuri hati. Kerna ia telah aku simpan rapi di sudut sana. Sudut tirus yang paling seni. Jauhnya tak terjangkau dek akal. Dalamnya hingga terkalahkan Jurang Mariana. Tak ramai yang sanggup ke sana.

Insan, kau tak punya kudrat mencuri mimpi. Kerna ia telah aku buang jauh dari memori. Memori yang tak mahu aku kongsi. Intinya manis dan indah tapi bahaya. Ramai yang derita mahukannya. Melarat bila memilikinya.

Insan, kau tak punya apa-apa. Dan kau mahu semuanya. Bahagia walaupun terseksa. Seksa yang bawa bahagia. Sampai waktu, kau tak bisa pisahkan seksa dan bahagia. Kerana definisinya sama. Dari sisi manapun. Dari bucu manapun.

Ahad, September 04, 2011

Bila Gadis Manis Bernama Irene Datang Menyapa

Aku harus telan realiti ini. Aku sudah menjadi peminat Nurul Elfira Loy sejak menonton kelibatnya dalam Malaysia Hari Ini siaran 2 Syawal 1432H. Mudah. Sifir yang mudah. Sebab beliau bagi aku adalah beauty with brain. Ok, aku tak boleh buktikannya. Tapi itu yang aku rasa. Mungkin aku salah dan melakukan justifikasi secara instinktif semata-mata, tapi ia bukan kesalahan fatal yang boleh membawa bencana besar pada dunia.

Satu pernyataan. Cuma perlukan satu. Dan aku akan percaya jika kau katakan seluruh isi bumi ini sudah kau jelajah. Aku akan percaya jika kau ungkap gunung tertinggi dan banjaran paling besar telah kau redah. Aku juga pasti percaya jika pohon sakura di gurun sahara telah kau temukan. Ya, satu pernyataan bijak yang terlafaz dari bibir yang terjuih itu.

Idul Fitri. Manusia kembali ke permulaan fitrah. Layakkah aku untuk mendampinginya.

Jumaat, Ogos 26, 2011

Tomorrow's Joe (2011)

Sangat menarik. Persembahan yang cukup sifat. Mereka buat aku percaya yang aku sememangnya menonton satu perlawanan tinju. Aku lihat dan perhati setiap tumbukan. Ada Jab, Hook, Short straight-punch, Uppercut dan Cross-counter. Pergerakan dan aksi dalam gelanggang yang sangat meyakinkan.

Paling penting, aku lihat kesungguhan mereka. Tanpa pengorbanan dan tekad yang menggunung, mana mungkin seseorang itu akan berjaya. Ya, mungkin kita tak akan sampai ke puncak sepertimana yang kita harapkan, tapi menempuh perjalanan yang penuh ranjau dan duri lebih memberi kepuasan dari mengaku kalah sedari awal.

Oh ya, Karina sangat gorgeous dalam ini cerita.

Isnin, Ogos 22, 2011

Bertebaran Di Muka Bumi

Pertemuan singkat itu menyingkap banyak tabir cereka. Ada sedih, ada gembira. Ada mengundang tawa, ada duka dan luka. Seputar pembicaraan, kami dikerumun idea, ideologi, teori dan aplikasi. Kami hitung tambah tolak darab bahaginya. Namun pengakhirannya kami putuskan biarlah ia berlalu tanpa ada ubah apa-apa. Kerana satu-satu perkara lebih elok dibiarkan apa adanya.

Bicara kami bicara kemanusiaan. Bicara yang ada-ada. Yang dekat dengan hati, yang nampak dengan mata. Analisa sikap dan tabiat orang sekeliling dibahas debatkan. Dibidas, disokong dan dirumus jadi satu konklusi yang kadang jelas, kadang besar ambiguitinya. Nyata manusia dan apa sahaja yang wujud sekitarnya kadang bisa mengelirukan. Namun kekeliruan itulah penyebab mereka istimewa dan unik.

Ah, manusia. Memang kita tercipta pelbagai. Agar kita bisa saling melengkapi dan belajar dengan yang lain. Namun hari ini, perbezaan itu yang kau guna sebagai agen penyebar benci. Bukankah hidup kita terlalu singkat untuk membenci? Berbaloikah membenci bila kita punya sayang untuk diberi?

Sabtu, Ogos 13, 2011

Manisnya Sagu Rendang Semanis Cintamu Padaku.. Peh!!

Hasil ponjongan dari Nek Siti & Tok Itam, aku sempat merasa sagu rendang. Tak tahu? Aku pun baru dengar hari ni. Mama yang terchenta yang beri penjelasan ringkas tapi tepat. Sagu yang diwarna (hijau, pink atau sekehendak hati) dimakan bersama santan dan gula merah. Selepas menikmati kelazatannya aku seakan terdengar sagu rendang tersebut menyanyikan bait lagu Hold It Against Me dendangan Britney Spears pada lirik yang ini "But, you know I'm just your type".

Sungguh, amalan 'monjong' yang menjadi tradisi masyarakat Jawa turun-temurun ini telah menemukan aku dengan aneka juadah. Cuma, oleh sebab terlalu banyak ponjongan yang sampai dalam satu-satu hari, terkadang makanan yang berlebih itu menjadi santapan ayam dan kucing (serta biawak) belakang rumah. Nenek pun mengeluh "Kat sini makanan dibuang-buang, kat apreka (Afrika la tu) orang nak makan pun susah". Aku yang menghadap laptop, buat-buat tak dengar sebab dah kenyang kot nek. Mana muat nak masuk lagi.

* Agak-agaknya, Sherina Munaf tahu ke pasal sagu rendang ni?

Ahad, Ogos 07, 2011

Tidak Dibina Dalam Satu Hari

Hidup bergelandangan. Mereka berbantalkan lengan, bertilamkan bumi dan berbumbungkan langit. Tuntutan hidup di kota metropolitan yang bertuhankan wang ringgit menyebabkan mereka kalis dingin dan panas. Tubuh mereka kebal dari gigitan serangga malam. Mereka insan terbuang di tanah tumpah darah mereka sendiri. Mereka tiada pilihan kerana mereka insan terbuang. Tersisihkan oleh darah daging sendiri dan tiada hala untuk dituju. Lalu ihsan masyarakat keliling ditagih walau sedikit. Walau setitik.

Di bulan mulia ini, nasib mereka masih sama. Masih di jalanan. Masih berteman lorong gelap dan kadbod. Mujur masjid-masjid sekitar menjamu siapapun dengan juadah berbuka dari tangan insan-insan pemurah. Lalu bila malam menyua muka, mereka kembali menghitung takdir dan waktu. Di kejauhan malam, mungkin hanya satu doa mereka, moga Tuhan masih kurniakan mereka harapan. Hanya dengan harapan mereka bertahan sampai saat ini.

Singgah Sahur, Ahad, 7 Ogos 2011 (7 Ramadan 1432H), 5.02 Petang. OMG, Nurul Syuhada & Azizah Ariffin look hot!! <3 <3 <3

* Suatu waktu dahulu, di kota metropolitan beribu-ribu batu jauhnya dari sini. Yang terpisahkan oleh Lautan Hindi dan deretan banjaran, gelandangan Kota Rom berlindung diri dari kedinginan malam musim sejuk yang sangat menggigit. Stesen Keretapi Termini itu sunyi hanya ditemani desahan lemah insan-insan yang senasibnya. Untuk satu malam itu, gelandangan tersebut menyelami erti sebenar nikmat Tuhan. Nikmat yang jarang dirinya dan manusia-manusia lain syukuri. Rumah Manis Rumah.

Ahad, Julai 31, 2011

Syahrul Azim

Teguh iman. Ya Allah, telah Kau sampaikan padaku kesempatan yang bukan sedikit. Yang hanya perlu aku kutip. Sepanjang hadirnya limpahan kasih sayang Mu yang meruah ini, izinkan aku menghirup kemanisannya sepuas-puas. Dan apabila aku tewas oleh pekikan nafsuku sendiri, datangkan nur yang menyuluh terang jalanMu. Kau teguhkan sinaran iman agar ia takkan sirna setelah habisnya kitaran purnama Ramadan ini. Allah. Allah. Allah.

Ahad, Julai 24, 2011

Cherry Blossom Love Story

Majoriti kata zaman kanak-kanak adalah berlian. Zaman yang apabila terkenang pasti mengembalikan ukiran senyum waima kelat mana pun kedaifan hari ini dan gelap mana pun masa hadapan. Tapi kanak-kanak juga punya hodohnya. Kejujuran dalam diri akan dizahirkan tanpa was-was. Dan selalunya ia akan membawa kepada pertengkaran, esak tangis dan derai tawa. Semua dalam satu masa.

Kanak-kanak yang belum kenal erti demokrasi terpimpin malah tidak tahu hidup mereka adalah atas ehsan subsidi seringkali bergurau hingga terlebih sudah. Gurauan paling popular pastinya mengejek nama bapa, emak, datuk, nenek, moyang hingga seluruh salasilah keluarga rakan mereka diselongkar. Malah nama-nama tersebut diubahsuai kepada perkataan lebih menyakitkan hati bagi menambah after-effect ejekan tersebut sehebat after-taste selepas makan durian musang king lebih 15 ulas.

Juga mereka sering menggelar. Ini memang tidak selaras tuntutan Al Quran yang melarang menggelar dengan nama-nama yang tidak elok. Sebagai contoh, Ayam, Kambing, Itik, Babeng, dll (sekadar menyebut beberapa nama). Sedangkan nama yang diberi memiliki maksud yang indah seindah penciptaan manusia itu sendiri. Bayangkan jika nama seunik Febriani Ferdzilla dipanggil Ketot. Dan bayangkan kalau nama yang gah seperti Charlotte Marie Pomeline Casiraghi dipanggil Kemek. Pasti mereka marah dan tidak suka. Fitrah manusia memang tak akan suka.


Ini realitinya. Dan ia pernah terjadi pada zaman kanak-kanak aku, sebelum itu, selepas itu dan sekarang. Aku harap ia berkurang zaman mendatang. Sebab sangat tak best bila terkenang nama-nama moyang aku diejek-ejek. Lantas atas dasar hutang darah dibayar darah, aku pun ejek balik. Siap dengan bin/binti lagi. Dan kalau boleh diputar waktu, aku mahu lekat pita selofan atas mulut aku dan semua kawan-kawan agar kami tak jadi sebut yang jelik-jelik itu.

* Nampaknya tulisan ini tiada sinkronisasi dan alunan bahasanya sangat cacamarba. Tidak sesedap bubur caca dan tidak secantik Irina Shayk.

Selasa, Julai 19, 2011

Damasutra - Seribu Bayangan

Bagio pernah beri kalam hikmah. "Kerana kita rasa bangga bila dipuja dan rasa keji bila dihina". Bahkan. Fitrahnya manusia akan kembang hidung dan bontot pabila dipuja-puji. Terlambung-lambung ke awan sembilan. Tercampak ke kayangan bertemu puteri bongsu paling cantik sekelian alam. Dan fitrah juga manusia rasa kecil besar kecil besar bila dihina-dina. Terpontang-panting lariannya sambil menutup muka dengan plastik sampah warna hitam tak mahu tunjuk muka dan batang hidung pada satu makhluk bernyawa pun.

Dan apabila pujian diterima di waktu yang paling tak tersangkakan, perasaan gembira bukan kepalang hadir mencurah-curah seperti pancuran air suam yang menyegarkan ketika suhu musim dingin mencecah negatif 33 darjah sentigred. Maka satu hari itu kalau terserempak dengan kuntilanak pun terasa seperti bertemu janji dengan Kristina Cempaka. Err, takpun Shireen Sungkar.

* Bila agaknya Rock Ooo.. nak siap Mamat Khalid? Tak sabar nak tengok Amy Mat Piah dan rakan-rakan Rimba Bara mengembalikan nostalgia Rock Car Park di Malaya. Muahaha.

Sabtu, Julai 16, 2011

Black Dog Bone - Bahagia Dan Derita

Pernah satu ketika, aku pandang dunia umpama satu kadbod hitam. Semua hitam. Lalu aku gapai satu bolpen yang juga berwarna hitam. Aku conteng kadbod itu. Aku mundur beberapa langkah ke belakang. Lalu aku tertawa. Lihatlah Dunia, kerosakan yag aku buat. Sama sekali tak mencacatkan engkau. Kau kekal hitam. Aku ngarep. Sampai hidung aku bersentuhan dengan kadbod. Aku lihat contengan tadi. Hitam. Tapi tak sama kehitaman kadbod. Bibir mencebik.

Aku tahu aku salah. Sebab kadbod itu bukan dunia. Kadbod itu dunia ciptaan aku. Dunia anti-utopia. Sebab kala itu aku lihat semua jahat. Sudah tiada lagi orang baik. Tiada benda baik. Yang zahirnya baik pun aku rasa ada tersembunyi kejahatan yang maha dahsyat. Jahat. Aku jahat. Kau jahat. Semua jahat. Jadi macam mana nak keluar dari kejahatan? Kalau di keliling semua jahat?

Rupa-rupanya, orang baik, benda baik, dan yang baik-baik wujud. Tapi selalu terlindung oleh pandangan aku terhadap dunia yang hitam itu. Maka bila pandangan jahat itu terubahkan kepada pandangan yang lebih baik. Lebih positif. Maka dunia bagi aku tidak lagi hitam. Tapi terang memancar.

* Bila ada pelajar sekolah menengah berpakaian sukan sekolah, menghampiri sambil tersenyum dan mengucapkan lafaz agung. Lafaz "Assalamualaikum" yang sudah jarang hinggap di bahuku dan tertangkap oleh telingaku. Bila lafaz itu hadir, ia adalah magis dari Allah yang memindahkan kebahagiaan dan kesejahteraan dari satu entiti ke entiti lain tanpa perlu modal hatta sezarah pun. "Waalaikumussalam Warahmatullah". Adik, moga bahagia dan sejahtera yang aku dapat, dapat juga pada umat manusia lainnya.

Sabtu, Julai 09, 2011

Mana Asakura Keita?

Mengapa masalah ini terjadi? Tanyakan sahaja pada Menteri Pendidikan. Pada Perdana Menteri. Pada Ketua Pembangkang. Pada suku-sakat, sahabat-handai mereka. Pada hartawan yang tiba-tiba jadi jutawan. Pada cendekiawan yang hebat hujah dan syarah. Pada spekulator yang senyum malu-malu. Pada yang dapat habuan. Yang menikmati hasil-mahsul negara dan melegarkannya di kalangan mereka.

Suruh mereka bagi jawapan. Akan bila waktunya korupsi yang berakar-umbi ini akan berhenti.

Aku bukan mahu banyak. Cukuplah kalau mereka hormat orang kecil (macam mana nak jamakkan ek? orang-orang kecil, salah. orang kecil-kecil, err. orang kecil-orang kecil, erk.) yang bayar ufti untuk dijadikan gaji mereka.

Ahad, Julai 03, 2011

Those Little Messengers


Melihat adik-adik di sekolah tertawa riang, bergurau senda dan beraktiviti memberikan kepuasan yang tidak sedikit. Pada wajah mereka terpancar sinar yang jarang terdapatkan pada wajah-wajah orang dewasa. Mereka kurniaan Tuhan kepada dunia. Anugerah daripadaNya untuk menaturalkan koefisi kegembiraan dan kedukaan. Pada mereka banyak ibrah yang boleh diambil. Pada mereka banyak titik positif yang boleh disalurkan pada jiwa-jiwa yang bermuram durja. Mari wahai kawan. Aku dan kamu. Kita lihat adik-adik kecil kita. Kita amati tanda-tanda kebesaran Allah yang disampaikan melalui mereka.

Isnin, Jun 20, 2011

Bukan Al Pacino

Figura nan satu ini adalah figura unggul.

Dia bukan insan paling genius. Masalah pengkamiran ganda dua pun mungkin tidak mampu diselesaikannya. Tapi renung matanya sahaja mampu meruntuh ego guru matematika paling handal sedunia.

Dia bukan insan paling seni. Paling sastera. Puisi indah, gurindam yang mendayu, merayu tidak mampu dia coretkan. Tapi gerak tubuh dan tutur katanya bisa bikin sasterawan negara merajuk tidak mahu berkarya bertahun-tahun lamanya.

Dia bukan insan paling handal. Tetakan parang, das-das peluru pasti saja akan membuat pembuluh darah pecah mengeluarkan cairan merah panas dari tubuhnya. Tapi nekad azamnya mampu membuat Rocky Balboa terus bersara dari arena tinju dan fobia melihat gelanggang.

Aku mahu sepertinya. Walaupun antara kami jarang sekali pembicaraan. Kurang sekali perkongsian.

Tanpa aku sedar, aku memang sepertinya. Mirip sekali. Malah hampir serupa.

Rabu, Jun 15, 2011

Dai, Pop dan Maam

Ruangan berdimensi 1' kali 1' kali 1' itu menyimpan seribu satu misteri. Misteri Naga? Err, salah satunya. Misteri hidup yang tak terungkai. Rahsia yang hanya terhijab antara hati sendiri dengan Tuhan. Rahsia yang lama terpendam sehingga nantinya bertukar menjadi memori. Memori berbalam yang lama kelamaan menjadi terang.

Dalam ruangan itu, hanya aku dan memori. Engkau takkan bisa memecah tembok penghalang. Kerana sekuat manapun kudrat yang engkau kerahkan, takkan mampu menembusi keteguhan jalinan yang aku bina bersama memori. Hanya ada satu jalan. Cubalah apa sahaja cara agar aku sendiri yang merelakan diriku dan memori bercerai talak tiga.

Sabtu, Jun 11, 2011

Betrayal

Pengkhianatan oleh insan paling dekat, paling rapat, paling sayang adalah pengkhianatan yang tak termaafkan. *Exaggerated* Bukan tak termaafkan, tapi sukar. Lebih-lebih lagi dialah orang yang kita sandarkan harapan, yang pernah kita bangga-banggakan, yang bersinar bagai bintang timur di langit yang sangat jauh.

Mengapa kamu jadi begitu? Jangan kata itulah nasibmu. Jangan ucap alasan yang beribu. Tergamak. Kamu sanggup membuat nenek tua yang menghampiri usia satu abad, menitiskan air mata. Air mata kecewa. Air mata orang yang terkhianati. Air mata yang tertahan-tahan sejak puluhan tahun nan lalu. Dan hari ini ia jatuh. Menitis.

Dan aku yakin titisan itu menggegarkan isi bumi. Menggoncang tiang langit. Ucaplah olehmu maaf dari hati. Yang tulus. Yang kudus. Agar bumi tidak gempa. Langit tidak jadi runtuh.

Jumaat, Jun 03, 2011

Full Throttle

Malam tadi aku bersama K-Square. Menjadi pendengar yang baik, tempat dia melepaskan apa yang terbuku di relung hati. Mengongsi jeritan batinnya dalam mencari erti hidup. Memberi pinjam masa untuk dia bercerita tentang apa sahaja. Dan malam tadi kami sampai di Jakarta menghampiri Bandung.

* * * * *

Pagi ini aku seakan mahu bercerita akan memori manis semasa ke sana. Semuanya. Cerita tentang nasi padang, air sirap 'imaginary', pasar pagi, Tanah Abang, parkir mall yang berlitup tail, Monas, rumah Wira Al Fatah, tikus besar, es buah, motosikal Nasim Muhammad, ikan bawal gorengan bibik, bajaj dan angkut,toko buku, lele, ketoprak, macet, kuliah, Trisakti dan macam-macam lagi.

Minda giat merencana jalinan perkataan dan frasa-frasa mapan dan mantap untuk menghadirkan roh Jakarta dalam penulisan. Akhirnya aku kalah dan tidak aku teruskan.

Aku juga mahu bercerita tentang Bandung. Tetang gadis sunda, Universitas Padjajaran, rumah dalam tebukan bukit, padi huma yang saujana, gedung DVD/VCD bajakan, perjalanan melalui Puncak, muzik country a la indonesia, lagu Kekasih Gelapku pertama kali hadir di telinga, ikan bakar dan hitungannya bertambah lagi dan lagi.

Beauty.

Namun tiada susunan kata yang mampu aku coretkan. Aku putuskan kenangan itu terus segar dan membuncah dalam minda sahaja. Biar aku peram jadi satu momen bererti.

Aku teringat sekumpulan anak kecil. Lepas kehujanan. Lapar dan comot. Kaki tidak beralas. Bila sedikit makanan yang ada aku hulurkan, cahaya yang luarbiasa terpancar dari wajah mereka. "Makasih, Om." terngiang-ngiang. Merekalah pemberi bahagia. Walau diri mereka dikelilingi derita.

Beauty.

Aku enggan menterjemah segala yang manis dalam memori menjadi tulisan. Kerana takut yang manis itu tak sampai kepada audiens.

Tapi aku terbayang wajah seorang pria di deretan kedai DVD bajakan itu. Dia mungkin sahaja tidak bersekolah tinggi. Dia nobody. Tapi dia somebody bagi aku. Tak banyak yang bisa meninggalkan impak dalam hidup aku. Kejujurannya membekas di hati. Dia minta gambarnya diambil lewat lensa kamera digital kompak milik aku. Kaget. Dia tidak menyangka imej dirinya akan terhasil langsung saat dan ketika itu. Dia kagum dan menatapnya lagi dan lagi. Dan dia ada sense of humor.

Ah. Bila agaknya momen-momen indah akan hadir lagi?

Indonesia. Erti hidup yang beda. Indeed.

* * * * *

Setelah aku amati, Indonesia pernah aku abadikan di medium ini. Lama dahulu. Terlalu lama hingga aku lupa.

Ahad, Mei 29, 2011

On the 11th

Sepanjang minggu ini, banyak nama yang akan berlegar dalam ruangan hidup aku. Nama-nama yang bakal memberi impak positif dalam perjalanan hidup. Nama-nama yang bakal tersemat dalam sejarah hidup yang tak penting langsung dalam ketamadunan dunia. Tapi sangat penting bagi seorang aku. Saat aku semakin menghampiri jam ke sebelas, aku harap nama-nama ini mampu memberi driving force untuk aku kembali ke landasan hidup. Memacu ke arah jaya.

Dalam susunan yang random.

Zakiah Nurmala & Arai
Hassan
Fend & K-Square
Daim
Zahazan
Ina


Kamu. Aku bersyukur kenal dengan kamu.

Selasa, Mei 24, 2011

Dari Kawan-kawan Yang Kita Suka

Dewan besar itu penuh dengan kerusi meja yang disusun atur dengan rapi. Usai doa dan laungan rabitah hati, para pejuang masuk ke medan tempur dengan semangat berkobar-kobar walaupun ada sedikit gerun. Para invigilator dengan tenang memerhati dan memantau keadaan.

Sampai waktu nombor giliran dan kad pengenalan disemak, aku angkat tangan. "Cikgu, nombor IC saya dengan yang ada dalam slip kebenaran tak sama. IC saya hilang beberapa bulan lepas. Sistem di JPN tak dapat kenalpasti nombor yang lama, maka saya diberi nombor IC baru.4 nombor terakhir tersebut yang bertukar."

Beliau tersenyum. "Baik, saya akan pantau. Kamu boleh terus menduduki peperiksaan dengan tenang. Selamat maju jaya."

Nombor giliran ke 42. Duduk di belakang Mohd Nurul Imran Koyube. Sekali sekala kepala teleng ke kanan mengusha muslimat. Sesetengahnya menjawab dengan khusyuk. Selebihnya mengerutkan dahi dan menggaru-garu kepala. Patah balik 30 darjah ke kiri dan aku ternampak kertas jawapan calon yang duduk arah timur laut. Jawapan kami sama. Hehe.

Dongak sedikit, ketua pengawas peperiksaan sedang memastikan urusan peperiksaan berjalan lancar. Pengawas-pengawas peperiksan yang lain ke hulu ke hilir menjalankan tugas invigilasi. Masa hampir tamat. Makin suntuk.

Selebihnya adalah sejarah.

Ahad, Mei 22, 2011

Istifadah

Nampaknya aku perlu belajar katakan tidak.

Orang Malaysia memang pemurah. Trait ini punya kelemahan. Dan kelemahan itu jadi senjata paling ampuh pihak-pihak yang suka mengambil kesempatan.

Lihat sahaja di pasar-pasar minggu, di sekitar kawasan bank, di stesyen-stesyen minyak hatta di kaki-kaki lima. Peraih derma, peminta sedekah, penggiat sindiket, kaki 'pow', penjual barangan/makanan ringan, pencari downline sentiasa berlegar-legar mencari 'mangsa'.

Aku sehabis baik akan mencari jalan untuk mengelak dari terserempak dengan mereka. Bukan sebab aku benci. Well, ada sedikit tidak senang dengan aktiviti ini. Tapi tidaklah sampai tahap benci. Tapi sebab aku susah mencari akal untuk mengelak dari menghulurkan wang kepada mereka.

Aku akan selalu tewas. Dengan helah dan cara yang sama. Lebih suka beralah dan beri sahaja. Tanpa banyak soal. Tanpa banyak bicara.

Mereka beredar dengan senyuman. Sebahagian mungkin bersyukur dan mendoakan. Sebahagian lagi mungkin mentertawa. Bodohnya mamat ni. Senang betul kena tipu. Dan aku beredar dengan meyakinkan hati, benda yang aku buat adalah betul. Membantu orang yang perlu. Tapi ada sudut hati yang mempersoal keikhlasan pemberian itu dan keikhlasan mereka yang meminta.

Ke manakah destinasi akhir sumbangan yang aku beri? Kepada anak-anak yatim, surau/masjid/maahad tahfiz, golongan kurang upaya? Atau kepada sindiket yang menjalankan kegiatan tidak sihat? Yang jadi lebih kaya daripada sebahagian besar penderma bodoh yang begitu senang menghulur.

Selasa, Mei 17, 2011

Cari Cahaya

Pengaruh televisyen. Semekar kembang di taman. Tak perlu fikir konsikuens. Ini asing. Sangat asing.


Aku adalah kunang kunang
Dalam gelap aku terbang
Dalam gelap aku terang

Dan jadikanlah kau senja
Kerna gelap kau ada
Kerna gelap kau indah

Aku hanyalah kunang kunang
Dan kau adalah senja
Dalam gelap kita berbagi
Dalam gelap kita abadi

Tag: Fauzi Baadila, Acha Septriasa, Love

Ahad, Mei 08, 2011

Mariana

Jumaat malam.

Mama cerita. Hari tu, Intan telefon. Intan tanya, "Ma, hari Ahad ni Hari Ibu kan?" Mama jawab, "Ye la kot. Kenapa?" "Hmm, tapi kan, bukan hari-hari ke patutnya Hari Ibu?" "Pandai pulak dia cakap." Kata mama pada aku. Aku senyum.

Sabtu tengah hari.

Sambil menunjukkan sekotak coklat, mama tegur aku. "Bang, tengok ni." Aku tengok acuh tak acuh. Ada beberapa biji coklat dengan abjad di atasnya. S Y G M A M A & A B A H. Aku senyum.

Ahad pagi.

"Aiman, ko dah mandi ke belum?" "Dah!" sahut Aiman. "Hari ni Hari Ibu, ko tak wish mama pun." Sambung mama. "Selamat Hari Ibu!" Ucap Aiman. Aku senyum.

Ahad malam.

Err, aku tak wish mama pun. Ingat nak wish sebelum balik Banting tadi. Tapi lupa. Tapi aku pasti mama tahu yang anak-anak dia sayangkan dia.

Mama, walau secantik dan seanggun manapun Mariana Renata pada pandangan mata anakmu ini, namun dikaulah manusia paling cantik, paling anggun dalam hidup aku.

Hehe.

Jumaat, Mei 06, 2011

Munawarah Silam

Perjalanan dari Banting ke SMK Bagan Terap, Sabak Bernam boleh dikatakan agak panjang. Perlu merentas 3 daerah sebelum sampai ke sekolah lama abah. Keadaan jalan telah bertambah baik selepas dinaiktaraf berbanding keadaannya hampir sepuluh tahun yang lalu. Dalam perjalanan yang mengimbau nostalgia itu, aku melewati beberapa kawasan yang dahulunya sinonim dalam hidup aku. Pekan Kapar, Jeram, Kuala Selangor, Tanjung Karang dan Sekinchan (to name but a few).

Paling nostalgik pastinya kawasan Pasir Penambang yang menempatkan SMKA Kuala Selangor. Tempat aku belajar berdikari. Menimba ilmu, menempa pengalaman dan menghabiskan sisa-sisa kanak-kanak dalam menginjak usia remaja. Di sana aku pernah jatuh dan dijatuhkan. Dipuji dan dipuja (ini perasan sendiri je). Menjadi berani dalam takut (usaha membendung iblis dan syaitan dari menguasai asrama). Dan mengenal jati diri sebagai anak Banting sejati. (Ajud, Lute, Man & Emi - bila nak mini reunion do?)

Aku cuba ubah ayat di perenggan sebelum ini kepada ayat yang lebih mudah seperti yang berikut:

Dorm 76 (dorm aku la tu) selalu menang dorm terbersih dan terceria.
Walaupun selalu terselamat daripada kena 'up', tapi 1 malam tu aku kena jugak 2 das pelempang.
Aku masih tak boleh blah dengan group 'Ghostbuster' yang berlari-lari keliling asrama main tembak-tembak.
Orang lain tengah study kat bilik prep, ada pulak malaun yang tengah stimkan kucing.
Norita, pulangkan duit 5 ringgit aku do.
Ajib, maggi asam laksa kembang yang ko buat dalam baldi tu sampai sekarang terngiang-ngiang dalam fikiran. Muahaha

Banyak lagi kot dan tak tertulis kenangan pahit manis. Oit Pie, roti lilit yang buat masa berkhemah kat padang tu sedap gak do.

Dah, dah.

Kuala Selangor & Tanjung Karang masih lagi jem. Macam dulu gak.

Isnin, Mei 02, 2011

Fantasi

Ya Tuhan,

Tatkala orang lain sibuk berbicara tentang apresiasi ilmu dalam kehidupan, tentang nasib bangsa dan agama, tentang perang terancang golongan freemasonry, tentang korupsi dan hubungkaitnya terhadap kemajuan negara, tentang video seks dan sumpah laknat.

Apa yang aku buat?

Err, sedang bermuram durja kerana salah percaturan dalam Fantasy Football.

Jumaat, April 29, 2011

Bala ni! Bala Semua ni!

Musibah datang. Lalu apa tindakan kita? Ikut akalkah? Atau ikut emosikah? Ataupun ikut amarahkah?

Kalau ikut akal, pasti kita ikut arahan Allah. Katakan bahawa sesungguhnya kita datang daripada Allah dan kepadaNya jua kita akan kembali.

Kalau ikut emosi dan amarah, banyak versi carutan yang akan keluar. Sebagai contoh, "Go f**k yourself in the *ss, B**ch!".

Mana satu yang lebih baik? Aku dan kamu tahu jawapannya.

Musibah bukan isunya. Tapi cara menghadapi musibah itu yang perlu kita teliti.

Isnin, April 25, 2011

Juvana

Engkau bicara soal masa hadapan. Bagi aku masa hadapan bersamaan uncertainty. Aku bisa berkira-kira. Aku boleh hitung segala kemungkinan. Tapi aku tak pasti. Dan aku tak harap hitung kira aku tepat. Sebab hidup akan jadi boring. Tiada elemen kejutan.

Oh. Penulisan ini mungkin cukup sampai di sini. Sebab aku tertarik dengan tayangan skrin di depan. "Nama aku Black. Aku gangster besar kat luar sana!"

Khamis, April 21, 2011

Katakan Tak Nak

Al-Hujurat 12

"Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani."



Ini aku tujukan kepada aku dan kamu. Sebab aku sedih. Di surau pun ada yang mengumpat. Kalau di rumah Allah pun kita langgar larangan, di tempat lain apatah lagi.

Rabu, April 13, 2011

Bilik Kaca


Petang itu, seperti biasa aku bersiap untuk ke seberang jalan. Rutin pelajar di sekolah berasrama penuh. Pukul 3 hingga 5 petang dikhususkan untuk prep petang. Sama ada guru-guru yang dedikasi akan mengadakan kelas tambahan, ICU ataupun pelajar bebas melakukan aktiviti sendiri mahupun terlibat dengan tugasan kokurikulum. Berbaju Ala-Raihan warna kuning air dan berseluar warna gelap, aku berjalan melintasi jejantas dengan megah. Rakan-rakan yang malas mendaki tangga akan mempertaruh nyawa melintas jalan yang selalu sibuk.

Aku lihat jam di dewan besar. Ah, baru pukul 2.40. Hari ini tiada kerja rumah yang perlu dihantar esok pagi. Maka aku putuskan untuk berehat sahaja waktu prep petang ini. Aku menuju ke bilik kaca. Bilik tersorok yang terletak di antara laluan pejalan kaki yang menghubungkan dataran terbuka dengan blok tingkatan 4. Di belakangnya kantin dan di hadapannya bilik kuliah. Bilik ini berfungsi sebagai pusat operasi ketua-ketua pelajar.

Aku masuk ke dalam bilik kaca. Tiada orang. Oleh kerana bilik ini jarang didiami oleh KP, maka aku yang suka kipas KP pun menjadikan tempat ini sebagai tempat peraduan saban waktu. Dengan kewujudan penghawa dingin yang bermutu tinggi, menjadikan suasana yang sejuk dan gelap itu sangat kondusif bagi sang pelajar yang mengantuk. Maka dengan rasa kurang bersalah, aku pun tidur dengan lenanya. Sleeping soundly menurut Teacher Rohazila.

Pukul 3.40 petang, ada orang menggugah. "Warx, wei, ko tak pegi kelas tambahan Bio cikgu Zalina ke?" Shut, aku terlupa pula. Cikgu Zalina ada berpesan sebelum habis kelas Biologi pagi tadi bahawa beliau mahu mengadakan kelas tambahan. Dengan mata merah dan muka yang baru dibasuh, aku dengan muka pesalah trafik masuk ke kelas. Meminta maaf atas kelewatan dan duduk. Kelas akan tamat dalam 20 minit lagi dan aku telah memberi impresi buruk kepada Cikgu Zalina.

"Sudahlah markah awak selalu paling rendah dalam kelas, masa cikgu buat kelas tambahan, awak boleh tidur kat tempat lain." Mungkin itu yang cikgu cakap dalam hati. Aku malu sendiri dan lebih malu dengan Amad di sebelah. Beliau yang bercita-cita menjadi pakar sakit puan memang mengatasi markah biologi aku setiap peperiksaan. Dan waktu itu, aku cuba ketepikan rasa malu dan berazam untuk belajar bersungguh-sungguh.

Apa yang berlaku selepas itu?

Aku masih dengan perangai lama. Tidur di bilik kaca. Namun itu hanya berlaku selepas aku pastikan tiada kelas tambahan atau apa-apa perkara yang boleh menyebabkan aku kantoi tidur masa prep. Oh ya, aku dapat C5 untuk Biologi dalam peperiksaan percubaan.

Ahad, April 10, 2011

Kisah Padi dan Tampi

Kisah padi dan tampi mungkin tak menarik perhatian ramai orang. Hanya golongan yang dekat dengannya yang memahami. Pengalaman merentas kawasan penanaman padi yang saujana mata memandang adalah precious. Walaupun perjalanan berkumpulan itu jauh dan melelahkan, tapi kepuasannya melebihi rasa penat. Lebih-lebih lagi ada beberapa bunga yang sedang berkembang menemani.

Tapi kisah padi dan tampi juga mampu meruntun hati. Apabila kisah di sebalik kepayahan itu dipertonton dan diperkata, tiada apa lagi yang tinggal untuk mereka ini. Mereka hanya mampu melepaskan dan berharap ada sedikit yang tinggal untuk diri mereka. Tapi selalunya apa yang tinggal hanya sejarah dan kenangan. Kenangan Lalu kata Flybaits.

Ahad, April 03, 2011

Cermin

Mungkin kamu masih ingat iklan hari raya beberapa tahun dulu. Tentang ayah yang sudah tua dan uzur dipinggirkan di rumah anak sendiri. Ah, aku malas nak cari di Youtube. Kamu carilah sendiri. Ingat? Bagus.

Orang seni yang berkarya dalam industri seni selalu kata begini. Kami paparkan realiti yang terjadi dalam masyarakat. Hasil seni kami adalah cerminan sosiobudaya setempat.

Cuma kelmarin aku saksikan sendiri bayang sedih dalam cermin itu. Memang pahit.

Ahad, Mac 27, 2011

Gen Y


SPM 2010 adalah yang terbaik dalam masa 4 tahun. Lebih ramai yang cemerlang = Lebih ramai pelajar yang pandai = Lebih terjamin masa depan negara. Itu logik yang seharusnya kita pegang. Tapi benarkah realitinya begitu? Sistem pendidikan di Malaysia sudah mencapai milestone kritikal. Perlu ada penambahbaikan dari pelbagai sudut. Perlu ada kelestarian ilmu sebelum, semasa dan selepas peperiksaan umum. Ke mana halu tujunya anak-anak muda generasi Y ini?

Sistem sekarang berorientasikan peperiksaan. Ini adalah alegasi yang bersandarkan pemerhatian kurang menyeluruh. Tapi ramai yang sependapat. Ini aku mampu jamin. Ibu bapa, guru, masyarakat umum malah pimpinan negara menyandarkan kecemerlangan pelajar sekolah berdasarkan pencapaian peperiksaan. "Kau tak dapat semua A? Kau bodoh. Kau tiada masa depan. Kau sampah di bumi Malaysia." "Kau pelajar terbaik sekolah? Daerah? Negara? Kau dapat semua A+? Kaulah kebanggaan. Kau masa depan negara. Kau bakal menggegar dunia"

Aku rasa sampai masanya ini berubah. Aku mengaku yang aku adalah sebahagian sistem ini. Aku berasa seronok apabila menang. Rasa f**ked up bila kalah. Dan aku tidak menyukai keadaan ini. Aku tidak rasa ilmu itu lekat dalam diri. Boleh bawa aku jauh dalam kehidupan. Aku rasa kosong walaupun orang anggap aku penuh. Aku memandang dunia ini sebagai gelas yang "half empty". Walaupun sebolehnya aku mahu memandangnya sebagai "half full".

Akukah yang salah? Patutkah aku salahkan diri aku yang tidak mampu menggabungjalinkan apa yang aku peroleh dengan tuntutan dunia? Atau patutkah aku salahkan orang sekeliling yang menyandarkan harapan tinggi pada seorang yang sebenarnya tidak berkebolehan? Ataukah perlu aku salahkan saja kucing-kucing liar yang datang mencari makan di rumah nenek aku sebab mereka hidup atas inisiatif survival. Tidak seperti aku yang tenggelam oleh pandangan ghaib orang lain.

Aku bimbang anak-anak kecil tidak lagi suka ke sekolah untuk belajar mempersiap diri untuk kehidupan. Mereka lebih cenderung mengambil jalan pintas. Make it or break it. Biarkan mereka yang pandai dapat straight As. Biarlah aku yang tak mampu ini menjadi liabiliti masyarakat. Biar orang itu melihat sendiri keputusan mereka salah. Sebab aku awal-awal lagi telah dilabel tidak berkualiti. Bebanan masyarakat.

Jangan gadaikan masa depan mereka dengan label yang kita telah tetapkan di awal usia mereka. Biarkan mereka mengekspresi diri menjadi apa yang mereka mahu dalam acuan agama dan budaya yang positif. Mereka lahir sebagai pemenang. Jangan label mereka sebagai bodoh dan hopeless hanya kerana mereka tidak mampu mencapai cemerlang pada halangan pertama.

Selasa, Mac 22, 2011

Shit

Minggu ini gempar. Banyak cerita. Cerita benar. Cerita tak benar. Cerita samar-samar. Cerita yang bodoh. Cerita yang membodohkan. Membodohkan tukang buat cerita. Membodohkan orang yang mendengar cerita. Membodohkan rakyat jelata. Melihatkan kebodohan pembesar negara.

Minggu ini gempar. Trending cerita ada pelbagai. Tsunami. Radiasi. Tomahawk. Pakatan. Pehin Sri. Pilihanraya. Jam Omega. Perut buncit. Wanita Cina. Carcosa Seri Negara. Skandal. DNA. Altantuya? Rosmah?

Lama-lama negara ini habis musnah. Hasil mahsul negara jadi harta kroni. Tamat pemerintahan 1 kroni, kroni lain mengambil giliran. Kroni jadi kaya. Suka. Gelak besar dan jahat. Kroni boleh hidup panjang 7 keturunan. Kroni cakap pada rakyat, kalau tak jimat, negara muflis. Anak cucu menderita. Memang menderita. Tapi anak cucu kau dan aku. Bukan anak cucu kroni dia.

Shit. Aku baca bahagian terakhir saja. Disgusting. Tapi aku suka karya itu. Entah kenapa aku pesimis dengan penghulu sarkis. Mungkin sebab dah berakar umbi. Ah, shit.

Rabu, Mac 16, 2011

Lepaslah Perempuan Itu

Lewat media. Lewat observasi. Lewat cakap-cakap angin. Yang namanya perempuan adalah mangsa. Dan lelaki pemangsanya. Baik cerita, mitos mahupun legenda. Perempuanlah mangsa. Kenapa? Bukankah kamu telah keluar dari kepompong penindasan? Bukankah kamu mampu lakukan apa sahaja yang lelaki mampu? Bukankah kamu penakluk institusi pengajian tinggi? Bukankah kamu sedang menggoncang dunia?

Kamu relakan menjadi mangsa tangan-tangan ghaib yang celaka. Kamu izinkan diri diluka, dinoda dan dikecewa. Tolonglah. Buktikan yang kamu mampu. Lepaskan diri dari belenggu pukulan, tamparan, terajang dan apa sahaja bentuk kekasaran fizikal dan emosi terhadap kamu. Lepaslah kamu dari kejamnya lelaki-lelaki bangsat. Lepaslah perempuan itu. Aku tak mahu jadi si bangsat.

Jumaat, Mac 11, 2011

Pretender

Oh, mengapakah kamu kelihatan begitu sedih? Kamu tiada bermaya. Cengkung dan lesu. Jangan begitu, sayang. Aku tak mahu kamu mati beragan. Aku lihat air mata mengalir membasahi pipimu. Jatuh setitik demi setitik tak terbendung lagi. Ke mari, sayang. Ke mari dekat dalam dakapanku.

Lepaskan kepedihanmu padaku. Janganlah kamu malu luahkan apa yang terbuku. Menangislah sepuasmu. Buat hilang keluh kesahmu. Biar aku turut rasakan apa yang kamu rasa. Biar aku selami dasar hatimu. Sehingga ke lubuk yang paling seni. Kerana kita sama. Aku dan kamu. Duka dan kesedihan yang seperti ini, aku juga pernah lalui.

Musibah yang ini memang berat untuk dipikul sendiri. Ke mana harus dituju. Bagaimana ke situ. Dan kamu rasa lemah. Perlukan dukungan. Perlukan teman. Ucapkanlah bahawa kamu perlukan aku. Kerana aku sentiasa menerima seada kamu. Tidak sedikit kurangmu yang buat aku membenci.

Aku di belakangmu. Selalu mendorong, menyokong dan menghulur tangan buat diri kamu untuk kembali bangkit. Aku akan jadi perisai melindungi diri kamu. Biar kamu senang dan tenang. Biar kamu tidak disakiti lagi. Biar kamu tahu aku selalu ada di sisi. Dan takkan sekali aku tinggalkan dirimu. Tak akan.

*Terinspirasi dengan orang yang berpura-pura. The competition is her to lose.

Selasa, Mac 08, 2011

Sejuk Beku

Duduk sehari suntuk dalam bilik berpenghawa dingin yang dipasang pada suhu 16 darjah celsius memang menguji daya tahan badan. Waktu melangkah keluar dan tubuh didakap kehangatan dunia luar merupakan nikmat paling tak terhingga. Lantas keluarlah puji-pujian pada Allah SWT akan kekuasaanNya yang bisa mengasingkan dua fenomena bertentangan sifat pada dua tempat yang cuma dipisahkan selapis zarah. Subhanallah.

Situasi di atas hanya mampu ditandingi apabila kamu berhadapan dengan suhu bawah takat beku ketika menempuh perjalanan dari Frederiksen Court blok 73 merentasi Pammel Road, kemudian melalui Lied Recreation Center sebelum sampai ke Maple-Willow-Larch untuk kelas Bahasa Inggeris seawal jam 8 pagi dalam musim sejuk yang ekstrim. Lantas nikmat kehangatan mencapai tahap klimaks apabila melangkah ke ruangan lengkap dengan sistem pemanas udara sambil mengusap-usap cuping telinga yang sudah kejang tak terasa kewujudannya.

Indah. Kan?

Khamis, Mac 03, 2011

Do It

Di mana boleh aku beli jersi Home Schalke 04 2010/2011 lengan panjang?

Oh ya, membeli jersi bola sepak adalah satu ketagihan. Lebih-lebih lagi pembelian itu melibatkan wang rakyat. Wang rakyat itulah yang digunakan untuk mengumpul koleksi jersi bola sepak. Wang yang sepatutnya digunakan untuk membeli keperluan pembelajaran dan keperluan harian dibazirkan untuk memenuhi nafsu serakah. Kalaulah semua jersi tersebut tidak dibeli, maka akan jimatlah wang rakyat kira-kira RM 3000.

Jadi apakah signifikan wang sejumlah RM 3000 ini kalau hendak dibandingkan dengan jumlah wang rakyat yang digunakan oleh isteri Perdana Menteri untuk menyewa bilik hotel taraf diraja ketika lawatan beliau ke Timur Tengah? Wang rakyat tetap wang rakyat. Bukannya wang pembesar negara. Juga bukan wang isteri atau gundik mereka.

Saman lalu lintas akan dikenakan tarif baru. Oleh itu berpusu-pusulah pesalah trafik ke kaunter pembayaran untuk melunaskan saman yang diberi diskaun separuh harga. Malah tambahan sepuluh hari diperuntukkan untuk mereka menunaikan bayaran. Selepas tempoh itu, mereka bakal disenaraihitam. Malah saman yang sedia ada akan diselaraskan dengan kadar baru. Makin liat bayar, makin bertambah amaun saman itu.

Mereka yang disaman tetapi melengahkan pembayaran mungkin boleh dibahagi kepada beberapa kategori. Sama ada mereka itu samseng jalanan yang tak makan saman, seorang yang ignorant kepada setiap jenis pembayaran yang melibatkan wang, kesempitan hidup memaksa catuan wang dalam kehidupan ataupun si penunggu saman diskaun. Dengan kewujudan unsur riba' dalam kadar saman yang baru, bukankah makin ramai yang akan melakukan jenayah rasuah duit kopi kepada pegawai lalulintas.

Oh, bijak sungguh. Nampaknya tidak lama lagi banyak harga yang akan naik. Minyak dan bahan mentah yang lain. Krisis dunia memang tidak menyebelahi keadaan ekonomi di mana-mana pun. Tapi rakyat marhaen yang merasakan kesannya dengan severe. Sebab apa? Sebab pembesar-pembesar negara isi minyak kereta guna minyak subsidi. Elektrik subsidi. Air subsidi. Siap dapat perdiem & hardship allowance lagi.

Maaf, ini bukan tulisan berdasarkan fakta. Tapi penulisan menurut nafsu dan accusation yang tak berasas semata-mata. Kan ke kami ini rakyat yang mementingkan diri dan tak memikirkan kepentingan negara. Tak berfikiran panjang dan beremosi.

Ahad, Februari 06, 2011

Bukan Fazi, Bukan Wazi

Kami dalam perjalanan pulang ke Ames setelah mengerah keringat dan kudrat di Carbondale untuk 2 hari. Kontingen Iowa State membawa pulang beberapa pingat dari sukan badminton dan catur. Namun skuad bola sepak gabungan dengan University of Minnesota hampa dikecewakan dalam penentuan tempat ketiga/keempat. Ini bermakna aku pulang dengan tangan kosong (tanpa pingat dan jelingan manja awek-awek Malaysia).

Perjalanan pulang yang sangat jauh. 8 jam pemanduan perlu diisi dengan aktiviti sihat dan menyeronokkan. Ini bagi membantu perjalanan minda agar sentiasa segar dan terisi dengan maklumat-maklumat berguna. Maka banyak topik diskusi diutarakan. Ia meliputi segenap subjek daripada politik, ekonomi, pengetahuan am, sukan, hiburan, sejarah sehinggalah soal perasaan dan hikayat percintaan. Wow, sungguh mendalam diskusi kami.

Setelah penat bertukar-tukar pandangan dan idea serta masing-masing kelelahan secara mental, Kak Sam pun dengan senyuman sinis mengajak ahli rombongan Cik Kiahnya meladeni beliau bermain teka-teki. Berkerut-kerut dahi cuba menjawab teka-teki yang disoal. Akhir sekali, beliau came up with an ultimate puzzle. Beliau dan Fakhrul memperkenalkan kami dengan Fuzzy Wuzzy. Kalau perjalanan kami mengambil masa 8 jam untuk sampai ke destinasi, maka separuh daripadanya aku gunakan untuk mengidentifikasi siapakah Fuzzy Wuzzy ini.

Siapakah Fuzzy Wuzzy?

Fuzzy Wuzzy sukakan Pizza, tapi tak suka Lasagna.
Fuzzy Wuzzy sukakan Vanilla, tapi tak suka Chocolate.
Fuzzy Wuzzy sukakan Soccer, tapi tak suka Bowling.
Fuzzy Wuzzy sukakan Horror movie, tapi tak suka Comedy.

The list goes on and on. Dah kenal dengan Fuzzy Wuzzy? Siapakah gerangannya? Belum? Sila cuba lagi dan lagi.

Oh ya, Fuzzy Wuzzy sukakan P. Ramlee, tapi tak suka Saloma.

Sabtu, Februari 05, 2011

Serombong Kapal


Pagi tadi aku baca surat khabar. Ala, apa lagi kalau bukan akhbar pro-kerajaan tu. Bukan kerajaan negeri, tapi kerajaan persekutuan. Memang media massa di Malayia masih tak bebas. Sebab sebahagian besar liputan berita selain keputusan nombor ekor adalah bias. Bermotifkan politik secara sedar atau separa sedar meskipun tidak sedar langsung. (Err, benda ni tak akan jadi kes polis kan?)

Aku terbaca artikel pasal tak nak merokok. Aku tertarik dengan gambar-gambar kempen untuk berhenti merokok. Menarik, kreatif dan berdaya saing. Kandungan artikel pula, hmm, biasa-biasa saja sebab intinya sama. Orang ramai dah tahu bahaya merokok. Dalam khutbah Jumaat pun dah cakap hukum merokok itu haram. Iklan di TV pun dah bagitahu keburukan merokok secara meluas. Sampai ada iklan "Don't Break My Heart" lagi.

Pernah merokok? Err, aku tak tahu sama ada nak bangga atau tidak. Tapi aku tak pernah rasa la keenakan menghisap dan menghembus asap rokok. Tapi masa umur 4 atau 5 tahun, aku pernah merasa rokok. Rokok atuk aku yang dia tinggalkan kat tepi tingkap. Mak ai, pahit gila beb. Aku hisap tanpa nyalaan api. Jadi terasa begitu 'kaw' rasa tembakau bercampur cengkih dan kertas rokok. Lepas itu, aku pun katakan Tak Nak pada rokok.

Tapi betul ke susah nak berhenti? Bukan apa, duit beli rokok tu kan ke boleh belanje aku makan burger tiap-tiap hari. Memang aku doakan kebahagiaan kat korang la kalau korang berhenti rokok dan mula mengenyangkan aku. Kan bagus macam itu. Tak la korang dapat carutan aku setiap kali aku terhidu asap rokok di tempat awam. Walaupun yang hembus asap tu apek bawak lori babi yang tengah berhenti beli laksa penang tepi jalan.

Khamis, Februari 03, 2011

Dunia

Saban malam aku tatap skrin mata satu itu. Masa kecil dulu, pukul lapan saja aku sudah jadi bosan. Sebab orang dewasa mengambil alih giliran menonton televisyen. Aku tak suka tengok berita kecuali berita sukan. Aneh. Bila sudah agak sedikit remaja seperti sekarang, aku rasa menonton berita adalah sesuatu yang perlu (kalau bukan mengujakan). Sementelah membuang waktu sebelum masuk Isyak, ia adalah perkara paling mudah dan tanpa usaha keras untuk aku menokok tambah pengetahuan am.

Apa sudah jadi? Berita manusia mati. Mati tembak diri sendiri. Mati ditikam kawan baik. Mati eksiden. Mati sebelum sempat hidup lama. Semua berita mati. Aku mati kutu. Semurah inikah harga nyawa? Dunia makin gila. Ah, bukan dunia yang gila, tapi umat yang mendiami bumi ini yang gila. Gila harta, gila kuasa, gila babi. Sebab itu banyak manusia yang lebih jahat dari setan.

Tengoklah apa yang sedang berlaku sekarang. Mereka yang tertindas sudah tidak boleh diam. Harus bersuara. Harus bertindak. Harus tuntut bela. Ini kisah seram bukan dalam filem. Ini kisah seram yang bukan cobaan. Ini betul-betul. Apa khabar saudara yang ada di bumi para rasul sana? Moga dapat bertahan. Setiap perubahan ada harga yang perlu dibayar. Mereka sedang membayarnya. Mesir, Tunis dan Yaman.

Dan bila datang yang hak, maka terhapuslah yang batil.

* * * * *

Gelisah tak bermaya
Manipulasi angkara kita
Dan bencana yang melanda
Generasiku menjadi mangsa

Dan ini bukan lagi
Seperti yang kau impikan
Percaya kataku

Aku bimbangkan dunia
Tiada cahaya ku terima
Aku tentang segalanya
Moga kau kan turut serta

Secara tak langsung Bunkface jadi relevan.

Ahad, Januari 30, 2011

Marah ke Ms Evans?

Perjalanan dari Banting ke Bukit Kapar, Klang memang memenatkan. Ditambah dengan keadaan hujan lebat turun tidak berhenti. Malah menyebabkan trafik lebih perlahan dari purata kelajuan biasa. Lebih malang, keupayaan melewati lampu trafik jatuh ke tahap tidak memuaskan. Sudah menjadi kebiasaan, apabila bertembung dengan satu lampu merah, susulan lampu trafik seterusnya pasti merah, merah dan merah.

Jadi kesabaran yang ada hadnya diuji. Maka dengan iman yang senipis kulit bawang, yang selalu berkurang daripada bertambah, kesalahan pasti berlaku. Kesalahan memaki hamun tak kira dia adalah Pak Haji memandu Mercedes, Nenek Cina bawa Charade, Awek Hot bawa Myvi SE ataupun Ane pandu lori balak. Maka semua jenis kejian keluar mengalir bagai air di muara cinta. Oh, banyaknya benda buruk keluar.

Kadang-kadang, terfikir juga kalau makian dan kejian itu jatuh pada diri sendiri. Aku pasti memang banyak kot sebab hari-hari duduk atas jalan. Jadi, di dalam situasi yang lain, perbuatan keji-mengeji patut dihindarkan malah dihapuskan. Sebab orang putih cakap, apa yang kau bagi, itulah yang kau dapat. Kalau bagi madu, barangkali kau dapat balasan jus durian belanda. Sebaliknya kalau kau bagi tahi, silap-silap patah tulang rusuk Cik Bedah oi.

Belajarlah untuk menahan marah. Sebab nabi pun pernah cakap, orang yang kuat itu bukan yang kuat fizikal semata-mata macam Brock Lesner atau Undertaker, tapi orang yang boleh menahan amarahnya. Kamu marah ke kat aku? Marah? Ada aku kisah?

Ahad, Januari 23, 2011

Baiklah

Aku terserempak dengan kebaikan di mana-mana. Tak kurang keburukan. Nisbahnya hampir sama. Namun fitrah manusia pada kebaikan selalu terkalahkan oleh nafsu kepada keburukan. Sebab itu banyak yang berhadapan dengan kemurungan. Sebab, yang positif dikira negatif, tanpa vice versa.

Hampir setahun lalu, kurang lebih jam 0640. Aku meluncuri laluan dua lorong menghala ke arah Kota Diraja negeri Selangor. Kira-kira 200 meter melepasi Petronas Sungai Manggis. Hening pagi disulam desupan dan deruman puluhan kenderaan yang mengoyak ketenteraman penduduk setempat. Menuju hala masing-masing.

Waktu yang sama, aku terlihat magis. Magis yang lahir dari kasih sayang. Seorang datuk, berkain pelikat, berbaju Melayu putih dan berketayap. Di sampingnya seorang anak kecil berseragam sekolah. Mereka berpimpinan tangan, mencuri kesempatan untuk ke seberang jalan. Pengorbanan yang sudah jarang dizahirkan dalam masyarakat zaman ini.

Gambaran itu sangat outstanding dan masih bermain-main di kotak minda. Kebaikanlah yang lahir dari kasih sayang dan tanggungjawab. Kebaikanlah yang perlu diwariskan kepada yang baharu. Kebaikan juga yang kita perlu cari dari segenap entiti di dunia ini.

Ahad, Januari 09, 2011

Cyclones

There was cyclone in Subang. Billboards collapsed. Traffic was a calamity. People stuck in the middle of heavy raining. Me? I got excited. It reminded me of Ames. And those chicks lying almost naked on the ground during summer's days. I was in paradise. I miss the smell of falling leaves and the great Howe Hall. I miss Charlotte and Jennifer too.